Penulis : Dr. Ahmad Adebayo Irekeola & Profesor Madya Dr. Nur Karyatee Binti Kassim
Pensyarah Universiti & Pakar Patologi Kimia / Pensyarah Perubatan
Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia
Human papillomavirus atau HPV sering dikaitkan dengan kanser serviks. Namun, virus ini sebenarnya jauh lebih lazim daripada yang disangka dan boleh menjangkiti kulit, kawasan kemaluan, dubur serta bahagian mulut dan tekak. Kebanyakan jangkitan tidak menimbulkan gejala dan akan dikawal oleh sistem imun. Masalah timbul apabila jenis HPV berisiko tinggi kekal dalam tubuh untuk tempoh yang panjang, kerana keadaan ini boleh menyebabkan perubahan sel yang akhirnya berkembang menjadi kanser. Berita baiknya, sebahagian besar penyakit berkaitan HPV boleh dicegah melalui vaksinasi, saringan dan tindakan awal.
Apakah itu Human Papillomavirus?

HPV bukan satu virus tunggal . Virus ini tergolong dalam keluarga Papillomaviridae dan membawa genetik DNA berbebenang ganda dua berbentuk bulat. Lebih daripada 200 jenis HPV telah dikenal pasti dan setiap jenis- mempunyai kecenderungan menjangkiti tisu tertentu .
Secara umum HPV terbahagi kepada jenis berisiko rendah dan berisiko tinggi, berdasarkan potensi mereka untuk menyebabkan kanser. HPV6 dan HPV11 ialah antara jenis berisiko rendah yang menyebabkan kebanyakan ketuat kelamin. Jenis ini biasanya tidak menyebabkan kanser. Sebaliknya, HPV16 dan HPV18 ialah antara jenis berisiko tinggi, yang paling penting kerana jangkitan berterusan boleh mencetuskan perubahan prakanser dan kanser. Walau bagaimanapun, keputusan positif HPV berisiko tinggi bukan bermaksud seseorang itu sudah menghidap kanser.
Bagaimanakah HPV merebak?
HPV merebak terutamanya melalui sentuhan kulit dengan kulit atau permukaan mukosa yang intim , khususnya semasa aktiviti seksual melalui faraj, dubur, atau mulut. Hubungan seksual yang melibatkan penembusan tidak semestinya berlaku untuk membolehlkan penularan virus ini. Sentuhan pada kawasan kulit kelamin atau permukaan mukosa yang telah dijangkiti juga boleh mencukupi.
Jangkitan HPV sangat lazim dalam kalangan individu yang aktif secara seksual, dan seseorang boleh dijangkiti virus ini tanpa disedarinya. Seseorang boleh menyebarkan HPV walaupun tidak mempunyai ketuat atau gejala. Virus ini juga boleh berada dalam tubuh tanpa dikesan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Oleh sebab itu, masa jangkitan berlaku dan individu yang menjadi sumber jangkitan selalunya tidak dapat dikenal pasti dengan tepat.
Jangkitan HPV bukan bukti pasangan curang. Menjadikan diagnosis HPV sebagai ukuran kesetiaan boleh menimbulkan stigma serta konflik yang tidak berasas. Perkara yang lebih penting ialah mendapatkan maklumat yang betul, mengikuti nasihat klinikal dan menjalani saringan apabila disarankan.
Apakah yang Berlaku Selepas Jangkitan?
Bagi kebanyakan orang, sistem imun mengawal jangkitan HPV dan virus menjadi tidak dapat dikesan dalam tempoh satu hingga dua tahun. Jangkitan ini selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala dan tidak menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang. Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan bahawa tubuh mengawal jangkitan secara semula jadi dalam kira-kira 90 peratus individu [4]. Mereka mungkin tidak pernah menyedari bahawa jangkitan pernah berlaku.
Sebahagian kecil jangkitan, terutamanya yang melibatkan jenis HPV berisiko tinggi, , boleh berterusan. Jangkitan yang berterusan mengganggu kawalan pertumbuhan sel dan menyebabkan perubahan abnormal secara perlahan. Jika perubahan prakanser tidak dikesan dan dirawat, ia boleh berkembang menjadi kanser selepas beberapa tahun. Proses ini bukan berlaku serta-merta dan dipengaruhi oleh jenis virus, kekuatan sistem imun, tabiat merokok serta keadaan yang melemahkan imuniti.
Apakah Penyakit yang Boleh Disebabkan oleh HPV?

Jenis HPV berisiko rendah, menyebabkan ketuat pada kulit atau ketuat kelamin. Ketuat kelamin lazimnya muncul sebagai ketumbuhan kecil , rata atau berkelompok di sekitar kawasan kemaluan atau dubur. Walaupun biasanya bukan kanser, ketuat ketuat ini boleh menimbulkan ketidakselesaan, kebimbangan dan stigma.
Jenis HPV berisiko tinggi pula menjadi punca kepada hampir semua kes kanser serviks. Ia turut dikaitkan dengan kanser vulva, faraj, zakar, dubur, dan orofarinks , iaitu bahagian tekak termasuk pangkal lidah dan tonsil. Oleh itu, HPV bukan isu kesihatan wanita semata-mata. Lelaki juga boleh dijangkiti, menyebarkan virus dan mengalami penyakit berkaitan HPV.
Pencegahan memerlukan lebih daripada satu langkah
Vaksinasi
Vaksin HPV ialah lagkah pencegahan utama terhadap jenis virus yang menyebabkan kebanyakan kanser berkaitan HPV dan ketuat kelamin. Vaksin paling berkesan apabila diberikan sebelum seseorang terdedah kepada virus tersebut; sebab itu program vaksinasi memberi keutamaan kepada remaja. Vaksin mencegah jangkitan baharu; ia bukan rawatan untuk menghapuskan jangkitan HPV yang telah sedia ada .
Saringan serviks
Vaksinasi tidak mengantikan saringan serviks. Vaksin yang tersedia tidak meliputi semua jenis HPV, manakala saringan dapat mengesan HPV berisiko tinggi atau perubahan prakanser sebelum gejala muncul. Garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia mengutamakan ujian HPV sebagai kaedah saringan primer dan menyediakan laluan susulan berdasarkan keputusan ujian . Jadual saringan hendaklah mengikut umur, sejarah kesihatan dan nasihat petugas kesihatan.
Amalan yang mengurangkan risiko
Penggunaan kondom dapat mengurangkan risiko penularan HPV. tetapi tidak memberikan perlindungan sepenuhnya kerana sebahagian kulit kawasan kemaluan masih terdedah. Amalan seksual yang bertanggungjawab, komunikasi terbuka dan pemeriksaan apabila bergejala turut membantu mengurangkan kemudaratan.
Bilakah pemeriksaan perubatan diperlukan?
Dapatkan penilaian perubatan jika terdapat ketumbuhan luar biasa pada pada kawasan kemaluan, dubur atau mulut; luka yang tidak sembuh, pendarahan tidak dapat dijelaskan, sakit ketika hubungan seksual; suara serak atau sakit tekak yang berlarutan atau gejala lain yang membimbangkan,. Gejala ini tidak semestinya disebabkan oleh HPV atau kanser, tetapi pemeriksaan awal membolehkan puncanya dikenal pasti.
Pada masa ini, tiada satu ujian rutin yang yang boleh digunakan untuk mengesan semua jangkitan HPV dalam kalangan lelaki, atau semua bahagian tubuh [4,5]. Kanser serviks kekal sebagai kanser berkaitan HPV yang mempunyai program saringan populasi. Bagi keadaan lain, doktor menentukan pemeriksaan berdasarkan gejala, faktor risiko dan lokasi yang terlibat.
HPV ialah jangkitan yang lazim dan selalunya tidak bergejala. Namun, Namun, jangkitan berisiko tinggi yang berterusan tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan beberapa jenis kanser. Pencegahan yang paling berkesan menggabu mengurangkan risiko dan pemeriksaan awal apabila terdapat gejala Pengetahuan yang tepat juga penting untuk mengurangkan stigma: diagnosis HPV bukan penentu kesetiaan seseorang dan bukan hukuman bahawa kanser pasti akan berlaku.
Rujukan
- Tan WC, Othman S, Lim SK, Rashid NN, Heh CH. A Reverse Structure-based Design of HPV E7 Inhibitor. Curr Comput Aided Drug Des. 2022;18(4):318-325.
- Cheng L, Wang Y, Du J. Human Papillomavirus Vaccines: An Updated Review. Vaccines (Basel). 2020;8(3):391.
- Winer RL, Lee SK, Hughes JP, Adam DE, Kiviat NB, Koutsky LA. Genital human papillomavirus infection: incidence and risk factors in a cohort of female university students. Am J Epidemiol. 2003;157(3):218-26.
- World Health Organization (WHO). https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/human-papilloma-virus-and-cancer (Accessed November 1, 2026).
- World Health Organization. Cervical cancer. 3 July 2026. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/cervical-cancer
- Ministry of Health Malaysia. Guidelines for Cervical Cancer Screening in Malaysia. 2nd ed. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia; 2023
- Romero Crespo A, Bautista Vidal JC, de la Peña Rodríguez de Medina M. Human Papillomavirus in Men: An Updated Review of its Clinical and Epidemiological Relevance. Actas Dermosifiliogr. 2026;117(8):104661.
Biodata Penulis

Dr. Ahmad Adebayo Irekeola merupakan Pensyarah Universiti dalam bidang Mikrobiologi di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM). Kepakaran beliau merangkumi virologi, epidemiologi virus, mikrobiologi dan penyakit berjangkit. Beliau aktif dalam pengajaran serta penyelidikan berkaitan jangkitan virus, termasuk aspek penularan, diagnosis, pencegahan dan kaitannya dengan perkembangan penyakit.

Profesor Madya Dr. Nur Karyatee Binti Kassim merupakan Pakar Perunding Patologi Kimia dan Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang kimia klinikal, endokrinologi dan perubatan metabolik. Beliau aktif dalam pengajaran, penyelidikan, latihan profesional serta pendidikan masyarakat mengenai kepentingan pencegahan, saringan dan pengesanan awal penyakit.



