Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Suharni Mohamad¹ & Dr. Nurin Jazlina Nor Azmi²
¹Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia
²Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia
Setiap pagi, kita mengamalkan rutin yang hampir sama: memberus gigi, berkumur, dan menggunakan flos. Semua amalan ini dilakukan untuk memastikan gigi bersih dan nafas lebih segar. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa di sebalik senyuman, terdapat dunia mikroskopik yang amat kompleks di celah gigi dan gusi, sebuah dunia yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar?
Apabila bercakap tentang kesihatan mulut, bakteria sering menjadi tumpuan utama. Kita lazim mendengar tentang plak, bakteria penyebab kerosakan gigi, dan bakteria yang dikaitkan dengan penyakit gusi. Namun begitu, bakteria bukanlah satu-satunya penghuni rongga mulut. Pelbagai mikroorganisma lain hidup dalam persekitaran ini serta saling berinteraksi antara satu sama lain dan dengan tubuh manusia.
Antaranya ialah protozoa, organisma bersel tunggal. Dua spesies protozoa, iaitu Trichomonas tenax dan Entamoeba gingivalis, mungkin kurang dikenali oleh masyarakat umum, tetapi semakin mendapat perhatian dalam penyelidikan kesihatan periodontal (gusi).
Persoalannya, apakah peranan organisma kecil ini terhadap kesihatan gusi kita?
Dunia Mikroskopik di Sebalik Senyuman
Rongga mulut bukan sekadar tempat untuk mengunyah makanan, menelan, dan bercakap. Ia merupakan ekosistem kompleks yang dihuni oleh pelbagai jenis mikroorganisma. Dalam keadaan sihat, komuniti mikroorganisma dalam rongga mulut berada dalam keadaan seimbang. Namun, perubahan persekitaran rongga mulut boleh mengganggu keseimbangan tersebut.
Perubahan pada persekitaran gusi, termasuk keradangan dan pembentukan poket periodontal boleh mewujudkan keadaan yang sesuai untuk sesetengah mikroorganisma berkembang pesat. Dalam keadaan sedemikian, protozoa seperti T. tenax dan E. gingivalis lebih kerap dikesan.
Kedua-dua protozoa ini dilaporkan lebih kerap ditemui dalam kalangan individu yang mengalami periodontitis berbanding individu dengan kesihatan periodontal yang baik. Satu analisis meta yang diterbitkan pada tahun 2025 menganggarkan bahawa T. tenax dikesan dalam kira-kira 26% individu dengan periodontitis berbanding 14% individu dengan gingivitis. Bagi E. gingivalis pula, anggaran prevalens masing-masing ialah 55% dan 45%.
Jadi, apakah sebenarnya kedua-dua protozoa ini?
Dua Protozoa, Dua Cara Bergerak
Trichomonas tenax: Protozoa Berflagela
Organisma mikroskopik ini berbentuk hampir menyerupai buah pir dengan beberapa struktur halus seperti rambut yang dikenali sebagai flagela (Rajah 1). Struktur ini membolehkannya berenang dan bergerak dalam persekitaran rongga mulut yang lembap.
Protozoa ini lazimnya ditemui dalam kawasan yang kaya dengan plak gigi, karang gigi, dan poket periodontal yang mengalami keradangan. Tidak seperti sesetengah protozoa parasitik lain, T. tenax tidak mempunyai peringkat sista (cyst stage) dalam kitar hidupnya.
Selama ini, T. tenax sering dianggap sebagai penghuni komensal (penghuni neutral) yang tidak menyebabkan penyakit secara langsung. Namun, peningkatan kajian tentang kehadirannya dalam kalangan pesakit periodontal mula menimbulkan persoalan mengenai peranan sebenar organisma ini.

Entamoeba gingivalis: Amoeba Si “Kaki Palsu”
Berbeza daripada T. tenax, E. gingivalis ialah sejenis amoeba. Jika T. tenax bergerak menggunakan flagela, E. gingivalis pula bergerak dengan membentuk unjuran sitoplasma sementara yang dipanggil pseudopodium (kaki semu) (Rajah 2).
Sama seperti T. tenax, E. gingivalis juga tidak membentuk sista dan sering ditemui hidup dalam persekitaran gusi yang mengalami keradangan.

Adakah Protozoa Ini Punca Penyakit Gusi?
Kehadiran kedua-dua protozoa ini dalam penyakit periodontal menimbulkan persoalan penting: Adakah protozoa ini sekadar penghuni pasif yang menumpang persekitaran berpenyakit, atau adakah ia bertindak secara aktif memburukkan lagi penyakit gusi tersebut?
Kajian menunjukkan terdapat hubungan antara kehadiran T. tenax dan E. gingivalis dengan penyakit periodontal. Walau bagaimanapun, perkaitan statistik tidak semestinya membuktikan hubungan sebab-dan-akibat (cause and effect). Ada kemungkinan bahawa perubahan persekitaran akibat keradangan gusi sekadar menyediakan habitat yang lebih ideal untuk protozoa ini membiak.
Namun, terdapat juga sudut pandang berbeza. Kajian makmal menunjukkan bahawa T. tenax mampu berinteraksi dengan sel perumah dan berpotensi mempengaruhi proses keradangan serta kerosakan tisu gusi. Penemuan ini merapatkan kemungkinan bahawa hubungan antara protozoa dan penyakit periodontal adalah jauh lebih kompleks.
Penyelidikan yang dijalankan di Universiti Sains Malaysia turut mengesan kehadiran T. tenax dalam kalangan individu yang mengalami periodontitis. Penemuan tersebut membawa kepada persoalan susulan: Apabila protozoa ini hadir di kawasan periodontal yang berpenyakit, apakah yang berlaku kepada sel dan protein di sekelilingnya? Persoalan mekanisme molekul inilah yang kini sedang diterokai oleh penyelidik tempatan.
Mengapa Kita Perlu Memberi Perhatian kepada Protozoa?
Selama ini, pemahaman kita terhadap penyakit periodontal tertumpu hampir sepenuhnya kepada faktor bakteria. Walaupun bakteria tidak dinafikan memainkan peranan utama, rongga mulut merupakan sebuah ekosistem mikro yang sangat pelbagai.
Kehadiran T. tenax dan E. gingivalis membuka dimensi baharu dalam pemahaman kesihatan oral. Sama ada protozoa ini hanya mengambil kesempatan (opportunistic) atas keradangan gusi atau bertindak dalam mempercepatkan kerosakan tisu, pemahaman menyeluruh mengenainya adalah penting.
Ekosistem mikroskopik di sebalik senyuman kita sentiasa berinteraksi. Bakteria hanyalah sebahagian daripada cerita tersebut. Untuk menjaga kesihatan gusi dengan lebih berkesan pada masa hadapan, kita juga perlu memberikan perhatian kepada dunia protozoa ini.
Rujukan
- Sari, A., Kaya, O.M., Arisan, V. et al. The association between Trichomonas tenax and Entamoeba gingivalis and periimplantitis and periodontitis. Clin Oral Invest 30, 343 (2026). https://doi.org/10.1007/s00784-026-07036-x.
- Nor Azmi, N. J., Mohamad, S., & Mohamed, Z. (2025). Unravelling the relationship: Oral protozoans, periodontitis and systemic non-communicable diseases. Malaysian Journal of Medical Sciences, 32(1), 16–25. https://doi.org/10.21315/mjms-10-2024-808.
- Nor Azmi, N. J., Taib, H., Mohamed, Z., Zakaria, N. Z., Nik Mohd Noor, N. Z., & Mohamad, S. (2025). Exploring the prevalence of oral trichomonads in patients with periodontitis at a tertiary teaching hospital. Acta Tropica, 268, 107696. https://doi.org/10.1016/j.actatropica.2025.107696.
- Moosazadeh, M., Sabeti, M. A., Hashemi, S. M., Ghazalgoo, A., Mousavi, T., Mahdavi, S., & Ghadirzadeh, E. (2025). The relationship between Entamoeba gingivalis and Trichomonas tenax with periodontitis and gingivitis: A systematic review, meta-analysis, and meta-regression. Journal of Evidence-Based Dental Practice, 25(3), 102141. https://doi.org/10.1016/j.jebdp.2025.102141.
- Santos, J., & Roldán, W. (2023). Entamoeba gingivalis and Trichomonas tenax: Protozoa parasites living in the mouth. Archives of Oral Biology, 147, 105631.
- Aciöz, M., Ak, G., & Bozkaya, F. (2025). Investigation of Entamoeba gingivalis and Trichomonas tenax in gingivitis and periodontitis patients. BMC Oral Health, 25, 1105. https://doi.org/10.1186/s12903-025-06517-x.
- Nor Azmi, N. J., Mohamad, S., et al. (2025). Unveiling the cytotoxicity of Trichomonas tenax: Pathogenic mechanisms and implications for oral health. Microbial Pathogenesis, 204, 107578.
Biodata Penulis




