Penulis: Dr. Hishamuddin Zainuddin
Mantan Pensyarah Fizik Teori, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Baru-baru ini kita menerima berita penganugerahan Hadiah Nobel Fizik 2026 kepada Francis Halzen sebagai pelopor eksperimen neutrino di Balai Cerap Neutrino IceCube di Antartika. Bagi memahami kenapa perlu buat eksperimen di hujung dunia, bolehlah ikuti penulisan pakar tempatan fizik neutrino, Dr. Norhasliza Yusof dan Prof. Dr. Hasan Abu Kassim, di MajalahSains.
Sebelum ini, sudah pun beberapa kali Hadiah Nobel Fizik dianugerahkan untuk fizik neutrino:
i-Hadiah Nobel Fizik 1988 kepada Leon Lederman, Melvin Schwartz dan Jack Steinberger ke atas kaedah alur neutrino dan struktur dublet neutrino melalui penemuan neutrino muon.
ii-Hadiah Nobel Fizik 1995 kepada Frederick Reines bagi pengesanan neutrino.
iii-Hadiah Nobel Fizik 2002 kepada Raymond Davis Jr dan Masatoshi Koshiba bagi mempelopori astrofizik khususnya untuk pengesanan neutrino kosmik.
iv-Hadiah Nobel Fizik 2015 kepada Takaaki Kajita dan Arthur B. McDonald ke atas penemuan ayunan neutrino yang menunjukkan neutrino mempunyai jisim.
Begitu hebatnya bidang fizik neutrino walaupun zarah neutrino dianggap masih asing dalam perbincangan awam. Makalah ini bertujuan untuk membolehkan lebih ramai lagi mengenali zarah neutrino ini dan begitu banyaknya usaha untuk memahami sifat liciknya. Lebih khusus lagi kita akan fokus kepada struktur matematik yang dipatuhi oleh zarah neutrino dan implikasinya kepada masalah jisim neutrino.
Neutrino Dalam Keluarga Besar Zarah Asas
Dalam mempelajari kimia, kita akan disaji dengan Jadual Berkala Unsur Kimia yang menempatkan setiap unsur kimia mengikut suatu corak dalam Jadual Berkala. Corak tersebut ditentukan oleh susunan elektron dalam setiap unsur. Elektron pula merupakan antara zarah asas yang membentuk jirim alam ini dan elektron pula diganding bersama pasangannya neutrino elektron membentuk suatu corak yang lain.
Selain daripada elektron dan neutrino, wujud zarah asas lain iaitu zarah quark yang juga berpasangan, seperti quark atas dengan quark bawah. Elektron dan neutrinonya membentuk sektor lepton manakala pasangan quark atas dan quark bawah membentuk sektor quark. Secara keseluruhan, setiap ‘jenis’ zarah ini digelar sebagai ‘perisa’. Tidak terhenti di situ sahaja, kedua-dua pasangan lepton dan quark ini didapati berulang sebanyak tiga kali dengan setiap satu dipanggil suatu generasi; pasangan (dublet) elektron-neutrino bersama pasangan (dublet) quark atas dengan quark bawah membentuk generasi pertama (lihat Jadual di bawah). Apakah yang mengatur zarah-zarah ini sedemikian rupa?

Catatan: Selain daripada zarah jirim di atas, terdapat zarah asas lain yang dipanggil boson tetara atau boson tolok yang berperanan sebagai zarah penghubung (pembawa daya) dalam satu-satu saling tindakan yang tidak diguna selepas ini.
Pertama, zarah neutrino lazimnya dibincang dalam formalisme teori medan quantum. Dalam formalisme ini, setiap zarah asas (khususnya neutrino) akan diperihal melalui medan quantum. Setiap medan quantum ini seharusnya dapat diperihal melalui simetri ruang-masa. Secara matematik simetri diungkapkan dalam bentuk teori kumpulan dan kumpulan simetri ruang-masa adalah kumpulan Poincaré yang terdiri daripada transformasi translasi dan putaran ruang-masa (secara kolektif). Tanpa perincian, medan yang dibawa oleh zarah asas akan terciri mengikut ketakvarianan kumpulan Poincaré (Wigner, 1939; Ramond, 2020) iaitu mengikut jisim rehat zarah m dan spin zarah s (lebih tepat lagi, keheliksan – lihat kemudian). Kesemua zarah asas akan punyai jisim rehat (boleh jadi sifar) dan spin tertentu masing-masing. Untuk makalah ini, kita tumpu hanya kepada sektor lepton yang mengandungi neutrino.
Bagi neutrino, perbincangan jisimnya perlu ditangguhkan dahulu kerana ceritanya agak rumit. Aspek spin neutrino \(\nu_e\) lebih mudah dan (magnitud) spinnya ialah s = ½, sama seperti spin pasangannya, elektron. Sebagai zarah sektor lepton, kedua-dua elektron dan neutrinonya dikatakan membawa nombor (quantum) lepton L = 1. Kedua-dua zarah ini juga ada antizarahnya dengan nombor lepton L = -1. Bagi elektron, antizarahnya ialah positron e+ yang bercas elektrik positif, manakala antizarah neutrino adalah antineutrino \(\bar{\nu}_e\) Kedua-dua neutrino dan antineutrino tidak mempunyai cas elektrik dan dengan itu tidak terkesan dengan saling tindakan elektromagnet yang menjadi antara sebab kenapa zarah (anti)neutrino ini sukar dikesan. Sebagai pelengkap (setakat ini), perisa antizarah turut tersusun dalam bentuk dublet dengan sektor antilepton dan sektor antiquark sepertimana perisa zarah.
Kenapa gandingan dublet elektron-neutrino dibuat? Penjelasan dublet memerlukan terlebih dahulu bagaimana ‘penemuan’ neutrino ini dibuat dan apakah jenis saling tindakan zarah yang melibatkan neutrino. Memahami perkara ini akan membawa kita ke suatu perjalanan yang sangat berliku dalam fizik zarah (Maltese, (2013); (2014a,b)).
Hukum Keabadian, Keperluan Neutrino dan Saling Tindakan Lemah
Pada awal kurun ke-20 (Brown, 1978), ahli fizik telah membuat kajian ke atas fizik keradioaktifan dengan reputan-α dan reputan-β dengan zarah α diketahui sebagai nukleus helium dan zarah β sebagai elektron. Tidak seperti reputan α (tenaga yang dibawa oleh nukleus hasil reputan mempunyai tenaga tertentu menghasilkan spektrum diskrit), tenaga zarah β (elektron) hasil reputan mempunyai spektrum selanjar, seolah-olah membawa implikasi permasalahan hukum keabadian tenaga. Bagi menyelesaikan masalah ini, Pauli menyarankan ada zarah baharu tanpa cas elektrik (neutral dan bukan neutron seperti jangkaan asal) yang berkongsi tenaga dengan zarah β. Ternyata bahawa zarah baharu ini sukar dikesan dan ada keperluan memperkenalkan suatu saling tindakan nuklear yang baharu.
Fermi (1934) mengusulkan saling tindakan lemah bagi menjelaskan reputan β melalui neutron (terdiri daripada satu quark atas dan dua quark bawah) terurai menjadi tiga zarah iaitu proton (terdiri daripada dua quark atas dan satu quark bawah), elektron (zarah β) dan antineutrino:

Masalah keabadian tenaga dan keselanjaran tenaga elektron dapat diselesaikan dengan tambahan antineutrino dalam reputan neutron tersebut. Penggunaan antineutrino juga memastikan keabadian nombor lepton sifar (sebelah kiri) melalui pembatalan nombor lepton L = 1 bagi elektron dengan nombor lepton L = – 1 antineutrino. Walaupun adanya teori yang dapat menjelaskan reputan β, kewujudan sebenar zarah neutrino atau antineutrino masih menjadi tanda tanya.
Oleh kerana kesukaran mengesan neutrino atau antineutrino, pengesahan zarah hanya dapat dilakukan pada pertengahan abad ke-20. Apa yang diguna oleh Cowan, Reines dan rakan adalah fenomena reputan beta songsangan:
![]()
yang mana antineutrino bertindakbalas dengan proton p untuk menghasilkan semula neutron (proses songsangan) bersama zarah positron e+. Diperingatkan kembali bahawa positron adalah antizarah bagi elektron dan apabila positron bertemu elektron (dari sumber jirim biasa), kedua-duanya akan menghasilkan dua foton sinar gamma bertenaga 511 keV. Pembentukan dua foton tersebut merupakan ciri tindakbalas reputan β songsangan dan pengesanan foton sebeginilah, dari sebuah reaktor, yang membuktikan kewujudan (anti) neutrino elektron secara fizikal.
Bagaimana pula dublet lepton generasi selain yang pertama? Satu kemungkinan adalah kesemua neutrino dalam tiga generasi yang ditemui ‘adalah sama’. Eksperimen telah menunjukkan bahawa neutrino muon dan neutrino tau akan hanya melibatkan lepton bercas generasi masing-masing (Danby dll (1962); Kodama dll (2001)) dan corak dublet adalah susunan zarah yang bertransformasi antara satu perisa sama lain. Sekali gus susunan sektor lepton adalah seperti dalam jadual di atas.
Simetri Diskrit Dalam Saling Tindakan Lemah
Dalam teori medan quantum, terdapat simetri lain selain kumpulan Poincaré yang memainkan peranan dalam pengkelasan zarah. Simetri tersebut adalah simetri diskrit cerminan atau pariti P, konjugat cas C dan pembalikan masa T dan setiap satu transformasi adalah bersifat involusi (turutan transformasi kedua adalah berkadaran dengan identiti). Adakalanya simetri diskrit ini digabungkan dengan simetri kumpulan Poincaré sebagai suatu pemanjangan kumpulan Poincaré yang lebih besar dan medan quantum akan membawa simetri kumpulan yang dipanjangkan ini (Buchbinder, Gitman dan Shelepin, 2002).
Sebelum tahun 1957, ramai yang mengandaikan pada peringkat zarah asas (yang tiada sebarang substruktur) akan mematuhi setiap satu (atau gabungan) simetri diskrit ini secara terus. Namun realiti dunia fizik ini bukanlah semudah yang disangka. Pada tahun 1957, C.-S. Wu dan rakan (Wu dll, 1957) telah menjalankan eksperimen reputan β dengan nukleus kobalt-60 untuk menguji kepatuhan simetri cerminan. Apa yang berlaku adalah elektron yang terhasil cenderung kepada satu arah relatif kepada spin nukleus. Ini membawa implikasi bahawa saling tindakan lemah melanggar simetri cerminan. Persoalan seterusnya apakah pariti atau sistem skru putaran spin (keheliksan) yang dibawa oleh neutrino?

Pada tahun 1958, Goldhaber, Grodzins dan Sunyar menjalankan eksperimen menganalisis keheliksan neutrino daripada pemerangkapan elektron oleh europium-152. Didapati bahawa neutrino bersifat skru putaran tangan kiri manakala antineutrino bersifat skru putaran tangan kanan. Ketika itu, telah diandaikan bahawa neutrino dan antineutrino berjisim sifar (yang menghalang transformasi sistem skru putaran berubah tangan). Seperkara lagi, saling tindakan lemah hanya melibatkan neutrino tangan kiri (dipendekkan istilahnya) dan antineutrino tangan kanan. Dengan itu, neutrino tangan kanan dan antineutrino tangan kiri akan muncul sendirian sebagai singlet (dan bukan dublet). Tiba-tiba, kini gambaran mudah yang diberikan dalam jadual sebelum ini menjadi lebih kompleks!
Bagi melengkapkan seksyen ini, perlu dinyatakan bahawa simetri diskrit gabungan CP (Christensen, Cronin, Fitch & Turlay, 1964) dan simetri diskrit T secara berasingan (Vaccaro, 2011), turut dilanggar oleh saling tindakan lemah, namun ini dikesan dalam sektor quark. Gabungan simetri diskrit CPT dipercayai dipatuhi oleh semua medan quantum lazim (Blum dan deVelasco, 2022; Frère, 2012; Streater & Wightman, 1964), namun turut dikaji untuk kes fizik berskala-Planck.
Masalah Jisim Neutrino
Dalam seksyen ini, kita beralih kepada masalah jisim neutrino dan antineutrino. Seperti yang telah disebut sebelum ini, pada asalnya neutrino dan antizarahnya dianggap berjisim sifar dalam Model Piawai asal. Namun terdapat beberapa fenomena mengatakan yang sebaliknya. Sebelum itu, sedikit selingan – jika pembaca pernah menonton filem 2012, pada awal filem disebut bahawa neutrino dari matahari kita yang menghujani bumi bertrilion dalam satu saat dan disensasikan dengan gambaran nyala suria. Difiksyenkan pula bahawa sifat neutrino mula berubah dan mengakibatkan ketakstabilan kerak bumi. Yang perlu kita ambil di sini bukanlah gemparan fiksyen ini tetapi bumi ini dibanjiri dengan neutrino dari bukan setakat matahari, malah dari sumber angkasa yang lain (Agarwala, Das & Singh, 2025).
Dalam kajian awal sumber neutrino dari matahari, Raymond Davis Jr. dan rakan-rakan mendapati bahawa kuantiti neutrino elektron yang sampai kurang daripada apa yang dijangka oleh model suria (Fukuda dll, 2003). Ini diikuti dengan kajian sumber atmosfera neutrino muon yang dikesan juga kurang; malah pengurangan ini bergantung kepada jarak sumber ke pengesan Super-Kamiokande (Fukuda dll, 1998), samada dari atas atau dari bawah pengesan (dari titik jauh berlawanan).
Bagaimanakah penjelasan pengurangan neutrino yang dikesan? Apabila disenaraikan zarah lepton dalam jadual di atas, zarah ini sebenarnya berada dalam keadaan perisa yang terlibat dalam saling tindakan lemah. Keadaan perisa sedemikian tidak semestinya keadaan eigen bagi jisim zarah; ada kemungkinan keadaan perisa ini adalah superposisi keadaan eigen jisim. Apabila keadaan perisa membuat rambatan melalui ruang, berlaku ayunan antara keadaan eigen jisim neutrino. Dengan cara demikian, pengesanan neutrino boleh kurang daripada jangkaan awal kuantiti neutrino (jika jisim sifar, ayunan tidak boleh berlaku). Pengurangan kuantiti ini dapat dikira bergantung kepada jarak rambatan, tenaga dan perbezaan jisim neutrino. Walaupun demikian, jisim neutrino bagi setiap perisa itu sendiri tidak diketahui dan masih menjadi persoalan. Aspek superposisi keadaan jisim sudah ada duluannya dalam sektor quark iaitu dalam matriks Cabibbo-Kobayashi-Maskawa (CKM) yang mengaitkan keadaan perisa quark dengan keadaan eigen jisim quark (Cabibbo, 1963; Kobayashi & Maskawa, 1973). Cuma dalam kes matriks CKM, data input adalah keadaan jisim quark yang boleh diperolehi dengan cara lain, manakala kes neutrino, data input yang lebih mudah adalah keadaan perisanya. Penting untuk ditonjolkan adalah matriks pencampuran seperti matriks CKM perkenalkan parameter bebas (tidak ditentukan oleh teori) dalam Model Piawai yang asal. Maka begitu juga matriks pencampuran untuk neutrino, yang akan membuat tambahan parameter bebas dalam Model Piawai baharu yang bakal dibina.
Setakat ini, wujud beberapa cubaan untuk menghasilkan matriks pencampuran untuk neutrino. Antara cubaan awal adalah matriks pencampuran Pontecorvo-Maki-Nakagawa-Sakata (matriks PMNS). Lebih umum dan menarik adalah matriks yang berdasarkan kepada subkumpulan diskrit SU(3) (matriks transformasi umum bagi tiga generasi) telah dibincang oleh King dan Luhn (2013) dalam usaha membangunkan teori penyatuan pengkelasan zarah asas khususnya zarah neutrino – lihat gambarajah di bawah. Dengan cara demikian, parameter bebas yang diwujudkan mempunyai rasionalnya dalam teori kumpulan.

Dari gambarajah di atas yang menunjukkan pelbagai cabang subkumpulan diskrit yang mungkin, memadai untuk disebutkan di sini bahawa peluang yang luas terbuka untuk generasi ahli fizik (tempatan) akan datang untuk menerokai bidang fizik neutrino dalam menentukan apakah model pencampuran jisim neutrino yang menjadi pilihan ‘realiti fizik’.
Kesimpulan
Kajian susur galur zarah neutrino telah mempamerkan sejarah yang berliku dalam fizik zarah. Bermula dengan cadangan Pauli untuk menyelamatkan proses saling tindakan nuklear supaya mematuhi hukum keabadian tenaga, zarah neutrino telah menunjukkan bahawa realiti tidaklah semudah sebagaimana yang kita jangka. Zarah neutrino merupakan satu-satunya jenis (perisa) zarah yang hanya bersaling tindak dengan saling tindakan (nuklear) lemah, tidak ikut serta dalam saling tindakan elektromagnet dan saling tindakan (nuklear) kuat. Atas sebab inilah zarah neutrino merambat terus dalam alam ini hampir tanpa halangan. Walaupun tindak balasnya terhad kepada saling tindakan lemah, pelbagai rahsia alam yang baharu muncul dan antaranya adalah kegagalan simetri diskrit yang dianggap luar jangkaan. Yang terakhir disentuh dalam makalah ini adalah neutrino ini bukanlah zarah berjisim sifar dan sifat ini telah memaksa para ahli fizik untuk memodel semula Model Piawai zarah asas dan sudah tentu membuka penjelajahan lebih luas untuk teori penyatuan daya dan zarah yang lebih menarik.
Glosari
zarah asas – elementary particles
kaedah alur neutrino – neutrino beam method
struktur dublet – doublet structure; gandingan pasangan lepton atau quark dalam bentuk matriks 2´2 mempamerkan struktur isospin lemah
pengesanan neutrino – neutrino detection
ayunan neutrino – neutrino oscillations
Jadual Berkala – Periodic Table
unsur kimia – chemical elements
quark atas/bawah – up/down quark; istilah ini dipilih agar sama dengan penggunaan spin atas/bawah bagi spin up/down
perisa – flavour; mengikut konteks quantum flavourdynamics dalam fizik zarah
quark pesona – charm quark
quark aneh – strange quark
quark hujung – top quark
quark pangkal – bottom quark
boson tetara atau boson tolok – gauge boson; *penulis lebih cenderung kepada istilah tetara kerana lebih dekat dengan aspek struktur lebihan (surplus structure) dalam teori tetara (gauge theory) berbanding dengan istilah tolok yang kelihatan tetap (berasaskan bandingan). Tetara ini mempunyai kata akar ‘tara’ seperti dalam setara (equivalent) dan dalam antara (between)
teori medan quantum – quantum field theory
teori kumpulan – group theory; suatu set yang tertutup di bawah suatu operasi matematik yang lazimnya dipanggil hasildarab kumpulan (group product)
kumpulan simetri ruang-masa – space-time symmetry group
ketakvarianan kumpulan Poincaré – Poincaré group invariants
jisim rehat – rest mass
keheliksan – helicity; unjuran spin ke atas arah rambatan/momentum
lepton – zarah asas berspin ½ yang boleh bersaling tindak lemah dan/atau bersaling tindak secara electromagnet tapi tidak bersaling tindak kuat
nombor lepton – lepton number; nombor quantum yang mengira bilangan zarah asas lepton
bersaling tindak/saling tindakan – interact/interaction
reputan beta – beta decay
hukum keabadian – conservation law
saling tindakan lemah – weak interaction
reputan beta songsangan – inverse beta decay
simetri diskrit – discrete symmetries; kumpulan simetri diskrit adalah kumpulan yang unsurnya berbilang (countable). Contoh kumpulan ‘2 terdiri daripada dua unsur {0,1} dengan operasi hasiltambah mod 2 atau dua unsur {1,-1} dengan operasi hasildrab. Kumpulan ‘ 2 ini sesuai untuk realisasi pariti.
kepatuhan simetri cerminan – obeying reflection symmetry
skru putaran tangan kiri/kanan – left/right handed screw rotation
melanggar simetri cerminan – violating reflection symmetry
pemerangkapan elektron – electron capture
neutrino tangan kiri – left handed neutrino
antineutrino tangan kanan – right handed antineutrino
simetri diskrit gabungan – combined discrete symmetry
fizik berskala-Planck – Planck scale physics
Model Piawai – Standard Model; Model Piawai yang lazim dipertimbangkan ialah model bersimetri SU(3)xSU(2)xU(1) untuk memperihalkan saling tindakan kuat, saling tindakan lemah dan saling tindakan electromagnet dengan kandungan zarah asas tiga generasi, boson tetara untuk setiap saling tindakan dan boson Higgs
model suria – solar model
nyala suria – solar flare
keadaan perisa – flavour state
superposisi keadaan eigen jisim – superposition of mass eigenstates
matriks pencampuran – mixing matrix; matriks yang membuat transformasi antara berlainan keadaan eigen
duluan – precedent
SU(3) – dalam perwakilan asasnya adalah matriks 3×3 dengan unsur nombor kompleks yang bersifat unitari. Kumpulan matriks SU(3) adalah kumpulan (berparameter) selanjar yang bertindak ke atas matriks 3×1 dan dalam konteks perbincangan sebagai vektor mewakili 3 generasi
subkumpulan diskrit – discrete subgroups
cabang subkumpulan diskrit – branch of discrete subgroups
Catatan: Tiada penggunaan AI dalam penulisan teks makalah kecuali dalam pencarian fakta yang disertai pengesahan penulis. Gambar operasi putaran skru tangan kiri/kanan dijana dengan bantuan AI.
Rujukan
- https://www.nobelprize.org/prizes/physics/2026/press-release/
- https://neutrino-science.org/
- K. Agarwalla, S. Das dan M. Singh, “Neutrino Sources: From meV to EeV”, Eur. Phys. J. Spec. Top. 234 (2025) 4925-4938
- R. Ahmad dll di SNO, “Direct Evidence for Neutrino Flavor Transformation From Neutral-Current Interactions in the Sudbury Neutrino Observatory”, Phys. Rev. Lett. 89 (2002) 011301 (6ms)
- Bahcall dan R. Davis Jr., “Solar Neutrinos: A Scientific Puzzle”, Science 191 (1976) 264-267
- Arthur Beiser, Concepts of Modern Physics, (McGraw-Hill, 2003)
- S. Blum dan A.M. de Velasco, “The Genesis of the CPT Theorem”, Eur. Phys. J. H 47 (2022) 5 (16 ms)
- Laurie M. Brown, “The Idea of Neutrino”, Physics Today 31 (1978) 23-28
- L. Buchbinder, D.M. Gitman dan A.L. Shelepin, “Discrete Symmetries as Automorphisms of the Proper Poincaré Group”, Int. J. Theor. Phys. 41 (2002) 753-790
- Cabibbo, “Unitary Symmetry and Leptonic Decays”, Phys. Rev. Lett. 10 (1963) 531-533
- H. Christensen, J.W. Cronin, V.L. Fitch dan R. Turlay, “Evidence for the 2p Decay of the K20 Meson”, Phys. Rev. Lett. 13 (1964) 138-140
- L. Cowan Jr, F. Reines, F.B. Harrison, H.W. Kruse, dan A.D. McGuire, “Detection of the Free Neutrino”, Science 124 (1956) 103-104
- M. Danby, J.-M. Gaillard, K. Goulianos, L.M. Lederman, N. Mistry, M. Schwartz, dan J. Steinberger, “Observation of High-Energy Neutrino Reactions and the Existence of Two Kinds of Neutrinos”, Phys. Rev. Lett. 9 (1962) 36-44
- Enrico Fermi, “Versuch einer Theorie der β-Strahlen”, Zeitschrift für Physik 88 (1934) 161-177
- -M. Frère, “CP, T and Fundamental Interactions”, C.R. Physique 13 (2012) 104-110
- Fukuda dll di Super-Kamiokande, “The Super-Kamiokande Detector”, Nucl. Instr. Method Phys. Res. A 501 (2003) 418-462
- Fukuda dll di Super-Kamiokande, “Evidence for Oscillation of Atmospheric Neutrinos”, Phys. Rev. Lett. 81 (1998) 1562-1567
- Goldhaber, L. Grodzins dan A.W. Sunyar, “Helicity of Neutrinos”, Phys. Rev. 109 (1958) 1015-1017
- Francis Halzen dan Alan D. Martin, Quarks and Leptons – An Introductory Course in Modern Particle Physics, (John Wiley, 1984)
- Kerson Huang, Quarks, Leptons and Gauge Fields, (World Scientific, 1982)
- F. King dan C. Luhn, “Neutrino Mass and Mixing with Discrete Symmetry”, Rep. Prog. Phys. 76 (2013) 056201 (50ms)
- Kobayashi dan T. Maskawa, “CP-Violation in the Renormalizable Theory of Weak Interaction”, Prog. Theor. Phys. 49 (1973) 652-657
- Kodama dll di DONUT Collaboration, “Observation of Tau Neutrino Interactions”, Phys. Lett. B 504 (2001) 218-224
- Lehnert, “CPT and Lorentz Violation as Signatures for Planck-Scale Physics”, J. Phys.: Conf. Series 171 (2009) 012036 (6ms)
- Maki, M. Nakagawa dan S. Sakata, “Remarks on the Unified Model of Elementary Particles”, Prog. Theor. Phys. 28 (1962) 870-880
- Giulo Maltese, “Particles of Man (Part I)”, Mat. Int. 1 (2013) 145-154; “Particles of Man (Part II)”, Lett. Mat. Int.1 (2014a)199-208; “Particles of Man (Part III)”, Lett. Mat. Int. 2 (2014b) 133-138
- Norhasliza Yusof dan Hasan Abu Kassim, “Melihat Alam Semesta Melalui Neutrino: Nobel Fizik 2026 dan Peluang Untuk Malaysia” di https://www.majalahsains.com/melihat-alam-semesta-melalui-neutrino-nobel-fizik-2026-dan-peluang-untuk-malaysia/
- Pontecorvo, “Inverse Beta Processes and Nonconservation of Lepton Charge”, J. Expt. Theor. Phys. (USSR) 34 (1958) 247-249
- Pierre Ramond, Field Theory: A Modern Primer, (Routledge, 2020)
- F. Streater dan A.S. Wightman, PCT, Spin and Statistics, and All That, (W.A. Benjamin,1964)
- A. Vaccaro, “T Violation and the Unidirectionality of Time”, Found. Phys. 41 (2011) 1569-1596
- Eugene Wigner, “On Unitary Representations of the Inhomogeneous Lorentz Group”, Math. 40 (1939) 149-204
- S. Wu, E. Ambler, R.W. Hayward, D.D. Hoppes dan R.P. Hudson, “Experimental Test of Parity Conservation in Beta Decay”, Phys. Rev. 105 (1957) 1413-1415



