Oleh:Mohd Faizal Aziz
Siapakah saintis dan apakah perwatakan saintis? Sekurang-kurangnya itulah salah satu persoalan menarik yang ditimbulkan di dalam buku Ignited Minds: Unleashing the Power Within India tulisan bekas Presiden India yang ke-11 bermula pada tahun 2002 sehingga 2007 iaitu Dr. Avul Pakir Jainulabidin Abdul Kalam atau lebih dikenali dengan APJ Kalam. Beliau merupakan seorang saintis roket, bekas penasihat saintifik kepada kerajaan dan juga terkenal dengan gelaran Missile Man of India kerana terlibat dalam beberapa projek penting membangunkan peluru berpandu untuk pertahanan India. Gambaran umum menyatakan bahawa saintis ialah mereka yang mempunyai sifat ingin tahu yang begitu tinggi. Seorang saintis selalu bertanyakan mengapa dan bagaimana sesuatu fenomena itu berlaku dan mula mencari jawapan kepada persoalan tersebut dengan tekun. Memenuhi kriteria tersebut, APJ Kalam menyatakan watak seorang saintis adalah seperti kanak-kanak.
Buku ini bukanlah sebuah buku panduan bagaimana untuk menjadi saintis. Ia adalah sebuah buku kecil setebal 205 halaman ini sarat dengan dengan idea besar, metodologi, prasyarat dan motivasi penting untuk negara India menjadi sebuah negara maju. Sasaran utama ditetapkan ialah pada tahun 2020 hampir dengan Wawasan 2020 hasil idea bekas perdana Menteri Malaysia ke empat Tun Dr Mahathir Mohamed.
Ia ditulis bagi memberikan semangat dan motivasi kepada warga India terutamanya yang masih dibangku sekolah dan remaja-remaja yang sedang membesar. Bagi Kalam, mereka adalah pewaris bangsa dan pendokong cita-cita untuk menjayakan wawasan negara India untuk meletakkan negara mereka sebaris dengan negara-negara maju lain di dunia dalam bidang sains dan teknologi, ekonomi dan tradisi keilmuan.
Bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya kita melihat negara India sekarang merupakan salah satu gergasi ekonomi, ketenteraan, teknologi maklumat dan ilmu pengetahuan di Asia Selatan. Di seluruh pelosok dunia juga dapat kita lihat ramai warga India yang sudah mengecapi kejayaan sebagai bangsa yang yang memiliki kekuatan budaya ilmu serta kemahiran tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Golongan-golongan ini adalah sebahagian daripada produk dari daya kepimpinan dan motivasi yang ditunjukkan oleh pemimpin mereka yang mempunyai visi yang jelas dan bercita-cita tinggi seperti APJ Kalam.
Di sebalik latarbelakang sains yang kukuh sebagai seorang saintis program angkasa dan persenjataan India dan daya kepimpinan yang hebat, APJ Kalam mempunyai perwatakan yang sangat sederhana dan merendah diri. Walaupun beliau berada dalam hierarki tertinggi di India sebagai seorang presiden, jiwa pendidik dan saintis terus mendekatkan diri beliau dengan pelajar dan tidak meninggalkan bidang akademik. Selepas tamat penggalnya sebagai presiden pada bulan Julai 2007, beliau kembali semula ke universiti sebagai profesor di Universiti Anna di Chennai . Jiwa sederhana sebagai seorang pemimpin seperti yang ditunjukkan oleh APJ Kalam telah berjaya menambat hati warganegara India dan bertekad untuk bersama-sama pemimpin mereka memajukan negara.
Kalam mengemukakan setiap pandangan dan mengutarakan isu-isu penting di dalam buku ini berdasarkan pengalaman beliau menjelajah ke segenap pelosok Sndia untuk bertemu dengan ribuan kanak-kanak di bangku sekolah, para guru, saintis, pemimpin agama dan golongan miskin selama dua tahun. Hasil penjelajahan beliau ialah sebuah buku yang memberikan semangat baru serta kekuatan dalaman yang signifikan kepada rakyat India sehingga mereka kini disegani oleh seluruh dunia berdasarkan pencapaian mereka dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi yang mereka miliki.
Keseluruhan buku ini adalah sebuah pengharapan dan motivasi agar generasi muda menanam sifat rajin, tekun dan tidak mudah mengalah dalam usaha untuk mengejar impian dan membawa kepada kejayaan sebagai sebuah negara maju. Beliau juga menyarankan agar golongan muda terutamanya kanak-kanak supaya teruskan bermimpi dan menanam azam untuk sentiasa menjadi cemerlang dan bersama-sama menghapuskan musuh utama mereka iaitu kemiskinan seperti yang dinyatakan dalam pendahuluan buku ini.
Buku ini wajar dibaca oleh semua golongan terutamanya remaja untuk meningkatkan motivasi diri serta melihat hala tuju mereka pada masa akan datang.Sesuatu yang tidak dapat kita nafikan ialah untuk membina empayar di masa hadapan, kekuatan minda perlu dipacu dengan sewajarnya di landasan yang tepat kerana abad akan datang ialah abad pengetahuan dan kecemerlangan minda sesuai dengan judul yang diberikan terhadap buku ini iaitu Iginited Minds: Unleashing the Power within India.
Tersiar di Dewan Kosmik, DBP Mac2009