Penulis: Dr. Musaalbakri Abdul Manan
Pengarah,
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
Pejabat MARDI Negeri Johor
Pengenalan
Perkembangan sains pemakanan dan mikrobiologi telah meningkatkan pemahaman tentang hubungan antara mikroorganisma, makanan dan kesihatan manusia. Mikroorganisma bukan sahaja memainkan peranan dalam proses penghasilan makanan difermentasi, malah turut menyumbang kepada fungsi pencernaan, sistem imun dan keseimbangan mikrobiota dalam tubuh. Seiring dengan perkembangan penyelidikan, pelbagai istilah berkaitan mikroorganisma dan kesihatan telah diperkenalkan, termasuk probiotik, prebiotik, sinbiotik, postbiotik dan makanan terfermentasi. Istilah-istilah ini sentiasa digunakan dalam penerbitan saintifik, industri makanan dan produk kesihatan, penggunaannya kadangkala mengelirukan. Keadaan ini bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan, malah membuka ruang kepada penyalahgunaan istilah, khususnya dalam kalangan pihak industri yang menggunakannya secara sewenang-wenangnya tanpa justifikasi atau sokongan bukti saintifik yang mencukupi. Penggunaan istilah seperti probiotik, prebiotik, sinbiotik dan postbiotik dalam sesuatu produk tidak seharusnya hanya bersandarkan kepada tanggapan umum bahawa istilah tersebut mempunyai manfaat kesihatan yang telah dibuktikan melalui pelbagai kajian saintifik. Sebaliknya, dakwaan sedemikian perlu disokong oleh bukti saintifik yang relevan dan khusus terhadap mikroorganisma, bahan atau formulasi yang digunakan dalam produk berkenaan. Hal ini penting kerana manfaat kesihatan yang dilaporkan dalam sesuatu kajian, termasuk kajian berkaitan teknologi fermentasi, tidak semestinya boleh digeneralisasikan kepada semua produk yang menggunakan mikroorganisma atau dihasilkan melalui proses fermentasi. Sesetengah istilah mempunyai sejarah penggunaan melebihi 25 tahun, manakala yang lain diperkenalkan dengan lebih meluas hasil perkembangan penyelidikan terkini. Setiap istilah mempunyai definisi, ciri dan kriteria saintifik tersendiri yang perlu difahami bagi mengelakkan salah tafsir terhadap fungsi serta manfaat kesihatannya.
Bagi memperjelas perbezaan tersebut, Persatuan Saintifik Antarabangsa bagi Probiotik dan Prebiotik atau International Scientific Association for Probiotics and Prebiotics (ISAPP) melibatkan pakar antarabangsa daripada pelbagai bidang untuk membangunkan definisi konsensus berdasarkan bukti saintifik semasa. Usaha ini bertujuan memastikan istilah berkaitan biotik digunakan secara tepat oleh penyelidik, pengeluar makanan, pengamal kesihatan dan pengguna. Selain itu, semua bahan yang digunakan dalam produk berkenaan perlu selamat untuk tujuan penggunaannya. Produk yang memerlukan bukti manfaat kesihatan hendaklah mengandungi bahan pada tahap yang berkesan dan dikenal pasti dengan jelas.
Probiotik: Mikroorganisma Hidup yang Memberikan Manfaat Kesihatan
Probiotik ditakrifkan sebagai mikroorganisma hidup yang memberikan manfaat kesihatan kepada perumah apabila diambil dalam jumlah yang mencukupi (Hill et al., 2014). Secara mudah, probiotik merupakan mikroorganisma hidup yang bermanfaat kepada kesihatan. Mikroorganisma ini boleh membantu menyokong keseimbangan komuniti mikrob dalam tubuh, terutamanya apabila keseimbangan tersebut terganggu akibat penggunaan antibiotik, pemakanan yang kurang baik atau perubahan persekitaran ketika melakukan perjalanan (Salminen et al., 2021).
Probiotik boleh menyokong fungsi sistem imun, membantu proses pencernaan melalui pemecahan komponen makanan tertentu yang sukar dihadam, mengawal pertumbuhan mikroorganisma berbahaya serta menyumbang kepada penghasilan vitamin dan penyerapan nutrient (Gibson et al., 2017). Sesetengah strain probiotik juga berpotensi membantu mengurangkan cirit-birit yang berkaitan dengan penggunaan antibiotik, mengurus ketidakselesaan pencernaan, mengurangkan gejala kolik dan ekzema dalam kalangan bayi, membantu pencernaan laktosa serta mengurangkan risiko atau tempoh sesetengah jangkitan (Yan dan Goldman, 2020).
Walau bagaimanapun, manfaat probiotik tidak boleh digeneralisasikan kepada semua mikroorganisma. Identiti probiotik perlu dikenal pasti berdasarkan genus, spesies, subspesies dan strain. Sebagai contoh, Bifidobacterium animalis subsp. lactis XYZ boleh dihuraikan melalui genus Bifidobacterium, spesies animalis, subspesies lactis dan strain XYZ (Jungersen et al., 2014). Pengenalpastian yang tepat, termasuk pengesahan melalui penjujukan genom, penting untuk memastikan mikroorganisma yang digunakan sepadan dengan bukti penyelidikan berkaitan manfaat kesihatannya (Mustafa, 2024). Pemilihan produk probiotik juga perlu mengambil kira strain dan dos yang digunakan dalam kajian. Jumlah mikroorganisma yang lebih tinggi tidak semestinya memberikan manfaat yang lebih besar. Produk perlu mengekalkan bilangan mikroorganisma hidup pada tahap berkesan sehingga tarikh akhir penggunaan yang dinyatakan, bukannya hanya memenuhi keperluan ketika produk mula dihasilkan.
Probiotik boleh didapati dalam kebanyakkan makanan terfermentasi tertentu, seperti yogurt dan susu masam atau susu kultur, serta dalam suplemen pemakanan. Namun begitu, tidak semua makanan terfermentasi memenuhi definisi probiotik. Keselamatan penggunaannya juga perlu dipertimbangkan, khususnya bagi individu yang mempunyai gangguan sistem imun, penyakit serius atau sindrom usus pendek, serta sebelum diberikan kepada bayi kecil. Golongan ini wajar mendapatkan nasihat profesional kesihatan sebelum menggunakan produk probiotik.
Prebiotik: Sumber Makanan untuk Mikroorganisma Bermanfaat
Prebiotik ditakrifkan sebagai substrat yang digunakan secara selektif oleh mikroorganisma perumah sehingga memberikan manfaat kesihatan kepada perumah tersebut (Hill et al., 2014). Dalam bahasa yang lebih mudah, prebiotik ialah bahan yang menjadi sumber makanan bagi mikroorganisma bermanfaat yang hidup di dalam atau pada tubuh manusia (Salminen et al., 2021). Berbeza daripada probiotik, prebiotik tidak memerlukan kehadiran mikroorganisma hidup sebagai bahan aktifnya.
Mikrobiota usus manusia merupakan komuniti mikroorganisma yang kompleks, dianggarkan terdiri daripada kira-kira 38 trilion mikroorganisma, termasuklah bakteria, virus, kulat dan arkea yang mendiami saluran gastrousus manusia (Beyoglu and Idle, 2026). Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding anggaran 30 trilliom sel somatik dalam tubuh manusia. Mikrobiom pula merangkumi lebih 500 spesies mikroorganisma yang berbeza dan dianggarkan membawa kira-kira 3.3 juta gen (Jungersen et al., 2014). Komuniti ini memainkan peranan penting dalam menyokong fungsi pencernaan, sistem imun dan metabolisme melalui interaksi rapat dengan tubuh. Walau bagaimanapun, keseimbangan mikrobiota usus yang dikenali sebagai eubiosis perlu dikekalkan bagi memastikan fungsi tersebut berjalan dengan baik. Ketidakseimbangan mikrobiota atau disbiosis pula dikaitkan dengan pelbagai penyakit tidak berjangkit, termasuk hipertensi, kolesterol, penyakit kardiovaskular, obesiti, diabetes, penyakit radang usus dan kanser, yang berpotensi menjejaskan jangka hayat serta kualiti hidup (Beyoglu and Idle, 2026). Dalam konteks ini, prebiotik memainkan peranan penting dalam menyokong keseimbangan dan kepelbagaian mikrobiota usus melalui perubahan terpilih terhadap komposisi dan fungsinya (Gibson et al., 2017). Prebiotik bertindak sebagai substrat yang boleh dimanfaatkan secara selektif oleh mikroorganisma tertentu, sekali gus membantu menyokong pertumbuhan dan aktiviti mikroorganisma yang memberikan manfaat kepada kesihatan (Davani-Davari et al., 2019). Kebanyakan prebiotik terdiri daripada serat pemakanan, namun bukan semua jenis serat mempunyai ciri prebiotik. Antara contoh prebiotik yang dikenal pasti termasuklah galaktooligosakarida (GOS), fruktooligosakarida (FOS), inulin, laktulosa (Karakan et al., 2021), sesetengah jenis kanji rintang dan oligosakarida susu manusia. Keupayaan bahan-bahan ini untuk dimanfaatkan secara selektif oleh mikroorganisma tertentu menjadikannya komponen penting dalam pemakanan yang menyokong kesihatan usus. Oleh itu, pengambilan makanan yang kaya dengan prebiotik merupakan salah satu pendekatan pemakanan yang berpotensi membantu mengekalkan eubiosis, mengurangkan risiko disbiosis dan menyokong kesihatan manusia dalam jangka panjang.
Prebiotik boleh diperoleh secara semula jadi daripada makanan atau ditambahkan ke dalam makanan dan suplemen pemakanan, termasuk produk untuk bayi. Pengambilan pelbagai makanan tumbuhan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, kekacang dan bijian dapat membantu meningkatkan pengambilan substrat yang berpotensi bersifat prebiotik. Sebagai contoh, bawang, bawang putih dan articok Jerusalem mengandungi FOS atau inulin, manakala kentang yang dimasak dan disejukkan boleh menjadi sumber kanji rintang. Makanan tumbuhan turut mengandungi pelbagai sebatian polifenol yang sedang dikaji bagi menentukan potensi peranannya sebagai prebiotik.
Susu ibu juga merupakan sumber prebiotik yang penting. Oligosakarida susu ibu menyokong kesihatan bayi melalui galakan pertumbuhan mikroorganisma usus yang bermanfaat (Walsh et al., 2020). Dari segi fungsi kesihatan, prebiotik berpotensi membantu melancarkan pencernaan dan keteraturan pembuangan air besar, menyokong sistem imun, meningkatkan penyerapan mineral serta membantu mengawal selera makan, keseimbangan tenaga dan metabolisme glukosa (Monteiroet al., 2026). Walaupun demikian, pengambilan prebiotik secara berlebihan boleh menyebabkan pembentukan gas atau kembung perut. Oleh itu, pengambilannya perlu ditingkatkan secara beransur-ansur supaya sistem pencernaan dapat menyesuaikan diri. Status sesuatu ramuan sebagai prebiotik juga perlu disokong oleh pencirian yang sesuai dan penyelidikan yang mengesahkan sifat serta manfaatnya.
Sinbiotik: Gabungan Mikroorganisma dan Substrat
Istilah sinbiotik pada asalnya dicadangkan pada tahun 1995 bagi merujuk kepada gabungan probiotik dan prebiotik (Markowiak & Slizewska, 2017). Walau bagaimanapun, perkembangan penyelidikan menunjukkan bahawa konsep sinbiotik memerlukan definisi yang lebih tepat. Sinbiotik ditakrifkan sebagai campuran mikroorganisma hidup dan substrat yang digunakan secara selektif oleh mikroorganisma perumah, sekali gus memberikan manfaat kesihatan kepada perumah (Swanson et al., 2020). Definisi ini menekankan bahawa manfaat perlu dibuktikan bagi gabungan produk tersebut, bukan sekadar berdasarkan kewujudan probiotik atau prebiotik secara berasingan. Sinbiotik boleh dirumuskan untuk menyasarkan ekosistem mikrob usus atau ekosistem mikrob lain dalam tubuh dan boleh dibangunkan dalam pelbagai kategori produk, termasuk makanan, produk bukan makanan, kosmetik, ubat-ubatan dan suplemen pemakanan.
Terdapat dua pendekatan utama dalam formulasi sinbiotik, iaitu sinbiotik pelengkap dan sinbiotik sinergistik. Sinbiotik pelengkap menggabungkan probiotik dan prebiotik yang masing-masing memenuhi kriteria definisinya sendiri. Kedua-dua komponen tersebut bertindak secara bebas untuk menghasilkan satu atau lebih manfaat kesihatan. Sebagai contoh, gabungan inulin dengan Bifidobacterium animalis subsp. lactis XYZ boleh dikategorikan sebagai sinbiotik pelengkap sekiranya setiap komponen memenuhi kriteria yang ditetapkan. Sebaliknya, sinbiotik sinergistik menggabungkan mikroorganisma hidup dengan substrat yang dipilih secara khusus kerana mikroorganisma tersebut dapat menggunakan substrat berkenaan. Dalam pendekatan ini, kedua-dua komponen direka untuk bekerjasama menghasilkan manfaat kesihatan. Substrat tersebut mungkin tidak memenuhi definisi prebiotik apabila digunakan secara bersendirian, manakala mikroorganisma yang digunakan tidak semestinya memenuhi definisi probiotik secara berasingan. Oleh itu, sinbiotik sinergistik bukan sekadar campuran biasa probiotik dengan prebiotik.
Bagi mengesahkan manfaat sinbiotik sinergistik, kajian perlu menunjukkan bahawa substrat digunakan secara selektif oleh mikroorganisma hidup yang diberikan bersama-sama dan bahawa gabungan tersebut menghasilkan manfaat kesihatan kepada perumah sasaran. Kedua-dua perkara ini perlu dibuktikan dalam kajian yang sama. Bagi kedua-dua jenis sinbiotik, manfaat kesihatan perlu disahkan dalam perumah sasaran, manakala keselamatan produk untuk kegunaan yang dimaksudkan hendaklah dipastikan.
Postbiotik: Persediaan Mikroorganisma Tidak Hidup yang Bermanfaat
Postbiotik ditakrifkan sebagai persediaan mikroorganisma tidak hidup dan/atau komponennya yang memberikan manfaat kesihatan kepada perumah. Definisi ini menjelaskan bahawa postbiotik tidak memerlukan kehadiran mikroorganisma hidup dalam produk akhir (Salminen et al., 2021). Sebaliknya, mikroorganisma sengaja dinyahaktifkan melalui proses tertentu bagi menghasilkan persediaan yang berpotensi memberikan manfaat kesihatan.
Postbiotik boleh mengandungi sel mikroorganisma yang tidak lagi hidup, serpihan atau struktur sel, serta metabolit yang dihasilkan oleh mikroorganisma semasa proses fermentasi. Komponennya termasuk dinding dan membran sel, eksopolisakarida, protein yang terikat pada dinding sel, pili, asid organik, asid amino, biopeptida, protein yang dirembeskan, enzim dan bakteriosin. Kepelbagaian komponen ini menunjukkan bahawa kesan kesihatan postbiotik boleh dipengaruhi oleh pelbagai bahagian sel dan bahan yang berkaitan dengannya. Penghasilan postbiotik melibatkan proses penyahaktifan yang disengajakan, dan sel hidup dalam produk akhir mestilah tiada atau hanya hadir pada tahap yang boleh diabaikan. Penilaian manfaat kesihatan dan keselamatan persediaan tersebut merupakan kriteria penting. Kesan yang diperhatikan juga boleh bergantung pada formulasi khusus, termasuk biomass mikroorganisma, matriks produk dan kaedah penyahaktifan yang digunakan.
Antara contoh aplikasi yang dinyatakan ialah sesetengah susu formula bayi, lisat bakteria terapeutik dan sel yis difermentasi yang digunakan dalam makanan haiwan. Walau bagaimanapun, tidak semua bahan yang berasal daripada mikroorganisma boleh dikategorikan sebagai postbiotik. Virus termasuk bakteriofaj, vaksin, turasan yang tidak mengandungi komponen sel, komponen mikrob yang telah ditulenkan seperti protein dan eksopolisakarida, serta metabolit mikrob tulen seperti asid organik tidak memenuhi definisi tersebut (Gurunathan et al., 2024; Salminen et al., 2021). Sebagai contoh, asid butirik yang ditulenkan tidak dikategorikan sebagai postbiotik hanya kerana bahan itu boleh dihasilkan oleh mikroorganisma. Oleh itu, istilah postbiotik merujuk kepada persediaan yang memenuhi kriteria saintifik tertentu, bukannya semua bahan yang terhasil daripada aktiviti mikroorganisma atau proses fermentasi. Pencirian produk, bukti manfaat kesihatan dan penilaian keselamatan diperlukan bagi menyokong pengelasannya.
Makanan Terfermentasi: Produk daripada Pertumbuhan Mikrob dan Penukaran Enzim
Makanan terfermentasi ditakrifkan sebagai makanan yang dihasilkan melalui pertumbuhan mikroorganisma yang dikehendaki serta penukaran komponen makanan oleh enzim. Definisi konsensus ini merangkumi proses yang menghasilkan perubahan pada komponen makanan melalui aktiviti mikroorganisma dan enzim (Marco et al., 2021). Fermentasi digunakan dalam penghasilan pelbagai makanan dan minuman yang mempunyai ciri rasa, tekstur dan sifat produk tersendiri.
Antara contoh makanan terfermentasi ialah yogurt, susu kultur, kefir, kombucha, sauerkraut, kimchi, tempe, tapai, ikan pekasam, belacan, cencaluk, tempoyak, budu, annato, dan roti. Dalam proses penghasilannya, mikroorganisma yang dikehendaki memainkan peranan dalam mengubah komponen bahan mentah sehingga menghasilkan produk akhir yang berbeza daripada bahan asalnya. Walau bagaimanapun, kehadiran mikroorganisma hidup dalam produk akhir tidak diwajibkan untuk sesuatu makanan dikategorikan sebagai makanan terfermentasi (Marco et al., 2021). Mikroorganisma yang terlibat mungkin masih hidup atau telah mati ketika produk dimakan.
Perbezaan ini penting kerana makanan terfermentasi tidak semestinya mengandungi probiotik. Sesuatu produk hanya boleh dikategorikan sebagai makanan probiotik apabila memenuhi kriteria probiotik, termasuk penggunaan mikroorganisma hidup yang dikenal pasti dengan tepat, pengambilan pada jumlah yang mencukupi dan bukti manfaat kesihatan kepada perumah (Hill et al., 2014; Reid et al., 2003). Sebaliknya, makanan terfermentasi ditakrifkan berdasarkan proses penghasilannya dan tidak semestinya memerlukan bukti manfaat kesihatan khusus daripada mikroorganisma yang digunakan.
Sebagai contoh, yogurt yang mengandungi strain probiotik yang dikenal pasti dan terbukti memberikan manfaat kesihatan boleh memenuhi kriteria makanan probiotik. Namun, produk yogurt lain tidak boleh dianggap sebagai makanan probiotik secara automatik hanya kerana dihasilkan melalui fermentasi. Begitu juga, oat yang difermentasi menggunakan Lactobacillus plantarum ABC atau susu yang difermentasi menggunakan Lactobacillus casei 123 hanya memenuhi kriteria makanan probiotik jika syarat berkaitan mikroorganisma, tahap penggunaan, keselamatan dan manfaat kesihatan dipenuhi. Probiotik juga boleh ditambahkan ke dalam makanan yang tidak difermentasi, seperti jus buah-buahan atau bar bijirin. Hal ini menunjukkan bahawa fermentasi bukan syarat mutlak untuk menghasilkan makanan probiotik. Penentuan kategori produk perlu dibuat berdasarkan ciri mikroorganisma, bukti saintifik dan proses penghasilan yang berkaitan.
Kepentingan Definisi yang Tepat kepada Industri dan Pengguna
Pemahaman yang tepat tentang probiotik, prebiotik, sinbiotik, postbiotik dan makanan terfermentasi penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam penyelidikan, pembangunan produk serta komunikasi manfaat kesihatan. Setiap kategori mempunyai kriteria tersendiri dan tidak boleh digunakan secara saling menggantikan. Penggunaan istilah yang tepat membantu penyelidik merancang kajian yang sesuai, pengeluar membangunkan produk berasaskan bukti dan pengguna membuat pilihan pemakanan yang lebih bermaklumat. Bagi produk yang memberi manfaat kesihatan, bukti saintifik perlu menyokong dakwaan tersebut dalam perumah sasaran. Pengenalpastian mikroorganisma, pemilihan strain, keberkesanan dos, kestabilan produk sepanjang jangka hayat dan keselamatan pengguna merupakan pertimbangan utama. Bagi prebiotik, pencirian substrat dan bukti penggunaannya secara selektif juga penting. Sinbiotik memerlukan penilaian terhadap gabungan komponennya, manakala postbiotik memerlukan pengesahan proses penyahaktifan serta ciri persediaan yang dihasilkan. Pengguna pula disarankan meneliti label produk dengan memberi perhatian kepada ramuan khusus, identiti strain jika berkenaan, jumlah mikroorganisma yang dijamin sehingga tarikh akhir penggunaan serta dakwaan kesihatan yang disokong oleh bukti saintifik. Bagi prebiotik, label yang menyatakan bahan khusus seperti GOS, FOS, inulin, laktulosa atau kanji rintang lebih bermaklumat berbanding penggunaan istilah umum tanpa pencirian yang jelas.
Secara keseluruhannya, perkembangan teknologi fermentasi, mikrobiologi, sains mikrobiota, bioteknologi dan teknologi makanan membuka peluang untuk menghasilkan produk yang menyokong kesihatan manusia. Namun, nilai sebenar produk tersebut bergantung pada pematuhan terhadap definisi saintifik, bukti manfaat, keselamatan dan ketepatan pelabelan. Dengan memahami perbezaan antara lima kategori ini, penyelidik, industri dan pengguna dapat menggunakan istilah berkaitan biotik dengan lebih bertanggungjawab serta menyokong pembangunan makanan dan produk kesihatan yang berasaskan bukti.
Rujukan
Beyoglu, D., & Idle, J.R. (2026). Molecular signatures of the gut microbiota that affect longevity. Biochemical Pharmacology, 253 (Pt 1), 118267. https://doi.org/10.1016/j.bcp.2026.118267.
Davani-Davari, D., Negahdaripour, M., Karimzadeh, I., Seifan, M., Mohkam, M., Masoumi, S.J., Berenjian, A., & Ghasemi Y. (2019). Prebiotics: Definition, types, sources, mechanisms, and clinical Applications. Foods, 8(3), 92. https://doi.org/10.3390/foods8030092.
Gibson, G.R., Hutkins, R., Sanders, M.E., Prescott, S.L., Reimer, R.A., Salminen, S.J., Scott, K., Stanton, C., Swanson, K.S., Cani, P.D., Verbeke, K., & Reid, G. (2017). Expert consensus document: The International Scientific Association for Probiotics and Prebiotics (ISAPP) consensus statement on the definition and scope of prebiotics. Nature Reviews Gastroenterology Hepatology, 14(8), 491 – 502. https://doi.org/10.1038/nrgastro.2017.75.
Gurunathan, S., Thangaraj, P., & Kim, J.H. (2024). Postbiotics: Functional food materials and therapeutic agents for cancer, diabetes, and inflammatory diseases. Foods, 13(1), 89. https://doi.org/10.3390/foods13010089.
Hill, C., Guarner, F., Reid, G., Gibson, G.R., Merenstein, D.J., Pot, B., Morelli, L., Canani, R.B., Flint, H.J., Salminen, S., Calder, P.C., & Sanders, M.E. (2014). Expert consensus document. The International Scientific Association for Probiotics and Prebiotics consensus statement on the scope and appropriate use of the term probiotic. Nature Reviews Gastroenterology Hepatology, 11(8), 506 – 514. https://doi.org/10.1038/nrgastro.2014.66.
Jungersen, M., Wind, A., Johansen, E., Christensen, J.E., Stuer-Lauridsen, B., & Eskesen, D. (2014). The Science behind the probiotic strain Bifidobacterium animalis subsp. lactis BB-12(®). Microorganisms, 2(2):92 – 110. https://doi.org/10.3390/microorganisms2020092.
Karakan, T., Tuohy, K.M., & Janssen-van Solingen, G. (2021). Low-Dose lactulose as a prebiotic for improved gut health and enhanced mineral absorption. Frontiers in Nutrition, 8, 672925. https://doi.org/10.3389/fnut.2021.672925.
Marco, M.L., Sanders, M.E., Ganzle, M., Arrieta, M.C., Cotter, P.D., De Vuyst, L., Hill, C., Holzapfe, W., Lebeer, S., Merenstein, D., Reid, G., Wolfe, B.E., & Hutkins, R. (2021). The International Scientific Association for Probiotics and Prebiotics (ISAPP) consensus statement on fermented foods. Nature Reviews Gastroenterology Hepatology,18, 196 – 208. https://doi.org/10.1038/s41575-020-00390-5
Markowiak, P., & Slizewska, K. (2017). Effects of probiotics, prebiotics, and synbiotics on human health. Nutrients, 9(9), 1021. https://doi.org/10.3390/nu9091021.
Monteiro, C.R.A.V., Bogea, E.G., Campos, C.D.L., Pereira-Filho, J.L., Almeida, V.S.S., Vale, A.A.M., Azevedo-Santos, A.P.S., & Monteiro-Neto, V. (2026). Prebiotics and gut health: Mechanisms, clinical evidence, and future directions. Nutrients, 18(3), 372. https://doi.org/10.3390/nu18030372.
Mustafa, A.S. (2024). Whole genome sequencing: Applications in clinical bacteriology. Medical Principles and Practice, 33(3):185-197. https://doi.org/10.1159/000538002.
Reid, G., Jass, J., Sebulsky, M.T., & McCormick, J.K. (2003). Potential uses of probiotics in clinical practice. Clinical Microbiology Reviews, 16(4), 658 – 672. https://doi.org/10.1128/CMR.16.4.658-672.2003.
Salminen, S., Collado, M.C., Endo, A., Hill, C., Lebeer, S., Quigley, E.M.M., Sanders, M.E., Shamir, R., Swann, J.R., Szajewska, H., & Vinderola, G. (2021). The International Scientific Association of Probiotics and Prebiotics (ISAPP) consensus statement on the definition and scope of postbiotics. Nature Reviews Gastroenterology Hepatology, 18(9), 649 – 667. https://doi.org/10.1038/s41575-021-00440-6.
Swanson, K.S., Gibson, G.R., Hutkins, R., Reimer, R.A., Reid, G., Verbeke, K., Scott, K.P., Holscher, H.D., Azad, M.B., Delzenne, N.M., & Sanders, M.E. (2020). The International Scientific Association for Probiotics and Prebiotics (ISAPP) consensus statement on the definition and scope of synbiotics. Nature Reviews Gastroenterology Hepatology, 17(11):687-701. https://doi.org/10.1038/s41575-020-0344-2.
Yan, T., & Goldman, R.D. (2020). Probiotics for antibiotic-associated diarrhea in children. Canadian Family Physician, 66(1), 37 – 39.
Walsh, C., Lane, J.A., van Sinderen, D., & Hickey, R.M. (2020). Human milk oligosaccharides: Shaping the infant gut microbiota and supporting health. Journal of Functional Foods, 72, 104074. https://doi.org/10.




