Penulis: Junita Abdul Kadir1 & Dr. Fitri Fareez Ramli2
1Pelajar Perubatan Tahun 3, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
2Pensyarah Perubatan, Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Kemurungan merupakan salah satu gangguan kesihatan mental yang paling umum di dunia. Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), terdapat sekitar 332 juta individu di dunia yang mengalami kemurungan.
Di Malaysia pula, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (TKKM) 2023 melaporkan sekitar sejuta orang dewasa mengalami kemurungan. Tinjauan yang dilakukan bagi warga emas pada tahun 2025 pula mendapati lapan daripada seratus warga emas di Malaysia mengalami kemurungan.
Keadaan tersebut agak membimbangkan kerana gangguan kesihatan mental ini mampu memberikan kesan buruk terhadap individu, keluarga, dan masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan baik.
Tanda-tanda Kemurungan
Terdapat dua gejala utama kemurungan iaitu perasaan sedih yang berpanjangan dan hilang rasa minat dalam aktiviti-aktiviti yang digemari sebelum ini.
Gejala-gejala lain yang dapat terjadi termasuk rasa letih atau kehilangan tenaga yang berterusan dan perubahan pada pergerakan tubuh seperti kadar pergerakan yang menjadi semakin lambat atau gelisah.
Kesukaran untuk mendapatkan tidur yang cukup atau tidur yang berlebihan merupakan gangguan lain yang boleh terjadi.
Perubahan selera makan seperti kehilangan atau peningkatan nafsu makan boleh terjadi sewaktu fasa kemurungan. Perubahan berat badan yang mendadak juga boleh menjadi petanda kemurungan.
Dari aspek pemikiran pula, keupayaan untuk berfikir dan memberikan fokus boleh terganggu. Lebih membimbangkan lagi, permikiran berulang kali tentang kematian termasuk idea atau rancangan bunuh diri boleh terjadi.
Statitsik TKKM 2023 melaporkan bahawa hampir separuh individu yang mengalami kemurungan di Malaysia berfikir untuk mencederakan diri atau lebih baik untuk mati. Ini menunjukkan kesan kemurungan yang serius sehingga boleh mengancam nyawa.
Selain gejala-gejala yang dinyatakan, gangguan fungsi terhadap beberapa aspek kehidupan termasuk di rumah, sekolah, dan tempat kerja biasanya mula muncul dalam kemurungan yang lebih teruk.
Sekiranya seseorang individu mempunyai tanda-tanda tersebut, pemeriksaan dengan pengamal perubatan berdaftar adalah disarankan bagi pemeriksaan lanjut.
Rawatan Kemurungan
Jenis-jenis rawatan yang diberikan biasanya bergantung kepada pelbagai faktor seperti tahap keterukan. Bagi kes-kes dengan tahap keterukan ringan, rawatan pilihan ialah terapi psikologi.
Bagi kemurungan tahap sederhana dan teruk pula, ubat-ubat anti-kemurungan mungkin diberikan oleh doktor perubatan bagi merawat kemurungan di samping terapi psikologi.
Walaupun terbukti berkesan untuk sesetengah pesakit, sebahagian pesakit tidak menunjukkan kesan penyembuhan yang maksimum. Justeru itu, rawatan tambahan seperti terapi muzik dapat membantu pesakit dalam merawat kemurungan.
Jenis-jenis Terapi Muzik untuk Kemurungan
Terdapat pelbagai terapi muzik yang boleh digunakan sebagai rawatan tambahan bagi kemurungan. Tiga kategori utama terapi ini termasuk terapi muzik aktif, terapi muzik reseptif, dan perubatan muzik.
Terapi muzik aktif dan reseptif memerlukan penglibatan ahli terapi. Dalam terapi muzik aktif, pesakit terlibat secara aktif dalam nyanyian, penciptaan lagu, dan bermain alat muzik.
Sebaliknya, dalam terapi muzik reseptif pula, pesakit hanya mendengar lagu yang disarankan oleh ahli terapi. Ahli terapi akan membantu pesakit menyelami perasaan, memori, dan pengalaman yang terkait dengan lagu yang didengari pesakit.
Bagi perubatan muzik pula, pesakit hanya diminta untuk mendengar lagu-lagu tanpa interaksi rapat dengan ahli terapi.
Impak Positif Terapi Muzik bagi Kemurungan
Kajian-kajian yang dijalankan sebelum ini melaporkan bahawa terapi muzik mampu membantu pesakit yang mengalami kemurungan. Ketiga-tiga jenis terapi muzik ini dilaporkan dapat membantu mengurangkan gejala-gejala kemurungan.
Tambahan lagi, terapi muzik juga dapat mengurangkan gejala-gejala kemurungan dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit lain seperti demensia dan strok.
Lebih menarik lagi, terapi muzik juga dilaporkan dapat meningkatkan kualiti hidup individu yang mengalami kemurungan.
Salah satu penjelasan saintifik bagi kesan positif muzik terhadap kemurungan ialah modulasi sistem limbik yang terlibat dalam proses pembelajaran, pembentukan memori, dan tingkah laku yang terganggu dalam kemurungan.
Interaksi antara pesakit dengan ahli terapi atau pesakit lain dalam terapi muzik berkumpulan mampu mengembangkan kemahiran interpersonal. Kebolehan menyelesaikan masalah dan rasa harga diri juga dapat ditingkatkan melalui terapi muzik.
Terapi muzik berpotensi menjadi rawatan tambahan yang dapat membantu untuk mengurangkan gejala kemurungan dan meningkatkan kesejahteraan individu.
Dengan pendekatan yang sesuai, muzik boleh menjadi salah satu medium yang menyokong proses pemulihan individu yang mengalami kemurungan.




