Penulis: Dr. Muhamad Syahrul Fitri bin Zawawi
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP),
Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM)
Di dewan bersalin, secara kebiasaannya selaput uri atau ketuban yang melindungi bayi sepanjang kehamilan di dalam rahim diuruskan sebagai ‘sisa’ klinikal sebaik sahaja proses kelahiran tamat. Masyarakat Islam secara umumnya menanam atau mengebumikan keseluruhan uri tersebut selepas dikeluarkan bersama bayi yang dilahirkan.
Namun, revolusi perubatan regeneratif masa kini menemukan keajaiban pada selaput uri. Bahagian paling dalam pada selaput pelindung janin ini, yang dikenali secara saintifik sebagai membran amnion didapati mempunyai potensi membantu penyembuhan yang luar biasa. Daripada sekadar bahan buangan biologi, kepingan selaput nipis ini kini menjadi salah satu biobahan (biomaterial) yang sangat berharga kerana mampu memulihkan tisu rosak dan merawat kecederaan kritikal (Fenelon et al., 2021).
Apa sebenarnya Membran Amnion?
Dari sudut anatomi, membran amnion merupakan lapisan yang paling dalam pada selaput uri/ketuban (fetal membrane) yang menyeliputi janin sepanjang tempoh kehamilan di dalam rahim. Ia berfungsi sebagai kantung utama yang menakung cecair ketuban, bertindak umpama kusyen pelindung yang menyerap hentakan dan melindungi bayi daripada kecederaan fizikal.
Melalui mata kasar kita, amnion ini hanya terlihat seperti sekeping selaput nipis yang telus cahaya. Sebenarnya pemerhatian secara mikroskopik telah mendedahkan strukturnya yang sangat kompleks.

Amnion terdiri daripada lima lapisan biologi yang tersusun rapi bermula daripada lapisan epitelium, membran besmen, lapisan padat, lapisan fibroblas, sehinggalah ke lapisan span. Membran ini terhasil secara semula jadi serentak dengan pembentukan janin, menjadikannya satu tisu biologi unik yang keluar bersama bayi melalui proses kelahiran.
Mengapa Membran Amnion ini begitu Istimewa?
Dalam dunia perubatan, membran amnion ibarat ‘penampal atau plaster biologi’ semula jadi yang mempunyai pelbagai aplikasi klinikal. Keistimewaannya disumbangkan oleh ciri-ciri fizikal dan biologinya yang sangat berguna, sepertimana berikut:
i- Sifat Imunologi Istimewa (tiada penolakan tisu)
Amnion adalah selaput yang sangat nipis. Uniknya, ia tidak mempunyai sebarang saluran darah atau saraf. Ciri ini menjadikannya tisu yang immune-privileged atau kurang mencetuskan tindak balas imun. Ini memberi maksud bahawa apabila ia dipindahkan atau ditampal pada pesakit lain, sistem imun tubuh penerima tidak akan menolaknya sebagai bendasing. Ia boleh digunakan tanpa memerlukan proses pemadanan jenis darah atau tisu yang rumit.
ii- Merawat Luka Lecuran Teruk
Bagi pesakit yang mengalami kecederaan lecuran tahap teruk atau ulser kulit kronik yang sukar sembuh (seperti ulser diabetes), membran amnion digunakan sebagai pembalut luka biologi (Gharib et al., 2013). Ia bertindak menutupi dan melindungi hujung saraf yang terdedah, lantas memberikan kelegaan kesakitan di samping membantu proses pembentukan kulit baharu (Gharib et al., 2013).
iii- Perawatan Mata dan Penglihatan
Membran amnion ini terbukti sangat berkesan dalam merawat ulser mata dan kecederaan akibat bahan kimia. Pakar oftalmologi menggunakannya dalam pembedahan bagi membolehkan kornea mata yang rosak menjadi sembuh tanpa pembentukan parut tebal yang boleh mengakibatkan buta (Chua et al., 2020; Prabhasawat et al., 1997).
iv- Kuasa Penyembuhan Semula Jadi
Tisu amnion kaya dengan protein struktur seperti kolagen dan pelbagai faktor pertumbuhan (growth factors) yang merangsang pembiakan sel sihat pada kadar yang pantas (Grzywocz et al., 2014; Jin et al., 2016). Ia juga terbukti mempunyai ciri antiparut (Lee et al., 2000), sifat antiradang untuk merawat bengkak (Hao et al., 2000), serta peptida antimikrobiologi semula jadi yang bertindak sebagai perisai menghalang jangkitan bakteria (Azman et al., 2021; King et al., 2007).
Prosedur Perolehan Tisu: Selamat, Beretika dan Terpelihara
Bagi merealisasikan potensi perubatan ini, institusi kesihatan tempatan di Malaysia seperti Bank Tisu Universiti Sains Malaysia menjalankan proses perolehan tisu amnion dengan piawaian dan garis panduan etika klinikal yang sangat teliti. Pendermaan tisu ini dilakukan seratus peratus atas dasar sukarela bagi tujuan kepentingan awam serta kelangsungan penyelidikan perubatan.
Ibu-ibu yang menderma tidak perlu risau kerana prosedur perolehan selaput uri ini sama sekali tidak mendatangkan sebarang risiko, kesakitan, atau komplikasi tambahan semasa proses bersalin. Proses ini dimulakan dengan sesi penerangan yang telus, di mana setiap ibu diberikan maklumat yang jelas mengenai prosedur dan diberikan masa secukupnya untuk membuat pertimbangan. Persetujuan kemudiannya akan direkodkan melalui borang keizinan bermaklumat.
Demi memastikan kualiti tisu berada pada tahap optimum dan selamat untuk pesakit lain, pihak hospital menjalankan saringan ujian darah merangkumi ujian HIV, Hepatitis B dan C, serta sifilis, terhadap ibu hamil yang ingin mendermakan amnion, dan semua ujian ini diulangi semula selepas enam bulan. Identiti penderma dijamin rahsia.
Pengambilan tisu hanya dilakukan selepas bayi dilahirkan dengan selamat di mana uri telah pun keluar. Selepas lapisan nipis membran amnion dipisahkan daripada uri, uri tersebut dipulangkan semula kepada ibu tersebut atau pihak keluarga supaya ia dapat diuruskan mengikut amalan, kepercayaan dan agama masing-masing. Justeru ini membuktikan prosedur ini dlakukan dengan penuh hormat dari sudut budaya dan sensitiviti masyarakat Malaysia.
Perkembangan keupayaan teknologi perubatan telah menemui ‘keajaiban’ pada amnion yang dahulunya dianggap sisa proses kelahiran. Lapisan amnion dalam selaput uri yang pernah melindungi bayi di dalam rahim yang kemudiannya dilupuskan selepas kelahiran, kini digunakan untuk menjadi pelindung dan penyembuh kepada pesakit lain yang menderita kesakitan. Melalui kefahaman masyarakat tentang aplikasi klinikal tisu ini serta sokongan terhadap prosedur pendermaannya, kita sebenarnya sedang berkongsi sinar harapan baharu, sekaligus mengangkat martabat perubatan regeneratif negara ke tahap yang lebih tinggi.
Mengenai Penulis
Dr. Muhamad Syahrul Fitri bin Zawawi juga dikenali dengan nama pena, Dr. Syahr Musafir, merupakan seorang Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan pengurus kualiti di Bank Tisu USM.
Rujukan:
- Azman, N. H., et al. (2021). Antibacterial analysis of human amniotic membrane against oral pathogens: Streptococcus mutans and Enterococcus faecalis. Journal of Health Sciences and Medical Research, 39(2), 115–123.
- Chua, K. T., et al. (2020). Clinical outcomes of amniotic membrane transplantation in ocular surface reconstruction: A local center experience. Malaysian Journal of Medical Sciences, 27(4), 88–97.
- Fenelon, M., Etchebarne, M., & Fricain, J. C. (2021). Use of amniotic membrane and its derived products for bone regeneration: A systematic review. Frontiers in Bioengineering and Biotechnology, 9, 661332.
- Gharib, M., et al. (2013). Biological dressings in burn management: The role of preserved human amniotic membrane. Burns, 39(6), 1102–1109.
- Grzywocz, Z., et al. (2014). Growth factors and their receptors derived from human amniotic cells in vitro. Folia Histochemica et Cytobiologica, 52(3), 163–170.
- Hao, Y., et al. (2000). Identification of antiangiogenic and antiinflammatory proteins in human amniotic membrane. Cornea, 19(3), 348–352.
- Hospital Universiti Sains Malaysia. (2020). Keizinan Bermaklumat Bagi Prosedur Pendermaan Tisu (RP408/09/20). Kubang Kerian, Kelantan.
- Jin, E., et al. (2016). Amniotic epithelial cells promote wound healing through high epithelialization and engraftment. Journal of Tissue Engineering and Regenerative Medicine, 10(7), 613–622.
- King, A. E., et al. (2007). Expression of natural antimicrobials by human placenta and fetal membranes. Placenta, 28(2-3), 161–169.
- Lee, S. B., et al. (2000). Suppression of TGF-beta signaling in conjunctival fibroblasts by amniotic membrane. Current Eye Research, 20(4), 325–334.
- Prabhasawat, P., et al. (1997). Comparison of conjunctival autografts and amniotic membrane grafts for pterygium excision. Ophthalmology, 104(6), 974–985.
Nota kaki- Imej janaan AI diletakkan sebagai paparan utama artikel



