23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Tuesday, May 19, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Ancaman Rokok Elektronik Terhadap Kesihatan Mulut

Ancaman Rokok Elektronik Terhadap Kesihatan Mulut

Editor by Editor
19/05/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Prof. Madya Dr. Haslina Rani¹ & Prof. Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom²

¹Pensyarah Kanan dan Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia
²Dekan dan Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia

Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang disambut pada 31 Mei setiap tahun, masyarakat perlu diberi kesedaran bahawa ancaman produk nikotin moden seperti rokok elektronik atau vape tidak boleh dipandang ringan. Walaupun vape sering dipromosikan sebagai alternatif yang “lebih selamat” berbanding rokok konvensional, semakin banyak bukti saintifik menunjukkan bahawa penggunaannya boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan mulut dan tubuh secara keseluruhan. Di sebalik asap berperisa buah-buahan dan reka bentuk moden yang menyerupai alat teknologi, tersembunyi pelbagai risiko kesihatan yang ramai masih tidak sedari.

Sejak diperkenalkan ke pasaran, penggunaan rokok elektronik meningkat dengan sangat ketara terutama dalam kalangan remaja dan dewasa muda. Pelbagai perisa menarik seperti gula-gula, buah-buahan dan pencuci mulut menjadikan vape lebih mudah diterima oleh golongan muda. Tambahan pula, reka bentuknya yang kecil dan moden menyebabkan ia kelihatan lebih “bergaya” dan kurang berbahaya berbanding rokok biasa. Ada juga yang percaya bahawa vape hanya menghasilkan wap air biasa. Hakikatnya, tanggapan tersebut adalah tidak tepat.

Rokok elektronik sebenarnya menghasilkan aerosol hasil pemanasan cecair yang mengandungi nikotin, bahan perisa, propylene glycol dan pelbagai bahan kimia lain. Apabila dipanaskan pada suhu tinggi, bahan-bahan ini boleh terurai menjadi sebatian toksik dan karsinogenik yang berbahaya kepada tubuh. Selain itu, proses pemanasan juga boleh menyebabkan logam berat daripada komponen peranti seperti plumbum dan kromium masuk ke dalam aerosol yang disedut pengguna.

Salah satu kesan awal yang sering dialami oleh pengguna rokok elektronik ialah mulut kering atau xerostomia. Keadaan ini berlaku apabila penghasilan air liur berkurangan akibat kesan nikotin dan bahan kimia tertentu. Air liur memainkan peranan penting sebagai pertahanan semula jadi mulut kerana ia membantu membersihkan sisa makanan, mengawal bakteria dan meneutralkan asid. Apabila mulut menjadi kering, risiko kerosakan gigi, nafas berbau dan jangkitan mulut meningkat dengan ketara. Ada pengguna juga mengalami keadaan dikenali sebagai “vape tongue”, iaitu gangguan deria rasa sehingga makanan terasa hambar atau hilang rasa sepenuhnya.

Penggunaan rokok elektronik juga boleh mengganggu keseimbangan bakteria semula jadi dalam mulut. Kandungan gula dan bahan pemanis dalam cecair vape menjadi sumber makanan kepada bakteria berbahaya. Dalam keadaan terdedah kepada bahan kimia dan haba secara berterusan, bakteria ini membentuk lapisan biofilm yang lebih tebal dan sukar dikawal. Akibatnya, keradangan gusi menjadi lebih mudah berlaku dan risiko penyakit periodontal meningkat. Lebih membimbangkan, perubahan bakteria mulut yang biasanya mengambil masa bertahun-tahun dalam perokok konvensional dilaporkan boleh berlaku dalam tempoh jauh lebih singkat dalam kalangan pengguna vape.

Bagi individu yang memerlukan rawatan pergigian seperti cabutan gigi, pembedahan mulut atau rawatan gusi, penggunaan rokok elektronik juga boleh menjejaskan proses penyembuhan. Nikotin menyebabkan salur darah mengecut dan mengurangkan bekalan oksigen serta nutrien ke tisu mulut. Akibatnya, luka mengambil masa lebih lama untuk sembuh dan risiko pendarahan selepas rawatan meningkat. Dalam sesetengah pemerhatian klinikal, luka kecil dalam mulut yang biasanya sembuh dalam masa beberapa hari boleh mengambil masa sehingga beberapa minggu dalam kalangan pengguna vape.

Walaupun kesan jangka panjang rokok elektronik terhadap kanser mulut masih dalam kajian, tanda-tanda awal kerosakan sel sudah mula dilaporkan. Bahan kimia dalam aerosol rokok elektronik atau vape boleh menyebabkan tekanan oksidatif dan kerosakan DNA pada sel-sel mulut. Kajian makmal menunjukkan pendedahan berterusan kepada bahan tersebut boleh mencetuskan perubahan sel yang berkait dengan perkembangan kanser mulut. Kes kanser mulut dalam kalangan pengguna vape muda juga mula dilaporkan di beberapa negara.

Masyarakat perlu memahami bahawa “kurang berbahaya” tidak bermaksud “selamat”. Vape bukan sekadar wap air yang tidak mendatangkan mudarat. Setiap sedutan mendedahkan mulut kepada campuran bahan kimia panas yang boleh merosakkan gigi, gusi dan tisu mulut. Dalam era di mana rokok elektronik atau vape dipromosikan secara agresif melalui media sosial dan budaya popular, pendidikan kesihatan menjadi semakin penting agar masyarakat, khususnya golongan muda, tidak terperangkap dengan persepsi palsu tentang keselamatan rokok elektronik.

Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia, marilah kita bersama-sama mengambil langkah lebih bijak untuk melindungi diri dan generasi muda daripada bahaya nikotin dalam apa jua bentuk.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: bahaya vapefakulti pergigianHaslina Raniisu vapekerosakan DNApengguna vapePenyakit Periodontalpropylene glycolRokok ElektronikTekanan oksidatifTuti Ningseh Mohd DomUniversiti Kebangsaan Malaysiavape
ShareTweetShare
Previous Post

Misi Inovasi: Tiada Yang Mustahil Membentuk Generasi Inovatif Melalui Pendekatan STEM Hands-on

Editor

Editor

Related Posts

Misi Inovasi: Tiada Yang Mustahil Membentuk Generasi Inovatif Melalui Pendekatan STEM Hands-on
Berita & Peristiwa

Misi Inovasi: Tiada Yang Mustahil Membentuk Generasi Inovatif Melalui Pendekatan STEM Hands-on

13 hours ago
Adakah Oklusi Gigi Orang Asli Sama Dengan Kita?  Menyingkap Rahsia Evolusi, dan Transisi
Berita & Peristiwa

Adakah Oklusi Gigi Orang Asli Sama Dengan Kita? Menyingkap Rahsia Evolusi, dan Transisi

1 day ago
Penaakulan Sebab-Musabab: Enjin Teknologi Pintar Masa Hadapan
Berita & Peristiwa

Penaakulan Sebab-Musabab: Enjin Teknologi Pintar Masa Hadapan

2 days ago
Memupuk Minat STEM UiTM Bukit Besi Terengganu dan Yayasan Mr. D.I.Y. Santuni Komuniti Bukit Besi
Alam Semulajadi

Memupuk Minat STEM UiTM Bukit Besi Terengganu dan Yayasan Mr. D.I.Y. Santuni Komuniti Bukit Besi

2 days ago

Kategori Produk

  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In