Penulis: Dr. Nurul Wahida bt Mohd Hasan¹ & Prof Madya Dr Zurairah bt Berahim²
¹’²Pensyarah dan Pakar Pergigian Periodontik
Unit Periodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian,
Kampus Kesihatan , Universiti Sains Malaysia
Vape (rokok elektronik) merupakan peranti elektronik yang terdiri daripada satu alat pemanas (atomizer), bateri sebagai sumber kuasa, dan tangka untuk cecair (rajah 1). Semasa diaktifkan ia mengeluarkan wap nipis dan bau wangi yang manis. Vape berbeza daripada rokok biasa yang menghasilkan asap, pengguna vape akan menyedut wap, dan proses ini dikenali sebagai ‘vaping’. ‘Vaping’ sangat menjadi tarikan remaja masa kini kerana beranggapan ia lebih selamat berbanding rokok biasa tanpa menyedari risiko yang perlu dihadapi.
Vape sebenarnya telah dicipta seawal tahun 1960-an oleh Herbert A. Gilbert yang berasal dari Amerika Syarikat. Beliau telah memohon paten untuk “rokok tanpa asap dan tanpa tembakau” yang berfungsi dengan menggantikan tembakau yang dibakar dengan wap berperisa yang dipanaskan. Peranti ciptaannya ini menghasilkan wap perisa tanpa nikotin, suatu inovasi yang dilihat sebagai alternatif kepada amalan merokok ketika itu. Paten tersebut diluluskan pada tahun 1965. Namun, ciptaan beliau tidak mendapat perhatian dan tidak dikomersialkan kerana tabiat merokok masih dianggap gaya hidup yang popular dan diterima masyarakat pada masa itu.
Sejak itu, peranti tersebut terus diperbaharui dan berkembang sehingga munculnya vape dalam bentuk yang lebih moden pada masa kini. Ia kembali menjadi popular selepas diperkenalkan semula oleh seorang ahli farmasi dari China bernama Hon Lik sekitar tahun 2003. Produk ini mula dipasarkan di China pada tahun 2004, sebelum menembusi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat sekitar tahun 2006 hingga 2007 dan seterusnya ke pasaran global sekitar tahun 2010.

Vape berfungsi apabila atomizer memanaskan cecair khas yang dipanggil e-liquid, lalu menghasilkan aerosol atau wap yang mengandungi titisan halus. Wap ini biasanya diperbuat daripada propylene glycol dan/atau glycerin, selalunya mengandungi nikotin dan perisa. Ia diaktifkan sama ada dengan menyedut atau menekan butang. Kandungan sebenar boleh berbeza-beza mengikut jenis produk dan cara pengguna menghisap vape Sesetengah vape kelihatan seperti rokok biasa dan kebanyakannya boleh digunakan semula.
Vape dikatakan kurang berbahaya berbanding merokok biasa, namun ia masih memberi risiko kepada kesihatan. Kandungan nikotin di dalam cecair vape boleh mendatangkan ketagihan walaupun terdapat bukti terhad bahawa vape mungkin kurang menyebabkan ketagihan berbanding rokok kerana kadar penyerapan nikotinnya yang lebih perlahan. Vape juga didapati boleh menjejaskan pesakit asma dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).
Selain itu, beberapa kejadian berkaitan dengan kecederaan Paru-paru Berkaitan Penggunaan Rokok Elektronik atau Vape atau E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) telah direkodkan berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik. EVALI boleh menyebabkan keradangan pada paru-paru akibat bahan kimia dalam cecair vape. Gejalanya termasuk masalah pernafasan, kebas pada anggota badan, berdebar-debar, dan halusinasi, serta boleh menyebabkan kecederaan paru-paru yang serius seperti yang dikesan melalui perubahan radiologi pada x-ray atau CT-scan.
Sepertimana yang kita tahu, nikotin ialah bahan kimia aktif yang terdapat secara semula jadi dalam tumbuhan tembakau. Ia bertindak dengan peransang hormon dopamine yang memberikan rasa seronok dan ketagihan. Walaubagaimanapun, nikotin akan menyebabkan peningkatan kadar degupan janting dan juga tekanan darah. Selain itu, ia juga menyebabkan pengecutan salur-salur darah termasuklah salur darah ke gusi. Dengan itu pengaliran darah ke seluruh badan akan berkurangan dan ini akan mendatangkan masalah besar terutamanya semasa proses penyembuhan tisu badan.
Di sebalik wap wangi itu, tersembunyi bahan yang boleh merosakkan bahagian badan paling penting untuk keyakinan diri kita iaitu gigi dan gusi. Gigi dan gusi menjadi barisan pertama yang terdedah setiap kali seseorang menyedut wap vape. Kandungan nikotin yang tinggi serta bahan kimia lain di dalam vape boleh merosakkan gusi dan gigi. Antara kesan utama penggunaan vape ialah gangguan keseimbangan “microbiom baik” dalam mulut yang penting untuk kesihatan mulut. Kajian menunjukkan bahawa pengguna vape mempunyai perubahan dalam jenis dan jumlah bakteria dalam mulut berbanding orang yang tidak menggunakannya. Apabila komuniti mikrobiom ini terganggu, bakteria “jahat” akan tumbuh dengan lebih mudah dan mengeluarkan toksin yang seterusnya mendorong penyakit gusi yang lebih serius, dan kerosakan struktur tulang di sekitar gigi. Ia juga menggalakkan pengumpulan lebih banyak plak gigi. Ini terbukti dengan kehadiran biofilem (lapisan bakteria yang melekat pada gigi/gusi) yang kelihatan lebih tebal atau lebih aktif dalam pengguna vape dan juga mengakibatkan mulut berbau.
Selain itu kebanyakan cecair vape mengandungi propylene glycol yang boleh menyebabkan mulut kering. Air liur sangat penting untuk membersihkan sisa makanan dan meneutralkan asid daripada bakteria. Kekurangan air liur meningkatkan risiko karies (gigi berlubang) dan juga penyakit gusi. Perisa manis dalam vape boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria penghasil asid. Walaupun tidak mengandungi gula, bahan perisa ini tetap boleh melemahkan gigi. Jika digabungkan dengan masalah mulut kering, risiko gigi berlubang menjadi lebih tinggi.
Pasa masa ini, semakin banyak kajian menunjukkan bahawa penggunaan vape mungkin membuka pintu kepada risiko kanser mulut. Beberapa kajian “in vitro” (penyelidikan makmal) menunjukkan wap dari rokok eletronik boleh menyebabkan kerosakan DNA, tekanan oksidatif dan perubahan sel di dalam tisu mulut yang boleh membawa kepada kanser. Kajian lain menunjukkan bahaya komponen seperti aldehid dan karbonil dalam wap vape yang diketahui mempunyai potensi karsinogenik (menyebabkan kanser). Walau bagaimanapun, organisasi kesihatan menyatakan bahawa bukti penghubung langsung antara vape dan kanser mulut masih terhad dan perlu kajian jangka panjang.
Di Malaysia, kajian-kajian tempatan menunjukkan peningkatan ketara penggunaan vape dalam kalangan remaja di Malaysia. Di sekolah menengah, kadar penggunaan vape meningkat daripada hanya 1.2% pada tahun 2012 kepada 9.1% pada tahun 2016. Situasi ini semakin meruncing apabila penemuan daripada Tinjauan Kesihatan Remaja Kebangsaan (NHMS) 2022 menunjukkan perubahan ketara dalam trend penggunaan produk tembakau dalam kalangan remaja di Malaysia berumur bawah 18 tahun. Menurut tinjaun yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), prevalens penggunaan vape dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022, satu peningkatan yang ketara dalam tempoh lima tahun tersebut. Dalam kumpulan umur yang lebih berusia, merangkumi remaja dan dewasa muda berumur 15 tahun ke atas, prevalens penggunaan vape dicatatkan pada 4.9% pada tahun 2019. Kajian juga mendapati bahawa remaja lelaki, mereka yang lebih berusia dalam lingkungan sekolah menengah, serta yang sudah merokok rokok konvensional, menunjukkan kadar penggunaan vape yang jauh lebih tinggi berbanding rakan sebaya mereka. Sehubungan itu ,KKM menyifatkan kemunculan vape sebagai satu “ancaman kesihatan awam”.
Peralihan daripada rokok tradisional kepada vape tidak menjadikan remaja bebas daripada risiko masalah pergigian. Peningkatan populariti vape dalam kalangan remaja menuntut perhatian segera daripada pengamal pergigian, ibu bapa serta pihak berkuasa kesihatan awam untuk intervensi awal, pendidikan dan pencegahan sebelum masalah kesihatan mulut menjadi lebih serius di masa hadapan. Penggunaan vape jangka panjang bukan sahaja menjejaskan kesihatan mulut seperti radang gusi, periodontitis, mulut kering, dan kerosakan gigi, tetapi juga boleh membawa kesan kepada kesihatan seluruh tubuh kerana bakteria dari mulut boleh memasuki aliran darah dan meningkatkan risiko penyakit jantung, diabetes tidak terkawal serta masalah pernafasan. Nikotin turut menjejaskan perkembangan otak remaja, menyebabkan ketagihan dan prestasi akademik merosot. Selain itu, masalah seperti nafas berbau, gigi rosak dan perubahan warna gigi boleh menurunkan keyakinan diri dan membawa kepada kesan sosial yang negatif. Vape mungkin kelihatan moden dan dikatakan kurang berbahaya daripada rokok konvesional, namun ia tetap membawa risiko kesihatan mulut dan sistemik yang signifikan, ia juga boleh membebankan dari segi fizikal, emosi dan kewangan. Pencegahan awal dan pendidikan adalah langkah kritikal dalam membendung hal ini.
Rujukan:
1. Yeoh SC. Oral health impacts of vaping. Aust Prescr 2024;47:177-8.https://doi.org/10.18773/austprescr.2024.051
2. Jane Ling MY, Ahmad N, Mohd Yusoff MF, Lim KH (2022) Current e-cigarette use among in-school adolescents in West Malaysia: Examining the interactions between sociodemographic characteristics and lifestyle risk behaviours. PLoS ONE 17(1): e0263355. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0263355
3. National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2022. Institute for Public Health, National Institutes of Health, Ministry of Health Malaysia
4. Driezen, P., Nordin, A. S. A., Hairi, F. M., Yee, A., Tajuddin, N. A. A., Hasan, S. I., Danaee, M., Kamaludin, I. S., Kaai, S. C., Yan, M., Grey, M., Quah, A. C. K., Thompson, M. E., & Fong, G. T. (2022). E-cigarette prevalence among Malaysian adults and types and flavors of e-cigarette products used by cigarette smokers who vape: Findings from the 2020 ITC Malaysia Survey. Tobacco induced diseases, 20, 32. https://doi.org/10.18332/tid/146363
 
     
     
     
    


