Penulis: Dr. Wan Majdiah Wan Mohamad
Pensyarah Perubatan (Imunologi),
Pusat Pengajian Sains Pergigian, Hospital Pakar USM
Bayangkan setiap kali anda memberus gigi, anda melihat sedikit kesan darah di sinki. Ramai antara kita menganggap perkara ini biasa atau normal, mungkin berus gigi terlalu keras atau gusi sekadar luka kecil. Namun, sains moden kini mendedahkan satu hakikat yang mana penyakit gusi jika dibiarkan melarat bukan sahaja boleh menyebabkan gigi tercabut, malah berpotensi menyebabkan sakit sendi yang kronik iaitu reumatoid arteritis (RA) dan sebaliknya.
Kajian-kajian dari pakar perubatan dan doktor gigi terkini telah mendapati pesakit yang menghidap penyakit reumatoid artritis, iaitu sejenis penyakit sendi kronik lebih kerap mengalami penyakit gusi tahap serius (periodontitis) berbanding dengan orang biasa. Pada permulaannya ramai menyangka pesakit reumatoid arteritis sukar memberus gigi dengan baik kerana jari-jemari mereka kaku dan sakit disebabkan oleh penyakit reumatoid arteritis. Namun, kajian terkini dan mendalam telah membuktikan bahawa terdapat perkaitan yang kompleks di antara penyakit penyakit gusi periodontitis dan reumatoid arteritis.
Untuk memahami perkaitan antara periodontitis dan reumatoid arteritis, kita perlu mengenali kedua-dua penyakit ini secara ringkas:
- Periodontitis (Penyakit Gusi Kronik): Ia bermula apabila plak dan bakteria terkumpul di celah gusi. Jika tidak dibersihkan, gusi menjadi bengkak, merah, dan mudah berdarah. Lama-kelamaan, jangkitan ini akan memusnahkan tisu lembut serta tulang yang menyokong gigi.
- Reumatoid Arteritis (RA): Berbeza dengan sakit sendi akibat faktor usia (osteoartritis), RA adalah sejenis penyakit autoimun dimana sistem pertahanan badan( sistem imun) menjadi keliru lalu menyerang tisu sendi yang sihat, menyebabkan sendi membengkak, terasa panas, dan kaku terutamanya pada waktu pagi (morning stiffness), dan akhirnya boleh merosakkan sendi. Reumatoid arteritis biasanya berlaku pada sendi-sendi kecil pada bahagian tangan dan pergelangan tangan selain daripada sendi pada jari kaki, siku, lutut, tumit, dan rahang (temporomandibular joint).
Perkaitan antara Periodontitis dan Reumatoid Arteritis
Periodontitis dan rheumatoid arteritis mempunyai perkaitan yang rapat dan hubungan dua-hala yang kuat antara satu sama lain. Kajian penyelidikan telah mendapati dan membuktikan kedua-dua penyakit ini berkongsi mekanisma keradangan (patogenesis) dan menunjukkan profil sitokin pro-radang (pro-inflammatory cytokines) yang sama di dalam darah.
Kajian perubatan juga telah menunjukkan terdapat bakteria oral dalam penyakit periodontitis yang boleh memberi kesan kepada sendi di tangan, lutut, atau kaki. Porphyromonas gingivalis adalah sejenis bakteria oral utama yang terlibat dalam patogenesis periodontitis dan reumatoid arteritis. Para penyelidik mendapati bahawa Porphyromonas gingivalis mempunyai keupayaan unik untuk menghasilkan sejenis enzim iaitu peptidylarginine deiminase (PPAD) yang boleh mengubah struktur protein semula jadi di dalam tisu gusi melalui proses saintifik yang dipanggil sitrulinasi (citrullination). Enzim PPAD menukarkan protein, asid amino arginina kepada sitrulina melalui proses sitrulinasi.
Apabila protein ini berubah bentuk, sistem imun badan kita tidak lagi mengenalinya sebagai sebahagian daripada tubuh sendiri. Sebaliknya, sistem imun menganggap protein yang berubah itu sebagai benda asing dan mula menghasilkan sejenis antibodi yang dikenali sebagai antibodi anti-cyclic citrullinated peptide (Anti-CCP). Oleh kerana protein yang serupa turut wujud pada lapisan sendi, menyebabkan sel-sel imun yang terdapat di aliran darah menjadi aktif dan menyerang sendi serta mencetuskan keradangan yang berpanjangan.
Selain daripada itu, gusi berdarah merupakan salah satu ciri-ciri periodontitis. Apabila berlaku pendarahan pada gusi, ini boleh menyebabkan kemasukan bakteria dan sitokin ke dalam saluran darah, seterusnya menyebabkan keradangan di bahagian-bahagian tubuh yang lain. Kajian penyelidikan klinikal mendapati bahawa pesakit reumatoid arteritis yang menjalani rawatan pembersihan gusi secara mendalam (scaling dan root planing) menunjukkan penurunan tahap keradangan di dalam badan dan rasa sakit pada sendi lebih terkawal.
Ujian Darah untuk diagnosis Periodontitis dan Reumatoid Arteritis
- Penanda keradangan (CRP dan ESR): C-reactive protein (CRP) dan erythrocyte sedimentation rate (ESR) menunjukkan tahap keradangan umum di dalam badan serta membantu memantau aktiviti penyakit, walaupun tidak spesifik untuk reumatoid arteritis
- Faktor Reumatoid (RF): Faktor reumatoid (antibodi RF) boleh dikesan di dalam darah. Paras yang tinggi menyokong diagnosis RA, tetapi keputusan yang negatif (sero-negatif) tidak menolak diagnosis RA. Keputusan yang positif boleh juga berlaku dalam keadaan lain atau individu yang sihat.
- Antibodi anti-CCP (Anti-Cyclic Citrullinated Peptide): Antibodi ini adalah lebih spesifik untuk RA jika dibandingkan dengan RF dan sering dikesan pada peringkat awal penyakit.
- Kiraan darah lengkap (Full Blood Count): Membantu mengesan anemia keradangan kronik atau perubahan sel darah berkaitan dengan keradangan aktif.
- Lain-lain: Periodontitis didiagnosa oleh doktor gigi melalui pengukuran kedalaman poket gusi, kehilangan lekatan klinikal, dan kehilangan tulang pada sinar-X pergigian. Ujian X-ray juga boleh dilakukan untuk mengesan keabnormalan pada sendi-sendi yang terlibat untuk pesakit reumatoid arteritis.
Langkah-langkah Pencegahan dan Pengesanan Awal
Memahami bahawa kesihatan oral adalah mencerminkan kesihatan seluruh tubuh. Menjaga kesihatan gusi bukan lagi sekadar soal memiliki senyuman yang cantik atau nafas yang segar, tetapi ia adalah salah satu daripada aspek penting untuk melindungi sendi kita pada masa hadapan.
Jika keradangan pada sendi-sendi kecil ini dibiarkan berlarutan tanpa rawatan perubatan, ianya boleh menghakis tulang dan melemahkan ligamen di sekitar jari-jari. Ini boleh menyebabkan pembengkokan dan perubahan bentuk pada jari serta kehilangan fungsi genggaman secara kekal. Justeru itu adalah penting untuk mengambil langkah-langkah penjagaan pembersihan gigi seperti berikut:
- Berus gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida dan berus berbulu lembut, terutamanya di garisan pertemuan antara gigi dan gusi.
- Gunakan flos atau berus interdental setiap hari untuk membuang sisa makanan dan plak di celah gigi yang tidak dapat dicapai oleh berus biasa.
- Berhenti merokok, kerana tabiat merokok adalah faktor risiko utama bagi kedua-dua penyakit periodontitis dan reumatoid arteritis.
- Lakukan pemeriksaan gigi berkala setiap enam bulan, dan maklumkan kepada doktor gigi sekiranya anda mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit sendi atau autoimun.
Rawatan penyakit Reumatoid Arteritis
Rawatan untuk penyakit reumatoid arteritis adalah bertujuan untuk mengawal keradangan, mengurangkan kesakitan, dan mencegah kerosakan sendi melalui gabungan ubatan dan fisioterapi.
i-Rawatan Ubatan
- DMARDs (Disease Modifying Anti-Rheumatic Drugs). Ini adalah rawatan utama untuk melambatkan perkembangan penyakit dan melindungi sendi (Contohnya seperti Methotrexate, Sulfasalazine, Leflunomide, Hydroxychloroquine)
- Ubat Biologi: Disyorkan jika DMARDs kurang berkesan untuk mengawal tindakbalas imun.
- Kortikosteroids: Contohnya seperti prednisolone, untuk mengurangkan bengkak dan sakit ketika fasa aktif.
- Analgesik dan NSAIDs (Non steroidal anti-inflammatory drugs): Untuk mengurangkan kesakitan dan keradangan. Contohnya seperti paracetamol dan ibuprofen.
ii-Fisioterapi dan pembedahan
- Fisioterapi dan terapi cara kerja membantu mengekalkan julat pergerakan sendi, menguatkan otot di sekitar sendi, dan melindungi sendi daripada tekanan berlebihan.
- Pembedahan perlu dilakukan jika berlaku kerosakan sendi yang teruk seperti penggantian sendi atau pembaikian tendon.
Kesimpulan
Perkaitan antara periodontitis dan rheumatoid arteritis telah terbukti dengan kajian saintifik dan perubatan. Justeru itu pengesanan awal penyakit adalah amat penting untuk mencegah komplikasi. Rawatan optimum bagi pesakit yang menghidapi kedua-dua penyakit ini memerlukan pendekatan multidisiplin yang mengabungkan terapi periodontal bukan pembedahan (penskalaran dan pengetaman akar) dan ubat pengubahsuai penyakit (DMARDs) serta kawalan faktor risiko seperti merokok dan sebagainya. Pengurusan gaya hidup sihat juga disarankan seperti berhenti merokok sepenuhnya. Adaptasi kebersihan mulut perlu diamalkan oleh pesakit reumatoid arteritis seperti menggunakan berus gigi elektrik dan alat flos air bagi memastikan kawalan plak harian yang optimum tanpa membebankan sendi tangan. Pesakit perlu menjalani rawatan susulan pemeriksaan pergigian berkala setiap 3 hingga 6 bulan dan doktor gigi perlu dimaklumkan mengenai pengambilan ubat reumatoid arteritis supaya pelan rawatan dapat diselaraskan dengan baik dan berkesan.
Rujukan:
Bella, L., Accurso, F., Rugglero, R., Ramaglia, L. (2025). Periodontitis and Rheumatoid Arthritis: Correlation and identification of a Therapeutic Approach for Oral and Systemic Health. Oral Hygiene Journal, 1(1).9-15.https://doi.org/10.33393/ohj.2025.3692
Bingham, C. O., & Moni, M. (2013). Periodontal disease and rheumatoid arthritis: the evidence accumulates for complex pathobiologic interactions. Current Opinion in Rheumatology, 25(3), 345–353.
de Molon, R. S., Rossa Jr, C., Thurlings, R. M., Cirelli, J. A., & Koenders, M. I. (2019). Linkage of Periodontitis and Rheumatoid Arthritis: Current Evidence and Potential Biological Interactions. International Journal of Molecular Sciences, 20(18), 4541.
Stoupi, M., Telopoulou, M., Zisis ,V. et al. (2026). Rheumatoid Arthritis and Periodontitis: Shared Pathogenic Mechanism and Clinical Implications: A Narrative Review. Oral, 6(2), 40. https://doi.org/10.3390/oral6020040




