Saturday, October 31, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Kelapa Sawit: Menilai Nilai Sebenar kepada Ekonomi, Masyarakat, dan Alam Sekitar

Kelapa Sawit: Menilai Nilai Sebenar kepada Ekonomi, Masyarakat, dan Alam Sekitar

Editor by Editor
31/10/2026
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa
0 0
0

Oleh: Prof. Madya Dr. Mahirah Kamaludin“ & Farah Hannani Ahmad Perdous²
¹Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi & Pembangunan Sosial,
Universiti Malaysia Terengganu
²Pensyarah,
UiTM Cawangan Pahang (Kampus Raub)

Apabila menyebut kelapa sawit, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah minyak masak, ladang yang luas menghijau, atau sumbangannya kepada ekonomi Malaysia. Industri sawit dilaporkan menyumbang sekitar 2.9% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada tahun 2024 (Kementerian Perladangan dan Komoditi, 2025). Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia. Kelapa sawit digunakan dalam pelbagai produk harian dan menjadi sumber pendapatan kepada pekebun kecil, pekerja ladang, pengusaha kilang serta perniagaan tempatan.

Namun, pernahkah kita terfikir, adakah harga minyak sawit di pasaran benar-benar menggambarkan keseluruhan nilai kelapa sawit kepada negara dan masyarakat? Persoalan ini membawa kita kepada satu konsep penting dalam ekonomi sumber alam, iaitu Jumlah Nilai Ekonomi atau Total Economic Value (TEV). Secara mudah, TEV membantu memahami bahawa nilai sesuatu sumber tidak semestinya terhad kepada wang yang diperoleh melalui jual beli. Nilainya juga boleh merangkumi manfaat yang lebih luas, termasuk fungsi alam sekitar, peluang untuk masa hadapan dan kesejahteraan masyarakat.

Kelapa Sawit bukan sekadar Komoditi

Bayangkan sebuah keluarga pekebun kecil yang mengusahakan kebun kelapa sawit. Hasil jualan buah tandan segar digunakan untuk membeli makanan, membayar persekolahan anak-anak dan menampung perbelanjaan harian. Pada masa yang sama, aktiviti di kebun mewujudkan permintaan terhadap tenaga kerja, pengangkutan, dan perkhidmatan lain.

Daripada satu kebun, kita dapat melihat bagaimana kegiatan ekonomi ini melibatkan pelbagai pihak. Faedahnya bukan sekadar diterima oleh pemilik kebun, malah turut mengalir kepada pekerja, pembekal, dan komuniti setempat. Namun, pengeluaran kelapa sawit turut melibatkan kos. Pekebun perlu menanggung perbelanjaan input, upah pekerja, dan penyelenggaraan kebun. Pada peringkat yang lebih besar, perubahan guna tanah dan pengurusan ladang yang tidak sesuai boleh membawa kesan terhadap biodiversiti, tanah, dan ekosistem. Oleh itu, bagi memahami nilai sebenar kelapa sawit, kita perlu melihat manfaat dan kosnya secara menyeluruh.

Rajah 1. Kepelbagaian jenis kelapa sawit

Memahami Nilai Ekonomi

Dalam ekonomi sumber alam, TEV merangkumi beberapa komponen seperti nilai gunaan langsung, nilai gunaan tidak langsung, nilai pilihan, dan nilai bukan gunaan.

Pertama, nilai gunaan langsung: manfaat yang dapat diperoleh secara langsung

Nilai ini yang paling mudah difahami kerana melibatkan penggunaan sumber secara langsung. Contohnya seperti pengeluaran buah tandan segar, minyak sawit, marjerin, dan produk hiliran, serta pendapatan dan peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh aktiviti pengeluaran dan pemprosesan.

Nilai ini biasanya boleh dianggarkan menggunakan harga pasaran dan jumlah pengeluaran. Namun, hasil jualan sahaja tidak sama dengan keuntungan bersih kerana kos pengeluaran perlu ditolak.

Kedua, nilai gunaan tidak langsung: manfaat yang tidak semestinya mempunyai harga pasaran

Alam sekitar menyediakan pelbagai fungsi yang menyokong kehidupan manusia. Tumbuhan menyerap karbon dioksida, manakala pengurusan tanah dan tumbuhan penutup bumi yang bersesuaian boleh membantu mengurangkan hakisan.

Dalam konteks kelapa sawit, manfaat tersebut bergantung pada keadaan ladang dan cara pengurusannya. Kita tidak boleh menganggap semua ladang memberikan manfaat ekologi yang sama. Ladang kelapa sawit juga tidak boleh dianggap sebagai pengganti kepada hutan semula jadi, yang mempunyai kepelbagaian spesies dan fungsi ekologi tersendiri.

Jika pembukaan ladang melibatkan penebangan hutan semula jadi, kehilangan habitat, biodiversiti dan simpanan karbon perlu dipertimbangkan dalam penilaian ekonomi.

Ketiga, nilai pilihan: peluang yang boleh dimanfaatkan pada masa hadapan.

Nilai pilihan ialah manfaat daripada mengekalkan peluang penggunaan sumber pada masa hadapan. Bagi industri kelapa sawit, penyelidikan dan inovasi berpotensi menghasilkan produk baharu, penggunaan bahan sampingan, dan teknologi pemprosesan yang lebih cekap.

Contohnya, bahan sampingan daripada pemprosesan kelapa sawit berpotensi dimanfaatkan untuk menghasilkan tenaga atau produk lain. Jika diurus dengan baik dan berdaya maju, pendekatan ini boleh membantu meningkatkan penggunaan sumber dan mengurangkan pembaziran.

Namun, potensi tersebut perlu dinilai berdasarkan teknologi, kos dan permintaan sebenar. Tidak semua inovasi semestinya memberikan keuntungan atau manfaat alam sekitar secara automatik.

Keempat, nilai bukan gunaan: nilai yang tidak bergantung pada penggunaan secara langsung

Ada kalanya, manusia menghargai kewujudan alam semula jadi walaupun mereka tidak memperoleh manfaat secara langsung daripadanya. Sebagai contoh, seseorang mungkin mahu hutan semula jadi dan habitat hidupan liar terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Dalam konteks industri kelapa sawit, nilai bukan gunaan ini lebih sesuai dikaitkan dengan pemeliharaan hutan, biodiversiti, dan ekosistem yang mungkin terjejas oleh perubahan guna tanah. Nilai tersebut perlu dibezakan daripada nilai ekonomi hasil tanaman itu sendiri.

Keempat-empat komponen ini menunjukkan bahawa penilaian ekonomi yang menyeluruh memerlukan kita melihat lebih jauh daripada harga pasaran semata-mata.

Bagaimana pula dengan Pekebun Kecil?

Satu aspek penting yang tidak boleh dipisahkan daripada nilai ekonomi kelapa sawit ialah kesejahteraan pekebun kecil. Kajian mengenai kesediaan pekebun kecil Malaysia mengamalkan pengeluaran kelapa sawit lestari menunjukkan bahawa keupayaan mereka tidak hanya bergantung pada kesanggupan untuk berubah. Faktor seperti kos pensijilan, status pemilikan tanah, akses kepada pembiayaan dan sokongan teknikal turut mempengaruhi keupayaan mereka memenuhi keperluan kelestarian.

Pekebun kecil yang mempunyai sumber kewangan terhad mungkin menghadapi kesukaran menanggung kos untuk memperbaik amalan pertanian atau memenuhi keperluan pensijilan seperti Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO). Pada masa yang sama, pekebun perlu memastikan kebun terus menghasilkan pendapatan bagi menyara keluarga.

Rajah 2. Penulis semasa menghadiri sesi taklimat mengenai kepentingan pensijilan MSPO bersama pekebun kecil

Bagaimana kita boleh menggalakkan amalan pertanian yang lebih lestari tanpa membebankan pekebun kecil secara tidak seimbang? Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah bantuan kewangan bersasar, latihan praktikal, khidmat pengembangan pertanian dan kerjasama melalui kumpulan pekebun kecil. Usaha memperjelas status pemilikan tanah juga boleh membantu mereka mendapatkan akses kepada program sokongan yang bersesuaian.

Rajah 3. Sesi temu bual bersama pekebun kecil tentang kesedaran terhadap pensijilan MSPO

Kajian mengenai cabaran sosial pekebun kecil turut menekankan bahawa kepercayaan terhadap institusi, organisasi komuniti dan keadaan sosioekonomi mempengaruhi pelaksanaan amalan lestari. Oleh itu, dasar yang berkesan perlu mengambil kira keadaan sebenar pekebun kecil, bukan hanya menetapkan sasaran pengeluaran atau pematuhan.

Mengapa Kos Alam Sekitar perlu diambil kira?

Sesuatu kegiatan ekonomi boleh menghasilkan pendapatan kepada pengusaha, tetapi pada masa yang sama menimbulkan kos kepada pihak lain. Dalam ekonomi, keadaan ini dikenali sebagai eksternaliti atau kesan luaran. Contohnya, jika pengurusan ladang menyebabkan pencemaran air, masyarakat di kawasan berhampiran akan menanggung kos rawatan air atau kehilangan manfaat daripada sumber air yang bersih. Tetapi kos ini tidak termasuk dalam harga jualan minyak sawit.

Begitu juga, apabila pembangunan ladang menyebabkan kehilangan habitat semula jadi, kesannya bukan hanya dirasai oleh pemilik tanah, malah boleh melibatkan masyarakat dan generasi akan datang.

Konsep TEV membantu kita memahami mengapa manfaat ekonomi perlu dinilai bersama kesan sosial dan alam sekitar. Namun, TEV bukan bermaksud semua perkara perlu diberikan harga wang secara paksa. Sesetengah nilai sukar diukur dengan tepat, dan hasil penilaian perlu mengambil kira ketidakpastian serta mengelakkan pengiraan berganda terhadap manfaat yang bertindih.

Menuju Industri Kelapa Sawit yang Lebih Bernilai dan Lestari

Kelapa sawit mempunyai peranan ekonomi yang penting kepada Malaysia. Namun, kejayaan industri ini tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pengeluaran atau nilai eksport sahaja. Kita juga perlu tahu sejauh manakah manfaat ekonomi sampai kepada pekebun kecil dan komuniti luar bandar? Adakah amalan pengeluaran yang digunakan membantu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar? Adakah pekebun kecil mempunyai akses kepada pembiayaan, latihan dan teknologi yang diperlukan untuk mengamalkan pengeluaran lestari?

Pensijilan seperti MSPO boleh menjadi salah satu instrumen untuk menggalakkan pengurusan yang lebih bertanggungjawab. Namun, keberkesanannya turut bergantung kepada pelaksanaan, pemantauan, dan sokongan yang membolehkan pekebun kecil memenuhi keperluan yang ditetapkan.

Konsep Jumlah Nilai Ekonomi mengajak kita menilai kelapa sawit bukan sahaja berdasarkan hasil jualan, tetapi juga manfaat kepada masyarakat dan kesannya terhadap alam sekitar. Nilai sebenar industri ini bergantung pada keupayaannya mengekalkan manfaat ekonomi tanpa mengorbankan kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar untuk generasi akan datang.

Inilah asas kepada pembangunan industri kelapa sawit yang bukan sahaja produktif, tetapi juga inklusif dan lestari.

Rujukan

Ahmad Perdous, F. H., Kamaludin, M., Hassan, S., Hamidi, H. N. A., & Abd Aziz, A. (2026). Oil Palm Smallholders’ Readiness for Sustainable Practices: Barriers, Enablers, and Policy Implications. Journal of Sustainability Science and Management, 21(7), 1597–1611. https://doi.org/10.46754/jssm.2026.07.011

Ahmad Perdous, F. H., Kamaludin, M., Abd Aziz, A. A., Hamidi, H. N. A., & Hassan, S. (2026). Social Challenges to Sustainability Adoption Among Independent Oil Palm Smallholders: A Systematic Review.

Kementerian Perladangan dan Komoditi. (2025). Bahagian III:Cabaran industri sawit di Malaysia. Parlimen Malaysia. https://parlimen.gov.my/ipms/eps/2025-12-03/DR.38.2025%20-%20DR38.2025.pdf


Biodata Penulis

Prof. Madya Dr. Mahirah Kamaludin merupakan Profesor Madya di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dengan kepakaran dalam bidang ekonomi sumber alam dan ekonomi alam sekitar. Penyelidikan beliau merangkumi penilaian ekonomi, kelestarian, tenaga boleh baharu serta pengurusan hutan dan ekosistem, dengan menggunakan kaedah seperti Choice Experiment dan Contingent Valuation method.

Farah Hannani Ahmad Perdous merupakan penyelidik dalam bidang kelestarian pertanian dengan tumpuan kepada cabaran yang dihadapi oleh pekebun kecil kelapa sawit untuk mengamalkan amalan pengeluaran lestari. Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Raub, Pahang.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Ekonomi dan Pembangunan SosialFakulti PerniagaanFarah Hannani Ahmad Perdouskelapa sawitNilai ekonomi kelapa sawitProf. Madya Dr. Mahirah KamaludinUMTUniversiti Malaysia Terengganu (UMT)
Previous Post

Fungsi Cecair Otak di sebalik Kesihatan Minda

Next Post

Bukan Sekadar Bakteria: Dunia Protozoa di Sebalik Senyuman Kita

Editor

Editor

Related Posts

Prinsip Koheren: Asas Menangani Maklumat Palsu
Berita & Peristiwa

Prinsip Koheren: Asas Menangani Maklumat Palsu

60 minutes ago
Bukan Sekadar Bakteria: Dunia Protozoa di Sebalik Senyuman Kita
Alam Semulajadi

Bukan Sekadar Bakteria: Dunia Protozoa di Sebalik Senyuman Kita

1 hour ago
Fungsi Cecair Otak di sebalik Kesihatan Minda
Berita & Peristiwa

Fungsi Cecair Otak di sebalik Kesihatan Minda

2 hours ago
Daripada Formulasi kepada Fungsi: Bagaimana Protein Tumbuhan Menjadi Sebahagian daripada Makanan Harian
Alam Semulajadi

Daripada Formulasi kepada Fungsi: Bagaimana Protein Tumbuhan Menjadi Sebahagian daripada Makanan Harian

2 hours ago
Next Post
Bukan Sekadar Bakteria: Dunia Protozoa di Sebalik Senyuman Kita

Bukan Sekadar Bakteria: Dunia Protozoa di Sebalik Senyuman Kita

Kategori Produk

  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In