Penulis: Dr. ‘Aqilah Mukhtar¹, Dr. Khairiatul Mardiana Jansar²
¹‘²Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Tahukah anda terdapat risiko tersembunyi di dalam rutin penjagaan kecantikan rakyat Malaysia yang boleh memberikan ancaman terhadap pengguna dan menyebabkan pencemaran terhadap alam sekitar? Tanpa disedari, disebalik penggunaan kosmetik dan produk penjagaan diri untuk penampilan yang lebih cantik dan menarik, terdapat bahaya yang boleh ditimbulkan, iaitu bahaya mikroplastik.
Mikroplastik dalam Kosmetik
Mikroplastik ialah serpihan plastik kecil yang berukuran kurang daripada 5 mm yang sering digunakan dalam pelbagai produk penjagaan diri dan kosmetik. Antaranya termasuklah skrub muka, gel mandian, ubat gigi, losyen badan, serta kosmetik hiasan seperti gincu, bedak asas, dan pembayang mata. Mikroplastik dalam produk penjagaan diri berfungsi sebagai agen eksfoliasi. Sebagai contoh, polietilena digunakan untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati dalam liang pori, sekali gus membantu pembentukan lapisan kulit baharu yang lebih lembut, licin dan cerah. Selain itu, mikroplastik berfungsi sebagai bahan yang memberikan rasa licin atau ringan kepada produk seperti bedak asas dan krim muka. Ia juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan warna, aroma, dan tekstur produk kosmetik untuk jangka masa yang lebih lama.
Kajian oleh Praveena et al. (2018) mendedahkan bahawa 0.199 trilion mikroplastik dilepaskan ke persekitaran setiap tahun di Malaysia. Penyelidikan ini menunjukkan bahawa mikroplastik seperti polipropilena dan polietilena, dengan saiz antara 3 hingga 178 μm, banyak digunakan dalam produk penjagaan diri seperti ubat gigi dan pembersih muka. Fakta ini membuktikan bahawa mikroplastik bukan sahaja wujud dalam kosmetik tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pencemaran alam sekitar.
Kesan Mikroplastik kepada Kesihatan Manusia
Mikroplastik kini dikenal pasti sebagai ancaman besar kepada kesihatan manusia. Partikel kecil ini berupaya memasuki ke dalam organ manusia seperti salur darah, paru-paru dan sistem penghadaman. Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine oleh Marfella et al. (2024) mendapati bahawa pesakit jantung dengan kehadiran mikroplastik dalam saluran darah berisiko dua kali ganda tinggi untuk mengalami serangan jantung dan strok.
Selain itu, mikroplastik berfungsi seperti “magnet” bagi bahan pencemar. Mikroplastik mampu menjerap dan menyerap bahan pencemar atau toksik dari persekitaran, yang kemudiannya memasuki tubuh manusia melalui makanan, minuman atau udara tercemar. Bahan pencemar ini berpotensi terlepas kembali ke dalam badan, lalu mengganggu keseimbangan hormon dan menjejaskan sistem pembiakan manusia. Bahan kimia pengganggu endokrin (Endocrine Disrupting Chemicals, EDCs) seperti bisfenol A (BPA), nonilfenol, dan oktilfenol yang banyak digunakan dalam pembuatan plastik juga memberi kesan kepada kesihatan manusia. Kajian oleh Chen et al. (2019) menunjukkan pengambilan organisma marin yang mengandungi EDC berupaya menggangu fungsi hormon secara semula jadi, termasuk menyebabkan mutasi dan penurunan fungsi pembiakan.
Mikroplastik yang memasuki saluran gastrousus manusia boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan, terutamanya dengan mengubah komposisi mikrobiota usus. Kajian oleh Fournier et al. (2023) menunjukkan bahawa pendedahan mikroplastik secara berulang menyebabkan peningkatan bakteria berbahaya dan penurunan bakteria baik dalam usus. Ketidakseimbangan ini dikenali sebagai disbiosis, yang boleh menjejaskan fungsi penting mikrobiota usus, termasuk peranan dalam sistem imun, metabolisme, dan kesihatan keseluruhan tubuh.
Apabila mikrobiota usus terganggu, pelbagai kesan kesihatan negatif boleh berlaku. Antara kesan ketidakseimbangan ini termasuklah peningkatan risiko keradangan, jangkitan, dan gangguan pencernaan seperti sindrom usus terganggu (irritable bowel syndrome). Selain itu, perubahan ini juga berpotensi mempengaruhi penyerapan nutrien penting, yang secara tidak langsung menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental.
Implikasi kesihatan yang serius ini menggambarkan bahaya mikroplastik yang lebih luas, menjadikannya satu isu global yang tidak boleh diabaikan. Setelah memahami ancaman kepada tubuh manusia, penting untuk menyedari bahawa kesan mikroplastik juga melangkaui manusia dan membawa kemusnahan kepada alam sekitar.
Kesan Mikroplastik kepada Alam Sekitar
Bahaya mikroplastik tidak terhenti kepada kesihatan manusia, tetapi juga memberi impak besar kepada alam sekitar, khususnya ekosistem marin. Oleh kerana saiz yang kecil, mikroplastik cenderung dimakan atau ditelan oleh hidupan marin seperti plankton, kerang-kerangan dan ikan. Kajian menunjukkan bahawa mikroplastik yang terkumpul dalam tubuh haiwan laut ini bukan sahaja membahayakan kesihatan hidupan tersebut, tetapi juga membawa risiko kepada manusia yang memakan makanan laut.
Mikroplastik yang terperangkap dalam hidupan marin juga mampu menyerap bahan kimia toksik dari persekitaran. Ini boleh memperbesar risiko pemindahan bahan toksik ini melalui rantai makanan, akhirnya sampai kepada manusia. Sebagai contoh, kehadiran mikroplastik dalam ikan yang dimakan boleh menyebabkan pendedahan langsung kepada bahan kimia berbahaya, sekaligus meningkatkan risiko penyakit.
Selain memberi kesan kepada hidupan marin, mikroplastik daripada bahan kosmetik dan produk penjagaan diri ini turut dapat menjejaskan kualiti air. Apabila mikroplastik terapung di permukaan air atau tenggelam ke dasar laut, ia boleh mengganggu proses semula jadi seperti penyerapan cahaya dan gas. Mikroplastik yang terapung mampu menghalang penembusan cahaya matahari, yang penting untuk fotosintesis tumbuhan akuatik. Ini boleh menyebabkan penurunan produktiviti fitoplankton, yang merupakan asas kepada rantai makanan marin dan pengeluar oksigen utama di dalam air.
Mikroplastik juga memberi kesan kepada sedimen di dasar sungai dan laut. Partikel ini cenderung untuk terkumpul dalam sedimen, mengubah struktur fizikal dan kimia dasar perairan. Kajian oleh Teuten et al. (2009) mendapati bahawa mikroplastik yang terkumpul dalam sedimen boleh menyerap bahan kimia berbahaya seperti racun perosak dan logam berat. Ini menyebabkan sedimen menjadi lebih toksik, sekali gus memberi ancaman kepada organisma bentik seperti ketam dan udang yang bergantung kepada sedimen untuk hidup.
Kesan negatif mikroplastik turut melibatkan tumbuhan akuatik seperti rumpai laut dan rumput marin. Mikroplastik yang melekat pada permukaan daun atau akar tumbuhan ini boleh menghalang penyerapan nutrien dan gas yang diperlukan untuk pertumbuhan. Selain itu, bahan kimia toksik yang dilepaskan oleh mikroplastik boleh memasuki tisu tumbuhan, menjejaskan kesihatannya serta mempengaruhi ekosistem di sekitarnya.
Impak mikroplastik yang meluas ini menunjukkan bahawa ia bukan sekadar ancaman kepada hidupan marin, tetapi juga kepada keseimbangan ekosistem akuatik secara keseluruhan. Langkah yang proaktif diperlukan untuk menangani isu ini sebelum kerosakan yang lebih besar berlaku kepada alam sekitar dan sumber semula jadi yang menjadi asas kehidupan manusia.
Langkah Mengurangkan Risiko
Sebagai pengguna, kita mempunyai kuasa untuk membuat pilihan yang lebih bijak dalam mengurangkan kesan mikroplastik terhadap kesihatan dan alam sekitar. Salah satu langkah utama ialah memeriksa label produk dan elakkan daripada memilih produk mengandungi bahan seperti polietilena, polipropilena, atau polimetil metakrilat—bahan yang lazim digunakan dalam mikroplastik kosmetik.
Selain itu, pengguna turut boleh menyokong produk berasaskan bahan semula jadi sebagai alternatif kepada mikroplastik. Contoh bahan semula jadi yang popular dan mesra alam termasuk biji aprikot, serbuk kopi dan garam laut menjadi pilihan popular untuk proses eksfoliasi sel kulit mati bagi masyarakat kini. Tindakan ini bukan sahaja mengurangkan pencemaran mikroplastik, tetapi juga menyokong industri kosmetik yang lebih lestari.
Kesimpulannya, kecantikan tidak seharusnya mengorbankan kesihatan dan merosakkan alam sekitar. Sebagai pengguna yang bijak, tanggungjawab kita adalah memilih produk penjagaan diri dan kosmetik kecantikan yang tidak membahayakan diri sendiri dan alam sekitar. Setiap pilihan kecil yang kita buat hari ini, mampu memberikan perubahan besar untuk kesejahteraan generasi masa depan dan kelestarian bumi ini. Bersama-sama, kita boleh mengurangkan ancaman mikroplastik dan memastikan masa depan yang lebih hijau dan sihat.
Rujukan
[1] Chen, Q., Allgeier, A., Yin, D., & Hollert, H. (2019). Leaching of endocrine disrupting chemicals from marine microplastics and mesoplastics under common life stress conditions. Environment international, 130, 104938.
[2] Fournier, E., Leveque, M., Ruiz, P., Ratel, J., Durif, C., Chalancon, S., Amiard, F., Edely, M., Bezirard, V., Gaultier, E., Lamas, B., Houdeau, E., Lagarde, F., Engel, E., Etienne-Mesmin, L., Blanquet-Diot, S., & Mercier-Bonin, M. (2023). Microplastics: What happens in the human digestive tract? First evidences in adults using in vitro gut models. Journal of Hazardous Materials, 442, 130010.
[3] Marfella, R., Prattichizzo, F., Sardu, C., Fulgenzi, G., Graciotti, L., Spadoni, T., … & Paolisso, G. (2024). Microplastics and nanoplastics in atheromas and cardiovascular events. New England Journal of Medicine, 390(10), 900-910.
[4] Praveena, S. M., Shaifuddin, S. N. M., & Akizuki, S. (2018). Exploration of microplastics from personal care and cosmetic products and its estimated emissions to marine environment: An evidence from Malaysia. Marine pollution bulletin, 136, 135-140.
[5] Teuten, E. L., Saquing, J. M., Knappe, D. R. U., Barlaz, M. A., Jonsson, S., Björn, A., … & Yamashita, R. (2009). Transport and release of chemicals from plastics to the environment and to wildlife. Philosophical Transactions of the Royal Society B: Biological Sciences, 364(1526), 2027–2045.