Tuesday, November 10, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Herba Semula Jadi, Adakah Semestinya Selamat?

Herba Semula Jadi, Adakah Semestinya Selamat?

Editor by Editor
10/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Oleh: Dr. Tuan Nadrah Naim Tuan Ismail
Pensyarah Kanan Bidang Farmakologi,
Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM

Daun yang direbus, akar yang dikeringkan, kulit kayu yang dijadikan ramuan dan ekstrak tumbuhan yang diproses menjadi kapsul atau minuman kesihatan sudah lama menjadi sebahagian daripada amalan perubatan tradisional. Di Malaysia, penggunaan herba bukanlah sesuatu yang asing. Daripada kunyit, halia dan pegaga hinggalah kepada pelbagai ramuan tradisional, tumbuhan sering dikaitkan dengan khasiat kesihatan dan penjagaan tubuh.

Namun, di sebalik kepercayaan tersebut, timbul satu persoalan penting: adakah sesuatu bahan itu semestinya selamat hanya kerana berasal daripada alam semula jadi? Anggapan bahawa bahan semula jadi tidak berbahaya merupakan salah satu salah tanggapan yang perlu diperbetulkan. Hakikatnya, tumbuhan mengandungi pelbagai sebatian kimia aktif. Sesetengahnya berpotensi memberikan manfaat kesihatan, manakala yang lain boleh menyebabkan kesan sampingan, ketoksikan atau interaksi dengan ubat-ubatan. Keselamatan sesuatu herba bergantung pada jenis tumbuhan, kandungan bahan aktif, dos, cara penyediaan, tempoh penggunaan dan keadaan kesihatan individu (1). Dengan kata lain, semula jadi tidak semestinya bermaksud selamat, sama seperti sintetik tidak semestinya bermaksud berbahaya.

Herba juga Mengandungi Bahan Kimia Aktif

Perkataan kimia sering menimbulkan tanggapan negatif, seolah-olah semua bahan kimia berbahaya kepada tubuh. Sebenarnya, semua tumbuhan terdiri daripada sebatian kimia, termasuk bahan yang memberikan warna, aroma, rasa dan sifat biologinya.

Sebatian seperti alkaloid, flavonoid, terpenoid dan glikosida boleh mempengaruhi pelbagai proses dalam tubuh manusia. Ada yang menunjukkan aktiviti antioksidan, antiradang atau kesan farmakologi lain dalam kajian makmal. Walau bagaimanapun, penemuan aktiviti biologi dalam makmal tidak semestinya membuktikan bahawa sesuatu herba berkesan atau selamat digunakan untuk merawat penyakit pada manusia.

Kesan sesuatu bahan bergantung pada dos dan pendedahan. Bahan yang tidak menimbulkan masalah pada kuantiti tertentu mungkin memberikan kesan yang berbeza apabila diambil dalam jumlah lebih tinggi atau untuk tempoh yang panjang. Begitu juga, penggunaan tumbuhan sebagai bahan makanan tidak semestinya menjamin keselamatan ekstraknya dalam bentuk pekat (2).

Oleh itu, penilaian saintifik perlu mengambil kira bukan sahaja identiti tumbuhan, tetapi juga komposisi produk, dos penggunaan, ketulenan, pencemaran dan bukti keselamatan pada manusia.

Hati dan Buah Pinggang: Organ yang tidak boleh diabaikan

Hati memainkan peranan penting dalam memetabolismekan pelbagai bahan yang memasuki tubuh, termasuk ubat-ubatan dan sebatian daripada herba. Buah pinggang pula membantu menyingkirkan bahan buangan dan metabolit melalui air kencing (3).

Sesetengah produk herba berpotensi menyebabkan kecederaan hati atau menjejaskan fungsi buah pinggang, bergantung pada kandungan, dos, pencemaran dan faktor individu. Risiko ini tidak bermaksud semua herba merosakkan organ tersebut, tetapi menunjukkan bahawa penggunaan herba juga memerlukan pertimbangan keselamatan (4).

Risiko boleh menjadi lebih sukar dikenal pasti apabila seseorang mengambil beberapa produk serentak, menggunakan produk yang kandungannya tidak diketahui atau meneruskan pengambilan walaupun mengalami kesan sampingan.

Produk yang dipasarkan sebagai ramuan tradisional juga boleh mempunyai komposisi yang berbeza antara pengeluar atau kelompok pengeluaran. Jika identiti bahan mentah dan kandungan bahan aktif tidak dikawal dengan baik, pengguna mungkin tidak mendapat komposisi atau dos yang konsisten.

Justeru, dakwaan bahawa sesuatu produk telah digunakan turun-temurun tidak boleh menggantikan penilaian saintifik terhadap keselamatan produk tersebut dalam bentuk dan cara penggunaan semasa.

Apabila Herba berinteraksi dengan Ubatan Moden

Satu lagi salah tanggapan ialah herba boleh diambil bersama ubat moden tanpa sebarang risiko. Sebenarnya, interaksi herba dengan ubat boleh mengubah kesan rawatan, meningkatkan risiko kesan sampingan atau mengurangkan keberkesanan ubat tertentu. Interaksi boleh berlaku apabila bahan daripada herba mempengaruhi enzim yang memetabolismekan ubat, pengangkutan bahan merentasi sel atau proses pembekuan darah. Kesan interaksi bergantung pada jenis herba, ubat, dos dan keadaan individu.

Sebagai contoh, ekstrak Tongkat Ali yang popular di Malaysia sebagai suplemen tenaga, didapati boleh menjejaskan kadar penyerapan ubat jantung seperti propranolol di dalam badan (5). Apabila diambil secara serentak, herba ini boleh menurunkan keberkesanan ubat hospital tersebut, selain berisiko menyebabkan paras gula darah jatuh terlalu rendah sekiranya bertindih dengan ubat kencing manis. Contoh ini membuktikan bahawa herba tempatan juga mempunyai sebatian aktif kuat yang mampu mengganggu kestabilan rawatan moden pesakit jika tidak dipantau.

Bagi individu yang mengambil ubat secara berterusan, seperti ubat pencair darah, ubat untuk penyakit jantung atau ubat yang memerlukan pemantauan rapi, penggunaan herba perlu dibincangkan dengan doktor atau ahli farmasi. Pengguna juga perlu memaklumkan semua produk yang diambil, termasuk teh herba, jamu, suplemen dan ramuan tradisional.

Mengambil herba dan ubat pada waktu yang berbeza tidak semestinya menghapuskan risiko interaksi. Sesetengah interaksi berpunca daripada perubahan metabolisme ubat yang boleh berterusan walaupun kedua-duanya tidak diambil pada masa yang sama.

Bahaya yang Tersembunyi: Produk Tradisional dicampur Bahan Ubat

Selain risiko yang berpunca daripada tumbuhan itu sendiri, terdapat satu lagi isu keselamatan yang lebih membimbangkan, iaitu pencampuran bahan farmaseutikal ke dalam produk tradisional tanpa pengisytiharan pada label. Sesetengah produk yang dipasarkan sebagai herba atau ramuan semula jadi mungkin mengandungi bahan ubat yang tidak dinyatakan. Pengguna mungkin menyangka bahawa mereka hanya mengambil bahan tradisional, sedangkan kesan yang dialami sebenarnya berpunca daripada bahan farmaseutikal yang tersembunyi.

Satu analisis terhadap produk ubat tradisional herba yang dirampas di Malaysia membongkar kewujudan bahan campuran kimia terlarang secara haram. Kebanyakan produk sitaan ini didakwa kononnya mujarab untuk melegakan demam dan sakit badan. Walau bagaimanapun, ujian makmal mendedahkan kehadiran bahan berbahaya seperti ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) dan kortikosteroid, dengan kumpulan kortikosteroid dikesan sebagai bahan campuran yang paling kerap ditemui di dalam sampel berkenaan (6). Penemuan ini perlu ditafsirkan dengan tepat. Kajian tersebut melibatkan produk yang dirampas dan mempunyai maklumat lengkap untuk analisis, bukannya sampel yang mewakili semua produk herba di pasaran. Oleh itu, hasilnya tidak bermaksud semua produk tradisional atau herba mengandungi bahan ubat tersembunyi.

Walau bagaimanapun, kajian tersebut menunjukkan bahawa risiko pencampuran bahan farmaseutikal bukan sekadar andaian. Ia merupakan isu keselamatan sebenar yang memerlukan pengawasan pihak berkuasa dan kesedaran pengguna.

Mengapakah pencampuran ini berbahaya? Kortikosteroid boleh memberikan kesan antiradang yang ketara, tetapi penggunaan yang tidak sesuai atau berpanjangan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti peningkatan paras glukosa darah, tekanan darah tinggi dan penekanan fungsi kelenjar adrenal (7). NSAIDs pula boleh meningkatkan risiko masalah gastrousus, pendarahan dan kecederaan buah pinggang, khususnya dalam keadaan tertentu (8).

Apabila bahan tersebut tidak dinyatakan pada label, pengguna tidak dapat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lengkap. Mereka juga mungkin mengambil ubat lain yang mengandungi bahan atau mempunyai kesan serupa, lalu meningkatkan risiko kesan sampingan.

Kelegaan yang dirasai dengan cepat tidak semestinya membuktikan bahawa produk itu selamat, tulen atau berkesan melalui ramuan herba yang diiklankan.

Produk Berdaftar Perlu digunakan dengan Betul

Bagi membanteras lambakan suplemen palsu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan bahawa semua ubat dan suplemen komersial mesti berdaftar secara rasmi di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Langkah kawal selia ini bagi memastikan pengguna hanya membeli produk yang disahkan selamat, yang mana keabsahannya boleh dikenal pasti melalui nombor pendaftaran khas bermula dengan kod “MAL”. Bagi segmen ubat-ubatan berasaskan herba dan persediaan semula jadi, kod berkenaan akan diakhiri dengan huruf penanda kategori “T” (9).

Pengguna boleh menyemak status pendaftaran melalui carian produk berdaftar di laman web Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Ciri pada bungkusan sahaja tidak wajar dianggap sebagai bukti muktamad; status produk perlu disahkan melalui sumber rasmi.

Namun, terdapat satu perkara penting yang perlu difahami: pendaftaran bukan jaminan bahawa sesuatu produk sesuai untuk setiap individu atau boleh digunakan tanpa mematuhi arahan. Produk berdaftar masih perlu digunakan mengikut label dan nasihat profesional kesihatan. Risiko juga boleh bergantung pada keadaan individu, dos dan penggunaan bersama produk lain.

Selain itu, status pendaftaran tidak boleh dinilai hanya berdasarkan dakwaan penjual, testimoni pengguna atau populariti produk di media sosial. Produk yang mudah dibeli dalam talian tidak semestinya telah memenuhi keperluan kawal selia yang berkenaan.

Pengguna juga perlu berhati-hati dengan dakwaan bahawa sesuatu produk boleh menyembuhkan pelbagai penyakit, memberikan kesan serta-merta atau tidak mempunyai sebarang kesan sampingan. Dakwaan sedemikian sepatutnya mendorong pengguna untuk mendapatkan maklumat yang boleh disahkan, bukannya terus mempercayainya.

Bagaimana Pengguna boleh Membuat Pilihan yang Lebih Selamat?

Kesedaran terhadap risiko herba bukan bermakna kita perlu menolak amalan tradisional. Herba tetap mempunyai nilai dalam pemakanan dan pembangunan produk kesihatan. Namun, manfaat dan risikonya perlu dinilai berdasarkan bukti saintifik.

Sebagai pengguna bijak, pastikan produk herba mempunyai label lengkap dan nombor pendaftaran yang sah melalui NPRA. Elakkan penggunaan dos berlebihan serta maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi tentang pengambilan herba, terutama jika sedang mengambil ubat lain.

Jangan gantikan rawatan moden dengan herba yang belum terbukti keberkesanannya. Jika mengalami kesan sampingan, hentikan penggunaan dan dapatkan nasihat perubatan. Utamakan keselamatan dan pilih produk berdasarkan bukti, bukan sekadar testimoni.

Rujukan

Posadzki P, Watson LK, Ernst E. Adverse effects of herbal medicines: an overview of systematic reviews. Clinical medicine. 2013;13(1):7-12 https://doi.org/0.7861/clinmedicine.13-1-7.

Fatima N, Nayeem N. Toxic effects as a result of herbal medicine intake. Toxicology-new aspects to this scientific conundrum. 2016;193.

Zhang K, Yan G, Zhang A, Sun H, Wang X. Recent advances in pharmacokinetics approach for herbal medicine. Rsc Advances. 2017;7(46):28876-88 https://doi.org/10.1039/c7ra02369c.

Nasri H, Shirzad H. Toxicity and safety of medicinal plants. J HerbMed Plarmacol. 2013;2(2):21-2.

RxList. Tongkat Ali Overview https://www.rxlist.com/tongkat_ali/generic-drug.htm.

Ariffin SH, A Wahab I, Hassan Y, Abd Wahab MS. Adulterated traditional-herbal medicinal products and its safety signals in Malaysia. Drug, Healthcare and Patient Safety. 2021:133-40 https://doi.org/10.2147/DHPS.S305953.

Koshi EJ, Young K, Mostales JC, Vo KB, Burgess LP. Complications of corticosteroid therapy: a comprehensive literature review. Journal of Pharmacy Technology. 2022;38(6):360-7 https://doi.org/10.1177/87551225221116266.

Domper Arnal M-J, Hijos-Mallada G, Lanas A. Gastrointestinal and cardiovascular adverse events associated with NSAIDs. Expert opinion on drug safety. 2022;21(3):373-84 https://doi.org/10.1080/14740338.2021.1965988.

The Pharmacy Services Programme MoHM. How to identify medicines that are registered with MOH? 2026:https://pharmacy.moh.gov.my/en/faq/how-identify-medicines-are-registered-moh.html.

Biodata Penulis

Dr. Tuan Nadrah Naim Tuan Ismail merupakan pensyarah dalam bidang Farmakologi di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau mempunyai kepakaran dan minat penyelidikan dalam bidang farmakologi, produk semula jadi, propolis, serta pembangunan produk kesihatan dan kosmetik berasaskan bahan semula jadi.

Selain aktif dalam pengajaran dan penyelidikan, beliau turut terlibat dalam penulisan dan penilaian manuskrip akademik. Minat beliau dalam bidang farmakologi turut merangkumi pendidikan kesihatan kepada masyarakat, khususnya berkaitan penggunaan ubat secara selamat dan rasional.

 

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: alkaloidFlavonoidglikosidakimia aktif dalam produk herbaPerubatan herbarisikoterpenoidTuan Nadrah Naim Tuan Ismail
Previous Post

Bukan Sekadar Kolesterol: Memahami Rahsia di Sebalik Ujian Profil Lipid

Editor

Editor

Related Posts

Bukan Sekadar Kolesterol: Memahami Rahsia di Sebalik Ujian Profil Lipid
Berita & Peristiwa

Bukan Sekadar Kolesterol: Memahami Rahsia di Sebalik Ujian Profil Lipid

3 hours ago
Anak Kerap Jatuh Sakit: Bolehkah Ia Menjadi Ancaman Nyawa?
Berita & Peristiwa

Anak Kerap Jatuh Sakit: Bolehkah Ia Menjadi Ancaman Nyawa?

3 hours ago
Apabila Bencana Melanda: Bagaimana Makmal Klinikal Memastikan Perkhidmatan Kesihatan Terus Berjalan?
Berita & Peristiwa

Apabila Bencana Melanda: Bagaimana Makmal Klinikal Memastikan Perkhidmatan Kesihatan Terus Berjalan?

3 hours ago
HPV Bukan Sekadar Kanser Serviks: Kenali Jangkitan, Risiko Kanser dan Langkah Pencegahannya
Berita & Peristiwa

HPV Bukan Sekadar Kanser Serviks: Kenali Jangkitan, Risiko Kanser dan Langkah Pencegahannya

1 day ago

Kategori Produk

  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In