Penulis: Dr. Mohd Firdaus bin Yhaya1 & Dr. Nurul Ainun binti Hamzah2
1Pensyarah Biobahan Pergigian, Pusat Pengajian Sains Pergigian,
Kampus Kesihatan USM
2Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan,
Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan USM
Perubahan iklim sering dikaitkan dengan asap kilang, pembakaran bahan api fosil dan aktiviti industri berskala besar. Namun, di sebalik gambaran tersebut, terdapat satu aspek yang sebenarnya sangat dekat dengan kehidupan kita, iaitu jejak karbon (carbon footprint). Tanpa disedari, hampir setiap aktiviti harian mempunyai jejak karbon. Penggunaan pendingin hawa dan peralatan elektrik, perjalanan dengan kenderaan, makanan yang kita pilih, barangan yang kita beli, malah aktiviti digital semuanya memerlukan tenaga dan sumber. Sepanjang proses penghasilan, penggunaan dan pelupusan tersebut, gas rumah hijau boleh dilepaskan ke atmosfera.Justeru, jejak karbon bukan semata-mata isu industri atau tanggungjawab kerajaan. Cara kita menggunakan tenaga, bergerak, makan, membeli dan mengurus sisa turut mempengaruhi jejak yang ditinggalkan kepada bumi.
Memahami Jejak Karbon
Secara umum, jejak karbon merujuk kepada jumlah gas rumah hijau yang dilepaskan secara langsung atau tidak langsung akibat sesuatu aktiviti, produk atau corak kehidupan. Walaupun istilah “karbon” digunakan, pelepasan tersebut bukan hanya melibatkan karbon dioksida (CO₂), tetapi turut merangkumi gas rumah hijau lain seperti metana (CH₄) dan nitrus oksida (N₂O). Peningkatan gas-gas ini di atmosfera menyumbang kepada pemanasan sistem iklim [1]. Sumbernya pula sangat pelbagai, daripada pengangkutan dan penggunaan tenaga kepada pengeluaran makanan, pertanian, perindustrian dan pengurusan sisa (Rajah 1). Secara mudah, jejak karbon boleh dibayangkan sebagai “tapak kaki” yang ditinggalkan oleh aktiviti manusia terhadap alam sekitar, walaupun jejak tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Karbon dan Keseimbangan Alam
Karbon sebenarnya bukanlah “musuh”. Ia merupakan unsur penting dalam sistem semula jadi bumi dan bergerak antara atmosfera, tumbuhan, haiwan, tanah dan lautan melalui kitaran karbon [2]. Tumbuhan menyerap CO₂ melalui fotosintesis, manakala respirasi dan pereputan mengembalikan sebahagian karbon ke atmosfera. Lautan pula menjadi takungan karbon yang penting. Sebahagian karbon tersimpan dalam tanah dan batuan untuk tempoh yang sangat panjang sehingga membentuk bahan api fosil (Rajah 2). Masalah timbul apabila aktiviti manusia, khususnya pembakaran bahan api fosil, membebaskan karbon yang tersimpan itu ke atmosfera pada kadar yang tinggi. IPCC melaporkan bahawa aktiviti manusia telah menyebabkan pemanasan global, dengan suhu permukaan global bagi tempoh 2011–2020 sekitar 1.1°C lebih tinggi berbanding tempoh 1850–1900 [1].

Jejak Karbon dalam Kehidupan Harian
Jejak karbon sebenarnya berada di sekeliling kita. Kenderaan yang menggunakan bahan api fosil menghasilkan pelepasan melalui proses pembakaran. Elektrik yang digunakan untuk pendingin hawa, lampu, komputer dan peralatan rumah juga mempunyai jejak karbon, bergantung pada sumber tenaga yang digunakan untuk menjana elektrik tersebut. Makanan juga meninggalkan jejak. Sebelum sampai ke meja makan, sumber diperlukan untuk penanaman atau penternakan, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan dan pengangkutan. Apabila makanan dibazirkan, tenaga dan sumber yang digunakan untuk menghasilkannya turut menjadi sia-sia. Begitu juga dengan pakaian, peralatan elektronik dan barangan pengguna lain. Malah, aktiviti digital seperti penstriman video dan penyimpanan data bergantung pada peranti, rangkaian telekomunikasi dan pusat data yang memerlukan elektrik. Ini menunjukkan bahawa jejak karbon bukan hanya datang daripada asap kenderaan atau cerobong kilang.
Jejak Karbon dan Kesihatan
Kesan peningkatan pelepasan gas rumah hijau bukan hanya terhadap alam sekitar. Perubahan iklim turut memberi kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan manusia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan perubahan iklim sebagai ancaman besar terhadap kesihatan kerana ia boleh menjejaskan udara bersih, bekalan air yang selamat, keterjaminan makanan, tempat tinggal dan sistem kesihatan [3]. Kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba, banjir, kemarau dan ribut turut meningkatkan risiko kepada masyarakat. Peningkatan suhu boleh menyebabkan keletihan haba dan strok haba serta memburukkan beberapa keadaan kesihatan sedia ada, termasuk penyakit kardiovaskular dan respiratori, diabetes, penyakit buah pinggang dan masalah kesihatan mental [4]. Oleh itu, mengurangkan pelepasan karbon bukan sahaja membantu melindungi bumi, tetapi turut menyumbang kepada perlindungan kesihatan manusia.
Tanggungjawab Bersama dalam Mengurangkan Jejak Karbon
Pengurangan jejak karbon bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Kerajaan mempunyai peranan melalui dasar dan penyediaan infrastruktur rendah karbon. Industri boleh meningkatkan kecekapan tenaga dan menggunakan proses pengeluaran yang lebih bersih. Organisasi dan komuniti pula boleh memperkukuh pendidikan, kesedaran serta amalan penggunaan sumber secara bertanggungjawab. Individu turut mempunyai peranan melalui pilihan harian. Namun, tindakan individu sahaja tidak mencukupi. Perubahan yang berkesan memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri, organisasi, komuniti dan individu (Rajah 3).

Perubahan Boleh Bermula dengan Langkah Kecil
Mengurangkan jejak karbon tidak semestinya memerlukan perubahan drastik. Mematikan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan serta memilih peralatan cekap tenaga merupakan antara langkah mudah. Kecekapan tenaga juga merupakan strategi penting dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau [5]. Bagi perjalanan yang sesuai, berjalan kaki, berbasikal, berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam boleh mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian. Prinsip 3R — Reduce, Reuse and Recycle juga kekal relevan. Penggunaan botol air, bekas makanan dan beg membeli-belah guna semula dapat mengurangkan barangan sekali guna. Dalam soal makanan pula, prinsip mudah “ambil sekadar yang diperlukan dan habiskan apa yang diambil” dapat membantu mengurangkan pembaziran (Rajah 4).

Teknologi Hijau dan Pembangunan Mampan
Teknologi hijau seperti tenaga solar, angin dan hidro, kenderaan elektrik, bangunan pintar serta peralatan cekap tenaga membuka peluang untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. Namun, teknologi hijau sahaja bukan penyelesaian tunggal. Jika penggunaan sumber dan pembaziran terus meningkat, manfaat teknologi juga boleh menjadi terbatas. Peralihan kepada kehidupan rendah karbon memerlukan gabungan teknologi, dasar, infrastruktur, pendidikan, kesedaran dan perubahan tingkah laku. Usaha ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, SDG 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab serta SDG 13: Tindakan terhadap Iklim [6].
Pilihan Hari Ini Membentuk Masa Depan
Tindakan kecil mungkin kelihatan tidak memberi kesan jika dilakukan seorang diri. Namun, apabila dilakukan secara konsisten oleh ramai orang, tindakan tersebut boleh berkembang menjadi kebiasaan dan akhirnya membentuk budaya masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Kehidupan lestari juga tidak menuntut kesempurnaan. Kita boleh bermula dengan perkara yang praktikal seperti menggunakan tenaga dengan lebih bijak, mengurangkan pembaziran makanan, membeli berdasarkan keperluan dan memilih alternatif yang lebih lestari apabila tersedia.
Jejak karbon mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi kesannya terhadap alam sekitar, iklim dan kesihatan manusia boleh dirasai.
Bumi tidak mempunyai “Planet B”. Pilihan yang dilakukan hari ini mungkin kelihatan kecil, tetapi apabila dilaksanakan secara bersama dan berterusan, ia mampu menyumbang kepada perubahan yang lebih bermakna. Kelestarian bermula dengan kesedaran, diperkukuh melalui tanggungjawab dan direalisasikan melalui tindakan.
Rujukan
- Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC). (2023). Climate Change 2023: Synthesis Report. Contribution of Working Groups I, II and III to the Sixth Assessment Report of the Intergovernmental Panel on Climate Change. Geneva: IPCC. IPCC – Climate Change 2023: Synthesis Report
- National Aeronautics and Space Administration (NASA). The Carbon Cycle. NASA Earth Observatory. NASA – The Carbon Cycle
- World Health Organization (WHO). (2023). Climate change and health. Geneva: World Health Organization. WHO – Climate Change and Health
- World Health Organization (WHO). (2026). Heat and health. Geneva: World Health Organization. WHO – Heat and Health
- International Energy Agency (IEA). (2025). Emission Reductions: Multiple Benefits of Energy Efficiency. Paris: IEA. IEA – Emission Reductions
- United Nations. The 17 Sustainable Development Goals. New York: United Nations. United Nations – Sustainable Development Goals
Biodata Penulis
Dr. Mohd Firdaus bin Yhaya merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kelantan. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang sintesis polimer dan bahan pergigian, dengan penyelidikan yang merangkumi biomaterial, kimia polimer, teknologi salutan termaju, nanokomposit, click chemistry, pempolimeran radikal terkawal serta teknologi pengawetan sinaran. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Teknologi dalam Teknologi Polimer daripada USM (2003), diikuti Ijazah Sarjana Kejuruteraan dalam bidang Polimer daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (2007). Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang Polimer daripada University of New South Wales (UNSW), Australia (2012). Kerjaya akademik beliau di USM bermula di Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) sebelum menyertai PPSG pada tahun 2018. Dalam bidang pengajaran, beliau terlibat dalam kursus Bahan Pergigian bagi pelajar prasiswazah pergigian dan Kimia Bahan untuk pelajar Sains Forensik. Beliau juga aktif menjalankan penyelidikan, penyeliaan pascasiswazah dan penerbitan ilmiah, khususnya berkaitan pembangunan biomaterial serta bahan berasaskan polimer untuk aplikasi pergigian.
Dr. Nurul Ainun binti Hamzah merupakan Pensyarah Kanan dalam bidang Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (KPP) di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kelantan. Beliau memperoleh Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2003, Ijazah Sarjana dalam Safety Science daripada University of New South Wales (UNSW), Australia pada tahun 2009, dan Ijazah Doktor Falsafah Kesihatan Masyarakat pengkhususan Kesihatan Pekerjaan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2015. Kerjaya beliau bermula sebagai Pembantu Penyelidik dan Penolong Pegawai Penyelidik di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM sebelum dilantik sebagai Felo Akademik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dari 2007-2015. Beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di PPSK USM sejak tahun 2015. Beliau aktif dalam pengajaran, penyeliaan dan penyelidikan berkaitan kesihatan pekerjaan, kesihatan persekitaran, toksikologi persekitaran dan pekerjaan, ergonomik, kesihatan respiratori, kualiti udara dalaman, pendedahan haba dan keselamatan pekerjaan. Beliau juga aktif dalam badan profesional, antaranya Malaysian Industrial Hygiene Association (MIHA), Malaysian Association of Environmental Health (MAEH) dan Human Factors and Ergonomics Society of Malaysia (HFEM).



