Tuesday, November 10, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Apabila Bencana Melanda: Bagaimana Makmal Klinikal Memastikan Perkhidmatan Kesihatan Terus Berjalan?

Apabila Bencana Melanda: Bagaimana Makmal Klinikal Memastikan Perkhidmatan Kesihatan Terus Berjalan?

Editor by Editor
10/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Oleh: Prof. Madya Dr. Tuan Salwani Tuan Ismail¹, En. Ibrahim Ismail² & Puan Ainun Izzati Binti Razali³
¹Pakar Patologi Kimia &Ketua Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM)
²Pegawai Sains, Makmal Endokrin, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM)
³Juruteknologi Makmal Perubatan Kanan (JTMP Kanan), Makmal Endokrin, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM)

Bayangkan situasi apabila hujan lebat berterusan selama beberapa hari sehingga menyebabkan banjir besar. Jalan raya terputus, bekalan elektrik terganggu dan sebahagian fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi seperti biasa. Dalam keadaan ini, ramai mungkin tertanya-tanya sama ada hospital masih mampu memberikan rawatan kepada pesakit.

Bagaimana pula dengan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) yang memerlukan pemantauan darah secara berterusan? Bagaimana jika seseorang mengalami serangan jantung dan memerlukan ujian darah segera? Bagaimana dengan pesakit diabetes atau penyakit buah pinggang yang masih memerlukan pemantauan kesihatan?

Hakikatnya, keperluan kesihatan masyarakat tidak terhenti apabila bencana berlaku. Malah, dalam keadaan tertentu, permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan boleh meningkat sedangkan kemampuan fasiliti kesihatan untuk beroperasi mungkin semakin terhad.

Di sebalik kelangsungan perkhidmatan hospital, terdapat satu aspek persediaan yang jarang diketahui masyarakat umum, iaitu pelan kontingensi (contingency plan). Perancangan ini amat penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan, termasuk perkhidmatan makmal klinikal, dapat diteruskan walaupun berhadapan dengan gangguan atau bencana.

Apakah itu Pelan Kontingensi?

Pelan kontingensi merupakan perancangan awal yang menetapkan tindakan alternatif sekiranya berlaku gangguan terhadap operasi sesebuah organisasi. Dalam konteks perkhidmatan kesihatan, pelan ini bertujuan memastikan perkhidmatan penting dapat diteruskan walaupun hospital atau makmal berhadapan dengan keadaan luar jangka.

Bencana tidak semestinya merujuk kepada banjir, kebakaran atau gempa bumi. Gangguan bekalan elektrik, kerosakan peralatan utama, kekurangan petugas kesihatan, gangguan sistem komputer, serangan siber dan masalah bekalan ubat-ubatan atau bahan makmal juga boleh menjejaskan operasi hospital.

Sebagai contoh, apabila sistem komputer hospital mengalami gangguan, pendaftaran pesakit dan pelaporan keputusan ujian mungkin tidak dapat dilakukan secara elektronik. Tanpa persediaan alternatif, keadaan ini boleh menyebabkan kelewatan dalam proses diagnosis dan rawatan.

Namun, jika pelan kontingensi telah disediakan, prosedur pendaftaran dan dokumentasi secara manual boleh diaktifkan sementara menunggu sistem kembali pulih. Dengan cara ini, perkhidmatan penting masih boleh diteruskan tanpa bergantung sepenuhnya kepada sistem elektronik. Inilah tujuan utama pelan kontingensi: memastikan sesuatu gangguan tidak menyebabkan keseluruhan perkhidmatan kesihatan terhenti.

Makmal klinikal: Perkhidmatan di Sebalik Tabir yang Menyelamatkan Nyawa

Apabila bercakap tentang hospital, kebanyakan masyarakat membayangkan doktor, jururawat, wad dan jabatan kecemasan. Namun, terdapat satu komponen penting yang beroperasi di sebalik tabir, iaitu makmal klinikal.

Makmal klinikal memainkan peranan penting dalam membantu doktor membuat keputusan berkaitan diagnosis, pemantauan dan rawatan pesakit. Ujian darah seperti glukosa, elektrolit, fungsi buah pinggang, kiraan darah penuh dan penanda jantung memberikan maklumat penting tentang keadaan kesihatan seseorang.

Sebagai contoh, pesakit yang disyaki mengalami serangan jantung mungkin memerlukan ujian troponin bagi membantu penilaian kecederaan otot jantung. Pesakit di ICU pula mungkin memerlukan pemantauan gas darah dan elektrolit untuk membantu doktor menentukan rawatan yang sesuai.

Bayangkan jika makmal tidak dapat beroperasi akibat banjir, bekalan elektrik terputus atau kerosakan peralatan utama. Kelewatan mendapatkan keputusan ujian boleh menjejaskan keputusan klinikal dan seterusnya memberi kesan kepada keselamatan pesakit.

Oleh itu, kesinambungan operasi makmal klinikal bukan sekadar isu teknikal atau pengurusan peralatan. Ia merupakan sebahagian daripada usaha memastikan pesakit terus menerima rawatan yang diperlukan.

Bagaimana Makmal Klinikal Bersedia Menghadapi Bencana?

Makmal klinikal tidak semestinya perlu beroperasi pada kapasiti penuh ketika bencana. Sebaliknya, perkara paling penting ialah memastikan ujian yang diperlukan untuk keputusan klinikal segera dapat diteruskan. Beberapa langkah persediaan perlu dirancang lebih awal.

i- Mengutamakan ujian yang benar-benar kritikal

Tidak semua ujian makmal mempunyai tahap keutamaan yang sama ketika kecemasan. Ujian seperti glukosa, elektrolit, gas darah dan kiraan darah bagi pesakit kritikal perlu diberikan keutamaan berdasarkan keperluan klinikal.

Sebaliknya, sesetengah ujian rutin yang tidak mendesak, seperti pemeriksaan vitamin D atau hormon tertentu, mungkin boleh ditangguhkan selepas perbincangan dan persetujuan klinikal.

Walau bagaimanapun, keutamaan sesuatu ujian bergantung kepada keadaan pesakit. Ujian yang biasanya dianggap rutin juga boleh menjadi penting sekiranya diperlukan untuk membuat keputusan rawatan segera.

ii- Menyediakan peralatan dan makmal alternatif

Sekiranya peralatan analisis utama mengalami kerosakan, makmal boleh menggunakan peralatan alternatif yang telah dinilai dan disahkan sesuai. Ujian tertentu juga boleh dilakukan menggunakan peralatan point-of-care testing (POCT), iaitu peralatan yang membolehkan ujian dijalankan berhampiran pesakit, contohnya di jabatan kecemasan atau ICU.

Jika kemudahan tersebut tidak tersedia, sampel pesakit boleh dihantar ke makmal lain yang mempunyai keupayaan menjalankan ujian berkenaan.

Namun, penghantaran sampel perlu disertai prosedur pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan yang betul bagi memastikan kualiti sampel serta ketepatan keputusan ujian tidak terjejas.

iii-Memastikan bekalan elektrik dan sumber alternatif

Makmal sangat bergantung kepada bekalan elektrik untuk mengendalikan peralatan analisis, peti sejuk, peti sejuk beku dan sistem komputer. Gangguan bekalan elektrik bukan sahaja boleh menghentikan aktiviti ujian, malah berpotensi menjejaskan kestabilan sampel, reagen dan bahan kawalan kualiti.

Oleh itu, bekalan kuasa kecemasan seperti generator dan sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) perlu disediakan untuk peralatan yang kritikal. Makmal juga perlu mempunyai prosedur pemindahan sampel dan bahan yang memerlukan penyimpanan pada suhu tertentu.

iv- Memastikan petugas kesihatan mencukupi dan kompeten

Ketika banjir atau bencana lain, sebahagian petugas mungkin tidak dapat hadir bertugas kerana kediaman atau laluan perjalanan terjejas. Hospital dan makmal perlu mengenal pasti bilangan minimum petugas yang kompeten untuk meneruskan perkhidmatan penting.

Latihan silang, senarai petugas sokongan, jadual bertugas kecemasan dan pembahagian tanggungjawab perlu dirancang lebih awal. Dalam masa yang sama, keselamatan serta kebajikan petugas tidak boleh diketepikan.

v- Memastikan maklumat pesakit dan komunikasi tidak terputus

Gangguan sistem maklumat makmal atau Laboratory Information System (LIS) boleh menjejaskan pendaftaran sampel, pemprosesan ujian dan pelaporan keputusan.

Oleh itu, makmal perlu mempunyai prosedur operasi secara manual, termasuk penggunaan borang permohonan ujian, rekod penerimaan sampel dan pelaporan keputusan. Keputusan kritikal perlu disampaikan secara terus kepada pegawai perubatan yang bertanggungjawab.

Apabila sistem kembali pulih, semua rekod manual perlu dimasukkan semula dan disemak bagi memastikan maklumat pesakit kekal tepat serta boleh dijejaki.

Mengapa Masyarakat Perlu Mengambil Tahu?

Mungkin ada yang beranggapan bahawa pelan kontingensi merupakan urusan pentadbiran hospital semata-mata. Sebenarnya, kefahaman masyarakat terhadap perkara ini juga penting.

Pertama, masyarakat perlu memahami bahawa ketika bencana, sesetengah perkhidmatan kesihatan mungkin mengalami perubahan operasi. Temu janji atau ujian rutin yang tidak mendesak mungkin ditangguhkan, manakala perkhidmatan kecemasan dan rawatan kritikal akan diberikan keutamaan. Ini bukan bermaksud sistem kesihatan mengabaikan pesakit, tetapi merupakan langkah pengurusan sumber yang terhad berdasarkan keperluan klinikal.

Kedua, masyarakat boleh membuat persediaan kesihatan sendiri sebelum bencana berlaku. Pesakit yang menghidap penyakit kronik disarankan memastikan bekalan ubat mencukupi mengikut nasihat doktor, menyimpan senarai ubat yang diambil serta mengetahui cara menghubungi fasiliti kesihatan yang merawat mereka. Rekod kesihatan penting juga boleh disimpan dalam bentuk salinan fizikal atau digital yang mudah dicapai.

Ketiga, masyarakat perlu mengetahui lokasi fasiliti kesihatan alternatif sekiranya hospital atau klinik berdekatan tidak dapat diakses. Sebarang perubahan lokasi atau operasi perkhidmatan perlu dirujuk melalui saluran rasmi pihak berkuasa kesihatan.

Paling penting, pesakit tidak seharusnya menghentikan rawatan atau mengubah dos ubat sendiri hanya kerana berlaku gangguan perkhidmatan. Sebaliknya, mereka perlu mendapatkan nasihat daripada petugas kesihatan melalui saluran yang tersedia.

Persediaan Hari Ini, Perlindungan Untuk Hari Esok

Pelan kontingensi yang baik tidak dibangunkan hanya selepas bencana berlaku. Ia memerlukan penilaian risiko, pengenalpastian perkhidmatan kritikal, penyediaan sumber alternatif, latihan petugas dan simulasi secara berkala.

Persediaan ini juga memerlukan kerjasama antara pihak pengurusan hospital, jabatan klinikal, makmal, farmasi, unit teknologi maklumat dan agensi berkaitan. Setiap pihak perlu memahami peranan masing-masing agar tindakan dapat dilaksanakan dengan teratur apabila berlaku kecemasan.

Satu prinsip penting dalam pengurusan kesinambungan perkhidmatan ialah mengenal pasti risiko sebelum bencana, menentukan perkhidmatan yang perlu diteruskan, menyediakan tindakan alternatif, memulihkan operasi dengan selamat serta menilai dan menambah baik persediaan secara berterusan.

Akhirnya, ketahanan sistem kesihatan bukan hanya diukur melalui keupayaan hospital merawat pesakit ketika keadaan normal. Ia juga diukur melalui keupayaan sistem tersebut untuk terus memberikan perkhidmatan penting apabila berhadapan dengan keadaan yang paling mencabar.

Bencana mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi gangguan terhadap perkhidmatan kesihatan boleh dikurangkan melalui persediaan yang terancang. Pelan kontingensi mungkin tidak kelihatan oleh masyarakat, namun peranannya amat besar dalam memastikan rawatan tidak terhenti, keputusan klinikal dapat dibuat dan keselamatan pesakit terus dilindungi.

Kesinambungan perkhidmatan kesihatan ketika bencana bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada perancangan dan persediaan yang teliti demi memastikan setiap pesakit terus mendapat perhatian dan rawatan yang sewajarnya.

Rujukan

  1. Bolayırlı, İ. M., Kucur, M., & Konukoğlu, D. (2023). The laboratory preparedness and tasks in disaster situations. Cerrahpaşa Medical Journal, 47(Suppl 1), 75–77.
  2. International Organization for Standardization. (2022). ISO 15189:2022 Medical laboratories; Requirements for quality and competence.
  3. National Research Council. (2011). Prudent Practices in the Laboratory: Handling and Management of Chemical Hazards. National Academies Press.
  4. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2025). Chemical, Biological, Radiological, Nuclear, and Explosives Management Guidelines.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Dr. Tuan Salwani Tuan IsmailHospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM)makmal bencanaMakmal Endokrinmakmal kritikalPakar Patologi Kimiaperkhidmatan makmal bencana kritikalPusat Pengajian Sains PerubatanUniversiti Sains Malaysia (USM)
Previous Post

HPV Bukan Sekadar Kanser Serviks: Kenali Jangkitan, Risiko Kanser dan Langkah Pencegahannya

Next Post

Anak Kerap Jatuh Sakit: Bolehkah Ia Menjadi Ancaman Nyawa?

Editor

Editor

Related Posts

Herba Semula Jadi, Adakah Semestinya Selamat?
Berita & Peristiwa

Herba Semula Jadi, Adakah Semestinya Selamat?

2 hours ago
Bukan Sekadar Kolesterol: Memahami Rahsia di Sebalik Ujian Profil Lipid
Berita & Peristiwa

Bukan Sekadar Kolesterol: Memahami Rahsia di Sebalik Ujian Profil Lipid

2 hours ago
Anak Kerap Jatuh Sakit: Bolehkah Ia Menjadi Ancaman Nyawa?
Berita & Peristiwa

Anak Kerap Jatuh Sakit: Bolehkah Ia Menjadi Ancaman Nyawa?

3 hours ago
HPV Bukan Sekadar Kanser Serviks: Kenali Jangkitan, Risiko Kanser dan Langkah Pencegahannya
Berita & Peristiwa

HPV Bukan Sekadar Kanser Serviks: Kenali Jangkitan, Risiko Kanser dan Langkah Pencegahannya

1 day ago
Next Post
Anak Kerap Jatuh Sakit: Bolehkah Ia Menjadi Ancaman Nyawa?

Anak Kerap Jatuh Sakit: Bolehkah Ia Menjadi Ancaman Nyawa?

Kategori Produk

  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In