Friday, November 27, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Dua Pengawal, Satu Pinggan: Bagaimana Makanan Mempengaruhi Pertahanan Tubuh dan Otak

Dua Pengawal, Satu Pinggan: Bagaimana Makanan Mempengaruhi Pertahanan Tubuh dan Otak

Editor by Editor
27/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Oleh: Dr. Aslina Pahrudin Arrozi¹, Dr. Megat Hafizzuddin Abd Hamid¹ & Dr. Nur Musfirah Mahmud²
¹Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya
²Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

Pengenalan

Pernahkah anda terfikir bahawa hidangan harian seperti ikan kembung goreng, masak lemak cili api atau segenggam kacang berpotensi mempengaruhi sel-sel imun yang melindungi tubuh kita?

Sistem imun terdiri daripada pelbagai jenis sel yang bertindak sebagai pasukan pertahanan tubuh. Antaranya ialah sel T yang meronda melalui darah dan tisu untuk mengesan ancaman seperti jangkitan virus dan sel kanser. Di dalam otak dan saraf tunjang pula, mikroglia bertindak sebagai pengawal khusus yang memantau persekitaran, membersihkan sisa sel dan membantu mengekalkan fungsi sistem saraf.

Menariknya, makanan harian mengandungi nutrien dan sebatian bioaktif yang berpotensi mempengaruhi fungsi kedua-dua sel ini. Namun, sejauh manakah makanan yang sering digelar makanan super (superfood) dapat menyokong sistem pertahanan tubuh dan otak?

Sel T: Tentera Khas yang Melindungi Tubuh

Bayangkan tubuh kita sebagai sebuah negara yang mempunyai pasukan keselamatan tersendiri. Antara anggotanya ialah sel T, sejenis sel darah putih yang bertindak seperti tentera khas.

Latihan mereka bermula di kelenjar timus, tempat sel T dimatangkan untuk mengenali ancaman sambil mengurangkan risiko menyerang sel badan sendiri. Setiap sel T mempunyai reseptor sel T (TCR), yang berfungsi ibarat alat pengecam sasaran. Sel T pembantu (CD4⁺) berperanan menyelaras tindak balas imun, manakala sel T sitotoksik (CD8⁺) bertugas memusnahkan sel yang dijangkiti virus atau sel kanser tertentu.

Apabila sel T mengenali antigen, iaitu tanda molekul tertentu pada permukaan sel lain, satu kawasan pertemuan khas yang dikenali sebagai sinaps imun terbentuk. Di sinilah komunikasi antara sel berlaku dan isyarat pengaktifan dihantar.

Menariknya, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Immunology pada tahun 2024 menunjukkan bahawa interaksi antara dua molekul, CD61 dan CD103, pada sinaps imun dapat menguatkan isyarat pengaktifan sel T serta meningkatkan keupayaan sel T CD8⁺ untuk memusnahkan sel kanser. Penemuan ini memberikan gambaran baharu tentang bagaimana komunikasi pada peringkat molekul dapat mempengaruhi keberkesanan sistem pertahanan tubuh.

Namun, kekuatan sel T perlu dikawal. Jika tindak balasnya berlebihan atau tersalah sasaran, tisu sihat boleh mengalami kerosakan, seperti yang berlaku dalam penyakit autoimun. Oleh itu, pertahanan yang berkesan bukan sekadar kuat, tetapi juga terkawal.

Rajah 1: Sel T CD4⁺ menyelaras tindak balas imun, manakala sel T CD8⁺ memusnahkan sel sasaran. Interaksi antara molekul CD61 dan CD103 pada sinaps imun membantu menguatkan isyarat pengaktifan sel T.
Sumber: Ilustrasi dijana menggunakan ChatGPT (OpenAI, 2026), berdasarkan kajian Hamid et al. (2024).

Mikroglia: Pengawal Keselamatan di Dalam Otak

Jika sel T bertindak sebagai tentera khas, otak pula mempunyai pengawal tersendiri, iaitu mikroglia, sel imun residen utama sistem saraf pusat. Kajian pada haiwan menunjukkan bahawa mikroglia berasal daripada sel pendahulu (precursor cell atau progenitor cell) dalam kantung kuning telur (yolk sac) semasa perkembangan embrio, sebelum memasuki otak dan membentuk populasi tersendiri.

Dalam keadaan sihat, mikroglia mempunyai badan sel kecil dengan cabang halus yang sentiasa bergerak untuk memantau persekitaran otak. Apabila berlaku kecederaan, mikroglia dapat mengesan isyarat kimia yang dibebaskan oleh sel di sekitarnya, lalu mengarahkan cabangnya ke kawasan yang terjejas.

Mikroglia menjalankan tiga fungsi penting. Pertama, fagositosis, iaitu proses mengambil masuk dan menguraikan bahan seperti sisa sel dan protein abnormal. Kedua, pemangkasan sinaps (synaptic pruning), iaitu proses menyingkirkan sambungan antara neuron tertentu bagi membantu pembentukan rangkaian saraf yang berfungsi dengan baik. Ketiga, tindak balas imun, termasuk penghasilan molekul keradangan apabila berlaku kecederaan atau jangkitan.

Dalam jangka pendek, tindak balas ini membantu membersihkan sel rosak dan melindungi neuron. Namun, pengaktifan mikroglia yang berlebihan dan berpanjangan boleh menyebabkan keradangan saraf (neuroinflammation) serta menjejaskan neuron sihat. Keadaan ini dikaitkan dengan penyakit Alzheimer, yang melibatkan pengumpulan protein amiloid-beta dan tau abnormal di dalam otak. Seperti sel T, mikroglia juga perlu tahu bila harus bertindak dan bila perlu berhenti.

Rajah 2: Mikroglia mempunyai cabang halus untuk memantau persekitaran otak. Apabila mengesan kecederaan atau perubahan patologi, mikroglia boleh berubah bentuk dan menyesuaikan aktiviti pertahanannya.
Sumber: Ilustrasi dijana menggunakan ChatGPT (OpenAI, 2026), berdasarkan konsep biologi mikroglia.

Dua Pengawal, Satu Pinggan: Peranan Makanan Super

Walaupun sel T dan mikroglia menjalankan tugas yang berbeza, kedua-duanya memerlukan keseimbangan antara tindak balas pertahanan dengan perlindungan tisu sihat. Persoalannya, bolehkah makanan membantu mempengaruhi keseimbangan tersebut?

Istilah makanan super bukanlah suatu pengelasan saintifik yang khusus. Namun, makanan yang sering diberikan gelaran ini lazimnya mengandungi nutrien dan sebatian bioaktif yang dikaji kerana potensinya mempengaruhi fungsi sel, tekanan oksidatif dan keradangan.

Antara contoh yang menarik perhatian penyelidik ialah kunyit, ikan berlemak dan kekacang, yang masing-masing membekalkan kurkumin, asid lemak omega-3 dan vitamin E.

Kunyit: Pengawal Isyarat Keradangan

Kunyit (Curcuma longa) bukan sahaja memberikan warna kuning pada masakan, tetapi juga mengandungi kurkumin, sebatian bioaktif yang dikaji kerana keupayaannya mempengaruhi tindak balas keradangan.

Pada sel T: Kurkumin boleh memberikan kesan berbeza bergantung pada keadaan sistem imun. Dalam beberapa kajian praklinikal kanser, kurkumin dilaporkan berpotensi meningkatkan aktiviti sel T CD8⁺ dan penghasilan interferon-gamma (IFN-γ), iaitu molekul yang membantu tindak balas imun terhadap sel kanser. Sebaliknya, dalam model penyakit autoimun, kurkumin boleh mengurangkan pengaktifan sel T dan penghasilan molekul keradangan.

Pada mikroglia: Apabila mikroglia mengesan tanda jangkitan atau pengumpulan protein abnormal seperti amiloid-beta, sel ini boleh menghasilkan molekul keradangan. Proses tersebut melibatkan laluan isyarat seperti NF-κB dan MAPK, yang bertindak ibarat suis pengawal keradangan di dalam sel. Kajian makmal menunjukkan bahawa kurkumin berpotensi mengurangkan aktiviti laluan ini, sekali gus mengurangkan penghasilan molekul prokeradangan yang dikenali sebagai sitokin. Walaupun penemuan ini menunjukkan potensi kurkumin dalam mengawal keradangan saraf, keberkesanannya sebagai rawatan penyakit Alzheimer atau Parkinson masih belum dibuktikan secara klinikal.

Ikan Berlemak: Omega-3 untuk Komunikasi Sel Imun

Ikan kembung dan sardin merupakan sumber asid lemak omega-3, terutamanya terutamanya asid eikosapentaenoik (EPA) dan asid dokosaheksaenoik (DHA). Kedua-duanya menjadi sebahagian daripada membran sel dan memainkan peranan dalam penghantaran isyarat antara sel.

Pada sel T: Kajian makmal menunjukkan bahawa DHA boleh mempengaruhi susunan protein pada membran sel yang terlibat dalam pengaktifan sel T. Perubahan ini boleh mengurangkan penghasilan interleukin-2 (IL-2), iaitu molekul yang merangsang pembiakan sel T. Kesannya bergantung pada dos dan keadaan sistem imun.

Pada mikroglia: Kajian makmal menunjukkan bahawa EPA dan DHA berpotensi mempengaruhi keupayaan mikroglia untuk menjalankan fagositosis, termasuk proses menyingkirkan protein abnormal seperti amiloid-beta. Kedua-dua asid lemak ini juga merupakan bahan asas bagi pembentukan molekul seperti resolvin, yang membantu tubuh menamatkan tindak balas keradangan secara terkawal. Walau bagaimanapun, penemuan ini belum membuktikan bahawa pengambilan ikan berlemak secara langsung dapat mencegah penyakit Alzheimer.

Vitamin E: Pelindung Sel daripada Kerosakan Oksidatif

Vitamin E terdapat dalam kekacang, bijian dan minyak tumbuhan. Sebatian vitamin E seperti alfa-tokoferol dan gama-tokoferol bertindak sebagai antioksidan yang membantu melindungi membran sel daripada kerosakan akibat radikal bebas.

Pada sel T: Kajian terhadap tikus tua menunjukkan bahawa vitamin E boleh meningkatkan pembentukan sinaps imun dan menyokong komunikasi antara sel T dengan sel lain. Proses ini dikaitkan dengan peningkatan penghasilan IL-2 dan pembiakan sel T, sekali gus menunjukkan potensi vitamin E dalam menyokong fungsi imun semasa penuaan.

Pada mikroglia: Tekanan oksidatif berlaku apabila penghasilan molekul reaktif melebihi keupayaan sistem pertahanan antioksidan sel. Keadaan ini boleh mengganggu fungsi mikroglia dan menyumbang kepada keradangan saraf. Sebagai antioksidan, vitamin E berpotensi membantu melindungi sel daripada kerosakan oksidatif. Kajian makmal terhadap model sel neuron penyakit Alzheimer turut menunjukkan bahawa alfa- dan gama-tokoferol boleh mempengaruhi fungsi mitokondria, iaitu struktur yang menghasilkan tenaga untuk sel. Walaupun penemuan ini menunjukkan potensi vitamin E dalam menyokong kesihatan sel otak, kajian lanjut diperlukan untuk memahami kesan khususnya terhadap fungsi mikroglia.

Rahsia Sebenar di Sebalik Makanan Super

Walaupun pelbagai kajian menunjukkan potensi sebatian bioaktif dalam mempengaruhi fungsi sel imun, keputusan kajian makmal tidak semestinya mencerminkan kesan pemakanan harian. Sebagai contoh, kurkumin yang diberikan secara langsung kepada sel di makmal mungkin memberikan kesan yang berbeza daripada kunyit yang dimakan dalam masakan. Faktor seperti dos, penyerapan dan cara tubuh memproses sebatian tersebut turut menentukan kesannya.

Oleh itu, makanan super bukanlah penyelesaian ajaib untuk mencegah atau merawat penyakit. Sel T dan mikroglia memerlukan tindak balas yang seimbang, bukannya sentiasa kuat atau aktif. Akhirnya, rahsia pertahanan tubuh dan otak bukan terletak pada satu makanan yang paling “super”, tetapi pada amalan pemakanan seimbang dan pelbagai yang menyokong fungsi sel secara keseluruhan.

Rujukan

  1. Gao, F., Shen, J., Zhao, L., Hao, Q., & Yang, Y. (2019). Curcumin alleviates lipopolysaccharide (LPS)-activated neuroinflammation via modulation of miR-199b-5p/IκB kinase β (IKKβ)/nuclear factor kappa B (NF-κB) pathway in microglia. Medical Science Monitor, 25, 9801–9810.
  2. Hamid, M. H. B. A., Cespedes, P. F., Jin, C., et al. (2024). Unconventional human CD61 pairing with CD103 promotes TCR signaling and antigen-specific T cell cytotoxicity. Nature Immunology, 25, 834–846.
  3. Hjorth, E., Zhu, M., Cortés Toro, V., Vedin, I., Palmblad, J., Cederholm, T., Freund-Levi, Y., Faxen-Irving, G., Wahlund, L.-O., Basun, H., Eriksdotter, M., & Schultzberg, M. (2013). Omega-3 fatty acids enhance phagocytosis of Alzheimer’s disease-related amyloid-β42 by human microglia and decrease inflammatory markers. Journal of Alzheimer’s Disease, 35(4), 697–713.
  4. Meydani, S. N., Han, S. N., & Wu, D. (2005). Vitamin E and immune response in the aged: Molecular mechanisms and clinical implications. Immunological Reviews, 205(1), 269–284.
  5. Pahrudin Arrozi, A., Wan Ngah, W. Z., Ahmad Damanhuri, H., & Makpol, S. (2021). Modulatory effects of alpha- and gamma-tocopherol on the mitochondrial respiratory capacity and membrane potential in an in vitro model of Alzheimer’s disease. Frontiers in Pharmacology, 12, Article 698833.
  6. Shaikh, S. R., & Edidin, M. (2006). Polyunsaturated fatty acids, membrane organization, T cells, and antigen presentation. The American Journal of Clinical Nutrition, 84(6), 1277–1289.
  7. Yu, Y., Shen, Q., Lai, Y., Park, S. Y., Ou, X., Lin, D., Jin, M., & Zhang, W. (2018). Anti-inflammatory effects of curcumin in microglial cells. Frontiers in Pharmacology, 9, Article 386.

Biodata Penulis

Dr. Aslina Pahrudin Arrozi ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Beliau mempunyai kepakaran dalam biokimia penyakit neurodegeneratif, khususnya mekanisme proteinopati berkaitan pengagregatan protein amiloid-beta dan hiperfosforilasi tau, di samping peranan tekanan oksidatif, neuroinflamasi, serta disfungsi mitokondria yang mendasari penyakit Alzheimer dan demensia. Penyelidikan semasa beliau tertumpu kepada penerokaan sebatian bioaktif daripada produk semula jadi sebagai agen neuroprotektif, serta pencarian biomarker molekul bagi pengesanan awal kemerosotan kognitif.

Dr. Megat Hafizzuddin Abd Hamid ialah Pensyarah Kanan dan Ketua Kumpulan Penyelidikan di Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Beliau memperoleh DPhil dalam Sains Perubatan dari Universiti Oxford dan mempunyai kepakaran dalam imunologi sel T, khususnya sel T sitotoksik CD8⁺ dan sel T memori residen tisu, dalam konteks kanser dan penyakit berjangkit. Penyelidikan semasa beliau tertumpu kepada imuniti sel T terhadap tuberkulosis, denggi dan leptospirosis, serta pembangunan vaksin.

Dr. Nur Musfirah Mahmud ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Beliau mempunyai kepakaran dalam biologi molekul, penghantaran isyarat sel dan mekanisme molekul yang mendasari penyakit degeneratif mata, khususnya degenerasi makula berkaitan usia. Penyelidikan beliau turut merangkumi peranan sebatian bioaktif daripada sumber semula jadi dalam mengawal keradangan dan melindungi sel daripada kerosakan, serta penerokaan biomarker molekul bagi pengesanan penyakit.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Aslina Pahrudin ArrozimikrogliaNature Immunology
Previous Post

Bayi Batuk, Gangguan Tidur dan Sukar Menyusu: Mungkinkah Jangkitan RSV?

Next Post

Celah Gigi: Kawasan yang Sering Terlepas Pandang

Editor

Editor

Related Posts

Celah Gigi: Kawasan yang Sering Terlepas Pandang
Berita & Peristiwa

Celah Gigi: Kawasan yang Sering Terlepas Pandang

3 minutes ago
Bayi Batuk, Gangguan Tidur dan Sukar Menyusu: Mungkinkah Jangkitan RSV?
Berita & Peristiwa

Bayi Batuk, Gangguan Tidur dan Sukar Menyusu: Mungkinkah Jangkitan RSV?

15 minutes ago
Tibi: Diwarisi atau Dijangkiti? Membongkar Mitos Batuk Kering
Berita & Peristiwa

Tibi: Diwarisi atau Dijangkiti? Membongkar Mitos Batuk Kering

21 hours ago
Daripada Chatbot ke Klinik: Model Bahasa Besar (LLM) dalam Perubatan
Berita & Peristiwa

Daripada Chatbot ke Klinik: Model Bahasa Besar (LLM) dalam Perubatan

22 hours ago
Next Post
Celah Gigi: Kawasan yang Sering Terlepas Pandang

Celah Gigi: Kawasan yang Sering Terlepas Pandang

Kategori Produk

  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In