23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Saturday, August 8, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Benarkah Daun Kelor dan Lidah Buaya Mampu Melawan Bakteria? Apa Kata Kajian Makmal?

Editor by Editor
08/08/2026
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Nahdatul Sarah Binti Z. Rosli1, Dr. Nurulhuda Ismail2

1Pelajar, Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) dengan Kepujian), Kampus Kuala Pilah, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Malaysia.

2Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Biologi, Fakulti Sains Gunaan, Kampus Kuala Pilah, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Malaysia.

 

Benarkah Tumbuhan di halaman Rumah Mampu Menjadi Penawar?

Pernahkah anda melihat seseorang menyapu gel lidah buaya pada luka kecil atau mendengar petua menggunakan daun kelor untuk merawat pelbagai masalah kesihatan? Kedua-dua tumbuhan ini telah lama digunakan dalam perubatan tradisional dan sering dikaji bagi menilai potensi aktiviti antibakterianya terhadap bakteria yang menyebabkan jangkitan

Namun, dalam dunia sains, sesuatu dakwaan tidak boleh diterima hanya berdasarkan pengalaman atau amalan turun-temurun. Setiap dakwaan perlu dibuktikan melalui penyelidikan yang sistematik. Persoalannya, sejauh manakah potensi daun kelor (Moringa oleifera) dan lidah buaya (Aloe vera) sebagai agen antibakteria dapat dibuktikan melalui kajian makmal?

Persoalan ini menjadi semakin penting pada masa kini apabila dunia berdepan dengan peningkatan rintangan antimikrob (antimicrobial resistance, AMR). Keadaan ini berlaku apabila bakteria menjadi kebal terhadap antibiotik, menyebabkan rawatan menjadi kurang berkesan. Oleh itu, para penyelidik di seluruh dunia sedang giat mencari sumber antibakteria baharu, termasuk daripada tumbuh-tumbuhan yang kaya dengan sebatian semula jadi.

Mengapa Daun Kelor dan Lidah Buaya menjadi Perhatian Penyelidik?

Daun kelor merupakan salah satu tumbuhan yang sering mendapat perhatian dalam bidang penyelidikan kerana kandungan nutrien dan sebatian bioaktif yang dimilikinya. Tumbuhan ini telah digunakan secara tradisional dalam pelbagai komuniti sebagai sumber makanan dan bahan herba. Kajian saintifik mendapati daun kelor mengandungi pelbagai sebatian semula jadi seperti flavonoid, alkaloid, tanin dan sebatian fenolik yang berpotensi menyumbang kepada pelbagai aktiviti biologi.

Sebatian seperti flavonoid dan fenolik sering dikaitkan dengan aktiviti antimikrob. Sebatian ini dipercayai berpotensi mempengaruhi pertumbuhan bakteria melalui gangguan pada struktur membran sel bakteria. Walau bagaimanapun, kehadiran sebatian bioaktif tidak semestinya menjamin kesan antibakteria dalam setiap keadaan ujian

Selain daun kelor, lidah buaya juga merupakan tumbuhan yang terkenal dalam bidang penjagaan kesihatan, terutamanya berkaitan penjagaan kulit dan penyembuhan luka. Gel lidah buaya mengandungi komponen semula jadi yang menarik perhatian penyelidik, namun keberkesanannya terhadap bakteria tertentu masih perlu dibuktikan melalui kajian makmal.

Salah satu perkara penting dalam penyelidikan tumbuhan ubatan ialah kaedah pengekstrakan yang digunakan untuk mendapatkan sebatian daripada bahan tumbuhan tersebut. Jenis pelarut yang digunakan semasa proses pengekstrakan boleh mempengaruhi jenis dan jumlah sebatian bioaktif yang berjaya diekstrak. Dalam kajian ini, ekstrak daun kelor dan lidah buaya disediakan menggunakan pelarut air dan etanol bagi melihat perbezaan kandungan sebatian bioaktif serta potensi aktiviti antibakteria yang dihasilkan.

Bagi menilai potensi tersebut, ekstrak tumbuhan ini kemudiannya diuji terhadap bakteria tertentu yang sering digunakan dalam kajian mikrobiologi.

Mengapa Bakteria Escherichia coli dipilih?

Bakteria Escherichia coli atau lebih dikenali sebagai E. coli merupakan antara bakteria yang sering dikaji dalam bidang mikrobiologi. Kebanyakan strain hidup secara semula jadi dalam sistem penghadaman manusia, namun sesetengah strain boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti jangkitan saluran kencing, keracunan makanan dan gangguan sistem penghadaman. Oleh sebab itu, bakteria ini sering digunakan sebagai organisma ujian dalam kajian yang menilai potensi sesuatu bahan dalam menghalang pertumbuhan bakteria.

Selain itu, peningkatan rintangan antibiotik dalam kalangan bakteria seperti E. coli turut menjadi kebimbangan dalam bidang kesihatan. Apabila bakteria menjadi kurang sensitif terhadap rawatan antibiotik, pilihan rawatan menjadi semakin terhad. Situasi ini mendorong para penyelidik untuk mencari sumber alternatif yang berpotensi mengandungi sebatian antimikrob, termasuk daripada tumbuhan semula jadi.

Dalam kajian ini, E. coli digunakan untuk menilai sama ada ekstrak daun kelor dan lidah buaya mempunyai keupayaan untuk menghalang pertumbuhan bakteria tersebut. Sebelum ujian antibakteria dijalankan, identiti bakteria terlebih dahulu disahkan melalui ujian pewarnaan Gram dan ujian biokimia bagi memastikan organisma yang digunakan adalah E. coli.

Bagaimanakah kajian ini dijalankan?

Bagi menilai potensi antibakteria daun kelor dan lidah buaya, kajian ini dijalankan melalui beberapa peringkat bermula daripada penyediaan ekstrak tumbuhan sehingga pengujian terhadap bakteria E. coli.

Daun kelor dan lidah buaya digunakan sebagai bahan kajian sebelum melalui proses penyediaan ekstrak menggunakan dua jenis pelarut, iaitu air dan etanol. Penggunaan pelarut yang berbeza membolehkan penyelidik melihat sama ada jenis pelarut mempengaruhi kandungan sebatian bioaktif yang berjaya diperoleh daripada tumbuhan tersebut.

Seterusnya, analisis fitokimia dijalankan bagi mengenal pasti kehadiran beberapa kumpulan sebatian semula jadi dalam ekstrak tumbuhan. Ujian ini dijalankan bagi mengenal pasti kehadiran beberapa sebatian bioaktif dalam ekstrak tumbuhan.

Setelah itu, aktiviti antibakteria ekstrak tumbuhan diuji terhadap E. coli menggunakan kaedah penyebaran cakera (disc diffusion method). Melalui kaedah ini, penyelidik dapat melihat sama ada ekstrak tumbuhan mampu menghasilkan kawasan perencatan pertumbuhan bakteria di sekeliling cakera yang mengandungi ekstrak tersebut.

Penemuan Kajian

Hasil kajian menunjukkan bahawa kehadiran sebatian bioaktif dalam tumbuhan tidak semestinya menjamin keberkesanan antibakteria terhadap sesuatu bakteria. Analisis fitokimia mendapati bahawa ekstrak etanol daun kelor mengandungi lebih banyak kumpulan sebatian bioaktif berbanding ekstrak lain. Antara sebatian yang dikesan termasuk alkaloid, saponin, tanin, flavonoid dan sebatian fenolik

Penemuan ini menunjukkan bahawa jenis pelarut mempengaruhi sebatian bioaktif yang berjaya diekstrak.. Walaupun begitu, kandungan sebatian bioaktif yang tinggi tidak semestinya bermaksud sesuatu ekstrak akan menunjukkan aktiviti antibakteria yang kuat.

Apabila diuji terhadap E. coli, kesemua ekstrak daun kelor dan lidah buaya yang digunakan dalam kajian ini tidak menunjukkan kawasan perencatan pertumbuhan bakteria yang memenuhi kriteria aktiviti antibakteria yang ditetapkan. Diameter zon perencatan yang diperoleh adalah kurang daripada 7 mm, menunjukkan bahawa ekstrak tersebut tidak memberikan kesan penghalangan pertumbuhan E. coli yang ketara dalam keadaan eksperimen ini.

Keputusan ini mungkin kelihatan berbeza daripada persepsi umum bahawa tumbuhan yang mempunyai khasiat tradisional semestinya mampu bertindak sebagai agen antibakteria. Namun, dalam penyelidikan saintifik, sesuatu tumbuhan perlu dinilai berdasarkan bukti eksperimen dan bukan hanya berdasarkan penggunaannya secara tradisional.

Antara keKepercayaan dan Bukti Saintifik

Kajian ini menunjukkan bahawa potensi sesuatu tumbuhan sebagai agen antibakteria dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk jenis pelarut yang digunakan, jenis bakteria yang diuji, kepekatan ekstrak dan kaedah analisis yang digunakan. Walaupun daun kelor dan lidah buaya mengandungi pelbagai sebatian semula jadi yang menarik perhatian penyelidik, kehadiran sebatian tersebut sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kesan antibakteria dapat diperhatikan terhadap E. coli

Penggunaan tumbuhan seperti daun kelor dan lidah buaya dalam perubatan tradisional menunjukkan bagaimana manusia sejak dahulu lagi memanfaatkan sumber semula jadi untuk menjaga kesihatan. Namun, dalam bidang sains, potensi sesuatu tumbuhan perlu dinilai melalui kajian yang sistematik sebelum sesuatu kesimpulan dapat dibuat.

Dalam kajian ini, walaupun ekstrak daun kelor dan lidah buaya mengandungi pelbagai sebatian bioaktif, kesemua ekstrak yang diuji tidak menunjukkan penghalangan pertumbuhan yang ketara terhadap E. coli di bawah keadaan eksperimen yang digunakan. Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak bermaksud tumbuhan tersebut tidak mempunyai sebarang nilai dalam bidang penyelidikan.

Sebaliknya, dapatan ini memberikan pemahaman yang lebih jelas tentang batasan sesuatu ekstrak dan kepentingan menjalankan penilaian saintifik sebelum sesuatu bahan semula jadi dicadangkan sebagai agen rawatan. Penyelidikan berkaitan tumbuhan ubatan masih mempunyai ruang yang luas untuk diterokai, termasuk penggunaan kaedah pengekstrakan yang berbeza, kepekatan ekstrak yang lebih tinggi atau ujian terhadap jenis bakteria lain.

Akhirnya, sains bukan sekadar mencari jawapan yang diharapkan, tetapi berusaha mendapatkan jawapan yang benar berdasarkan bukti. Melalui pendekatan ini, masyarakat dapat membuat keputusan yang lebih tepat mengenai penggunaan tumbuhan ubatan dan memahami bahawa sesuatu dakwaan kesihatan memerlukan sokongan daripada penyelidikan yang kukuh.

Rajah 1. Lidah buaya (Aloe vera) (kiri) dan pokok kelor (Moringa oleifera) (kanan), dua tumbuhan yang dikaji kerana potensi sebatian bioaktifnya dalam melawan pertumbuhan bakteria. (Sumber: Foto peribadi penulis)

Rujukan:

El-Sherbiny, G. M., Alluqmani, A. J., Elsehemy, I. A., & Kalaba, M. H. (2024). Antibacterial, antioxidant, cytotoxicity, and phytochemical screening of Moringa oleifera leaves. Scientific Reports, 14(1), 30485. https://doi.org/10.1038/s41598-024-80700-y

Enerijiofi, K. E., Akapo, F. H., & Erhabor, J. O. (2021). GC–MS analysis and antibacterial activities of Moringa oleifera leaf extracts on selected clinical bacterial isolates. Bulletin of the National Research Centre, 45(1). https://doi.org/10.1186/s42269-021-00640-9

Mahaveerchand, H., & Salam, A. a. A. (2024). Environmental, industrial, and health benefits of Moringa oleifera. Phytochemistry Reviews, 23(5), 1497–1556. https://doi.org/10.1007/s11101-024-09927-x

Nalimu, F., Oloro, J., Kahwa, I., & Ogwang, P. E. (2021). Review on the phytochemistry and toxicological profiles of Aloe vera and Aloe ferox. Future Journal of Pharmaceutical Sciences, 7(1), 145. https://doi.org/10.1186/s43094-021-00296-2

Salam, M. A., Al-Amin, M. Y., Salam, M. T., Pawar, J. S., Akhter, N., Rabaan, A. A., & Alqumber, M. a. A. (2023). Antimicrobial resistance: a growing serious threat for global public health. Healthcare, 11(13), 1946. https://doi.org/10.3390/healthcare11131946

Segwatibe, M. K., Cosa, S., & Bassey, K. (2023). Antioxidant and Antimicrobial Evaluations of Moringa oleifera Lam Leaves Extract and Isolated Compounds. Molecules, 28(2), 899. https://doi.org/10.3390/molecules28020899

 

Biodata Penulis

Nahdatul Sarah Binti Z. Rosli merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah. Penulis menghasilkan artikel berkaitan potensi ekstrak daun kelor (Moringa oleifera) dan lidah buaya (Aloe barbadensis Miller) dalam kajian aktiviti antibakteria terhadap bakteria Escherichia coli secara in vitro. Minat penulis merangkumi bidang mikrobiologi, bioteknologi tumbuhan dan sains kesihatan.

Dr. Nurulhuda Ismail merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Biologi, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah, Malaysia. Beliau memiliki Diploma dalam Mikrobiologi, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (Biologi), Ijazah Sarjana Sains Perubatan dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Nanobioteknologi. Beliau mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan dan penyelidikan dengan kepakaran yang merangkumi mikrobiologi, sains perubatan, nanobioteknologi dan pendidikan sains. Dr. Nurulhuda merupakan penyelia bagi kajian berkaitan penggunaan ekstrak tumbuhan dalam penilaian aktiviti antibakteria terhadap bakteria Escherichia coli secara in vitro.

 

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Aloe barbadensis Millerdaun kelorherba halaman rumahKajian saintifik Daun MoringaMoringa oleiferapenawar alamipenawar semulajadipokok lidah buayapokok moringaUiTM Kuala Pilah Negeri Sembilan
ShareTweetShare
Previous Post

EVA: Kerangka Statistik untuk Fenomena Luar Jangka

Next Post

Hukum Penumpuan Jenayah: Mengapa Sebilangan Kecil Lokasi Menyumbang Sebahagian Besar Jenayah?

Editor

Editor

Related Posts

Penggunaan Bahan Nano dalam Pergigian Restoratif
Berita & Peristiwa

Penggunaan Bahan Nano dalam Pergigian Restoratif

48 minutes ago
Hukum Penumpuan Jenayah: Mengapa Sebilangan Kecil Lokasi Menyumbang Sebahagian Besar Jenayah?
Berita & Peristiwa

Hukum Penumpuan Jenayah: Mengapa Sebilangan Kecil Lokasi Menyumbang Sebahagian Besar Jenayah?

57 minutes ago
EVA: Kerangka Statistik untuk Fenomena Luar Jangka
Berita & Peristiwa

EVA: Kerangka Statistik untuk Fenomena Luar Jangka

3 days ago
Sinergi Bioteknologi Makanan USIM-AEON Delicatessen Malaysia: Pacu Inovasi Pembangunan Makanan Mahasiswa
Berita & Peristiwa

Sinergi Bioteknologi Makanan USIM-AEON Delicatessen Malaysia: Pacu Inovasi Pembangunan Makanan Mahasiswa

4 days ago
Next Post
Hukum Penumpuan Jenayah: Mengapa Sebilangan Kecil Lokasi Menyumbang Sebahagian Besar Jenayah?

Hukum Penumpuan Jenayah: Mengapa Sebilangan Kecil Lokasi Menyumbang Sebahagian Besar Jenayah?

Kategori Produk

  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In