Penulis: Dr. Shafini Mohamed Yusoff 1, Prof Madya Dr Mohd Nazri Hassan1, Dr Salfarina Iberahim1,
¹Pakar Hematologi dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Hematologi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
Setitis Darah, Sejuta harapan
Darah merupakan komponen penting dalam kehidupan manusia. Tanpa bekalan darah yang mencukupi dan selamat, banyak rawatan perubatan serta prosedur pembedahan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Pesakit yang mengalami kemalangan, kehilangan darah yang banyak, komplikasi ketika bersalin, kanser, penyakit darah seperti talasemia dan leukemia, serta mereka yang menjalani pembedahan mungkin memerlukan transfusi darah untuk meneruskan kehidupan.
Walaupun kepentingan pendermaan darah sering diwar-warkan, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang keberatan untuk menjadi penderma. Ada yang takut kepada jarum, bimbang akan kesan terhadap kesihatan, malah ada yang percaya bahawa menderma darah boleh menyebabkan badan menjadi lemah atau berat badan bertambah. Persoalannya, sejauh manakah kepercayaan ini benar?
Sudah tiba masanya kita membezakan antara mitos dengan fakta supaya lebih ramai masyarakat tampil menjadi penderma darah yang sukarela dan berkala.

MITOS 1: Menderma darah menyebabkan badan menjadi lemah dan tidak bermaya
FAKTA: Ini merupakan antara tanggapan yang paling biasa didengar. Sebenarnya, individu yang sihat dan memenuhi kriteria pendermaan darah secara amnya boleh menderma darah dengan selamat. Selepas pendermaan, badan akan memulakan proses semula jadi untuk menggantikan komponen darah yang telah didermakan.
Walau bagaimanapun, sesetengah penderma mungkin mengalami keletihan sementara, pening atau rasa kurang selesa selepas menderma. Keadaan ini biasanya dapat dielakkan atau dikurangkan dengan mendapatkan rehat yang mencukupi, mengambil makanan sebelum pendermaan dan memastikan pengambilan air yang mencukupi.
Oleh itu, penderma dinasihatkan supaya berehat seketika selepas menderma dan mengikut nasihat petugas kesihatan sebelum meneruskan aktiviti harian.
MITOS 2: Menderma darah menyebabkan berat badan bertambah
FAKTA: Jangan jadikan alasan ini sebagai penghalang untuk menderma darah! Pendermaan darah tidak menyebabkan pertambahan berat badan. Berat badan seseorang dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk pemakanan, aktiviti fizikal dan metabolisme badan, bukannya aktiviti menderma darah.
MITOS 3: Menderma darah sangat menyakitkan kerana menggunakan jarum
FAKTA: Rasa takut terhadap jarum merupakan perkara biasa, terutamanya bagi individu yang pertama kali menderma darah. Namun, proses pendermaan dilakukan oleh petugas kesihatan yang terlatih dengan menggunakan peralatan steril dan jarum khas untuk pendermaan darah.
Penderma mungkin merasakan sedikit ketidakselesaan ketika jarum dimasukkan, tetapi proses pengambilan darah biasanya tidak mengambil masa yang lama. Jika berasa takut atau bimbang, maklumkan kepada petugas kesihatan supaya mereka dapat membantu memberikan sokongan sepanjang prosedur.
Jangan biarkan ketakutan terhadap jarum menghalang anda daripada melakukan sesuatu yang boleh menyelamatkan nyawa orang lain.
MITOS 4: Wanita tidak boleh menderma darah
FAKTA: Wanita sebenarnya boleh menjadi penderma darah sekiranya memenuhi kriteria kesihatan yang ditetapkan.Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang memerlukan penangguhan sementara, seperti kehamilan, tempoh selepas bersalin dan penyusuan susu ibu. Wanita yang mengalami haid juga perlu menjalani penilaian berdasarkan keadaan kesihatan dan paras hemoglobin masing-masing.
Paras hemoglobin yang mencukupi amat penting bagi memastikan penderma tidak mengalami anemia atau kekurangan darah selepas pendermaan.
MITOS 5: Individu yang mempunyai tekanan darah tinggi atau diabetes langsung tidak boleh menderma darah
FAKTA: Tidak semua individu yang mempunyai penyakit kronik secara automatik tidak layak menjadi penderma. Kelayakan bergantung kepada jenis penyakit, tahap kawalan penyakit, keadaan kesihatan semasa dan ubat-ubatan yang diambil.
Sesetengah individu yang mempunyai tekanan darah tinggi atau diabetes yang terkawal mungkin boleh dipertimbangkan untuk menderma darah selepas penilaian oleh petugas kesihatan. Penilaian yang sewajarnya dapat dilakukan dengan maklumkan sejarah kesihatan dan ubat-ubatan yang diambil semasa proses saringan.
MITOS 6: Menderma darah boleh menyebabkan seseorang dijangkiti penyakit seperti HIV dan hepatitis
FAKTA: Pendermaan darah di pusat pendermaan yang diiktiraf adalah selamat. Setiap pendermaan menggunakan jarum dan peralatan pengumpulan darah yang steril serta direka untuk kegunaan sekali sahaja. Oleh itu, penderma tidak akan dijangkiti HIV, hepatitis atau penyakit bawaan darah melalui proses pendermaan yang dilakukan dengan betul.
Sebaliknya, darah yang didermakan akan melalui proses saringan bagi mengesan jangkitan tertentu seperti HIV, hepatitis B, hepatitis C dan sifilis sebelum digunakan untuk transfusi. Langkah ini amat penting bagi memastikan keselamatan pesakit yang menerima darah.Namun begitu, saringan darah mempunyai batasan tertentu dan tidak semestinya dapat mengesan jangkitan yang masih berada dalam tempoh tingkap (window period). Justeru, penderma perlu memberikan maklumat kesihatan dan sejarah risiko dengan jujur.
MITOS 7: Darah yang didermakan hanya digunakan untuk seorang pesakit
FAKTA: Satu pendermaan darah berpotensi membantu lebih daripada seorang pesakit. Ini kerana darah yang dikumpulkan boleh diproses dan dipisahkan kepada beberapa komponen utama seperti sel darah merah, platelet dan plasma.
Setiap komponen mempunyai fungsi dan kegunaan yang berbeza. Sel darah merah lazimnya diberikan kepada pesakit yang mengalami kehilangan darah atau anemia yang teruk. Platelet pula diperlukan oleh pesakit tertentu yang mengalami kekurangan platelet, termasuk pesakit leukemia yang menjalani rawatan kemoterapi. Plasma mengandungi faktor pembekuan yang diperlukan oleh pesakit dengan masalah pembekuan darah tertentu.
Oleh itu, satu pendermaan darah boleh memberikan peluang kehidupan kepada beberapa orang pesakit yang mempunyai keperluan rawatan yang berbeza.
MITOS 8: Kita hanya perlu menderma darah apabila berlaku kecemasan
FAKTA: Bekalan darah diperlukan setiap hari, bukan hanya ketika berlakunya bencana, kemalangan besar atau kecemasan. Hospital memerlukan bekalan darah yang mencukupi untuk pelbagai keperluan rawatan yang berterusan.
Darah dan komponennya juga mempunyai tempoh penyimpanan yang terhad. Sebagai contoh, sel darah merah boleh disimpan untuk tempoh tertentu mengikut kaedah penyimpanan, manakala platelet mempunyai tempoh penyimpanan yang jauh lebih singkat.
Oleh itu, pendermaan darah secara berkala amat penting bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi dan tidak bergantung kepada kempen pendermaan ketika berlakunya kekurangan stok sahaja.
kekurangan stok sahaja.
Siapakah yang Layak Menderma Darah?
Secara umumnya, individu yang sihat, memenuhi syarat umur dan berat badan serta melepasi penilaian kesihatan boleh dipertimbangkan untuk menjadi penderma darah. Di Malaysia, kriteria asas yang ditetapkan oleh Pusat Darah Negara termasuk berat badan sekurang-kurangnya 45 kg, tidur yang mencukupi dan pengambilan makanan sebelum menderma. Bagi individu berumur 17 tahun, kebenaran bertulis ibu bapa atau penjaga diperlukan.
Sebelum pendermaan, penderma akan melalui proses pendaftaran, soal selidik kesihatan, pemeriksaan tekanan darah dan ujian paras hemoglobin. Penilaian ini penting untuk memastikan pendermaan selamat kepada penderma dan penerima darah.
Jadilah Penderma, Jadilah penyelamat
Pendermaan darah bukan sekadar satu aktiviti kebajikan, tetapi merupakan satu sumbangan kemanusiaan yang amat bermakna. Setiap beg darah yang dikumpulkan membawa harapan kepada pesakit yang sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan.
Jangan biarkan mitos dan salah faham menghalang kita daripada melakukan kebaikan. Dapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, fahami proses pendermaan dan dapatkan nasihat petugas kesihatan sekiranya mempunyai sebarang keraguan.
Rujukan
- Pusat Darah Negara. (2025). Kriteria Pendermaan Darah. Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Pusat Darah Negara. (2020). Soalan Lazim (FAQ) Pendermaan Darah. Kementerian Kesihatan Malaysia
- World Health Organization. (2012). Blood Donor Selection: Guidelines on Assessing Donor Suitability for Blood Donation. WHO.
Pernyataan penggunaan AI
Ilustrasi dijana menggunakan teknologi AI OpenAI. Fakta perubatan bersandarkan rujukan yang disenaraikan
Biodata Penulis
Dr. Shafini Mohamed Yusoff
Kelulusan akademik: Ijazah Sarjana Muda Perubatan (MD) USM & Sarjana Patologi (Hematologi) USM
Jawatan: Pakar Hematologi dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Hematologi & Unit Perubatan Transfusi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM
Bidang kepakaran: Hematopatologi dan perubatan transfusi. Aktif dalam pengajaran dan penyelidikan berkaitan penyakit hematologi seperti anemia, talasemia, leukemia serta perubatan transfusi serta terlibat dalam jaminan kualiti makmal hematologi.
Profesor Madya Dr Mohd Nazri Bin Hassan adalah seorang Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Hematologi di Jabatan Hematologi dan Unit Perubatan Transfusi, Hospital Universiti Sains Malaysia. Telah berkhidmat dalam bidang hematologi semenjak 2005 dan memulakan perkhidmatan sebagai pensyarah dan pakar perubatan pada tahun 2012 dengan pengkhususan hematologi dan perubatan transfusi.
Dr. Salfarina Iberahim adalah seorang Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Hematologi di Jabatan Hematologi dan Unit Perubatan Transfusi di Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia. Beliau berkelulusan Sarjana Patologi (Hematologi).



