Penulis: Dr. Aiman Mardhiyyah binti Mohd Yazid1, Dr. Fatimah Halwani Binti Ismail2 & Dr. Arjamilah Binti Mohamed Noor3
1Pensyarah Perubatan dan Pakar Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
2Pakar Oftalmologi, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan
3Pakar Oftalmologi, Hospital Kuala Lipis, Pahang
Anda sedang berjalan santai di taman, melayani pemandangan yang permai, tiba-tiba ada objek melayang ke arah anda. Tanpa anda sedari, mata dikejap rapat secara spontan. Pernahkah anda terfikir mengapa mata kita secara automatik tertutup apabila ada objek menghampiri wajah?
Pergerakan yang kelihatan ringkas dan spontan ini sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi organ deria yang sangat berharga dalam tubuh manusia, mata. Di sebalik setiap gerakan membuka dan menutup mata terdapat satu sistem perlindungan biologi yang tersusun dan kompleks, bermula daripada struktur anatomi dan sistem saraf yang terlibat.
Struktur yang dimaksudkan adalah kelopak mata. Walaupun kelopak mata hanya sebahagian kecil daripada wajah, kelopak mata sebenarnya mempunyai peranan yang jauh lebih penting daripada mencantikkan penampilan individu. Kelopak mata berfungsi sebagai pelindung fizikal, pelembap mata semula jadi dan mempunyai mekanisme pertahanan bagi memastikan permukaan mata sentiasa sihat dan penglihatan kekal jelas.
Kelopak Mata: Lebih daripada Sekadar Kulit
Secara anatominya, struktur setiap mata terdiri daripada dua kelopak mata iaitu kelopak mata atas dan kelopak mata bawah. Setiap kelopak mata ini terdiri daripada beberapa lapisan yang merangkumi kulit, tisu sokongan, otot protraksi, septa orbital, lemak orbital, otot retraksi, plat tarsus, dan lapisan konjunktiva pada bahagian paling dalam. Antara kedua kelopak mata ini terletaknya bukaan yang membolehkan kita melihat dengan baik. Pada kelopak mata juga terdapat bulu mata yang bertindak sebagai teduhan yang menapis debu dan bendasing daripada masuk ke dalam mata kita.
Struktur anatomi ini dibantu oleh sistem saraf kranial ketujuh juga dikenali sebagai saraf fasial. Saraf fasial membekalkan saraf kepada otot orbicularis okuli yang berfungsi sebagai protraktor utama untuk menutup mata. Manakala saraf kranial ketiga iaitu saraf okulomotor membekalkan saraf kepada otot retraktor seperti otot levator palpebra superioris, manakala otot superior dan inferior tarsal yang berpegang pada plat tarsus dibekalkan oleh saraf simpatetik yang membantu kita membuka mata.
Adakah anda tahu, kulit di kelopak mata adalah kulit yang paling nipis berbanding kulit di seluruh badan kita? Ya, itulah keistimewaan kulit pada kelopak mata kita. Kulit yang nipis ini memudahkan kita untuk mengerdip mata.

Mengerdip Mata: Mekanisme Perlindungan Semula Jadi
Kerdipan mata merupakan mekanisme perlindungan penting yang boleh berlaku secara dalam kawalan dan juga luar kawalan. Mekanisme ini boleh dicetuskan oleh pelbagai rangsangan antaranya rangsangan sentuhan pada kornea, bulu mata, kulit kelopak mata dan bulu kening, rangsangan optikal seperti cahaya yang terlalu terang dan objek yang datang secara tiba-tiba dan rangsangan auditori. Kerdipan mata berfungsi untuk menghalang bendasing masuk ke permukaan mata, mengurangkan pendedahan permukaan mata kepada cahaya persekitaran dan mengagihkan air mata secara berkala dan sekata pada permukaan kornea.
Kornea adalah lapisan jernih berbentuk kubah pada bahagian hadapan mata yang membolehkan cahaya masuk untuk difokuskan oleh kanta mata dan retina. Nutrisi kornea bergantung kepada air mata dan struktur sekeliling kerana tidak mempunyai salur darah. Setiap kali kita mengerdip, kelopak mata akan bergerak merentasi permukaaan mata seperti pengelap cermin hadapan kereta. Pergerakan ini membantu menyebarkan lapisan air mata secara sekata supaya permukaan kornea kekal lembap dan jernih. Jika pengedaran air mata tidak mencukupi, permukaan mata boleh menjadi kering dan mengakibatkan penglihatan menjadi kabur.
Adakah anda tahu kadar kerdipan mata berbeza pada peringkat umur? Bayi mengerdip pada kadar 6 kerdipan setiap minit manakala dewasa 15 hingga 20 kerdipan setiap minit dalam keadaan tidak fokus melakukan aktiviti. Apabila anda terlalu fokus membaca atau menggunakan telefon pintar, kadar kerdipan akan berkurang seterusnya menyebabkan air mata lebih mudah tersejat dan meningkatkan gejala mata kering.
Kelenjar Meibomian: Lapisan Minyak yang Melindungi Air Mata
Selain otot dan bulu mata, kelopak mata turut mengandungi kelenjar khas yang dikenali sebagai kelenjar Meibomian. Kelenjar ini terletak dalam tisu sokongan padat dikenali sebagai plat tarsus dan menghasilkan lapisan berminyak yang dikenali sebagai meibum.
Apakah kepentingan bahan berminyak ini?
Air mata bukan sekadar air biasa. Air mata membentuk satu lapisan perlindungan yang kompleks pada permukaan kornea dan konjunktiva. Lapisan ini terdiri daripada tiga komponen utama iaitu lapisan lipid, akuas dan musin.
Lapisan lipid berada pada bahagian paling luar filem air mata berfungsi memperlahankan penyejatan air mata. Lapisan akuas membekalkan kelembapan serta bahan perlindungan manakalan lapisan musin membantu air mata melekat pada permukaan epitelium kornea dan memberi kelembapan sekata pada permukaan kornea.
Ketiga-tiga komponen filem air mata ini bekerjasama untuk mengekalkan kestabilan lapisan air mata. Apabila kelenjar Meibomian tersumbat atau tidak berfungsi dengan baik, lapisan lipid boleh berkurang dan menyebabkan air mata lebih mudah tersejat.

Kelopak Mata: Perisai daripada Ancaman Persekitaran
Kelopak mata memainkan peranan penting dalam melindungi struktur mata daripada pendedahan kepada cahaya yang terlalu terang serta sinaran ultraungu (UV). Apabila terdedah kepada cahaya yang menyilaukan, kelopak mata akan mengecilkan bukaan mata atau tertutup sepenuhnya sebagai tindak balas perlindungan semula jadi. Mekanisme ini membantu mengurangkan jumlah cahaya yang memasuki mata dan mengehadkan pendedahan permukaan serta struktur dalaman mata kepada sinaran UV. Pendedahan UV yang berlebihan boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit mata, termasuk kanser kulit pada kelopak mata, pterigium pada konjunktiva, fotokeratitis pada kornea dan katarak pada kanta mata. Perlindungan semula jadi oleh kelopak mata sahaja tidak mencukupi. Penggunaan cermin mata hitam yang mempunyai perlindungan UV serta topi bertepi lebar dapat membantu mengurangkan pendedahan mata kepada sinaran UV. Selain itu, hadkan aktiviti luar ketika sinaran matahari paling terik, lazimnya antara pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Selain kelopak mata, bulu mata turut bertindak sebagai barisan pertahanan pertama terhadap persekitaran luar. Bulu mata membantu menghalang habuk, bendasing, angin dan serpihan kecil daripada terus mengenai permukaan kornea. Menariknya, bulu mata juga mempunyai keupayaan menapis sebahagian sinaran UV. Kajian menunjukkan bahawa bulu mata boleh mengurangkan kira-kira 12 hingga 14 peratus sinaran UV daripada sampai ke permukaan kornea. Di samping berfungsi sebagai pelindung fizikal, sentuhan pada bulu mata boleh mencetuskan refleks mengerdip, yang menyebabkan mata tertutup secara spontan bagi mengelakkan kemasukan bendasing.
Kelopak mata juga berfungsi sebagai pelindung mekanikal apabila mata terdedah kepada risiko kecederaan atau trauma. Apabila anda terkena objek tajam atau tumpul, percikan bahan kimia, haba atau api, tindakan refleks menutup mata dapat mengurangkan pendedahan langsung bebola mata kepada bahan yang berbahaya. Walaupun kelopak mata tidak mampu menghalang semua bentuk kecederaan, peranannya sebagai penghadang fizikal dapat mengurangkan risiko kerosakan pada struktur dalaman mata. Hal ini menunjukkan bahawa kelopak mata bukan sekadar struktur yang membuka dan menutup mata malah merupakan sistem pertahanan semula jadi yang sangat penting dalam mengekalkan keselamatan dalaman mata dan fungsi penglihatan.

Kelopak mata mungkin kelihatan seperti struktur kecil yang sering kita abaikan, namun peranannya dalam mengekalkan kesihatan mata amat besar sebagai pelindung mata daripada cahaya terang, habuk dan kecederaan, sehinggalah memastikan permukaan kornea sentiasa lembap melalui pengedaran sekata air mata, setiap komponen kelopak mata mempunyai fungsi tersendiri yang saling melengkapi.
Menariknya, kebanyakan fungsi ini berlaku secara automatik tanpa kita sedari. Setiap kali kita mengerdip, satu mekanisme perlindungan yang kompleks sedang berlaku bagi memastikan mata terus berfungsi dengan baik. Oleh itu, kesihatan kelopak mata tidak seharusnya dipandang remeh. Penjagaan mata yang menyeluruh bukan sekadar memberi perhatian kepada penglihatan, tetapi turut merangkumi kesihatan kelopak mata sebagai barisan pertahanan pertama mata.
Rujukan
- Oculofacial Plastic and Orbital Surgery 2025-2026 (7th edition) American Academy of Ophthalmology
- Protecting your eyes from the sun’s UV light (July 5, 2022) National Eye Institute
- Michele Marro, Laurent Moccozet, David Vernez (2022) Modeling the protective role of human eyelashes against ultraviolet light exposure, Computers in Biology and Medicine, doi:10.1016/j.compbiomed.2021.105135
- Yadav NK, Husain A, Joshi D, et al. Advances in Eyelid Trauma Management: A Systematic Review of Surgical Strategies, Reconstructive Innovations, and Clinical Outcomes From 2000 to 2026. Cureus. 2026;18(5):e109910. Published 2026 May 30. doi:10.7759/cureus.109910
Pengakuan Penggunaan Kecerdasan Buatan
Rencana dan bahan grafik dihasilkan dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan penyampaian maklumat serta membantu pembaca memahami konsep yang dibincangkan melalui visual. Fakta dan maklumat yang terkandung dalam rencana serta grafik telah disemak dan diteliti oleh penulis bagi memastikan ketepatan serta kesahihan kandungan yang disampaikan.
Biodata Penulis

Dr. Aiman Mardhiyyah Binti Mohd Yazid merupakan pensyarah perubatan dan pakar oftalmologi di Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia. Beliau komited dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesihatan mata serta kepentingan penjagaan penglihatan melalui pendidikan dan perkongsian ilmu.
Dr. Fatimah Halwani Binti Ismail merupakan merupakan pakar oftalmologi di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Beliau terlibat secara aktif dalam pelbagai program kesedaran kesihatan mata dan penjagaan penglihatan dalam kalangan masyarakat.
Dr. Arjamilah Binti Mohamed Noor merupakan pakar oftalmologi di Hospital Kuala Lipis, Pahang di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Beliau terlibat secara langsung dalam menjaga kesihatan mata khususnya bagi penduduk di kawasan pedalaman Pahang Barat.



