Penulis: Prof. Madya Dr. Nurulkamal Masseran
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia
Pada masa kini, kita hidup dalam zaman yang mana maklumat dan berita boleh tersebar dengan sangat pantas. Terutama menerusi pelantar digital dan media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, Threads, TikTok, YouTube dan lain-lain. Setiap hari kita akan menerima longgokan mesej, gambar, laporan, berita, data-data, dan video-video yang sebahagian besarnya agak sukar untuk kita tentukan sama ada ianya adalah maklumat benar ataupun palsu. Ini kerana, maklumat yang palsu seringkali bersembunyi disebalik “topeng kebenaran” yang sukar untuk dikesan jika ianya tidak diteliti dengan baik. Sebagai contoh, maklumat yang kita terima mungkin hanyalah separa benar dengan maklumat palsu akan diselitkan bersama kebenaran untuk menjadikannya nampak meyakinkan. Selain daripada itu, maklumat yang kita terima juga mungkin diolah di luar konteks kebenaran dengan tokok tambah yang mempunyai hasrat tersirat. Malah, yang lebih teruk adalah, ada juga maklumat dan berita yang sengaja direka-reka bagi tujuan untuk memperdaya ataupun memperbodohkan masyarakat. Umumnya, maklumat atau berita palsu sebegini akan disebarkan bersama dengan gambar-gambar yang nampak meyakinkan, petikan ayat-ayat dengan menggunakan nama individu yang popular dan berpengaruh, penggunaan bahasa dan hujah-hujah yang kelihatan bersaintifik ataupun mengandungi unsur agama, video-video yang menyentuh emosi, dan pelbagai teknik-teknik licik yang lain.
Dalam mendepani cabaran longgokan maklumat ini, UNESCO (2024) telah menekankan peranan kerajaan di semua negara untuk meningkatkan literasi media dan maklumat dikalangan rakyat terutama berkaitan keupayaan untuk menilai sumber, memahami kandungan serta kemampuan untuk membuat semakan fakta. Selari dengan itu, kita sebagai individu juga perlu berusaha membangunkan cara berfikir yang kritis untuk membolehkan kita untuk membezakan antara berita benar dan berita palsu. Ini berkait rapat dengan kemampuan kita untuk menilai sama ada sesuatu dakwaan itu munasabah, mempunyai bukti yang mencukupi dan juga adakah ianya adalah selaras dengan maklumat lain yang boleh dipercayai. Dalam penulisan ini, kita akan membincangkan bagaimana prinsip koheren dalam statistik boleh digunakan sebagai asas panduan untuk kita lebih cakna dalam penelitian sebarang maklumat yang sampai kepada kita.
Prinsip Koheren dalam Statistik
Dalam lensa statistik dan teori kebarangkalian, prinsip koheren merujuk kepada kerangka kerja yang memastikan penentuan nilai kebarangkalian yang dibuat adalah logik, konsisten, dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum asas matematik. Ianya mula dibincangkan oleh ahli matematik dan ahli statistik seperti Frank P. Ramsey dan Bruno de Finetti pada sekitar awal abad ke-20. Idea asalnya adalah bertitik-tolak daripada perdebatan berkenaan sifat sebenar “kebarangkalian”.
Sebelum itu, konsep asal kebarangkalian yang dipegang oleh kebanyakan ahli statistik dan matematik ialah menerusi pendekatan kekerapan dan empirik. Iaitu, kebarangkalian suatu peristiwa perlulah diukur menerusi had kekerapan relatif yang boleh dicerap secara berulang-kali dalam bilangan yang banyak. Namun, kelemahan utama pendekatan ini ialah setiap peristiwa yang diukur mestilah boleh diulang dalam keadaan yang sama untuk mendapatkan ukuran kebarangkalian yang tepat. Syarat ini bukanlah mudah untuk dicapai dalam kebanyakan fenomena dunia nyata. Oleh itu, bagi mengatasi kelemahan ini, Ramsey dan de Finetti telah memperkenalkan pendekatan baharu yang dikenali sebagai kebarangkalian subjektif. Mereka berhujah bahawa kebarangkalian sebenar tidak wujud secara objektif, sebaliknya ianya hanyalah darjah keyakinan subjektif (degree of belief) yang dipegang oleh seseorang individu tentang kemungkinan untuk berlakunya sesuatu peristiwa berdasarkan maklumat yang mereka ada (Nau, 2001) (lihat Rajah 1).

Nota: Imej dihasilkan menggunakan Google Gemini
Walaupun kebarangkalian subjektif membenarkan setiap orang mempunyai pandangan berbeza. Namun, Ramsey dan de Finetti telah membuktikan bahawa pandangan subjektif ini tidaklah boleh ditetapkan secara sembarangan tanpa sebarang kekangan. Ini kerana, setiap manusia yang rasional pasti mempunyai kepercayaan koheren (konsisten dan tidak bercanggah). Fenomena ini telah dijelaskan oleh Ramsey dan de Finetti menerusi senario permainan perjudian dalam Hujah Buku Belanda (Dutch Book Argument). Iaitu, jika sistem kebarangkalian subjektif seseorang melanggar hukum asas matematik, pengambil taruhan (bookie) boleh mengatur satu siri taruhan yang pasti akan membuatkan individu tersebut mengalami kerugian dalam apa jua keadaan sekalipun (lihat Rajah 2). Oleh itu, untuk menjadi rasional, kebarangkalian subjektif setiap individu mestilah mematuhi aksiom matematik kebarangkalian (Vineberg, 2011). Malah, pendekatan kebarangkalian subjektif ini telah menjadi asas penting dalam bidang statistik Bayesan yang banyak digunakan dalam pelbagai aplikasi analisis data pada masa kini.

Nota: Imej dihasilkan menggunakan Gemini Notebook
Statistik bukan Sekadar Angka
Walaupun pada asalnya prinsip koheren dibangunkan menerusi landasan konsep matematik dan kebarangkalian, namun terasnya boleh diadaptasi sebagai panduan untuk melatih minda kita untuk menjadi lebih kritis dalam mendepani era lambakan maklumat pada masa kini Terutama, dalam konteks untuk memahami laporan maklumat berstatistik, amalan prinsip koheren ini menjadi asas yang sangat penting untuk menjamin kesahihan maklumat. Kebanyakan masyarakat umum mungkin beranggapan bahawa statistik hanyalah himpunan angka-angka, jadual ataupun graf. Namun, lebih daripada itu, statistik sebenarnya ialah suatu proses untuk memahami suatu fenomena ataupun permasaalahan berdasarkan data. Oleh itu, setiap angka yang dilaporkan tidak boleh dilihat secara berasingan, sebaliknya perlu difahami bersama-sama dengan petunjuk lain yang berkaitan.
Menggunapakai prinsip koheren tidaklah memerlukan syarat seseorang individu itu perlu menjadi ahli statistik yang hebat terlebih dahulu. Sebaliknya, kita hanya perlu membiasakan diri untuk berfikir secara kritis dan bertanya beberapa soalan mudah apabila menilai suatu maklumat atau membaca laporan statistik. Sebagai contoh:
i- Adakah data-data dalam laporan tersebut saling menyokong?.
ii- Adakah data-data yang dilaporkan boleh dijelaskan secara logik?
iii- Adakah kesimpulan yang dibentangkan adalah selaras dengan data yang dipaparkan?
iv- Adakah terdapat petunjuk lain yang bercanggah dengan dapatan tersebut?
v- Dan lain-lain
Pemikiran kritis dengan soalan-soalan sebegini sedikit sebanyak akan membantu kita mengelakkan salah tafsir dan mengurangkan risiko mempercayai maklumat yang palsu dan mengelirukan. Secara kesimpulannya, prinsip koheren menekankan bahawa sebarang maklumat, dakwaan, bukti, penerangan dan kesimpulan perlulah mempunyai hubungan yang logik dan konsisten. Prinsip ini mengajar kita agar tidak terlalu mudah untuk mempercayai sesuatu maklumat hanya berdasarkan tajuk yang sensasi, kandungan yang bersifat provokatif dan beremosi, perkongsian yang tular, ataupun hanya disebabkan orang yang menyampaikan maklumat tersebut nampak seperti meyakinkan. Bagi memastikan kita tidak mudah dimanipulasi oleh orang lain dengan maklumat yang tidak benar, ingatlah ungkapan, “khabar angin jangan didengar, cakap orang jangan mudah dituruti”.
[ARTIKEL LAIN PENULIS – Kepelbagaian Hubungan Korelasi dalam Data]
[ARTIKEL LAIN PENULIS – EVA: Kerangka Statistik untuk Fenomena Luar jangka]
[ARTIKEL LAIN PENULIS – Legasi Rantai Markov: Dari Perbalahan Akademik ke Teknologi AI]
[ARTIKEL LAIN PENULIS – Penaakulan Sebab-Musabab: Enjin Teknologi Pintar Masa Hadapan]
[ARTIKEL LAIN PENULIS – Peranan Jarak Dalam Memahami Tingkahlaku Data]
[ARTIKEL LAIN PENULIS – Dilema Data Pencil]
[ARTIKEL LAIN PENULIS – Mengapa Taburan Normal Begitu Popular?]
[ARTIKEL LAIN PENULIS- Taburan hukum-kuasa: Ketakseimbangan yang Teratur]
[ARTIKEL LAIN PENULIS – Simulasi Monte Carlo: Merungkai Kerumitan menerusi Kerawakan]
[ARTIKEL LAIN PENULIS- Prinsip Parsimoni: Seni “bersederhana” untuk Mencapai Hasil Optimum]
Rujukan:
Nau, R. F. (2001). De Finetti was right: probability does not exist. Theory and Decision, 51(2), 89-124.
UNESCO. (2024) Media and information literacy: Policy and strategy guidelines. Available at: https://www.unesco.org/en/articles/media-and-information-literacy
Vineberg, S. (2011). Dutch book arguments. Available at: https://plato.stanford.edu/ENTRIES/dutch-book/



