Penulis: Dr. Muhamad Safwan Ishak1 & Dr. Khairiatul Mardiana Jansar2
1Pensyarah, Faculty of Built Environment and Regenerative Design, Raffles University, Medini Kampus, Malaysia
2Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Antara isu utama yang sering dihadapi oleh pesawah ialah masalah padi angin yang sentiasa membebankan dengan penurunan ketara hasil tuaian padi.
Daripada pandangan mata kasar, padi angin sukar dibezakan daripada padi komersial. Pada peringkat anak benih sehingga peringkat pembiakan, bentuk daun dan ketinggiannya hampir sama. Namun apabila musim menuai tiba, perbezaannya menjadi jelas. Biji padi angin lazimnya berwarna kemerahan dan mudah relai sebelum sempat dituai. Keadaan ini menyebabkan bijinya gugur ke dalam tanah dan membentuk simpanan benih yang dikenali sebagai bank benih. Simpanan inilah yang membolehkan padi angin terus muncul.

Kehadiran padi angin memberi masalah kepada petani. Dalam keadaan tertentu, ia mampu menyebabkan kehilangan hasil yang ketara. Bukan sahaja kuantiti padi berkurang, malah kualiti hasil turut terjejas kerana campuran biji padi angin menurunkan nilai pasaran. Kos pengeluaran meningkat apabila petani terpaksa menambah usaha dan input untuk mengawalnya.
Masalah ini menjadi semakin ketara apabila sistem penanaman berubah daripada kaedah menanam secara tradisional kepada kaedah taburan terus. Kaedah taburan terus menjimatkan masa dan tenaga kerja, tetapi pada masa yang sama memberi kelebihan kepada padi angin untuk bercambah bersama tanaman utama. Dalam sistem penanaman konvensional, anak benih padi dipindahkan dalam keadaan sawah berlopak dan mempunyai saiz yang lebih besar, sekali gus memberi kelebihan daya saing. Dalam sistem tabur terus, padi dan padi angin bermula pada peringkat yang hampir sama, menjadikan persaingan lebih sengit dan sukar dikawal.
Apa yang menjadikan padi angin begitu sukar ditangani ialah sifat biologinya yang mampu menyesuaikan dengan situasi. Bijinya mempunyai tempoh dorman yang panjang. Ini bermakna ia tidak bercambah serentak, sebaliknya menunggu keadaan sesuai sebelum muncul. Strategi ini membolehkan sebahagian populasi terselamat walaupun kawalan telah dilakukan. Selain itu, padi angin didapati cekap menggunakan nutrien seperti nitrogen dan mampu bertindak balas dengan baik terhadap peningkatan karbon dioksida dan perubahan suhu. Dalam suasana perubahan iklim, ciri ini memberi kelebihan tambahan kepada rumpai tersebut.
Pengurusan Rumpai Bersepadu
Dalam usaha mengawal padi angin, herbisid menjadi pilihan utama sejak sekian lama. Pengenalan varieti padi rintang herbisid memberikan kelegaan sementara kepada pesawah. Dengan teknologi ini, herbisid tertentu boleh digunakan tanpa menjejaskan tanaman utama. Di beberapa kawasan, penggunaan varieti rintang berjaya meningkatkan hasil dan mengurangkan pembiakan besar-besaran padi angin.
Namun begitu, kebergantungan berlebihan terhadap satu pendekatan membawa risiko baharu. Apabila gen rintang dipindahkan melalui persenyawaan semula jadi antara padi komersial dan padi angin, populasi padi angin yang turut rintang boleh terbentuk. Apabila ini berlaku, keberkesanan herbisid menurun dan masalah menjadi lebih kompleks. Selain itu, isu sisa bahan kimia dalam tanah dan kesan jangka panjang terhadap alam sekitar turut menimbulkan kebimbangan.
Dalam konteks inilah konsep Pengurusan Rumpai Bersepadu atau Integrated Weed Management menjadi semakin relevan. Pendekatan ini tidak bergantung kepada satu kaedah sahaja, sebaliknya menggabungkan pelbagai strategi bagi mengawal rumpai secara lebih seimbang dan lestari.
Antara amalan penting dalam pendekatan ini ialah penggunaan benih padi yang bersih dan bebas pencemaran. Penyebaran padi angin sering berlaku melalui benih yang tercemar atau peralatan yang tidak dibersihkan dengan sempurna. Selain itu, teknik stale seedbed boleh digunakan bagi mengurangkan bank benih dalam tanah. Melalui teknik ini, benih rumpai dibiarkan bercambah terlebih dahulu sebelum dimusnahkan melalui pembajakan atau semburan tidak selektif.
Pengurusan air juga memainkan peranan penting. Pembanjiran pada masa dan kedalaman yang sesuai boleh merencatkan percambahan padi angin. Dalam sistem mencedung, lapisan air membantu menghalang pertumbuhan rumpai pada peringkat awal. Kadar penyemaian yang lebih tinggi pula boleh meningkatkan persaingan dan mengurangkan ruang untuk padi angin berkembang.
Selain itu, pemilihan varieti yang lebih kompetitif turut menjadi sebahagian daripada strategi bersepadu. Sesetengah varieti mempunyai pertumbuhan yang lebih pesat dan mampu menekan rumpai melalui persaingan cahaya dan nutrien. Namun terdapat satu lagi dimensi yang semakin menarik perhatian penyelidik, iaitu alelopati.
Alelopati merujuk kepada fenomena di mana sesuatu tumbuhan melepaskan bahan kimia semula jadi ke persekitaran yang boleh mempengaruhi pertumbuhan tumbuhan lain. Dalam erti kata mudah, tumbuhan bukan sahaja bersaing secara fizikal, tetapi juga secara biokimia. Bahan kimia yang dirembes melalui akar atau sisa tumbuhan boleh merencatkan percambahan dan pertumbuhan spesies lain di sekelilingnya.
Dalam konteks sawah padi, idea ini membuka satu kemungkinan baharu. Jika terdapat varieti padi yang mampu menghasilkan kesan alelopati terhadap rumpai tertentu, maka tanaman itu sendiri boleh menjadi sebahagian daripada mekanisme kawalan. Beberapa kajian menunjukkan bahawa terdapat varieti tradisional dan moden yang mempunyai potensi tersebut terhadap rumpai sawah.
Pendekatan ini tidak bermaksud herbisid harus ditinggalkan sepenuhnya. Sebaliknya, ia menawarkan lapisan tambahan dalam strategi pengurusan. Dengan menggabungkan varieti kompetitif, pengurusan air yang baik, kadar penyemaian yang sesuai dan teknik penyediaan tanah yang sistematik, tekanan terhadap padi angin boleh dikurangkan secara berperingkat.
Bagi kes padi angin yang sukar dibezakan pada peringkat awal, penggunaan varieti berdaun berwarna tertentu juga pernah dicadangkan bagi memudahkan pengenalpastian dan penyingkiran manual. Walaupun pendekatan ini mempunyai kekangan dari segi hasil, ia menunjukkan bahawa inovasi dalam sistem penanaman boleh membantu menangani masalah secara kreatif.
Masa depan pengurusan padi angin memerlukan keseimbangan antara teknologi dan ekologi. Dalam suasana pertanian moden yang berdepan perubahan iklim, tekanan ekonomi dan tuntutan keselamatan makanan, pendekatan yang terlalu bergantung kepada bahan kimia mungkin tidak mampan dalam jangka panjang.
Memahami bagaimana tumbuhan berinteraksi secara semula jadi memberi ruang kepada strategi yang lebih berkesan. Padi angin mungkin sukar dikawal, tetapi ia juga mengajar bahawa sistem pertanian adalah ekosistem yang kompleks. Setiap intervensi membawa kesan tindak balas.
Rujukan
MYAGRI. 2021. Padi angin. Diakses pada 2 Disember 2021 daripada https://myagri.com.my/2017/11/padi-angin
Kong H., Wang Z., Guo J., Xia Q., Zhao H., Zhang Y., Guo A., dan Lu B. 2021. Increases in genetic diversity of weedy rice associated with ambient temperatures and limited gene flow. Biology 10(2): 71–85.
Sudianto E., Neik T. X., Tam S. M., Chuah T. S., Idris A. A., Olsen K. M., dan Song B. K. 2016. Morphology of Malaysian weedy rice (Oryza sativa): Diversity, origin and implications for weed management. Weed Science 64(3): 501–512.
Waller G. R. 2004. Introduction: Reality and future of allelopathy. Dalam Macias F. A., Galindo J. C. G., Molinilla H. M. G., dan Cutler H. G. (penyunting), Allelopathy: Chemistry and Mode of Action of Allelochemicals. Boca Raton: CRC Press LLC.




