Monday, November 16, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Jangan Sampai Telinga “Pencen” Awal: Bahaya Bunyi Bising di Tempat Kerja

Jangan Sampai Telinga “Pencen” Awal: Bahaya Bunyi Bising di Tempat Kerja

Editor by Editor
16/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Dr. Shawaludin Husin¹ & Dr. Zainab Mat Yudin²
¹Doktor Kesihatan Pekerjaan dan Presiden Persatuan Pengamal Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MOHPA)
²Pakar Perubatan Keluarga, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia dan juga Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM

Pernahkah anda pulang dari kerja dengan kepala pening dan telinga berdesing seperti bunyi cengkerik? Atau ada rakan sekerja yang, setiap kali kita bercakap dengan suara biasa, akan menjawab, “Hah? Apa dia? Tak dengar la!”

Kalau ya, berhati-hatilah. Itu mungkin bukan masalah telinga biasa, tetapi tanda awal pendengaran mula “rosak” akibat bunyi bising di tempat kerja.

Masalah ini bukan kes terpencil. Pada tahun 2023, sebanyak 6,754 daripada 8,155 kes penyakit dan keracunan pekerjaan yang direkodkan di Malaysia ialah gangguan pendengaran akibat bunyi bising, iaitu kira-kira 83 peratus daripada semua kes [1]. Ringkasnya, inilah penyakit pekerjaan nombor satu di negara kita.

Bagaimana Bunyi Bising Merosakkan Telinga Kita?

Di dalam telinga kita ada organ bernama koklea yang bentuknya seperti cangkerang siput. Di dalamnya terdapat ribuan sel rambut seni. Sel-sel halus inilah yang menangkap getaran bunyi dan menghantar isyarat ke otak supaya kita faham apa yang didengar.

Masalahnya, sel rambut ini sangat sensitif (Rajah 1). Jika setiap hari “dihujani” bunyi mesin atau dentuman yang kuat:

i-Sel rambut ini boleh patah, koyak atau mati.

ii-Sekali sel ini mati, ia tidak akan tumbuh semula seumur hidup.

iii-Tiada ubat, pembedahan atau rawatan herba yang boleh menghidupkan semula sel yang sudah musnah.

Rajah 1: Mekanisme Kerosakan Sel Rambut Seni di Dalam Koklea Akibat Pendedahan Bunyi Bising Melampau (Rajah dijana oleh Gemini AI).

Berapa Kuat Baru Dikira Bahaya?

Kekuatan bunyi diukur dalam unit desibel, ditulis dB(A). Perbualan biasa berada sekitar 60 dB(A), manakala gergaji berantai boleh melebihi 100 dB(A).

Di Malaysia, Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019 menetapkan had pendedahan harian 85 dB(A) bagi lapan jam bekerja. Bunyi juga tidak boleh melebihi 115 dB(A) pada bila-bila masa [2].

Skala desibel tidak sama seperti pembaris. Setiap kenaikan 3 dB bermakna tenaga bunyi berganda dua, maka tempoh pendedahan yang selamat menjadi separuh: lapan jam pada 85 dB(A), tetapi hanya empat jam pada 88 dB(A) dan dua jam pada 91 dB(A).

Petua mudah: jika anda terpaksa menjerit untuk bercakap dengan rakan pada jarak satu meter, tempat itu berkemungkinan besar terlalu bising untuk telinga anda.

Bukan Sekadar Pekak: Penyakit Telinga yang Ramai Tak Tahu

Masalah pendengaran akibat pekerjaan bukan sekadar telinga menjadi kurang jelas. Ia hadir dalam beberapa bentuk:

i- Pekak perlahan-lahan (noise-induced hearing loss): Pendengaran merosot sedikit demi sedikit tanpa rasa sakit langsung. Tahu-tahu sahaja, bunyi berfrekuensi tinggi seperti suara halus wanita atau kicauan burung sudah tidak kedengaran.

ii- Tinnitus (telinga berdengung): Bunyi berdesing “ngiiiiing” atau berdegup di dalam telinga tanpa henti, terutamanya ketika suasana sunyi atau waktu hendak tidur. Ia boleh menyebabkan tekanan dan sukar tidur.

iii-Trauma akustik: Bunyi letupan yang kuat dan mengejut, seperti mercun besar atau letupan kuari, boleh merosakkan telinga dalam serta-merta, malah boleh memecahkan gegendang telinga.

iv-Racun kimia industri: Sesetengah bahan pelarut seperti tiner cat dan gam industri (toluene, xylene) boleh meresap ke dalam badan dan meracuni saraf telinga, lebih-lebih lagi apabila digabungkan dengan suasana bising.

Kerja Apa yang Paling Berisiko?

Mana-mana tempat kerja yang bising boleh menjejaskan pendengaran. Antara sektor yang paling berisiko:

i-Kilang dan industri berat: Mesin pemotong besi, mesin tekan (stamping), pemampat angin (compressor).

ii-Tapak pembinaan: Mesin pemecah batu (jackhammer), mesin tebuk konkrit.

iii-Penerbangan dan pengangkutan: Kru darat lapangan terbang (ground staff), juruteknik enjin kapal laut.

iv-Perladangan dan landskap: Pengguna gergaji berantai (chainsaw), mesin rumput, traktor lama.

iv-Kuari dan lombong: Aktiviti letupan batu dan mesin pengisar batuan.

Gambar 1: Suasana tempat kerja yang menggunakan mesin-mesin yang menghasilkan bunyi bising (Gambar dijana oleh Gemini AI).

Macam Mana Ujian Pendengaran Dibuat?

Jangan tunggu sampai pekak baru hendak berjumpa doktor. Mengikut peraturan, majikan perlu menyediakan ujian pendengaran, iaitu ujian audiometri, kepada pekerja yang terdedah kepada bunyi melebihi had [2]. Ujiannya mudah dan tidak menyakitkan (Gambar 2):

i-Duduk di dalam bilik kalis bunyi: Anda akan memakai fon telinga (headphone) dan memegang satu butang.

ii-Tekan butang apabila terdengar bunyi: Setiap kali terdengar bunyi “pip”, walaupun sangat sayup, anda hanya perlu menekan butang tersebut.

iii-Graf pendengaran dihasilkan: Keputusan direkodkan sebagai graf yang dipanggil audiogram. Graf ini menunjukkan bunyi paling perlahan yang mampu anda dengar pada setiap nada.

Ujian pertama dibuat dalam tempoh tiga bulan selepas anda mula bekerja di kawasan bising untuk merekodkan tahap asal pendengaran, kemudian diulang setiap tahun [3]. Sebelum ujian, telinga perlu “direhatkan” daripada bunyi bising sekurang-kurangnya 14 jam supaya keputusannya tepat. Jika graf mula berubah, terutamanya pada nada tinggi, doktor dapat mengesan masalah dari peringkat awal.

Gambar 2: Seorang pekerja sedang menjalani ujian audiometri di dalam bilik kalis bunyi sambil memegang butang respons (Gambar dijana oleh Gemini AI).

Kenapa Jangan Culas Buat Saringan Telinga?

Ramai pekerja menganggap ujian saringan ini membuang masa, padahal ia sangat penting. Empat sebabnya:

1- Kerosakan telinga bersifat “senyap”: Ia tidak berdarah, tidak bengkak dan tidak berdenyut seperti sakit gigi. Sedar-sedar sahaja, pendengaran sudah banyak merosot.

2- Kesan awal sebelum melarat: Jika dikesan awal, majikan boleh menukarkan anda ke bahagian yang kurang bising sebelum telinga rosak dengan lebih teruk.

3- Pastikan pelindung telinga berfungsi: Keputusan ujian menunjukkan sama ada penyumbat telinga (earplug) atau penutup telinga (earmuff) yang dipakai benar-benar melindungi anda atau sekadar hiasan (Gambar 3).

4- Hak pampasan PERKESO (SOCSO): Rekod saringan rasmi menjadi bukti penting jika anda perlu membuat tuntutan penyakit khidmat pekerjaan pada kemudian hari.

Gambar 3: Contoh alat-alat pelindung telinga (Gambar dijana oleh Gemini AI).

Melindungi Telinga: Tanggungjawab Bersama

Pelindung telinga sebenarnya benteng terakhir, bukan yang pertama. Tataamalan industri menggariskan kawalan bunyi mengikut turutan berikut [3]:

i- Kurangkan bunyi di punca: Majikan menyelenggara atau menggantikan mesin lama, memasang penebat bunyi dan menutup mesin yang bising.

ii- Kurangkan masa pendedahan: Pekerja digilirkan, tempoh di kawasan bising dihadkan dan ruang rehat yang senyap disediakan.

iii- Pakai pelindung telinga dengan betul: Pelindung telinga mesti dipakai sepanjang masa di kawasan bising (Gambar 4). Menanggalkannya “sekejap sahaja” pun sudah mengurangkan perlindungan.

Pekerja pula perlu hadir ujian audiometri, memakai pelindung telinga yang dibekalkan dan segera memaklumkan penyelia jika telinga mula berdesing atau pendengaran terasa kurang.

Gambar 4: Seorang pekerja menggunakan alat pelindung telinga (Gambar dijana oleh Gemini AI).

Apa Kesannya Pada Hidup Harian?

Hilang pendengaran bukan sekadar masalah di tempat kerja. Kesannya terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian:

i- Bahaya kemalangan: Sukar mendengar hon lori, siren kecemasan atau jeritan amaran rakan, lalu risiko kemalangan maut meningkat.

ii- Hubungan keluarga terjejas: Kerap salah dengar, memasang TV terlalu kuat sehingga mengganggu jiran, atau meminta pasangan mengulang ayat berkali-kali sehingga timbul rasa marah dan salah faham (Gambar 5).

iii- Otak cepat letih: Apabila telinga kurang jelas, otak terpaksa bekerja lebih keras untuk meneka perkataan orang lain. Pulang ke rumah, badan terasa letih luar biasa.

iv- Rasa terasing dan rendah diri: Lama-kelamaan, pesakit menjadi malas bergaul dan suka memencilkan diri kerana segan sering tersalah faham ketika berbual.

Gambar 5: Pendengaran yang jelas juga penting untuk menjaga keharmonian rumahtangga (Gambar dijana oleh Gemini AI).

Ingat: Kehilangan pendengaran akibat bunyi bising boleh dicegah [4]. Alat pelindung telinga harganya cuma beberapa ringgit, tetapi pendengaran yang hilang tidak dapat dipulihkan dengan apa-apa ganti rugi. Jika anda terdedah kepada bunyi bising di tempat kerja, pakailah pelindung telinga setiap hari dan jangan ponteng ujian audiometri.

Rujukan

[1] Jabatan Perangkaan Malaysia (2024). National Occupational Injury and Disease Statistics 2023. https://www.dosm.gov.my

[2] Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019 [P.U. (A) 60/2019].

[3] Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (2019). Tataamalan Industri bagi Pengurusan Pendedahan Bising Pekerjaan dan Pemuliharaan Pendengaran 2019. https://www.dosh.gov.my

[4] Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2025). Deafness and hearing loss (lembaran fakta). https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/deafness-and-hearing-loss

 

Biodata Penulis
Dr. Shawaludin Husin
memperoleh ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Sains Malaysia pada tahun 2003 dan Sarjana Sains Kesihatan Masyarakat (Kesihatan Pekerjaan) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2012. Beliau ialah Doktor Kesihatan Pekerjaan yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Sejak tahun 2023, beliau menyandang jawatan Presiden Persatuan Pengamal Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MOHPA), di samping menjadi Pengarah OHPLUS Asia Sdn. Bhd. Di peringkat serantau, beliau mengetuai Jawatankuasa Kesihatan dan Kesejahteraan, Asia Pacific Occupational Safety and Health Organization (APOSHO). Beliau juga pengasas platform MySmartOH dan pembangun ujian audiometri berasaskan realiti maya (VR).

Dr. Zainab Mat Yudin mendapat pendidikan sebagai doktor perubatan pada tahun 2003 daripada Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Hospital Alor Setar, Klinik Kesihatan Rasa dan Klinik Ibu dan Anak Kuala Kubu Bharu. Pada tahun 2015, beliau telah menamatkan pengajian sarjana dalam bidang Perubatan Keluarga di Universiti Sains Malaysia dan beliau bertugas di klinik kesihatan di Sabah iaitu Klinik Kesihatan Putatan dan Klinik Kesihatan Kundasang sebelum bertugas sebagai Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM pada tahun 2016 sehingga kini. Beliau juga bertugas di Klinik Rawatan Keluarga, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kelantan.

 

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: bising tempat kerjahilang pendengaranpekakpendedahan bisingpenjagaan pendengaranperaturan bising pekerjaantahap kebisingan
Previous Post

Anda melecur? Jangan Panik-Tindakan Bijak Anda 3 jam Pertama Boleh Menyelamatkan Kulit

Next Post

Ubat Sedut untuk Asma: Antara Keperluan dan Kebimbangan

Editor

Editor

Related Posts

Literasi Media Digital dalam Bidang Sains
Berita & Peristiwa

Literasi Media Digital dalam Bidang Sains

3 hours ago
Bunyi yang “Melihat”: Bagaimana Ultrasound digunakan ke Dalam Tubuh Kita
Berita & Peristiwa

Bunyi yang “Melihat”: Bagaimana Ultrasound digunakan ke Dalam Tubuh Kita

3 hours ago
Ubat Sedut untuk Asma: Antara Keperluan dan Kebimbangan
Berita & Peristiwa

Ubat Sedut untuk Asma: Antara Keperluan dan Kebimbangan

3 hours ago
Anda melecur? Jangan Panik-Tindakan Bijak Anda 3 jam Pertama Boleh Menyelamatkan Kulit
Berita & Peristiwa

Anda melecur? Jangan Panik-Tindakan Bijak Anda 3 jam Pertama Boleh Menyelamatkan Kulit

4 hours ago
Next Post
Ubat Sedut untuk Asma: Antara Keperluan dan Kebimbangan

Ubat Sedut untuk Asma: Antara Keperluan dan Kebimbangan

Kategori Produk

  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In