Monday, November 16, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Ubat Sedut untuk Asma: Antara Keperluan dan Kebimbangan

Ubat Sedut untuk Asma: Antara Keperluan dan Kebimbangan

Editor by Editor
16/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Oleh: Dr. Nik Nor Izah Nik Ibrahim1,2 & Dr. Tang Suk Peng1
Pensyarah, 1Jabatan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, 2Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Universiti Sains Malaysia

Jerebu yang melanda negara beberapa bulan kebelakangan ini banyak menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan saluran pernafasan, khususnya di kalangan pesakit asma. Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan peningkatan kes asma sehingga 259% semasa episod jerebu pada Ogos 2026 [1]. Walaupun keadaan semakin reda, kini, negara sedang memasuki musim Monsun Timur Laut yang membawa lebih banyak hujan serta perubahan cuaca dan suhu. Pendedahan kepada udara sejuk, perubahan suhu dan jangkitan virus pernafasan boleh mencetuskan atau memburukkan gejala asma terutama dalam individu yang sensitif.

Dalam keadaan ini, pemahaman yang jelas tentang dua jenis ubat sedut (inhaler) utama iaitu salbutamol dan kortikosteroid adalah sangat penting. Dengan mengenali fungsi setiap ubat serta menggunakannya dengan betul mengikut arahan, rawatan asma akan menjadi lebih berkesan untuk jangka panjang.

Apa yang Berlaku Pada Saluran Pernafasan Pesakit Asma?

Asma ialah sejenis penyakit kronik yang melibatkan keradangan pada saluran pernafasan. Keradangan ini menyebabkan saluran pernafasan menjadi lebih sensitif terhadap pelbagai pencetus seperti habuk, asap rokok, jerebu, udara sejuk, alergen dan jangkitan virus.

Apabila terdedah kepada pencetus tersebut, otot yang mengelilingi saluran pernafasan akan mengecut, menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit. Pada masa yang sama, lapisan dalam saluran pernafasan turut membengkak dan menghasilkan lebih banyak lendir. Keadaan ini menyebabkan pesakit mengalami gejala seperti bunyi berdehit (wheezing) iaitu bunyi seperti bunyi wisel ketika bernafas, batuk, sesak nafas dan rasa ketat di dada.

Pengecutan otot pada salur pernafasan semasa serangan asma dan keradangan yang berterusan memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza. Oleh itu, memahami fungsi setiap jenis ubat sedut amat penting bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang tepat dan berkesan.

Rajah 1: Mekanisme tindak balas saluran pernafasan pesakit asma terhadap pencetus dan gejala yang dialami. (Rajah dijana menggunakan Gemini Notebook dan disunting dengan Canva)

Dua Jenis Ubat Sedut Dengan Fungsi yang Berbeza

Dua jenis ubat sedut utama yang digunakan untuk merawat asma ialah salbutamol dan kortikosteroid sedutan (inhaled corticosteroid atau ICS).

1- Salbutamol: Melegakan saluran pernafasan yang sempit

Salbutamol bertindak dengan merehatkan otot yang mengelilingi saluran pernafasan bagi membuka laluan udara ke paru-paru. Sebab itu, salbutamol dikenali sebagai ubat pelega (reliever) kerana ia membantu melegakan gejala asma dengan cepat.

Selaras dengan fungsinya, salbutamol hanya perlu diambil sewaktu mengalami gejala seperti sesak nafas atau berdehit, dan lazimnya tidak perlu diambil setiap hari. Walau bagaimanapun, salbutamol sebagai pelega bersifat sementara dan tidak merawat keradangan pada salur pernafasan. Oleh itu, pesakit yang bergantung sepenuhnya kepada salbutamol tanpa rawatan yang mengawal keradangan berkemungkinan mengalami risiko serangan asma berulang atau lebih kerap.

Antara kesan sampingan salbutamol yang mungkin dialami pesakit ialah tangan menggeletar atau jantung berdebar (rasa denyutan jantung menjadi lebih cepat). Keadaan ini berlaku kerana salbutamol bukan sahaja bertindak pada otot saluran pernafasan, tetapi boleh juga memberi kesan kepada sistem otot rangka dan kardiovaskular.

Walau bagaimanapun, kesan sampingan ini hanya lebih ketara jika diambil secara oral (pil atau cecair) yang kini jarang dipreskripsikan kerana ubat sedut adalah lebih efektif. Apabila disedut melalui inhaler, jumlah salbutamol yang memasuki peredaran darah adalah jauh lebih rendah berbanding pemberian ubat secara oral. Oleh itu, kesan sampingan tersebut jarang berlaku pada dos sedutan yang disyorkan. Namun begitu, kesan ini boleh menjadi lebih ketara jika salbutamol digunakan pada dos yang lebih tinggi atau disedut berulang kali dalam tempoh yang singkat. Secara umumnya, salbutamol adalah selamat apabila digunakan mengikut arahan doktor.

2-Kortikosteroid sedutan: Mengawal keradangan saluran pernafasan

Berbeza dengan salbutamol, kortikosteroid sedutan bertindak mengawal keradangan pada saluran pernafasan dan mengurangkan risiko serangan asma. Oleh itu, ia dikenali sebagai ubat pengawal (controller). Kortikosteroid tidak memberikan kesan kelegaan segera seperti salbutamol, sebaliknya berfungsi untuk mengawal asma dalam jangka masa panjang. Jika salbutamol hanya digunakan apabila pesakit mengalami sesak nafas, kortikosteroid sedutan pula perlu digunakan secara berkala dan konsisten mengikut dos yang disyorkan oleh doktor, walaupun pesakit tidak mengalami sebarang gejala.

Penggunaan kortikosteroid sedutan secara konsisten membantu mengawal keradangan dan mengurangkan sensitiviti saluran pernafasan. Apabila asma terkawal dengan baik, pesakit akan semakin jarang mengalami gejala asma dan kurang bergantung kepada salbutamol. Oleh itu, jangan sesekali menghentikan penggunaan ubat pengawal ini tanpa berbincang dahulu dengan doktor hanya kerana berasa sihat, kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan keradangan kembali tidak terkawal dan meningkatkan risiko serangan asma.

Adakah Kortikosteroid Sedutan Berbahaya?

Perkataan ‘steroid’ sering menimbulkan kebimbangan masyarakat kerana ia sering dikaitkan dengan kenaikan berat badan, kencing manis, tulang rapuh dan pelbagai kesan sampingan yang lain. Kebimbangan ini sebahagian besarnya berkait dengan penggunaan steroid secara sistemik, iaitu apabila ubat diambil secara oral atau suntikan, di mana steroid akan masuk ke dalam peredaran darah dan memberi kesan kepada pelbagai organ.

Kortikosteroid sedutan mempunyai ciri yang berbeza. Apabila disedut, ia terus sampai ke saluran pernafasan. Pada dos yang disyorkan, penyerapan ubat ke dalam peredaran darah adalah terhad, menjadikan risiko kesan sampingan sistemik jauh lebih rendah berbanding pengambilan secara oral atau suntikan.

Walau bagaimanapun, kortikosteroid sedutan masih boleh menyebabkan kesan sampingan setempat seperti jangkitan kulat pada mulut (oral candidiasis), suara serak atau kerengsaan tekak. Hal ini berlaku apabila sebahagian ubat terlekat pada permukaan mulut dan tekak semasa penyedutan. Namun begitu, pesakit tidak perlu risau kerana kesan sampingan ini boleh dicegah melalui beberapa langkah mudah. Pesakit disarankan berkumur dengan air dan meludahnya keluar selepas setiap penggunaan kortikosteroid sedutan. Penggunaan alat tambahan yang dikenali sebagai peruang (spacer) juga boleh membantu mengurangkan sisa ubat daripada terlekat di dalam mulut dan tekak.

Rajah 2: Perbezaan ubat pelega (reliever) dan ubat pengawal (controller) dalam rawatan asma. (Rajah dijana menggunakan Gemini Notebook dan disunting dengan Canva)

Tidak Perlu Bimbang Menggunakan Ubat Sedut

Menurut Panduan Amalan Klinikal (CPG) Kementerian Kesihatan Malaysia bagi rawatan asma[2], semua pesakit asma perlu menerima rawatan yang mengandungi kortikosteroid sedutan. Penggunaan salbutamol sahaja tanpa rawatan antiradang tidak disarankan kerana keradangan yang tidak dikawal boleh menyebabkan gejala asma mudah berulang, meningkatkan risiko serangan asma yang teruk dan menjejaskan kawalan penyakit dalam jangka panjang.

Penggunaan kortikosteroid sedutan secara konsisten bukan sahaja mengawal gejala, malah dapat mengurangkan kebergantungan terhadap ubat pelega seperti salbutamol. Sekiranya pesakit mendapati mereka semakin kerap memerlukan ubat pelega, keadaan ini sebenarnya merupakan petanda bahawa asma mungkin tidak terkawal dengan baik. Penilaian doktor secara berkala adalah penting bagi memastikan kawalan asma kekal optimum dan rawatan yang bersesuaian dapat diberi.

Pada masa ini, rawatan adalah lebih mudah dengan adanya kombinasi ubat pengawal dan ubat pelega di dalam satu kanister. Dengan penggunaan ubat kombinasi ini, pesakit boleh mendapat manfaat daripada kedua-dua komponen ubat tersebut dengan satu sedutan sahaja!

Asma merupakan penyakit yang boleh dikawal dengan rawatan yang sesuai. Oleh itu, jangan biarkan kebimbangan terhadap kesan sampingan ubat menghalang rawatan yang diperlukan. Di samping itu, pastikan teknik penggunaan alat sedut adalah betul agar ubat dapat masuk sepenuhnya ke dalam saluran pernafasan. Fahami fungsi setiap ubat, patuhi arahan rawatan dan sentiasa dapatkan nasihat doktor dan profesional kesihatan sekiranya mempunyai sebarang keraguan.

Rujukan:

  1. Berita Harian. (2026, 23 Ogos). KKM kesan peningkatan masalah kesihatan berkait kualiti udara. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/08/1605699/kkm-kesan-peningkatan-masalah-kesihatan-berkait-kualiti-udara
  2. Clinical Practice Guidelines, Management of Asthma in Adults in Malaysia (Second Edition), diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysian Thoracic Society dan Academy of Medicine Malaysia.

Biodata Penulis

Dr. Nik Nor Izah Nik Ibrahim memperoleh ijazah perubatan dari Royal College of Surgeons in Ireland. Beliau pernah berkhidmat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan Hospital Machang, Kelantan sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Sains (MSc) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Farmakologi di Universiti Sains Malaysia (USM). Kini, beliau merupakan Pensyarah Perubatan di Jabatan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM dan Hospital Pakar USM, Kubang Kerian, Kelantan.

Dr. Tang Suk Peng merupakan pensyarah kanan di Jabatan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Biokimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Toksikologi dari Universiti Sains Malaysia. Beliau terlibat dalam pengajaran topik-topik farmakologi kepada pelajar perubatan.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: adakah inhaler bahayaDr. Nik Nor Izah Nik IbrahimDr. Tang Suk PengJerebuKortikosteroidpesakit asmasteroidubat sedutUbat Sedut untuk Asma
Previous Post

Jangan Sampai Telinga “Pencen” Awal: Bahaya Bunyi Bising di Tempat Kerja

Next Post

Bunyi yang "Melihat": Bagaimana Ultrasound digunakan ke Dalam Tubuh Kita

Editor

Editor

Related Posts

Literasi Media Digital dalam Bidang Sains
Berita & Peristiwa

Literasi Media Digital dalam Bidang Sains

3 hours ago
Bunyi yang “Melihat”: Bagaimana Ultrasound digunakan ke Dalam Tubuh Kita
Berita & Peristiwa

Bunyi yang “Melihat”: Bagaimana Ultrasound digunakan ke Dalam Tubuh Kita

3 hours ago
Jangan Sampai Telinga “Pencen” Awal: Bahaya Bunyi Bising di Tempat Kerja
Berita & Peristiwa

Jangan Sampai Telinga “Pencen” Awal: Bahaya Bunyi Bising di Tempat Kerja

4 hours ago
Anda melecur? Jangan Panik-Tindakan Bijak Anda 3 jam Pertama Boleh Menyelamatkan Kulit
Berita & Peristiwa

Anda melecur? Jangan Panik-Tindakan Bijak Anda 3 jam Pertama Boleh Menyelamatkan Kulit

4 hours ago
Next Post
Bunyi yang “Melihat”: Bagaimana Ultrasound digunakan ke Dalam Tubuh Kita

Bunyi yang "Melihat": Bagaimana Ultrasound digunakan ke Dalam Tubuh Kita

Kategori Produk

  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In