Thursday, November 26, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Leptospirosis: Ancaman daripada Air yang Tercemar

Leptospirosis: Ancaman daripada Air yang Tercemar

Editor by Editor
26/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Oleh: Dr. Salziyan Badrin
Pensyarah Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan
Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia

Di sebalik lopak air, lumpur dan aliran air banjir yang kelihatan biasa, tersembunyi mikroorganisma halus yang berupaya menjejaskan kesihatan manusia. Leptospirosis membuktikan bahawa ancaman kesihatan tidak semestinya datang daripada sesuatu yang dapat dilihat dengan mata kasar.

Mikroorganisma Kecil yang Memberikan Kesan Besar

Leptospirosis ialah penyakit zoonosis yang disebabkan oleh bakteria daripada genus Leptospira. Bakteria ini tergolong dalam kumpulan spiroket, iaitu mikroorganisma berbentuk panjang, halus dan berpilin seperti spring. Bentuk badannya yang unik membolehkan bakteria ini bergerak aktif dalam persekitaran cecair. Antara spesies yang diketahui menyebabkan jangkitan kepada manusia ialah Leptospira interrogans. Bakteria ini mempunyai pelbagai serovar, iaitu variasi antigen yang berbeza dalam kumpulan bakteria yang sama. Kepelbagaian ini menjadikan epidemiologi leptospirosis kompleks kerana jenis bakteria dan haiwan pembawanya boleh berbeza mengikut kawasan geografi.

Gambar 1: Ilustrasi bakteria Leptospira interrogans (Ini adalah gambaran saintifik artistik, bukan imej mikroskop elektron sebenar dan dijana menggunakan Gemini Image).

Leptospirosis bukan penyakit yang hanya berlaku kepada manusia. Bakteria ini turut boleh menjangkiti pelbagai jenis mamalia lain seperti tikus, anjing, lembu, babi dan haiwan liar. Haiwan yang dijangkiti boleh menjadi pembawa bakteria ini dalam tempoh tertentu tanpa menunjukkan tanda penyakit yang ketara dan haiwan ini boleh membawa bakteria dalam buah pinggang dan menyingkirkannya melalui air kencing. Apabila air kencing haiwan yang dijangkiti mencemari tanah atau sumber air, bakteria tersebut berpotensi menjangkiti manusia.

Daripada Haiwan kepada Manusia: Bagaimana Jangkitan Berlaku?

Penularan leptospirosis boleh berlaku terutamanya melalui sentuhan dengan air, tanah atau persekitaran yang tercemar oleh air kencing haiwan yang dijangkiti. Kejadian banjir atau aktiviti- aktiviti yang dilakukan dalam air boleh meningkatkan risiko penularan penyakit ini. Sebagai contoh, air banjir boleh membawa bahan pencemar daripada kawasan perumahan, longkang, tapak pembuangan sampah dan kawasan yang menjadi habitat tikus dan seterusnya air kencing haiwan yang dijangkiti ini boleh tersebar ke kawasan yang lebih luas dan mencemari persekitaran. Risiko ini bukan sahaja melibatkan mangsa banjir tetapi juga boleh menyebabkan para sukarelawan, anggota penyelamat, pekerja pembersihan, petani, pekerja pembetungan dan individu yang melakukan aktiviti rekreasi air tawar juga boleh terdedah kepada jangkitan leptospirosis ini.

Bakteria Leptospira boleh memasuki tubuh manusia melalui luka kecil, calar, rekahan pada kulit atau melalui membran mukosa seperti di mata, hidung dan mulut. Risiko jangkitan lebih meningkat apabila seseorang terdedah kepada air atau tanah tercemar dalam tempoh yang lama, khususnya ketika melakukan aktiviti yang melibatkan sentuhan langsung dengan air yang tercemar dengan bakteria tersebut.

Gambar 2: Air banjir boleh membawa bahan yang dicemari air kencing haiwan yang dijangkiti bakteria leptospirosis. (Gambar ini dijana menggunakan Gemini AI)

Satu perkara yang menarik untuk difahami ialah bakteria ini mempunyai keupayaan untuk bertahan di luar tubuh haiwan. Dalam keadaan persekitaran yang sesuai, terutamanya air tawar dan tanah yang lembap serta bersuhu panas, bakteria Leptospira boleh terus hidup selama beberapa minggu hingga beberapa bulan. Keadaan ini menjelaskan mengapa kawasan yang kelihatan bersih selepas banjir atau hujan lebat masih berpotensi menjadi tempat pendedahan kepada bakteria tersebut.

Gambar 3: Tikus sering dikaitkan dengan penularan leptospirosis.

Mengapa Penyakit ini kadangkala sukar dikenal pasti?

Salah satu keunikan leptospirosis ialah gejala klinikalnya yang tidak khusus. Penyakit ini sering digelar ’the great mimicker’ kerana manifestasinya boleh menyerupai pelbagai penyakit lain termasuk demam denggi, influenza dan jangkitan virus lain. Tempoh pengeraman bakteria ini dalam badan kebiasaannya  di antara tempoh 2 hingga 30 hari dan kebiasaannya gejala akan bermula di antara 5 hingga 14 hari selepas pendedahan dan ianya mungkin berbeza- beza bagi setiap individu.

Pada peringkat awal, pesakit mungkin mengalami:

  • Demam panas secara tiba-tiba.
  • Sakit kepala yang ketara.
  • Sakit otot, khususnya pada bahagian betis dan belakang badan.
  • Menggigil dan keletihan.
  • Loya, muntah atau cirit-birit.
  • Mata merah akibat keradangan salur darah kecil pada konjunktiva.
  • Salah satu tanda klinikal penting ialah conjunctival suffusion, iaitu kemerahan pada mata yang ketara. Kehadiran tanda ini boleh membantu untuk mensyaki pesakit mendapat leptospirosis dan membuat diagnosis secara klinikal, namun ianya tidak semestinya berlaku dalam semua kes leptospirosis.

Tidak semua individu yang dijangkiti akan mengalami gejala. Ada juga yang mengalami jangkitan ringan sehingga tidak menyedari bahawa mereka telah terdedah kepada bakteria tersebut. Namun begitu, terdapat sebahagian pesakit yang boleh mengalami keadaan penyakit yang teruk dan seterusnya boleh mengancam nyawa.

Apa yang berlaku apabila Bakteria menyerang Organ Dalaman?

Selepas memasuki tubuh, bakteria Leptospira boleh memasuki aliran darah dan tersebar ke pelbagai organ. Keupayaan bakteria untuk menembusi tisu dan berinteraksi dengan lapisan salur darah memainkan peranan dalam perkembangan penyakit di dalam badan manusia. Dalam kes yang serius, pesakit boleh mengalami kerosakan buah pinggang, gangguan fungsi hati, pendarahan dan masalah pernafasan. Manifestasi penyakit leptospirosis yang teruk dikenali sebagai Sindrom Weil (Weil’s Syndrome). Keadaan ini biasanya dikaitkan dengan gabungan berlakunya keadaan jaundis (kekuningan pada seluruh mata dan badan), kegagalan buah pinggang, hati, jantung dan pesakit mungkin mengalami kecenderungan untuk berlaku pendarahan. Komplikasi lain adalah termasuk meningitis aseptik, iaitu keradangan selaput otak dan saraf tunjang, serta pendarahan paru-paru yang boleh menyebabkan kegagalan pernafasan. Kegagalan pelbagai organ boleh berlaku dalam kes jangkitan yang sangat serius (severe). Justeru itu, pengesanan dan rawatan awal adalah amat penting bagi mengurangkan risiko komplikasi dan kematian.

Diagnosis Moden: Mengesan Bakteria yang tidak dapat dilihat

Memandangkan gejala leptospirosis boleh menyerupai penyakit virus yang lain, sejarah mengenai gejala yang dialami dan kaitan antara aktiviti sosial atau harian melalui sesi temubual dengan pesakit merupakan komponen penting dalam proses diagnosis. Doktor akan mendapatkan maklumat mengenai aktiviti pesakit sebelum bermulanya gejala, termasuk sejarah meredah banjir, membersihkan rumah selepas banjir, bekerja di kawasan berlumpur atau melakukan aktiviti rekreasi air tawar.

Ujian makmal akan digunakan untuk mengesahkan diagnosis. Antara kaedah yang boleh digunakan ialah:

  1. Polymerase Chain Reaction (PCR)

Ujian PCR mengesan bahan genetik bakteria Leptospira dalam sampel klinikal. Ujian ini berguna terutamanya pada peringkat awal jangkitan apabila bakteria masih berada dalam aliran darah.

  1. Ujian serologi

Ujian serologi ini akan mengesan antibodi yang dihasilkan oleh sistem imun sebagai tindak balas terhadap jangkitan di dalam badan. Antara kaedah yang digunakan ialah IgM ELISA dan Microscopic Agglutination Test (MAT).

Pemilihan ujian bergantung pada tempoh gejala penyakit dan ketersediaan kemudahan makmal untuk melakukan ujian-ujian ini. Keputusan ujian negatif pada peringkat awal tidak semestinya boleh menolak diagnosis Leptospirosis kerana antibodi dalam badan mungkin belum terbentuk pada tahap yang dapat dikesan dengan ujian tersebut.

Rawatan Awal Mampu Menyelamatkan Nyawa

Leptospirosis boleh dirawat menggunakan antibiotik. Pemilihan antibiotik bergantung pada tahap keterukan penyakit, umur pesakit, keadaan kesihatan dan faktor klinikal yang lain.

Bagi kes ringan, antibiotik oral seperti doxycycline, amoxicillin atau azithromycin boleh diberikan. Pesakit dengan jangkitan sederhana atau teruk mungkin memerlukan rawatan di hospital, antibiotik melalui salur darah intravena (intravenous) dan pemantauan fungsi organ-organ seperti hati, buah pinggang, paru- paru atau jantung perlu dilakukan.

Rawatan sokongan seperti penggantian cecair, pemantauan garam elektrolit tubuh, dialisis mungkin perlu dilakukan sekiranya berlaku kegagalan buah pinggang dan bantuan pernafasan mungkin juga diperlukan mengikut tahap keadaan pesakit.

Perkara yang penting ialah rawatan antibiotik perlu dimulakan seawal mungkin apabila terdapat syak klinikal yang kuat.

Pencegahan: Tanggungjawab Bersama Manusia dan Persekitaran

Walaupun leptospirosis merupakan penyakit yang serius, langkah pencegahan boleh mengurangkan risiko jangkitan secara bermakna.

Antara langkah utama termasuklah:

  • Mengelakkan sentuhan dengan air banjir, air bertakung atau kawasan yang disyaki tercemar.
  • Memakai kasut but, sarung tangan kalis air dan pakaian perlindungan ketika melakukan kerja pembersihan.
  • Menutup luka atau calar menggunakan pembalut kalis air.
  • Memastikan bekalan air minuman dirawat dengan sempurna.
  • Mengelakkan penggunaan makanan yang telah tercemar dengan air banjir.
  • Mengurus sampah dengan baik dan mengawal populasi tikus.
  • Menjaga kebersihan kawasan rumah, longkang dan persekitaran.

Individu yang mengalami demam selepas terdedah kepada air banjir atau kawasan yang berpotensi tercemar perlu mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera. Maklumat mengenai sejarah pendedahan perlu dimaklumkan kepada petugas kesihatan. Penggunaan antibiotik tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya sebagai langkah pencegahan walaupun selepas terdedah kepada kawasan yang berpotensi tercemar  tanpa pengawasan dan pemeriksaan dari pegawai perubatan. Keputusan penggunaan antibiotik tersebut perlulah berdasarkan penilaian klinikal dan panduan kesihatan semasa yang dilakukan semasa mendapatkan rawatan di klinik.

Leptospirosis mengingatkan kita bahawa mikroorganisma yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar boleh memberikan kesan yang besar terhadap kesihatan manusia. Air mungkin kelihatan jernih, lumpur mungkin kelihatan biasa dan persekitaran mungkin kelihatan selamat. Namun, ancaman mikroorganisma tidak semestinya dapat dilihat. Memahami risiko ialah langkah pertama untuk melindungi kesihatan diri, keluarga dan masyarakat. Dalam negara yang mempunyai iklim tropika seperti Malaysia, kesedaran mengenai leptospirosis perlu menjadi sebahagian daripada pendidikan kesihatan masyarakat, terutama ketika musim hujan dan selepas kejadian banjir. Pengetahuan tentang cara penularan, pengenalpastian gejala awal, diagnosis yang tepat dan rawatan segera merupakan asas penting dalam mengurangkan komplikasi penyakit ini.

Rujukan:

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2011). Guidelines for the Diagnosis, Management, Prevention and Control of Leptospirosis in Malaysia. Garis panduan KKM.
  2. Kementerian Kesihatan Malaysia. National Antimicrobial Guideline – Tropical Infections: Leptospirosis. National Antimicrobial Guideline.
  3. Centers for Disease Control and Prevention. (2026). Clinical Overview of Leptospirosis. CDC Clinical Overview.
  4. Centers for Disease Control and Prevention. (2026). Preventing Leptospirosis after Hurricanes or Flooding. CDC Prevention Guidelines.
  5. Centers for Disease Control and Prevention. Leptospirosis – CDC Yellow Book. CDC Yellow Book.

Biodata Penulis:
Dr. Salziyan Badrin merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga dan pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memperoleh ijazah Doctor of Medicine (MD) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan Master of Medicine (Family Medicine) daripada Universiti Sains Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman dalam bidang penjagaan kesihatan primer, pendidikan perubatan prasiswazah dan pascasiswazah serta penyelidikan klinikal. Bidang minat merangkumi penyakit kronik dan kardiovaskular, kesihatan wanita, perubatan pencegahan, penjagaan warga emas dan penggunaan teknologi ultrabunyi di tempat rawatan (POCUS) dan turut aktif dalam penyelidikan dan penerbitan akademik serta pembangunan latihan kepakaran Perubatan Keluarga.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Leptospirosispenyakit kencing tikusSalziyan Badrinvaksin leptospirosis
Previous Post

Kelopak Mata: Pelindung Penglihatan Semula Jadi

Next Post

Kemurungan dalam Kalangan Pesakit SLE: Kenali Tanda Awal, Lakukan Saringan Kendiri dan Dapatkan Rawatan

Editor

Editor

Related Posts

Tibi: Diwarisi atau Dijangkiti? Membongkar Mitos Batuk Kering
Berita & Peristiwa

Tibi: Diwarisi atau Dijangkiti? Membongkar Mitos Batuk Kering

7 hours ago
Daripada Chatbot ke Klinik: Model Bahasa Besar (LLM) dalam Perubatan
Berita & Peristiwa

Daripada Chatbot ke Klinik: Model Bahasa Besar (LLM) dalam Perubatan

8 hours ago
Kenali Amelogenesis Imperfecta: Enamel Gigi Tidak Sempurna Sejak Lahir
Berita & Peristiwa

Kenali Amelogenesis Imperfecta: Enamel Gigi Tidak Sempurna Sejak Lahir

8 hours ago
Hepatitis B Okult: Memahami Jangkitan Tersembunyi di Sebalik Keputusan Saringan Negatif
Berita & Peristiwa

Hepatitis B Okult: Memahami Jangkitan Tersembunyi di Sebalik Keputusan Saringan Negatif

8 hours ago
Next Post
Kemurungan dalam Kalangan Pesakit SLE: Kenali Tanda Awal, Lakukan Saringan Kendiri dan Dapatkan Rawatan

Kemurungan dalam Kalangan Pesakit SLE: Kenali Tanda Awal, Lakukan Saringan Kendiri dan Dapatkan Rawatan

Kategori Produk

  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In