Oleh: Dr. Rosmaliza Ramli
Pensyarah Pergigian di Pusat Pengajian Sains Pergigian
Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
Bengkak gusi dan sakit gigi yang berdenyut sering membuatkan ramai pesakit mengharapkan antibiotik sebagai penyelesaian pantas. Hakikatnya, kebanyakan jangkitan gigi boleh dirawat tanpa antibiotik. Penggunaan antibiotik yang tidak perlu boleh ‘melatih’ bakteria menjadi lebih kebal iaitu satu ancaman yang dikenali sebagai kerintangan antimikrob.
Antibiotik: Adakah Ubat Wajib untuk Sakit Gigi?
Bayangkan anda terjaga pada tengah malam akibat sakit gigi yang berdenyut-denyut, disertai gusi yang mula membengkak. Keesokan harinya, anda bergegas ke klinik pergigian dengan satu harapan: mendapatkan antibiotik supaya bengkak dan sakit cepat surut. Senario ini biasa berlaku. Ramai pesakit menganggap antibiotik sebagai ubat wajib bagi setiap sakit gigi, malah ada yang memintanya secara khusus daripada doktor gigi. Namun, tahukah anda bahawa tidak semua sakit gigi memerlukan antibiotik?
Keadaan yang paling kerap dikaitkan dengan antibiotik ialah sakit gigi yang berkait dengan gusi bengkak atau abses gigi, iaitu pengumpulan nanah akibat jangkitan bakteria pada gigi atau tisu di sekelilingnya (Gambar 1). Abses boleh menyebabkan sakit berdenyut, gusi membengkak dan rasa sakit ketika mengunyah (Gambar 2). Dalam kes yang lebih serius, jangkitan boleh merebak hingga menyebabkan bengkak pada muka, demam serta kesukaran membuka mulut atau menelan (Gambar 3).
Walaupun abses gigi berpunca daripada bakteria, kehadiran nanah tidak semestinya bermakna pesakit memerlukan antibiotik. Antibiotik yang diambil tanpa keperluan bukan sahaja tidak memberikan manfaat tambahan, malah boleh menyumbang kepada ancaman kesihatan awam global yang dikenali sebagai kerintangan antimikrob (antimicrobial resistance, AMR) (WHO, 2023).
Hapuskan Punca, Bukan Sekadar Basmi Bakteria
Bagi kebanyakan abses gigi setempat, terutamanya dalam kalangan individu yang mempunyai sistem imun normal dan tiada tanda jangkitan merebak, rawatan utamanya ialah menghapuskan punca jangkitan. Hal ini dilakukan melalui prosedur membuang nanah (incision and drainage), rawatan saluran akar atau cabutan gigi, bergantung kepada keadaan gigi tersebut.
Pendekatan ini dikenali sebagai kawalan sumber (source control). Ibaratnya, jika paip di rumah bocor, kita perlu membaiki paip itu – bukan sekadar mengelap air yang bertakung. Antibiotik hanya berupaya membunuh atau merencatkan pertumbuhan bakteria yang sensitif terhadapnya, tetapi tidak dapat mengeluarkan nanah atau merawat gigi yang menjadi punca jangkitan. Tanpa rawatan pergigian yang sewajarnya, jangkitan berkemungkinan besar akan berulang.
Oleh itu, pemberian antibiotik semata-mata untuk merawat abses setempat tanpa tanda jangkitan merebak atau gejala sistemik bukanlah amalan yang disyorkan bagi kebanyakan pesakit yang sihat.
Bilakah Antibiotik Benar-benar Diperlukan?
Antibiotik tetap memainkan peranan penting apabila jangkitan telah merebak ke tisu sekeliling atau menyebabkan gejala sistemik seperti demam dan badan berasa lemah. Ia juga diperlukan bagi jangkitan serius seperti selulitis muka dan jangkitan ruang fasia muka serta leher, atau bagi pesakit yang mempunyai sistem imun lemah.
Dalam keadaan tertentu, pesakit mungkin perlu dimasukkan ke hospital untuk menerima antibiotik melalui salur darah (intravena) serta menjalani prosedur pembedahan. Kesukaran bernafas atau menelan, serta bengkak yang merebak dengan pantas, merupakan tanda amaran yang memerlukan rawatan kecemasan dengan segera.
Ringkasnya, keputusan untuk memberikan antibiotik perlu berasaskan penilaian klinikal yang teliti – bukan semata-mata kerana adanya nanah atau tahap kesakitan yang dialami pesakit.
Apa Kata Garis Panduan Kebangsaan?
Di Malaysia, penggunaan antibiotik dipandu oleh National Antimicrobial Guideline (NAG) terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Edisi keempat yang diterbitkan pada tahun 2024 menyatakan bahawa antibiotik sistemik tidak disyorkan bagi abses dentoalveolar, apikal, periapikal atau periodontal yang bersifat setempat dalam kalangan pesakit yang mempunyai sistem imun normal. Sebaliknya, rawatan definitif iaitu membuang nanah, dengan atau tanpa cabutan gigi, merupakan pendekatan utama (KKM, 2024).
Persoalannya, adakah amalan preskripsi antibiotik dalam bidang pergigian di negara kita benar-benar mematuhi panduan ini?
Satu audit klinikal di sebuah klinik pergigian kesihatan awam di Kuching, Sarawak memberikan gambaran yang membimbangkan. Sepanjang tahun 2018, sebanyak 1,164 preskripsi antibiotik telah dikeluarkan kepada pesakit dewasa, iaitu 38.7% daripada keseluruhan 3,009 preskripsi ubat di klinik tersebut. Antara keadaan yang paling kerap diberikan antibiotik ialah selepas cabutan gigi (23.0%), abses gigi (19.1%), perikoronitis (15.7%) dan pulpitis (14.3%), sedangkan antibiotik tidak disyorkan bagi pulpitis. Apabila preskripsi bagi tempoh Julai hingga September 2018 dinilai berdasarkan garis panduan semasa, 96.4% daripadanya didapati tidak wajar. Selepas beberapa intervensi dilaksanakan, termasuk sesi pendidikan profesional berterusan dan pengedaran salinan garis panduan, jumlah preskripsi berkurang sebanyak 30%. Namun, 92.3% preskripsi masih tidak wajar. Doktor gigi yang terlibat turut mengakui bahawa ketidakpastian diagnosis (71.4%) dan kekangan masa untuk melaksanakan rawatan definitif (57.1%) merupakan faktor utama yang mempengaruhi keputusan mereka memberikan antibiotik (Lim et al., 2022).
Dapatan ini bukan perkara baharu. Seawal tahun 2010, satu kajian soal selidik terhadap 217 pengamal pergigian di Lembah Klang mendapati majoriti responden memberikan antibiotik bagi jangkitan periapikal akut sebelum dan selepas prosedur membuang nanah, perikoronitis, soket kering dan abses periodontal – keadaan yang sebenarnya boleh dirawat dengan berkesan melalui rawatan setempat. Lebih separuh daripada responden juga tidak mengetahui maksud MRSA (methicillin-resistant Staphylococcus aureus), iaitu antara bakteria rintang yang paling dikenali (AbdulKader, 2010).
Lebih sedekad kemudian, corak yang hampir sama masih dilaporkan. Satu tinjauan keratan rentas yang melibatkan 372 doktor gigi am dan pakar endodontik di Malaysia mendapati kebanyakan doktor gigi am memberikan antibiotik secara tidak wajar bagi jangkitan endodontik, iaitu jangkitan pada saraf dan akar gigi. Sebab utama pemberian antibiotik yang dinyatakan ialah untuk mengawal jangkitan daripada merebak dan merawat demam (88%)(Al-Haddad et al., 2025).
Walaupun data-data ini tidak semestinya mencerminkan keseluruhan amalan semasa, ketiga-tiga kajian ini secara konsisten memberi isyarat jelas bahawa penggunaan antibiotik yang tidak rasional dalam bidang pergigian merupakan isu yang wajar diberi perhatian serius.
87,000 Nyawa Dipertaruhkan Menjelang 2030
Ancaman AMR bukan sekadar teori atau kebimbangan dalam kalangan pengamal kesihatan. Menurut laporan Bernama bertarikh 19 November 2024, Malaysia diunjurkan berdepan 87,000 kematian akibat AMR bagi tempoh 2020 hingga 2030 sekiranya tiada langkah intervensi dilaksanakan (Bernama, 2024).
Perlu ditegaskan bahawa angka ini merupakan unjuran berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Pejabat Serantau Pasifik Barat (WPRO), dan bukannya jumlah kematian sebenar yang telah direkodkan. Namun begitu, unjuran tersebut memberikan gambaran yang membimbangkan tentang potensi kesan AMR terhadap kesihatan rakyat Malaysia.
Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran dan melaksanakan langkah yang lebih menyeluruh bagi membendung ancaman ini (Bernama, 2024). Malaysia sendiri telah mengambil langkah proaktif melalui Malaysian Action Plan on Antimicrobial Resistance (MyAP-AMR) 2022–2026, yang merangkumi aspek pendidikan, penyelidikan, pengawasan dan penggunaan antimikrob secara berhemah (KKM & KPKM, 2022).
Justeru, amalan preskripsi antibiotik dalam pergigian perlu menjadi sebahagian daripada usaha nasional membendung AMR. Satu preskripsi yang tidak perlu mungkin kelihatan remeh, tetapi kesan kumulatif daripada ribuan preskripsi sedemikian boleh menyumbang kepada masalah kesihatan awam yang jauh lebih besar.
Bagaimana Bakteria Menjadi Kebal?
Kerintangan antimikrob berlaku apabila mikroorganisma seperti bakteria mengalami perubahan sehingga tidak lagi bertindak balas terhadap ubat yang sebelum ini berkesan membunuh atau merencatkan pertumbuhannya (WHO, 2023). Perlu difahami, yang menjadi kebal ialah bakteria – bukannya tubuh manusia.
Dalam sesuatu populasi bakteria, terdapat bakteria yang sensitif dan ada juga yang memiliki ciri kerintangan. Apabila antibiotik digunakan, bakteria yang sensitif akan terhapus, manakala bakteria yang rintang terus hidup dan membiak tanpa saingan. Proses ini dikenali sebagai tekanan pemilihan (selective pressure) (Gambar 4).
Semakin kerap antibiotik digunakan tanpa keperluan, semakin besar peluang bakteria rintang untuk mendominasi. Lebih membimbangkan, bakteria juga mampu memindahkan gen kerintangan kepada bakteria lain. Akibatnya, antibiotik yang dahulunya berkesan mungkin tidak lagi mampu merawat jangkitan tertentu, dan pesakit terpaksa bergantung kepada ubat yang lebih kuat, rawatan yang lebih kompleks dan mahal atau kemasukan ke hospital.
Peranan Kita Semua
Membendung AMR bukan tanggungjawab doktor dan doktor gigi semata-mata. Masyarakat juga boleh menyumbang melalui langkah mudah: jangan mendesak untuk mendapatkan antibiotik bagi setiap masalah sakit gigi, jangan mengambil baki antibiotik daripada rawatan terdahulu dan jangan berkongsi ubat dengan orang lain.
Sekiranya antibiotik diberikan, ikuti dos dan tempoh rawatan seperti yang ditetapkan, serta dapatkan nasihat pengamal kesihatan sebelum membuat sebarang perubahan terhadap rawatan.
Pada masa yang sama, pengamal pergigian perlu mengamalkan prinsip antimicrobial stewardship, iaitu penggunaan antibiotik secara bertanggungjawab berdasarkan bukti saintifik dan garis panduan terkini.
Lindungi Khazanah Perubatan Ini
Antibiotik merupakan antara penemuan terpenting dalam sejarah perubatan dan telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa. Namun, keberkesanannya tidak akan kekal selama-lamanya. Penggunaan yang tidak wajar, walaupun dengan niat untuk membantu pesakit, boleh mempercepatkan kerintangan bakteria yang akhirnya memberi kesan kepada seluruh masyarakat.
Dalam rawatan pergigian, persepsi bahawa setiap abses gigi memerlukan antibiotik perlu diubah. Rawatan terbaik bukanlah memberikan ubat sebanyak mungkin, tetapi memilih rawatan yang benar-benar diperlukan berdasarkan keadaan pesakit dan bukti saintifik.
Ingat, bukan setiap sakit gigi memerlukan antibiotik. Gunakan antibiotik dengan bijak hari ini supaya ubat penyelamat nyawa ini kekal berkesan untuk generasi akan datang.




Rujukan
AbdulKader, H. K. (2010). Analysis of prescribing antibiotics knowledge among dental practitioners in Klang Valley region [Tesis sarjana, Universiti Teknologi MARA]. UiTM Institutional Repository. https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/4870/
Al-Haddad, A., Nor Azmi, N., & Anuar, A. F. K. (2025). The pattern of antibiotics prescription for endodontic infections in Malaysia: Cross sectional survey study. Australian Endodontic Journal, 51(1). https://doi.org/10.1111/aej.12900
Bernama. (2024, 19 November). Malaysia to face 87,000 deaths due to antimicrobial resistance by 2030 without intervention – Dzukefly. https://www.bernama.com/en/news.php?id=2365212
Kementerian Kesihatan Malaysia. (2024). National antimicrobial guideline (NAG) 2024 (Edisi ke-4). Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. https://sites.google.com/moh.gov.my/nag
Kementerian Kesihatan Malaysia & Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. (2022). Malaysian action plan on antimicrobial resistance (MyAP-AMR) 2022–2026. Kementerian Kesihatan Malaysia.
Lim, S. W.-L., Awan, D. B., & Maling, T. H. (2022). A clinical audit and impact of interventions on antibiotic prescribing practices at a public dental primary care clinic. Archives of Orofacial Sciences, 17(1), 31–45. https://doi.org/10.21315/aos2022.1701.OA01
World Health Organization. (2023, 21 November). Antimicrobial resistance [Risalah fakta]. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/antimicrobial-resistance
Biodata Penulis

Dr. Rosmaliza Ramli ialah doktor pergigian yang mendalami dunia ubat-ubatan. Selepas memperoleh Ijazah Doktor Pembedahan Pergigian (DDS) dari Universiti Sains Malaysia (USM), beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Sains Perubatan (MMedSc) dalam bidang farmakologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebelum meraih Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang farmakologi neurosains dari University of Leeds, United Kingdom. Kini, beliau merupakan pensyarah pergigian di Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM. Beliau mengajar ubat-ubatan utama dalam bidang pergigian, termasuk antibiotik, di samping terlibat dalam pengajaran klinikal. Dalam penyelidikan pula, beliau menjejaki laluan isyarat sakit gigi bagi meneroka ubat alternatif untuk meredakan sakit gigi.
Pengakuan Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI)
Artikel ini disediakan dengan bantuan alat kecerdasan buatan (AI), iaitu Claude (Anthropic) dan ChatGPT (OpenAI), bagi tujuan penyuntingan bahasa, penstrukturan kandungan dan pencarian sumber rujukan. Individu dalam Gambar 1 telah diubah suai menggunakan Gemini (Google), manakala model gigi yang dipaparkan kekal seperti asal tanpa sebarang perubahan. Gambar 4 (gambar rajah skematik kerintangan antimikrob) dihasilkan menggunakan Gemini (Google) berdasarkan konsep dan arahan penulis. Semua kandungan, fakta dan rujukan telah disemak serta disahkan oleh penulis, yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ketepatan artikel ini.




