Penulis: Dr. Norhaslina Mohd Rokemi
Pakar Pergigian Patologi Mulut & Perubatan Mulut
Klinik Pakar Pergigian Perubatan Mulut & Patologi Mulut
Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia
Pernahkah anda melihat garisan putih halus seperti renda pada bahagian dalam pipi, lidah atau gusi? Ia mungkin tidak sakit, tidak berdarah dan mungkin telah berada di situ selama berbulan-bulan. Namun, perubahan seperti ini boleh menjadi salah satu gambaran liken planus mulut atau “oral lichen planus” (OLP), iaitu penyakit keradangan kronik yang melibatkan mukosa mulut.
Apakah itu liken planus mulut?
Liken planus mulut ialah penyakit keradangan kronik yang dimediasi oleh sistem imun. Sel T memainkan peranan penting dalam proses keradangan yang melibatkan epitelium mukosa mulut. Walaupun mekanisme liken planus mulut telah dikaji secara meluas, punca sebenar penyakit ini masih belum difahami sepenuhnya. Jika faktor pencetus tertentu dapat dikenal pasti, seperti tindak balas terhadap ubat-ubatan, produk pergigian (contohnya ubat gigi atau ubat kumur) atau bahan tampalan, dan tindak balas tersebut berkaitan dengan hipersensitiviti sentuhan, keadaan ini boleh dikategorikan sebagai Lesi Likenoid Oral (Oral Lichenoid Lesion, OLL), bukannya OLP. Namun, OLP dan OLL boleh mempunyai gambaran klinikal yang hampir sama, menyebabkan kedua-dua keadaan ini kadangkala sukar dibezakan.
Bagaimana rupa OLP?
Liken planus mulut mempunyai pelbagai manifestasi klinikal. Bentuk yang paling klasik ialah garisan putih halus seperti corak renda yang dikenali sebagai bentuk reticular. Namun, OLP juga boleh hadir sebagai kawasan putih berbentuk plak, kawasan mukosa yang merah dan nipis, hakisan atau ulser. Sesetengah pesakit juga mempunyai lebih daripada satu bentuk lesi pada masa yang sama.

Mengapa ada pesakit yang sakit dan ada yang tidak?
Tidak semua OLP menyebabkan simptom. Lesi reticular yang hanya menunjukkan garisan putih mungkin tidak menyebabkan sebarang ketidakselesaan atau kesakitan. Sebaliknya, bentuk erosif dan atrofik boleh menyebabkan rasa pedih atau sakit, terutama ketika makan makanan pedas atau panas. Dalam kes yang lebih teruk, simptom boleh menjejaskan pemakanan dan kualiti hidup pesakit.
Siapakah yang lebih kerap mengalami Oral Lichen Planus?
Liken planus mulut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tetapi kajian epidemiologi menunjukkan bahawa penyakit ini lebih kerap dilaporkan dalam kalangan perempuan dan orang dewasa, khususnya mereka yang berusia 40 tahun ke atas. Data tempatan daripada satu kajian di Kelantan turut menunjukkan lebih ramai pesakit OLP dalam kalangan perempuan dalam sampel kajian tersebut.
Persoalan yang paling penting: Bolehkah liken planus mulut menjadi kanser mulut?
Inilah persoalan yang sering menimbulkan kebimbangan. Liken planus mulut dikategorikan sebagai “Oral potentially malignant disorder”. Terdapat risiko transformasi malignan, tetapi risikonya adalah rendah dan tidak bermaksud setiap pesakit akan mendapat kanser mulut. Satu systematic review dan meta-analysis yang diterbitkan pada tahun 2024 menganggarkan kadar transformasi malignan terkumpul bagi OLP ialah 1.43%. Kajian tersebut juga mendapati beberapa faktor dikaitkan dengan risiko transformasi malignan yang lebih tinggi, termasuk epithelial dysplasia, lokasi pada lidah, lesi atrofik atau erosif, serta penggunaan tembakau dan alkohol.
Liken planus mulut merupakan keadaan yang mempunyai potensi transformasi malignan yang kecil tetapi perlu dipantau secara berkala.
Mengapa diagnosis yang tepat sangat penting?
Tidak semua tompok putih atau kawasan merah dalam mulut merupakan liken planus. Pelbagai keadaan lain boleh menyerupai liken planus. Perbezaan antara liken planus mulut dan keadaan yang menyerupainya juga penting ketika menilai risiko transformasi malignan. Walaupun liken planus mulut mempunyai ciri-ciri klinikal yang khusus, diagnosis OLP tidak sepatutnya dibuat hanya berdasarkan rupa lesi. Pemeriksaan histopatologi amat penting untuk membantu mengesahkan diagnosis dan memberikan gambaran yang lebih lengkap.
Konsensus terkini mengenai diagnosis dan pengurusan liken planus mulut menekankan pendekatan klinikopatologi dengan pemeriksaan histopatologi bagi kes yang disyaki liken planus mulut, khususnya apabila ciri klinikal tidak tipikal atau terdapat kebimbangan terhadap perubahan displastik atau malignan.
Adakah liken planus mulut boleh sembuh?
Lazimnya, penyakit ini merupakan keadaan kronik dan boleh mengalami tempoh bertambah baik sebelum berulang semula. Rawatan adalah berdasarkan simptom pesakit dan bertujuan untuk mengawal keradangan serta mengurangkan kesakitan. Rawatan bergantung kepada jenis, keterukan dan simptom pesakit. Kortikosteroid topikal kekal sebagai antara rawatan utama bagi pesakit yang mempunyai gejala. Matlamat rawatan adalah untuk mengawal keradangan, mengurangkan rasa sakit dan meningkatkan kualiti hidup. Namun, rawatan sahaja tidak mencukupi. Pemantauan jangka panjang tetap penting.
Jadi, adakah pesakit perlu takut?
Tidak. Pesakit yang mempunyai liken planus mulut tidak seharusnya hidup dalam ketakutan bahawa mereka akan mendapat kanser. Risiko transformasi malignan adalah rendah, tetapi bukan sifar. Sebaliknya, mereka perlu memahami bahawa liken planus mulut ialah keadaan kronik yang memerlukan diagnosis yang tepat, rawatan yang sesuai dan pemantauan berterusan.
Perubahan seperti:
- ulser yang tidak sembuh;
- perubahan pada rupa atau saiz lesi;
- kawasan yang menjadi semakin keras;
- pertumbuhan baharu;
- pendarahan yang tidak dapat dijelaskan.
perlu dinilai oleh doktor gigi atau pakar. Pemeriksaan berkala memberikan peluang untuk mengenal pasti perubahan yang mencurigakan pada peringkat lebih awal.
Lima perkara penting tentang liken planus mulut
- Liken planus mulut ialah penyakit keradangan kronik yang berkaitan dengan tindak balas sistem imun.
- Ia boleh kelihatan sebagai garisan putih, plak, kemerahan, hakisan atau ulser.
- Tidak semua pesakit mengalami sakit atau gejala.
- Risiko transformasi malignan adalah rendah tetapi bukan sifar.
- Diagnosis yang tepat dan pemantauan jangka panjang adalah penting.
Liken planus mulut ialah penyakit kronik yang boleh dirawat dan dikawal. Pengesanan serta diagnosis yang tepat adalah penting bagi membolehkan rawatan yang sesuai diberikan dan pesakit dipantau secara berkala. Namun, liken planus mulut masih mempunyai banyak persoalan yang belum terjawab. Mengapa sesetengah pesakit mengalami penyakit yang ringan manakala yang lain mengalami lesi erosif yang menyakitkan? Mengapa hanya sebahagian kecil pesakit mengalami perubahan malignan? Bagaimanakah kita boleh mengenal pasti pesakit yang mempunyai risiko lebih tinggi dengan lebih tepat? Persoalan-persoalan ini masih menjadi subjek penyelidikan.
Rujukan
[1] Nukaly HY, Halawani IR, Alghamdi SMS, et al. Oral Lichen Planus: A Narrative Review Navigating Etiologies, Clinical Manifestations, Diagnostics, and Therapeutic Approaches. J Clin Med. 2024;13(17):5280. doi:10.3390/jcm13175280.
[2] Akbari E, Epstein JB, Samim F. The Importance of Recognition and Management of Oral Lichen Planus: Navigating Epidemiology, Pathogenesis, Cancer Risk, and Advances in Management. Head Neck. 2025;47(11):3172–3184. doi:10.1002/hed.70012.
[3] Shenoy P, Prabhu R, Babu A, et al. INdian Consensus on Diagnosis and Management of ORal Lichen Planus (INCORP)-Part I. Oral Dis. 2026. doi:10.1111/odi.70254.
[4] González-Moles MA, Ramos-García P. An Evidence-Based Update on the Potential for Malignancy of Oral Lichen Planus and Related Conditions: A Systematic Review and Meta-Analysis. Cancers. 2024;16(3):608. doi:10.3390/cancers16030608.
[5] Ramli R, Tng Mohd Salleh NK, Tham YW, Ghani N, Harun MH, Nik Mohd Alwi NA. Oral Mucosal Lesions in Kelantanese subpopulation: A One-Year Data Review. Asian J Med Biomed. 2021;5(1):25–32. doi:10.37231/ajmb.2021.5.1.390.



