Penulis: Prof. Madya Dr. Noratikah Othman1,2, Nur Izzati Husna Hashim, Nurul Anis Amira Mohd Tazri, Dr. Mohd Azri Abd Jalil, Dr. Nurhazirah Zainul Azlan1,2, Prof. TS Dr. Muhammad Lokman Md. Isa¹, Dr. Nurul’Ain Binti Ahayalimudin¹’²
1Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-being (PLANETIIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
2Jabatan Sains Asas Perubatan, Kulliyyah Kejururawatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Bencana alam seperti banjir, ribut dan gempa bumi bukan sahaja boleh memusnahkan landskap dan infrastruktur, malah boleh menyebabkan ancaman mikroorganisma yang mungkin tidak kelihatan pada mata kasar, menjadikan air bersih punca penyakit berbahaya. Sebagai contoh, kes yang berlaku di Pakistan selepas banjir besar pada 2022 telah menyebabkan lebih 660,000 kes penyakit seperti cirit-birit, tifoid, demam denggi dan malaria, serta jangkitan kulit dilaporkan akibat sumber air yang tercemar dan sanitasi yang lemah di pusat perlindungan [1]. Situasi ini menunjukkan bahawa fenomena banjir membawa risiko tinggi penularan penyakit bakteria bawaan air, sekali gus menjadi krisis yang mengancam nyawa ramai orang.
Peningkatan Penyakit Bawaan Air Selepas Bencana Banjir
Bencana seperti banji yang kerap kali berlaku ketika musim tengkujuh boleh mengganggu sistem air dan sanitasi. Air banjir sering bercampur dengan kumbahan dan air minuman, menyebabkan tandas, saluran kumbahan, dan sistem pelupusan sisa tidak berfungsi dan melimpah. Akibatnya, mangsa banjir mungkin mempunyai akses terhad kepada air bersih dan terpaksa menggunakan sumber air yang tidak dirawat, sekali gus meningkatkan risiko pendedahan mereka kepada patogen berbahaya.
Penyakit bawaan air merupakan salah satu isu utama yang sering dikaitkan dengan banjir di kawasan yang rendah. Kejadian banjir boleh mencetuskan peningkatan kes penyakit bawaan air seperti kolera, demam kepialu, dan lain-lain [2][3]. Menurut informasi yang diperoleh daripada Majlis Keselamatan Negara dan kajian yang dibuat di Malaysia, keracunan makanan yang disebabkan oleh bakteria merupakan penyakit bawaan air yang paling kerap dilaporkan (termasuk taun/kolera dan disentri), diikuti oleh hepatitis A, demam kepialu (tifoid), melioidosis serta leptospirosis (penyakit kencing tikus) [2][3]. Mikroorganisma ini memasuki tubuh manusia melalui air minuman atau sentuhan dengan air banjir yang tercemar, lalu menyebabkan gejala serius seperti muntah, cirit-birit, demam tinggi atau jangkitan organ dalaman.
Wabak leptospirosis khususnya sering muncul selepas banjir besar. Jangkitan ini boleh diperoleh melalui sentuhan dengan urin haiwan yang dijangkiti (terutamanya tikus) atau sentuhan dengan air atau tanah yang tercemar oleh urin tersebut. Jangkitan ini mempunyai simptom seperti demam, sakit kepala, dan sakit otot yang boleh muncul dalam masa 2 hingga 20 hari, dan boleh berlanjutan selama beberapa minggu hingga bulan. Hujan lebat dan banjir meningkatkan risiko jangkitan leptospirosis dengan penyebaran air dan tanah yang tercemar [4].
Sebagai contoh, di negeri Rio Grande do Sul, Brazil, banjir pada 2024 mencetuskan wabak leptospirosis yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 7 kematian dan ratusan kes jangkitan yang disahkan dalam minggu-minggu selepas air surut [5]. Keadaan ini boleh berlaku di mana-mana kawasan yang dilanda banjir sekiranya tiada langkah pencegahan yang diambil. Bakteria seperti Vibrio cholerae (agen kolera), Salmonella typhi (tifoid), Escherichia coli, virus Hepatitis A dan juga cacing parasit mudah merebak dalam persekitaran air dan tanah tercemar [6]. Oleh itu, ancaman pathogen bawaan air selepas banjir adalah satu perkara yang serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi mencetuskan wabak. Pemahaman serta persiapan terhadap tindak balas mikrob ini amat penting bagi memastikan ketahanan komuniti dan keselamatan kesihatan global.
Kepentingan Kesihatan Planet dalam Menghadapi Fenomena Bencana Banjir
Fenomena ribut kencang, banjir kilat dan bencana alam lain yang kian kerap berlaku kini sering dikaitkan dengan perubahan iklim, yang merupakan satu aspek kritikal dalam konsep “Kesihatan Planet”. Istilah ini merujuk kepada kesihatan tamadun manusia yang tidak terpisah daripada kestabilan sistem semula jadi, yang menjadi tunjang kelangsungan hidup [7]. Dalam erti kata lain, kesejahteraan manusia amat bergantung kepada keadaan ekosistem yang sihat dan lestari, merangkumi udara yang bersih, air yang tidak tercemar, serta iklim yang stabil dan seimbang.
Perubahan iklim telah memberi kesan ketara terhadap kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku, seperti hujan lebat luar biasa dan banjir yang melanda kawasan yang tidak dijangka. Malah, pihak berkuasa di Malaysia turut mengakui peningkatan insiden seperti tanah runtuh, jerebu, pencemaran air, dan banjir. Keadaan ini secara langsung telah menambah beban kepada sistem kesihatan awam negara [8]. Oleh yang demikian, pemeliharaan kesihatan planet kini bukan lagi satu pilihan yang boleh dipertimbangkan, sebaliknya menjadi satu keperluan mendesak demi menjamin kesejahteraan manusia sejagat.
Dalam konteks ancaman penyakit bawaan air, kesihatan planet yang terjejas berpunca daripada kemusnahan sistem saliran semula jadi, penebangan hutan, atau peningkatan suhu telah mempercepat dan memburukkan lagi penyebaran patogen. Perubahan iklim, sebagai contoh, bukan sahaja meningkatkan kekerapan banjir tetapi turut mengubah corak penularan penyakit. Air yang bertakung pada suhu tinggi menjadi habitat ideal bagi pembiakan mikroorganisma dan vektor penyakit, manakala kerosakan sistem sanitasi boleh mengakibatkan pencemaran bekalan air dengan kehadiran patogen berbahaya [7].
Oleh itu, prinsip Kesihatan Planet menegaskan bahawa usaha memelihara alam sekitar dan membendung perubahan iklim merupakan strategi asas dalam pencegahan penyakit dan pengukuhan kesihatan awam. Bencana alam perlu dilihat sebagai satu isyarat jelas bahawa keseimbangan antara aktiviti manusia dan kelestarian alam kini semakin rapuh. Sekiranya keseimbangan ini gagal dipulihkan, risiko kesihatan global akan terus meningkat.
Kesiapsiagaan Komuniti sebagai Benteng Pertahanan
Dalam menghadapi ancaman “musuh” pasca-bencana, seperti jangkitan bakteria dan wabak penyakit, komuniti setempat merupakan barisan pertahanan terawal dan paling utama. Pengalaman daripada kejadian banjir besar yang melanda beberapa negeri membuktikan bahawa tindakan pantas penduduk, seperti memastikan bekalan air bersih, menjaga kebersihan alam sekitar, dan mengasingkan individu yang bergejala, amat membantu dalam mencegah penularan penyakit secara meluas.
Pakar pengurusan bencana menegaskan bahawa kesiapsiagaan perlulah bermula dari peringkat akar umbi [9]. Ini termasuk melengkapkan pemimpin komuniti dengan pengetahuan serta sumber yang mencukupi, melalui pelbagai bentuk latihan. Latihan tersebut meliputi kaedah rawatan air, pemantauan penyakit bawaan air, amalan pengendalian makanan yang selamat serta langkah pencegahan pembiakan vektor penyakit seperti nyamuk dan tikus.
Kerjasama antara agensi kerajaan, petugas kesihatan, dan komuniti setempat adalah kunci kepada kejayaan strategi kesiapsiagaan komuniti. Program latihan komuniti seperti bengkel yang dianjurkan oleh pihak berkuasa kesihatan atau pertubuhan seperti Bulan Sabit Merah berupaya meningkatkan kesedaran penduduk terhadap tanda-tanda awal penyakit bawaan patogen air, di samping memberi panduan mengenai prosedur pelaporan kes. Komuniti yang terlatih justeru lebih bersedia untuk mengurus dan memastikan sumber air bersih semasa dan selepas bencana. Mereka juga lebih memahami kepentingan perlindungan diri, seperti memakai sarung tangan dan but getah ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan banjir.
Walaupun penyakit bawaan patogen tidak dapat dilihat dengan mata kasar, kesannya boleh membawa maut. Kesedaran terhadap hakikat ini akan mendorong setiap individu untuk lebih berwaspada serta mengambil langkah – langkah proaktif demi melindungi diri dan insan tersayang.
Melindungi Planet adalah Melindungi Diri Sendiri
Kesimpulannya, gabungan di antara pendekatan Kesihatan Planet dan kesiapsiagaan komuniti merupakan strategi paling berkesan dalam menghadapi cabaran bencana masa kini dan masa hadapan. Melalui pemahaman terhadap risiko penyakit bawaan air, pemeliharaan kelestarian alam sekitar, serta kesediaan mental dan fizikal dalam kalangan komuniti dapat mengurangkan impak kesihatan pasca-bencana secara signifikan.
Bencana alam seperti ribut dan banjir mungkin tidak dapat dielakkan, namun krisis kesihatan yang menyusul boleh dicegah sekiranya semua pihak berganding bahu dalam melindungi diri, dan memelihara alam sekitar dengan penuh rasa tanggungjawab. Setiap tindakan kecil seperti menjaga kebersihan, berkongsi maklumat kesihatan, atau menanam pokok, walaupun nampak sederhana namun mampu memberi impak positif yang besar kepada kehidupan hari ini dan generasi masa depan.
Kredit foto-newmedical
Rujukan
- Risk of waterborne disease after Pakistan floods. (2017). British Red Cross. https://www.redcross.org.uk/stories/disasters-and-emergencies/world/risk-of-waterborne-disease-after-pakistan-floods
- Majlis Keselamatan Negara. (2024, December 18). 5 PENYAKIT BAWAAN AIR KETIKA BANJIR. Laman Web MKN. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2024/12/18/5-penyakit-bawaan-air-ketika-banjir/
- Nur Zahidah Shafii, Shakir, A., Pang, J. C., Abu, I. F., Norzahir Sapawe, Mohd, & Mohamad. (2023). Association of Flood Risk Patterns with Waterborne Bacterial Diseases in Malaysia. Water, 15(11), 2121–2121. https://doi.org/10.3390/w1511212
- Oluwafemi John Ifejube, Kuriakose, S. L., Anish, T. S., Cees van Westen, & Blanford, J. I. (2024). Analysing the outbreaks of leptospirosis after floods in Kerala, India. International Journal of Health Geographics, 23(1). https://doi.org/10.1186/s12942-024-00372-9
- Vara, D. (2024, May 30). Waterborne illnesses now threaten flood-ravaged southern Brazil. Reuters. https://www.reuters.com/world/americas/waterborne-illness-now-threaten-flood-ravaged-southern-brazil-2024-05-30/
- Acosta-España, J. D., Romero-Alvarez, D., Luna, C., & Rodriguez-Morales, A. J. (2024). Infectious disease outbreaks in the wake of natural flood disasters: global patterns and local implications. Infezioni in Medicina, 4(32). https://doi.org/10.53854/liim-3204-4
- Whitmee, S., Haines, A., Beyrer, C., Boltz, F., Capon, A. G., de Souza Dias, B. F., Ezeh, A., Frumkin, H., Gong, P., Head, P., Horton, R., Mace, G. M., Marten, R., Myers, S. S., Nishtar, S., Osofsky, S. A., Pattanayak, S. K., Pongsiri, M. J., Romanelli, C., & Soucat, A. (2015). Safeguarding human health in the Anthropocene epoch: report of The Rockefeller Foundation–Lancet Commission on planetary health. The Lancet, 386(10007), 1973–2028. https://doi.org/10.1016/s0140-6736(15)60901-1
- Kementerian Kesihatan Malaysia. (2023). KERTAS PUTIH KESIHATAN MALAYSIA (pp. 15–22). https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Penerbitan%20Utama/Kertas%20Putih%20Kesihatan/Kertas_Putih_Kesihatan_(BM)_compressed.pdf
- Rahim, F. (2023, Februari 15). Siap siaga bencana alam, komuniti setempat perlu diperkasakan. Astroawani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/siap-siaga-bencana-alam-komuniti-setempat-perlu-diperkasakan-406670