Penulis: Dr. Mohd Nazrin Mohd Isa¹ & Dr. Afzan Adilah Ayoub²
¹Pensyarah Klinikal dan Pakar Endodontik
Kulliyyah of Dentistry, International Islamic University Malaysia (IIUM)
²Dr. Afzan Adilah Ayoub
Pensyarah Klinikal dan Pakar Endodontik
Fakulti Pergigian UiTM
Ini merupakan soalan yang sering diterima oleh ramai profesional pergigian, sekurang-kurangnya sekali dalam sesi klinikal mereka: “Doktor, betul ke, saya ada terbaca di internet bahawa rawatan salur akar boleh menyebabkan kanser?”
Dalam era yang mana maklumat kesihatan tersebar dengan sangat pantas dan lazimnya tanpa pemantauan, keadaan ini menyebabkan pesakit mudah berasa bimbang. Kanser merupakan suatu perkataan yang sangat menakutkan. Manakala, dakwaan yang mengaitkan prosedur pergigian dengan penyakit yang serius seperti kanser adalah mudah untuk menimbulkan kebimbangan. Namun, apabila dakwaan berkenaan diteliti menggunakan lensa sains moden, kesimpulannya adalah jelas; tidak terdapat bukti yang kukuh yang menyokong dakwaan bahawa rawatan salur akar menyebabkan kanser.
Mari kita sama-sama teroka realiti berkaitan dengan mitos ini, persoalan mengapa perkara ini masih berterusan serta melihat bukti saintifik yang terkini.
Dari Mana Mitos Ini Berasal?
Berdasarkan teori ‘focal infectionl’, jangkitan dari gigi boleh menyebabkan penyakit tersebar ke bahagian badan yang lain dan idea ini wujud sejak lebih satu abad yang lalu. Pada awal 1900- an, bidang perubatan masih cuba memahami dengan mendalam mengenai mikrobiologi, imuniti, dan kawalan jangkitan. Pada masa itu, terdapat kesimpulan awal bahawa bakteria dari gigi yang dijangkiti boleh merebak ke seluruh badan tanpa disedari dan menyebabkan pelbagai jenis penyakit.
Sebahagian penyelidik dan pengamal perubatan pada waktu itu mencadangkan pendekatan yang lebih agresif iaitu mencabut gigi yang rosak tanpa melakukan rawatan akar. Kaedah tersebut telah lama dijalankan, sejak sebelum teknik steril, pengimejan lanjutan, dan epidemiologi moden diperkenalkan. Cadangan kaedah tersebut dihasilkan berdasarkan eksperimen yang dijalankan terhadap haiwan, pemerhatian anekdot atau catatan peribadi pengamal perubatan.
Seiring dengan masa, teori ini telah dikaji semula secara mendalam. Beberapa kajian klinikal berskala besar telah dijalankan dan gagal menyokong teori tersebut. Akhirnya, teori ‘focal infection’ yang tidak berasaskan kajian saintifik telah diketepikan oleh para pengamal perubatan dan pergigian arus perdana.
Perkaitan Adalah Tidak Sama dengan Sebab-Akibat
Taktik yang biasanya digunakan dalam penyebaran maklumat yang salah adalah dengan mengelirukan terma perkaitan dengan sebab-akibat. Dakwaan contohnya, “97% pesakit kanser pernah menjalani rawatan salur akar” sering disebarkan dalam talian. Namun, angka ini tidak pernah ditunjukkan dalam mana-mana jurnal saintifik serta turut mempunyai kredibiliti metodologi yang rendah.
Rawatan salur akar ialah suatu prosedur pergigian yang sangat lazim dijalankan di serata tempat dan ribuan individu menjalaninya setiap tahun. Penyakit yang serius contohnya kanser boleh dihidapi oleh seseorang individu dalam mana-mana tempoh sepanjang hayatnya, terutamanya apabila usia seseorang individu meningkat. Individu yang menjalani rawatan salur akar dan mempunyai penyakit yang serius pada masa yang sama sebenarnya tidak membuktikan adanya perhubungan sebab-akibat antara keduanya, umpama terdapat banyak mangsa kemalangan jalan raya yang memakai tali pinggang keselamatan; dan kemalangan adalah bukan disebabkan oleh tali pinggang keselamatan.
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association (JAMA Otolaryngology–Head and Neck Surgery) menunjukkan bahawa menjalani rawatan salur akar tidak meningkatkan risiko kanser. Malahan, yang menariknya ialah para pesakit yang menjalani rawatan salur akar didapati mempunyai 45% kurang risiko menghidap kanser.
Sekiranya rawatan salur akar benar-benar menyebabkan kanser, perkaitan yang sedemikian pasti telah berjaya dibuktikan sekarang. Hal ini demikian kerana terdapat puluhan juta prosedur endodontik dilakukan di seluruh dunia setiap tahun. Maka, risiko yang sebenar pasti akan dapat dikesan berulang kali dalam data epidemiologi, namun risiko tersebut tidak pernah ditemui.
Sebahagian pihak yang menyokong mitos berkenaan berhujah bahawa mencabut gigi adalah pilihan yang “lebih baik” berbanding menyelamatkannya. Berdasarkan dokumentasi yang terperinci, kehilangan gigi mempunyai kesan terhadap kecekapan mengunyah, ketahanan tulang rahang, pertuturan, estetika, dan kualiti hidup. Sebagai analogi, bayangkan jika sebatang jari anda cedera, adakah seluruh tangan anda harus dipotong? Tentulah tidak. Tangan tidak sepatutnya dipotong hanya kerana sebatang jari yang cedera. Maka, samalah juga halnya dengan kes cabutan gigi; ia bukan kaedah pilihan pertama sedangkan gigi tersebut masih boleh dirawat dan dipelihara dengan baik. Tambahan pula gigi buatan tidak mampu menggantikan semula rupa, rasa, dan fungsi gigi yang asal sepenuhnya. Dengan sebab yang bersesuaian, rawatan salur akar lazimnya adalah pilihan yang lebih efisien dan menjimatkan kos berbanding dengan cabutan dan pembedahan implan.
Kesimpulannya, kepercayaan bahawa rawatan salur akar menyebabkan kanser adalah tidak disokong oleh sebarang bukti saintifik dan kepercayaan tersebut adalah berasaskan teori lapuk yang telah lama disangkal. Dalam era digital pada masa kini, maklumat kesihatan yang diperoleh dalam talian adalah tidak semestinya tepat. Mesej yang berunsurkan ketakutan, terutamanya yang melibatkan penyakit serius seperti kanser boleh tersebar dengan cepat secara semberono. Malangnya, idea lama yang tidak disahkan kadangkala dikitar semula, lalu menimbulkan kebimbangan yang tidak berasas dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, orang ramai digalakkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai, serta berbincang dengan profesional pergigian atau perubatan yang berkelayakan kerana mereka dapat memberikan panduan yang tepat dalam membuat keputusan kesihatan yang anda inginkan.
Kredit foto-canpharm




