Penulis: Dr. Noor Suryani Mohd Ashari¹, Dr. Nur Diyana Mohd Shukri¹ & Dr. Syazwani Mohd Tajudin¹ ¹Pakar Imunologi & Pensyarah Perubatan, Jabatan Imunologi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
Apabila Anak Terlalu Kerap Jatuh Sakit
Seorang kanak-kanak berusia dua tahun sering mengalami demam, batuk dan jangkitan saluran pernafasan sejak lahir. Hampir setiap beberapa bulan, dia perlu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ada kalanya, jangkitan menjadi semakin serius sehingga memerlukan kemasukan ke wad dan rawatan antibiotik melalui salur darah.
Pada peringkat awal keadaan ini mungkin dianggap sebagai perkara biasa. Kanak-kanak sememangnya lebih mudah mendapat jangkitan kerana sistem imun mereka masih berkembang dan sedang belajar mengenali pelbagai mikroorganisma di persekitaran. Namun begitu, bagaimana jika jangkitan yang berulang ini sebenarnya merupakan petanda awal bahawa sistem pertahanan tubuh anak tersebut tidak berfungsi dengan sempurna?
Hakikatnya, terdapat penyakit yang menyebabkan seseorang dilahirkan dengan kecacatan pada sistem imun. Penyakit ini dikenali sebagai Primary Immunodeficiency (PID) atau penyakit kekurangan imuniti primer. Kanak-kanak yang menghidap penyakit ini mungkin mengalami jangkitan yang lebih kerap, lebih serius, dan sukar dirawat.
Apa yang lebih membimbangkan, sesetengah daripada penyakit ini boleh mengancam nyawa sekiranya tidak dikenal pasti dan dirawat lebih awal. Oleh itu, jangkitan berulang dalam kalangan kanak-kanak tidak seharusnya dipandang ringan, terutamanya apabila corak dan tahap keterukannya berbeza daripada jangkitan biasa.
Apakah itu Primary Immunodeficiency?
Sistem imun merupakan sistem pertahanan semula jadi tubuh yang berfungsi melindungi kita daripada pelbagai ancaman, termasuk bakteria, virus, kulat dan mikroorganisma lain. Sistem ini terdiri daripada rangkaian sel, tisu, organ dan protein yang bekerjasama untuk mengenali serta menghapuskan bahan asing yang boleh menyebabkan penyakit.
Namun begitu, tidak semua individu dilahirkan dengan sistem imun yang berfungsi secara normal. Sesetengah kanak-kanak mempunyai kecacatan atau kelainan genetik yang menjejaskan perkembangan atau fungsi satu atau lebih komponen sistem imun. Keadaan ini dikenali sebagai Primary Immunodeficiency (PID), iaitu sekumpulan penyakit yang berpunca daripada gangguan asas pada sistem pertahanan tubuh.
Walaupun penyakit ini berpunca daripada kecacatan atau kelainan genetik, gejalanya tidak semestinya muncul sejurus selepas kelahiran. Sesetengah kanak-kanak hanya mula menunjukkan tanda penyakit apabila antibodi daripada ibu yang diperoleh semasa dalam kandungan semakin berkurangan, lazimnya sekitar usia enam bulan. Keadaan ini menyebabkan perlindungan sementara yang diperoleh daripada ibu semakin berkurangan, sekali gus menjadikan gangguan fungsi sistem imun lebih ketara. Ada juga penyakit yang hanya dikenal pasti apabila kanak-kanak meningkat usia, malah ada yang tidak dikenal pasti sehinggalah mecapai usia dewasa.
Tanda-tanda penyakit Primary Immunodeficiency
Gambar rajah di bawah menunjukkan tanda-tanda amaran yang perlu diberi perhatian.

Walaupun tanda-tanda ini tidak semestinya bermaksud seseorang kanak-kanak menghidap Primary Immunodeficiency, ianya tidak boleh dipandang ringan. Sejarah jangkitan, tahap keterukan penyakit dan keadaan kesihatan keseluruhan anak perlu dinilai oleh doktor.
Perkara paling penting ialah ibu bapa perlu peka dan tidak seharusnya menganggap semua jangkitan berulang sebagai perkara biasa. Mengenali tanda-tanda awal boleh membantu kanak-kanak mendapatkan pemeriksaan dan rawatan sebelum berlaku komplikasi yang lebih serius.
Bagaimana Penyakit Ini Dikesan dan Dirawat?
Mengenal pasti Primary Immunodeficiency bukanlah sesuatu yang mudah kerana gejalanya boleh menyerupai penyakit biasa dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu, doktor perlu meneliti sejarah kesihatan pesakit, termasuk kekerapan jangkitan, jenis jangkitan yang dialami, tindak balas terhadap rawatan serta sejarah penyakit dalam keluarga.
Pemeriksaan darah boleh dilakukan untuk menilai bilangan sel darah putih dan paras antibodi dalam tubuh. Ujian yang lebih khusus pula dapat membantu mengenal pasti sama ada sel-sel pertahanan tubuh berfungsi dengan baik. Dalam sesetengah keadaan, ujian genetik diperlukan untuk mengesahkan jenis kecacatan atau kelainan yang menyebabkan penyakit tersebut.
Walaupun Primary Immunodeficiency merupakan penyakit yang berpunca daripada kecacatan atau kelainan genetik, terdapat beberapa pilihan rawatan yang boleh membantu pesakit menjalani kehidupan dengan lebih baik. Rawatan bergantung pada jenis dan tahap keterukan penyakit. Antaranya termasuk pemberian antibiotik untuk mencegah atau merawat jangkitan, serta terapi penggantian antibodi bagi pesakit yang tidak mampu menghasilkan antibodi yang mencukupi.
Bagi sesetengah pesakit dengan kecacatan sistem imun yang serius, pemindahan sel stem daripada penderma yang sesuai boleh menjadi pilihan rawatan. Kaedah ini bertujuan menggantikan sel pembentuk darah yang mengalami kecacatan dengan sel yang sihat. Dalam perkembangan perubatan moden, terapi gen juga mula menawarkan harapan baharu bagi penyakit tertentu dengan membetulkan kecacatan genetik yang mendasarinya.
Kemajuan dalam kaedah diagnosis dan rawatan ini menunjukkan bahawa Primary Immunodeficiency bukan lagi penyakit yang tiada harapan. Melalui pengesanan awal dan rawatan yang bersesuaian, sesetengah pesakit berpeluang menikmati kehidupan yang lebih sihat.
Mengenali tanda awal, mendapatkan diagnosis yang tepat dan memulakan rawatan lebih awal boleh mengubah masa depan seorang kanak-kanak.
Rujukan
- Adamu AS, Zainudeen ZT, Taib F, Zolkepli IA, Hashim IF, Omar A, et al. Primary Immunodeficiency Disease in Malaysia: Where Are We Now? Malaysian Journal of Paediatrics and Child Health. 2024;30(1):20–24. doi:10.51407/mjpch.v30i1.293.
- Poli MC, Aksentijevich I, Bousfiha AA, et al. Human inborn errors of immunity: 2024 update on the classification from the International Union of Immunological Societies Expert Committee. J Hum Immun. 2025;1(1):e20250003. doi:10.70962/jhi.20250003.
- Dąbrowska A, Grześk E, Urbańczyk A, Mazalon M, Grześk G, Styczyński J, Kołtan S. Extended list of warning signs in qualification to diagnosis and treatment of inborn errors of immunity in children and young adults. J Clin Med. 2023;12(10):3401. doi:10.3390/jcm12103401.
Biodata Penulis
1.Dr. Noor Suryani Mohd Ashari (Penulis utama)
Kelulusan akademik : Ijazah Sarjana Muda Perubatan (MD) USM & Sarjana Patologi (Clinical Imunology) USM
Jawatan : Pakar imunologi dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Imunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM.
Bidang kepakaran : Bidang Imunologi dengan pengkhususan dalam alergi, penyakit autoimun dan imunodefisiensi. Aktif menjalankan penyelidikan, menghasilkan penerbitan ilmiah serta menyampaikan ceramah berkaitan mekanisme penyakit, disregulasi sistem imun, keradangan, sitokin dan biomarker imunologi bagi memperkukuh diagnosis serta mengoptimumkan penjagaan pesakit.
2-Dr. Nur Diyana Mohd Shukri (Penulis Bersama)
Kelulusan akademik: Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Melaka Manipal Medical College (2010) dan Ijazah Sarjana Patologi (Imunologi Klinikal) dari Universiti Sains Malaysia (2021).
Jawatan: Pakar Imunologi dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Imunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM.
Bidang kepakaran: Imunologi, khususnya penyakit berkaitan sistem imun seperti penyakit autoimun dan penyakit alahan serta peranan sistem imun dalam kesihatan dan perkembangan penyakit.
3- Dr. Syazwani Mohd Tajudin (Penulis Bersama)
Kelulusan akademik: Ijazah Perubatan dari Volgograd State Medical University (2010) dan Ijazah Sarjana Patologi (Mikrobiologi Perubatan) dari Universiti Sains Malaysia (2020)
Jawatan: Pakar Mikrobiologi dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Imunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM.
Bidang kepakaran: Mikrobiologi Perubatan dan Imunologi, khususnya mekanisme tindak balas imun, penyakit berkaitan sistem imun serta peranan sistem imun dalam kesihatan.




