Penulis: Dr. Nur Aliah Mohamad Khaduwi¹, Nur Akma Hidayatie Hasnoh & Nurin Izzati Zainol Abidin
¹Pensyarah Kanan,
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Sudut Taksonomi
Paku Midin (Rajah 1), atau nama saintifiknya Stenochlaena palustris (Burm.f.) Bedd., merupakan sejenis paku pakis pemanjat yang tergolong dalam famili Blechnaceae, order Polypodiales dan kelas Polypodiopsida. Spesies ini berada dalam genus Stenochlaena, iaitu kumpulan paku pakis tropika yang dicirikan oleh habit memanjat di kawasan lembap. Walaupun genus ini merangkumi beberapa spesies lain seperti S. tenuifolia dan S. areolaris, S. palustris merupakan spesies yang paling meluas taburannya serta paling dikenali sebagai sumber sayuran tradisional di Asia Tenggara. Spesies ini mempunyai taburan semula jadi yang sangat luas, meliputi Asia Selatan, Asia Tenggara, selatan China, Australia Utara, Kepulauan Pasifik dan Pulau New Guinea. Nama spesies palustris berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud “kawasan berpaya”, merujuk kepada habitat semula jadinya yang lazim ditemui di kawasan berpaya, tepi sungai, hutan tanah rendah dan kawasan tropika lembap yang mempunyai kelembapan tinggi sepanjang tahun. Dari sudut sejarah taksonomi, spesies ini telah direkodkan di bawah pelbagai nama saintifik sejak abad ke-18 antaranya Lomaria haenkeana C.Presl (1835) dan Stenochlaena blumeana (1851) sebelum pengelasan oleh Pteridophyte Phylogeny Group (PPG) pada tahun 2016.

Sudut Morfologi
Berbeza dengan tumbuhan berbunga, paku pakis tidak menghasilkan bunga, buah atau biji benih untuk pembiakan. Sebaliknya, tumbuhan ini membiak melalui penghasilan spora yang terbentuk pada struktur khas yang dikenali sebagai sporangium, lazimnya terdapat pada bahagian bawah daun. Spora S. palustris (Rajah 2) mempunyai ciri morfologi yang unik dan penting dalam pengecaman spesies. Berdasarkan pemerhatian menggunakan Mikroskop Elektron Imbasan Medan Pancaran (FESEM), sporanya berbentuk monolit, iaitu mempunyai satu garis lesur (laesura) yang jelas pada permukaan proksimal. Spora ini bersifat bilateral simetri dengan bentuk keseluruhan yang hampir eliptik hingga bujur apabila dilihat dari pandangan ekuatorial. Permukaan luar spora (perispora) menunjukkan ornamentasi yang kasar dan tidak sekata, dengan kehadiran lipatan, serta struktur seakan unjuran. Variasi pada struktur perispora ini juga memberikan maklumat penting mengenai hubungan filogenetik dan evolusi dalam kumpulan paku-pakis, khususnya dalam famili Blechnaceae.

Sudut Potensi sebagai Sumber Makanan
Paku Midin turut mempunyai potensi besar sebagai sumber makanan dan komoditi pertanian bernilai tinggi. Di Sarawak, tumbuhan ini bukan sahaja menjadi sayuran tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat tempatan, malah telah dibangunkan secara komersial melalui penanaman di kawasan berpaya dan tanah lembap. Antara kawasan yang terkenal dengan penanaman Paku Midin ialah Kuala Baram di Miri, di mana projek penanaman berskala komersial telah menunjukkan pengeluaran yang memberangsangkan serta mampu menjana pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya. Selain Miri, kawasan utara Sarawak seperti Limbang juga dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk pembangunan kebun paku midin kerana keadaan persekitarannya yang sesuai.
Potensi ini telah mendorong kerajaan negeri untuk menggalakkan penanaman Paku Midin sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pengeluaran makanan, menjana pendapatan petani dan memperkukuhkan sektor pertanian berasaskan sumber tempatan. Kepentingan Paku Midin kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak turut mendapat perhatian institusi penyelidikan. Sebagai contoh, melalui Kursi Sheikh Othman Sarawak, satu inisiatif kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Islam Sarawak (MIS), sebuah geran penyelidikan telah diberikan pada tahun 2025 bagi melaksanakan projek bertajuk “Assessing the Potential of Paku Midin-Infused Dates Energy Bars: A Novel Approach to Foster Local Agriculture, Innovation, and Food Security in Sarawak” yang diketuai oleh Dr. Nur Aliah Mohamad Khaduwi daripada Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi (JSBB), Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia serta syarikat industri tempatan Sarawak iaitu Ahmad Tamar Sdn. Bhd (Rajah 3). Projek ini bertujuan menilai potensi paku midin sebagai bahan nilai tambah dalam pembangunan produk makanan inovatif, di samping menyokong agenda keselamatan makanan, inovasi dan pembangunan pertanian tempatan di Sarawak.

Paku Midin bukan sekadar sumber makanan, malah telah menjadi sebahagian daripada identiti kulinari masyarakat Borneo, khususnya di Sarawak. Pucuk mudanya (Rajah 4) yang rangup dan mempunyai rasa yang unik sering dijadikan pelbagai hidangan tradisional seperti midin goreng belacan, masak lemak, masak kicap dan ulam segar. Hidangan midin goreng belacan (Rajah 5) khususnya dianggap sebagai antara menu ikonik Sarawak dan sering menjadi pilihan utama pelancong yang ingin merasai keunikan masakan tempatan. Populariti sayuran hutan ini menyebabkan ia mudah ditemui di pasar tempatan seperti Pasar Minggu Satok di Kuching serta dihidangkan di restoran, hotel dan pusat pelancongan di seluruh negeri. Keadaan ini menunjukkan bagaimana tumbuhan yang dahulunya diperoleh secara liar dari hutan kini telah berkembang menjadi produk makanan yang mempunyai nilai komersial dan budaya yang tinggi.

Selain popular sebagai hidangan tradisional, paku midin turut mendapat perhatian dalam pelbagai bidang penyelidikan berkaitan pemakanan, kesihatan dan inovasi makanan. Kajian menunjukkan bahawa pucuk muda Stenochlaena palustris kaya dengan protein, serat pemakanan, antioksidan serta mineral penting seperti zat besi, kalsium dan magnesium yang menyokong kesihatan manusia. Potensi ini telah mendorong pembangunan pelbagai produk nilai tambah berasaskan Paku Midin, termasuk snek berasaskan midin, kimchi midin, minuman berfungsi dan produk nutraseutikal. Di samping itu, penyelidik turut meneroka penggunaannya sebagai ramuan makanan inovatif yang dapat meningkatkan nilai ekonomi hasil hutan bukan kayu sambil menyokong agenda keselamatan makanan dan kelestarian sumber biodiversiti tempatan. Perkembangan ini membuktikan bahawa Paku Midin bukan lagi sekadar sayuran hutan tradisional, tetapi semakin diiktiraf sebagai sumber bioekonomi yang berpotensi untuk pembangunan industri makanan masa hadapan.

Paku Midin bukan sekadar sayuran hutan yang menjadi kebanggaan masyarakat Borneo, malah merupakan khazanah biodiversiti yang mempunyai nilai saintifik, pemakanan dan ekonomi yang tinggi. Daripada keunikan taksonomi dan morfologinya, kepada peranannya sebagai sumber makanan tradisional serta bahan mentah bagi pembangunan produk makanan inovatif, Paku Midin membuktikan bahawa sumber semula jadi tempatan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara. Dengan sokongan berterusan daripada penyelidik, industri dan pihak kerajaan, Paku Midin berpotensi diketengahkan sebagai salah satu ikon agro-biodiversiti Malaysia yang bukan sahaja memelihara warisan makanan tempatan, malah menyokong agenda keselamatan makanan, kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi berasaskan sumber biologi tempatan untuk generasi akan datang.
Penghargaan
Penulis merakamkan ucapan penghargaan kepada Geran Penyelidikan Kursi Sheikh Othman Sarawak (ST-2025-009), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Majlis Islam Sarawak (MIS), Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM dan syarikat Ahmad Tamar Sdn. Bhd. atas sokongan bagi penyelidikan ini.



