Oleh:Mohd Faizal Aziz
Blog mungkin menjadi satu istilah baru yang paling banyak diperkatakan terutamanya rakyat Malaysia selepas Pilihanraya Umum Malaysia ke-12. Blog juga menjadi wadah baru penyebaran berita, gosip, maklumat dan hebahan yang paling pantas berbanding akhbar tradisonal. Tidak memiliki blog dianggap ketinggalan di zaman kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi terkini. Blog menawarkan pelbagai kemudahan seperti barita, iklan bisnes, ruang simpanan album digital dan yang paling mendapat perhatian ialah diari harian yang hanya boleh diperolehi dari hujung jari Apakah sebenarnya blog dan bagaimanakah ia berkembang.
Blog adalah singkatan bagi ‘web’ dan ‘log’ yang diperkenalkan oleh Jorn Barger pada 17 Disember 1997. Sehingga kini belum ada istilah yang tepat dalam bahasa melayu untuk menterjemahkan blog. Barger menggunakan istilah weblog untuk merujuk kepada kelompok laman-laman web maya peribadi yang dikemaskini secara berkala oleh pemiliknya. Peter Merholz pula menggunakan istilah ‘we blog’ pada laman webnya Peterme.com yang merujuk kepada aktiviti ‘blogging’ yang terdiri daripada mengemaskini laman web, menyunting, memasukkan maklumat terbaru, mengirim artikel dan sebagainya. Akhirnya beliau lebih selesa menggunakan istilah ‘blog’ bagi menggambarkan segala aktiviti berkaitan dengannya. Di situlah munculnya blog dan pemiliknya pula dikenali dengan nama ‘blogger’.
Kini blog telah menjadi trend baru kehidupan manusia setelah meledaknya teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Pada awalnya jumlah blog di seluruh dunia tidaklah sebanyak yang wujud sekarang yang dianggarkan sebanyak 112 juta menurut statistik terkini yang dikeluarkan oleh enjin carian blog terkenal Technocrati. Pada waktu ia mula tercipta dan sebelum terkenal, untuk menghasilkan blog memerlukan sedikit kemahiran teknikal dalam bidang penulisan kod-kod html (hypertext markup language). Pada tahun 1999, sebuah syarikat teknologi maklumat PyraLabs melancarkan website www.blogger.com yang memberi kemudahan secara percuma di atas talian kepada sesiapa sahaja untuk memiliki blog tanpa perlu memiliki kemahiran teknikal dalam bidang teknologi maklumat. Apa yang perlu ialah kemudahan talian internet dan keinginan untuk mempunyai blog sahaja. Sejurus selepas itu, jumlah blog di ruang maya meningkat secara dramatik. Tema blog yang muncul merangkumi pelbagai topik bermula dari filem, politik, kesihatan, sukan, hobi dan juga blog berkaitan dengan buku. Daripada blog, pembaca dapat menyelami apa sahaja lontaran idea, pendapat dan buah fikiran blogger. Pada tahun 2003, Blogger.com telah diambilalih oleh syarikat enjin carian internet terkenal Google. Selain blogger.com, terdapat beberapa perkhidmatan penyediaan layanan blog yang lain seperti wordpress, livejurnal, blogsome dan sebagainya.
Dalam keghairahan kita menggunakan teknologi ini, blog juga boleh mengundang sensitiviti sehingga menjadi ancaman kepada pemiliknya dan juga negara. Di Singapura, dua rakyatnya telah dipenjarakan di bawah undang-undang antihasutan kerana menyiarkan kenyataan antiislam di laman blog mereka. Di Mesir, seorang blogger, Abdul Kareem Suliman Amer atau Kareem Amer ditahan pada November 2006 dan dipenjarakan tiga tahun atas kesalahan menghina Presiden Hosni Mubarak. Terkini di Malaysia, seorang penulis blog Raja Petra Kamaruddin telah ditahan polis dan dibebaskan selang beberapa hari kerana menyiarkan artikel berunsur hasutan di blog beliau yang terkenal Malaysia-Today. Walau apapun isu yang berlaku sekitar blog, masih banyak blog yang positif yang dapat dimanfaatkan seperti blog yang berkaitan dengan agama, motivasi, promosi buku dan juga bisnes.
Dengan adanya blog di zaman kini, muncul satu lagi komuniti maya yang dikenali sebagai komuniti blog yang berbudaya digital. Ini kerana, setiap blog yang bersifat interaktif adalah saling menghubungkan antara satu sama lain dan dapat merapatkan hubungan sesama bloggers. Setiap blog dapat menggambarkan persahabatan, perdebatan, permusuhan dan juga hubungan perniagaan. Pemilik blog dan juga pembaca bebas melontarkan pandangan masing-masing bagi setiap artikel yang diterbitkan. Tambahan pula, setiap artikel dan komen bebas disalurkan tanpa ada sebarang sekatan kecuali pemilik blog yang menjadi editor utamanya. Oleh itu blog menjadi medium utama penulis dan pembaca blog yang bersifat interaktif serta dapat memaparkan idea dan wacana segar antara keduanya.
Di Malaysia, telah wujud pelbagai komuniti maya yang menghimpunkan penulis-penulis blog antaranya yang terkenal ialah www.jurnal.biz, www.minggupenulisremaja.blogspot, www.petalingstreet.org dan sebagainya. Komuniti ini sentiasa mengadakan aktiviti yang berbentuk ilmiah dan juga santai dalam usaha untuk merapatkan ahli-ahli mereka. Komuniti ini juga mewujudkan anugerah kepada pemilik blog terbaik dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa, fenomena blog yang wujud hari ini di seluruh dunia termasuk di negara kita Malaysia adalah hasil limpahan teknologi maklumat dan komunikasi yang berkembang pesat selepas kewujudan internet. Terpulang kepada kita samada untuk memanfaatkan atau mengabaikannya.
Tersiar di ESTIDOTMY, MOSTI-UTUSAN, Mei 2008