Penulis: Dr. Mohamad Qazreen Ahmad Shawaludin ᵅ ᵇ & Prof. Madya Dr. Intan Juliana Abd Hamid ᵇ ᶜ
ᵅJabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan
ᵇHospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan
ᶜJabatan Perubatan Klinikal, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia, Kepala Batas, Pulau Pinang
Situasi:
Bayangkan anak anda yang biasanya ceria tiba-tiba batuk dan selesema. Pada mulanya, anda menganggapnya sebagai selesema biasa. Namun, selepas beberapa hari, anak semakin kerap batuk, sukar menyusu dan sering terjaga pada waktu malam. Lebih membimbangkan, pernafasannya semakin laju dan dadanya kelihatan tertarik ke dalam semasa bernafas.
Keadaan ini pasti merisaukan ibu bapa. Adakah ini sekadar selesema biasa atau mungkinkah anak anda dijangkiti virus RSV?
Apa itu Jangkitan RSV?
Jangkitan “Respiratory Syncytial Virus” (RSV) atau Virus Pernafasan Sinsitial ialah sejenis virus yang menyebabkan jangkitan pada salur pernafasan, terutamanya dalam kalangan kalangan kanak-kanak berumur kurang dari 2 tahun. Jangkitan ini merupakan salah satu penyebab utama bronkiolitis (radang pada bahagian bronkhiol) dan pneumonia (jangkitan paru-paru).
Walaupun kebanyakan jangkitan virus RSV mengalamai simptom ringan seperti selsema dan batuk, tetapi dalam kalangan bayi kurang dua tahun boleh menyebabkan batuk yang kuat, pernafasan laju dan sukar untuk menyusu sehingga memerlukan rawatan di hospital.
Bagaimana Anak anda boleh dijangkiti RSV dan Kesan kepada Salur Pernafasan?
Jangkitan RSV mudah merebak melalui:
- Titisan pernafasan daripada batuk atau bersin daripda individu yang dijangkiti.
- Sentuhan secara langsung dengan individu yang mempunyai jangkitan RSV
- Permukaan tercemar seperti menyentuh mainan, tombol pintu atau permukaan tercemar sebelum menyentuh hidung, mulut atau mata.
Jangkitan RSV bermula apabila virus memasuki saluran pernafasan anak melalui sentuhan langsung dengan individu yang dijangkiti atau melalui titisan pernafasan yang terhasil apabila seseorang batuk atau bersin. Jangkitan RSV boleh merebak ke bahagian saluran pernafasan bawah dalam tempoh beberapa hari, terutamanya ke saluran pernafasan kecil yang dikenali sebagai bronkiol. Jangkitan ini menyebabkan lapisan dalam bronkiol mengalami keradangan, pembengkakan, dan meningkatkan penghasilan lendir atau mukus.
Gabungan pembengkakan dan pengumpulan mukus menyebabkan saluran pernafasan menjadi semakin sempit, menghalang aliran udara masuk dan keluar dari paru-paru. Keadaan ini boleh mengurangkan bekalan oksigen dalam badan, terutamanya apabila jangkitan menjadi semakin serius.
Akibatnya, anak mungkin mengalami pernafasan cepat, sukar bernafas, sukar menyusu, gangguan tidur, dan memerlukan rawatan di hospital untuk mendapatkan bantuan oksigen serta sokongan pernafasan.

Apakah gejala jangkitan RSV, dan siapakah yang paling berisiko mengalami jangkitan RSV yang teruk?
Pada peringkat awal, jangkitan RSV biasanya menyerupai selesema biasa, seperti batuk, hidung berair atau tersumbat, demam dan kurang selera makan. Kebanyakan kanak-kanak mengalami gejala ringan dan boleh sembuh dengan penjagaan di rumah.
Walaupun RSV boleh menjangkiti semua peringkat umur, beberapa kumpulan kanak-kanak mempunyai risiko lebih tinggi mengalami komplikasi. Antaranya ialah:
- Bayi berumur bawah enam bulan.
- Bayi yang dilahirkan pramatang.
- Kanak-kanak dengan penyakit jantung kongenital, atau penyakit paru-paru kronik.
- Kanak-kanak dengan sistem imun yang lemah.
- Kanak-kanak dengan penyakit neuromuskular yang menjejaskan keupayaan membersihkan rembesan pernafasan.
Bagaimanakah Jangkitan RSV Dirawat?
Sehingga kini, tiada ubat antivirus khusus yang digunakan secara rutin untuk merawat jangkitan RSV. Rawatan yang diberikan bergantung pada tahap keterukan jangkitan dan keadaan kesihatan anak anda.
Bagi jangkitan RSV yang ringan, rawatan boleh dilakukan di rumah dengan memastikan anak mendapat rehat serta pengambilan susu dan cecair yang mencukupi. Titisan air garam (normal saline) boleh digunakan untuk melegakan hidung tersumbat, manakala paracetamol boleh diberikan untuk mengurangkan demam mengikut dos yang sesuai. Ibu bapa juga perlu memantau pernafasan, penyusuan dan tahap aktiviti anak.
Sekiranya jangkitan menjadi lebih serius sehingga menyebabkan anak sukar bernafas atau menyusu, rawatan di hospital mungkin diperlukan. Rawatan termasuk pemberian oksigen, sedutan lendir dari hidung jika perlu, serta pemberian cecair untuk hidrasi. Dalam keadaan yang lebih serius, bantuan pernafasan mungkin diperlukan sehingga keadaan anak kembali stabil.
Ibu bapa juga perlu memahami bahawa antibiotik tidak dapat merawat jangkitan RSV kerana penyakit ini disebabkan oleh virus, bukannya bakteria. Oleh itu, antibiotik tidak diperlukan secara rutin dan hanya akan diberikan oleh doktor sekiranya terdapat jangkitan bakteria yang disyaki atau disahkan.
Bagaimanakah Jangkitan RSV Boleh Dicegah?
Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Walaupun jangkitan RSV mudah merebak, terdapat beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan kanak-kanak, khususnya bayi yang masih kecil.
Antara langkah pencegahan yang paling penting ialah mengamalkan kebersihan tangan dengan kerap, terutamanya sebelum menyentuh, mendukung atau menyusukan bayi. Ibu bapa juga digalakkan untuk mengelakkan bayi daripada berdekatan dengan individu yang mengalami batuk atau selesema. Selain itu, mainan dan permukaan yang kerap disentuh perlu dibersihkan bagi mengurangkan risiko penyebaran virus. Amalan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin juga penting untuk melindungi orang di sekeliling.
Ibu bapa turut dinasihatkan supaya mengelakkan anak daripada terdedah kepada asap rokok kerana pendedahan ini boleh menjejaskan kesihatan saluran pernafasan dan meningkatkan risiko jangkitan pernafasan yang serius. Penyusuan susu ibu juga sangat digalakkan kerana susu ibu mengandungi antibodi dan pelbagai bahan yang membantu menyokong sistem pertahanan badan bayi.
Kini terdapat kaedah perlindungan khusus bagi mengurangkan risiko jangkitan RSV yang serius dalam kalangan bayi. Antaranya ialah nirsevimab, iaitu suntikan antibodi yang memberikan perlindungan sementara kepada bayi daripada jangkitan RSV yang serius. Selain itu, vaksin RSV untuk ibu hamil juga dapat membantu melindungi bayi melalui pemindahan antibodi daripada ibu kepada bayi semasa kehamilan. Perlindungan ini amat penting, terutamanya pada bulan-bulan awal selepas kelahiran.

Pesanan untuk Ibu Bapa: RSV Bukan Sekadar Selesema Biasa
Walaupun kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti RSV akan sembuh sepenuhnya, jangkitan ini boleh menjadi serius, terutamanya dalam kalangan bayi. Ibu bapa perlu peka sekiranya anak mengalami pernafasan laju, sukar menyusu atau kelihatan semakin lemah.
Ingat, jangan pandang ringan gejala batuk dan selesema pada anak anda. Kenali tanda bahaya, dapatkan rawatan awal dan amalkan langkah pencegahan. Keprihatinan ibu bapa mampu melindungi si kecil daripada komplikasi jangkitan RSV.
Rujukan
- Graham, B. S., Rutigliano, J. A., & Johnson, T. R. (2002). Respiratory syncytial virus immunobiology and pathogenesis. Virology, 297(1), 1–7. https://doi.org/10.1006/VIRO.2002.1431
- Hall, C. B., & Douglas, R. G. (1981). Modes of transmission of respiratory syncytial virus. The Journal of Pediatrics, 99(1), 100–103. https://doi.org/10.1016/S0022-3476(81)80969-9
- Hall, C. B., Weinberg, G. A., Iwane, M. K., Blumkin, A. K., Edwards, K. M., Staat, M. A., Auinger, P., Griffin, M. R., Poehling, K. A., Erdman, D., Grijalva, C. G., Zhu, Y., & Szilagyi, P. (2009). The Burden of Respiratory Syncytial Virus Infection in Young Children. New England Journal of Medicine, 360(6), 588–598. https://doi.org/10.1056/NEJMOA0804877
- Kaler, J., Hussain, A., Patel, K., Hernandez, T., & Ray, S. (2023). Respiratory Syncytial Virus: A Comprehensive Review of Transmission, Pathophysiology, and Manifestation. Cureus. https://doi.org/10.7759/CUREUS.36342
- Lieberthal, A. S., Bauchner, H., Hall, C. B., Johnson, D. W., Kotagal, U., Light, M. J., Mason, W., Meissner, H. C., Phelan, K. J., Zorc, J. J., Brown, M. A., Clover, R. D., Nathanson, I. T., Korppi, M., Shiffman, R. N., Stanko-Lopp, D., & Davidson, C. (2006). Diagnosis and management of bronchiolitis. Pediatrics, 118(4), 1774–1793. https://doi.org/10.1542/PEDS.2006-2223
- Walsh, E. E., & Hall, C. B. (2014). Respiratory Syncytial Virus (RSV). Mandell, Douglas, and Bennett’s Principles and Practice of Infectious Diseases, 2, 1948. https://doi.org/10.1016/B978-1-4557-4801-3.00160-0
Biodata Penulis
Dr. Mohamad Qazreen bin Ahmad Shawaludin merupakan Pensyarah Perubatan dan Pakar Pediatrik di Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau telah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2014 sebelum menyertai USM pada tahun 2025. Beliau memperoleh Ijazah Doktor Perubatan (MD) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2014 dan Sarjana Perubatan (Pediatrik) dari USM pada tahun 2023. Bidang minat beliau merangkumi Pediatrik Am, Penyakit Berjangkit Pediatrik dan Imunologi Klinikal, dengan tumpuan kepada penyakit berjangkit, vaksinasi dan pencegahan penyakit berjangkit seta gangguan sistem imun, khususnya imunodefisiensi primer. Beliau komited dalam meningkatkan mutu penjagaan kesihatan kanak-kanak melalui perkhidmatan klinikal, pendidikan perubatan dan penyelidikan.
Profesor Madya Dr. Intan Juliana binti Abd Hamid merupakan Pensyarah Perubatan serta Pakar Perunding Imunologi dan Alergi Pediatrik di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memperoleh Ijazah Doktor Perubatan (MD) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Perubatan (Pediatrik) dari USM dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Imunobiologi dari Newcastle University, United Kingdom. Beliau turut menjalani latihan subkepakaran dalam bidang Imunologi Pediatrik di Newcastle upon Tyne NHS Foundation Trust, United Kingdom. Bidang kepakaran dan minat penyelidikan beliau merangkumi imunologi dan alergi dalam kalangan kanak-kanak, diagnosis dan pengurusan penyakit imunodefisiensi primer (PID), mekanisme penyakit dan gangguan sistem imun, serta pemindahan sel stem hematopoietik (HSCT) dan pemantauan jangka panjang pesakit imunodefisiensi. Beliau merupakan pengasas perkhidmatan Imunologi Pediatrik di IPPT, USM yang ditubuhkan pada tahun 2017. Beliau komited dalam meningkatkan mutu penjagaan kesihatan dan rawatan pesakit yang mengalami gangguan sistem imun melalui perkhidmatan klinikal, pendidikan perubatan dan penyelidikan.




