Penulis: Dr. Mohd Shakir Zaharia & Dr. Siti Nur Najibah Fauzib
aJabatan Bedah Mulut, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
bJabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
Pernahkah anda bangun tidur dengan rahang terasa lenguh walaupun tidur sepanjang malam? Atau ketika mengejar tarikh akhir kerja, anda tiba-tiba sedar gigi sedang diketap rapat? Ada juga yang kerap sakit kepala di bahagian pelipis, lalu menganggapnya sekadar penat biasa.
Cuba berhenti membaca sebentar dan perhatikan mulut anda sekarang. Adakah gigi atas dan bawah sedang bersentuhan? Adakah rahang terasa tegang?
Tabiat mengetap atau menggesel gigi dikenali sebagai bruksisme (bruxism). Ia boleh berlaku tanpa disedari, sama ada ketika berjaga atau semasa tidur. Dalam banyak keadaan, stres menjadi salah satu penyumbangnya. Apabila tabiat ini berulang, rahang, otot muka dan gigi boleh menerima kesannya.

Mengetap Gigi Tanpa Sedar
Bruksisme merujuk kepada aktiviti otot rahang yang berulang, sama ada mengetap gigi, menggesel gigi, atau menegangkan rahang. Ia terbahagi kepada dua jenis:
- Bruksisme ketika berjaga (awake bruxism) – biasanya mengetap gigi atau menegangkan rahang ketika fokus bekerja, memandu atau berasa tertekan.
- Bruksisme ketika tidur (sleep bruxism) – lazimnya menggesel gigi sehingga kadangkala menghasilkan bunyi.
Ramai tidak menyedarinya sehingga diberitahu oleh pasangan, atau hanya sedar apabila bangun pagi dengan rahang yang lenguh.
Tabiat ini lebih biasa daripada yang disangka. Satu ulasan terhadap puluhan kajian sistematik mendapati kira-kira 22% hingga 30% orang dewasa mengetap gigi ketika berjaga, iaitu kira-kira seorang dalam setiap empat atau lima orang dewasa.
Pakar antarabangsa kini menganggap bruksisme pada individu yang sihat sebagai satu tingkah laku, bukan penyakit. Tidak semua yang mengalaminya memerlukan rawatan. Namun, ia boleh dikaitkan dengan sakit otot, kehausan gigi, gigi sensitif dan gangguan fungsi mengunyah.
Apa Hubungan Stres dengan Otot Rahang?
Apabila kita tertekan, tubuh bersiap sedia untuk “melawan atau lari”. Otot menegang, pernafasan berubah dan jantung berdegup lebih laju. Otot rahang turut menegang, lalu menyebabkan seseorang mengetap gigi tanpa sedar. Otot pengunyah merupakan antara otot yang paling kuat dalam tubuh manusia. Apabila ia tegang berjam-jam setiap hari, tidak hairanlah rahang terasa lenguh dan sakit.
Kajian menyokong kaitan ini. Satu analisis gabungan mendapati individu yang mengalami stres kira-kira dua kali lebih berkemungkinan mengalami bruksisme berbanding mereka yang tidak tertekan. Perkhidmatan kesihatan kebangsaan United Kingdom (NHS) juga menyenaraikan stres dan kebimbangan sebagai punca paling lazim tabiat menggesel gigi.
Namun, stres bukan satu-satunya punca. Bruksisme ketika berjaga lebih berkait rapat dengan faktor emosi, manakala bruksisme ketika tidur turut dipengaruhi oleh masalah tidur seperti berdengkur dan apnea tidur, pengambilan kafein, alkohol dan rokok, serta sesetengah ubat.

Mengapa Rahang Boleh Menjadi Sakit?
Cuba letakkan jari di hadapan telinga, kemudian buka dan tutup mulut perlahan-lahan. Gerakan yang anda rasa itu ialah sendi temporomandibular (temporomandibular joint, TMJ), yang menghubungkan rahang bawah dengan tengkorak. Sendi ini membolehkan kita membuka mulut, mengunyah, bercakap dan menguap. Otot temporalis di pelipis dan otot masseter di pipi pula membantu menggerakkan rahang.
Apabila otot pengunyah bekerja secara berlebihan, sesetengah orang mengalami sakit di pipi atau pelipis, rahang cepat letih, sukar membuka mulut dengan selesa, atau rasa tidak selesa ketika mengunyah. Jika masalah ini melibatkan sendi dan otot rahang, ia dikenali sebagai gangguan temporomandibular (TMD). Kajian global menganggarkan kira-kira tiga daripada setiap 10 orang dewasa mengalami TMD. Tidak semua kes TMD berpunca daripada mengetap gigi, tetapi tabiat ini boleh membebankan otot dan memburukkan kesakitan.
Bagaimana pula dengan bunyi “klik” ketika membuka mulut? Menurut Institut Penyelidikan Pergigian dan Kraniofasial Kebangsaan Amerika Syarikat (NIDCR), bunyi pada sendi rahang tanpa rasa sakit adalah perkara biasa dan tidak memerlukan rawatan. NIDCR juga menyatakan bahawa kajian tidak menyokong kepercayaan bahawa gigitan tidak sekata atau pendakap gigi menyebabkan TMD, dan banyak kes TMD pulih dengan sendirinya.

Adakah Gigi Turut Terjejas?
Mengetap atau menggesel gigi dengan kuat dan kerap boleh menyebabkan gigi haus, retak atau sumbing, serta tampalan gigi kerap pecah. Sesetengah orang hanya menyedarinya apabila doktor gigi melihat tanda haus semasa pemeriksaan rutin, atau apabila gigi menjadi sensitif.
Namun, gigi yang haus bukan bukti muktamad bahawa seseorang sedang aktif menggesel gigi. Hakisan asid, tabiat pemakanan dan faktor lain juga boleh mengubah permukaan gigi. Sebab itu, penilaian oleh doktor gigi penting sebelum membuat kesimpulan.
Enam Cara Memberi Rahang Ruang untuk Berehat
Berita baiknya, kebanyakan kes sakit rahang boleh pulih dengan langkah mudah. Garis panduan klinikal di United Kingdom dan Amerika Syarikat mengesyorkan pengurusan kendiri sebagai langkah pertama.
- Bibir rapat, gigi renggang. Ketika tidak makan atau bercakap, biarkan bibir tertutup, gigi atas dan bawah sedikit terpisah dan lidah berehat di lelangit. Tampal pelekat kecil pada skrin komputer atau tetapkan peringatan telefon untuk menyemak rahang anda.
- Urus stres secara realistik. Berhenti sebentar selepas tempoh kerja yang panjang, lakukan senaman ringan atau amalkan pernafasan perlahan. Jika stres atau kebimbangan sukar dikawal, berjumpalah dengan doktor atau kaunselor.
- Kurangkan beban pada rahang. Ketika sakit, pilih makanan yang mudah dikunyah. Elakkan gula-gula getah, menggigit ais, menggigit kuku atau membuka mulut terlalu luas. Tuam rahang dengan tuala suam atau sejuk, dan urut perlahan otot di pipi serta pelipis.
- Jaga tidur. Kekalkan jadual tidur yang teratur. Jika anda kuat berdengkur, kerap terjaga atau terlalu mengantuk pada siang hari, maklumkan kepada doktor.
- Kurangkan pencetus. Hadkan minuman berkafein, terutamanya pada waktu petang dan malam. Elakkan merokok dan alkohol.
- Dapatkan pemeriksaan pergigian. Doktor gigi boleh memeriksa gigi, otot dan pergerakan rahang. Dalam kes tertentu, alat pelindung gigi (occlusal splint atau night guard) yang dipakai ketika tidur mungkin disarankan. Alat ini tidak menghentikan tabiat menggesel gigi, tetapi membantu melindungi gigi daripada haus.

Bilakah Perlu Mendapatkan Bantuan?
Dapatkan pemeriksaan doktor gigi jika:
- sakit rahang, muka atau telinga berulang atau semakin teruk;
- sakit mengganggu makan, atau rahang terkunci dan sukar dibuka;
- gigi retak, haus dengan ketara atau menjadi sangat sensitif;
- pasangan memberitahu anda kerap menggesel gigi ketika tidur.
Dalam keadaan tertentu, doktor gigi akan merujuk pesakit kepada pakar bedah mulut dan maksilofasial untuk penilaian lanjut. Jika tabiat ini berkait dengan stres, kebimbangan atau masalah tidur, rawatan bersama doktor perubatan atau pakar psikiatri juga dapat membantu.
Penutup
Tidak semua sakit rahang berpunca daripada stres, dan tidak semua orang yang tertekan akan mengetap gigi. Namun, rahang boleh menjadi “barometer” stres yang jujur. Apabila fikiran tegang, rahang turut tegang, kadangkala tanpa kita sedari.
Sakit rahang tidak semestinya berpunca daripada masalah gigi semata-mata. Tabiat mengetap gigi yang berkait dengan stres boleh menjejaskan otot, sendi rahang dan gigi. Pengesanan awal serta rawatan yang sesuai mampu mengurangkan kesakitan, mencegah komplikasi dan mengekalkan fungsi rahang.
Jadi, sebelum menutup artikel ini, periksa sekali lagi: adakah gigi anda sedang bersentuhan?
Rujukan
- Chemelo, V. S., et al. (2020). Is there association between stress and bruxism? A systematic review and meta-analysis. Frontiers in Neurology, 11, 590779.
- Lobbezoo, F., Ahlberg, J., Raphael, K. G., Wetselaar, P., Glaros, A. G., Kato, T., et al. (2018). International consensus on the assessment of bruxism: Report of a work in progress. Journal of Oral Rehabilitation, 45(11), 837–844.
- Manfredini, D., & Lobbezoo, F. (2009). Role of psychosocial factors in the etiology of bruxism. Journal of Orofacial Pain, 23(2), 153–166.
- Melo, G., et al. (2019). Bruxism: An umbrella review of systematic reviews. Journal of Oral Rehabilitation, 46(7), 666–690.
- Valesan, L. F., Da-Cas, C. D., Réus, J. C., Denardin, A. C. S., Garanhani, R. R., Bonotto, D., Januzzi, E., & de Souza, B. D. M. (2021). Prevalence of temporomandibular joint disorders: A systematic review and meta-analysis. Clinical Oral Investigations, 25(2), 441–453.
- NHS England Getting It Right First Time (GIRFT) & Royal College of Surgeons of England, Faculty of Dental Surgery. Management of painful temporomandibular disorder in adults: Ultra-brief guide.
- National Health Service (NHS). Teeth grinding (bruxism). https://www.nhs.uk/conditions/teeth-grinding/
- National Institute of Dental and Craniofacial Research (NIDCR). Bruxism. https://www.nidcr.nih.gov/health-info/bruxism
- National Institute of Dental and Craniofacial Research (NIDCR). TMD (Temporomandibular Disorders). https://www.nidcr.nih.gov/health-info/tmd
Biodata Penulis
Dr. Mohd Shakir Zahari
Pensyarah dan pakar bedah mulut dan maksilofasial di Jabatan Bedah Mulut, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (BDS) pada tahun 2012 dan menamatkan pengajian sarjana kepakaran dalam bidang Bedah Mulut dan Maksilofasial di USM pada tahun 2024. Minat klinikal dan penyelidikan beliau tertumpu kepada implan pergigian serta onkologi mulut dan maksilofasial, iaitu bidang yang melibatkan diagnosis dan rawatan kanser di kawasan mulut, rahang dan muka.
Dr. Siti Nur Najibah Fauzi
Pensyarah dan pakar psikiatri di Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kota Bharu, Kelantan. Beliau memperoleh ijazah MBBS daripada Jordan University of Science and Technology (JUST) pada tahun 2014 dan Sarjana Perubatan (Psikiatri) daripada USM pada tahun 2024. Bidang penyelidikan utama beliau ialah psikiatri komuniti dan rehabilitasi.




