Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Uzair Rusli
Centre for Marine Conservation, Institut Oseanografi dan Sekitaran,
Universiti Malaysia Terengganu
Ketika Terengganu sedang teruja dengan kemunculan semula penyu belimbing, satu lagi cerita sedang muncul daripada data saintifik di seluruh dunia. Di banyak kawasan pesisir Pantai di mana penyu bersarang, saiz penyu yang kembali untuk bertelur didapati semakin kecil. Perubahannya mungkin hanya beberapa sentimeter, tetapi apabila pola yang sama muncul selepas puluhan tahun pemerhatian dan merentasi banyak populasi, perubahan kecil itu menimbulkan persoalan yang lebih besar tentang bagaimana populasi penyu sedang berubah.

Kemunculan penyu belimbing itu sendiri cukup bermakna bagi Terengganu. Spesies yang pernah begitu sinonim dengan Rantau Abang kini amat jarang mendarat di negeri ini. Sebab itu kemunculan semula spesies ini selepas sembilan tahun sejak 2017 bukan sekadar satu rekod biologi, tetapi juga peringatan bahawa sebahagian daripada sejarah alam Terengganu masih belum hilang sepenuhnya.
Dalam masa yang sama, saintis sedang meneliti satu perubahan lain dalam populasi penyu. Pada 2025, kajian yang diterbitkan dalam Global Change Biology menganalisis perubahan saiz penyu menggunakan data jangka panjang dari Pulau Redang dan membandingkannya dengan populasi lain di seluruh dunia.
Di Redang, pola ini dapat dikesan kerana penyu telah diukur secara konsisten selama hampir tiga dekad oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Analisis terhadap 18,707 ukuran penyu agar menunjukkan purata panjang karapas penyu yang bertelur menurun daripada sekitar 100.8 cm pada 2005 kepada 96.8 cm pada 2022. Berdasarkan anggaran berat, perubahan itu bersamaan dengan penurunan daripada sekitar 120 kg kepada kira-kira 105 kg.
Menariknya, penurunan saiz ini berlaku ketika populasi penyu Redang sedang menunjukkan pemulihan yang baik. Jumlah persarangan meningkat daripada sekitar 300 sarang setahun kepada hampir 2,000 sarang. Ringkasnya, semakin banyak penyu kembali ke pantai, tetapi secara purata saiznya semakin kecil.
Pada pandangan pertama, penyu yang semakin kecil mungkin kelihatan seperti berita buruk. Namun salah satu hipotesis yang dikemukakan ialah ia mungkin berkaitan dengan kejayaan konservasi itu sendiri.
Penyu mengambil masa yang panjang untuk mencapai kematangan. Selepas beberapa dekad perlindungan, generasi yang terselamat daripada usaha konservasi terdahulu mula memasuki populasi pembiak. Penyu yang pertama kali bertelur, atau neophyte, lazimnya lebih kecil berbanding penyu yang telah berulang kali kembali bertelur. Apabila semakin banyak pembiak baharu memasuki populasi, purata saiz penyu yang direkodkan di pantai juga boleh menurun.
Apabila data Redang dibandingkan dengan populasi lain di seluruh dunia, pola yang lebih luas mula kelihatan. Daripada 31 lokasi persarangan yang mempunyai data perubahan saiz, 27 menunjukkan penurunan purata saiz penyu yang bertelur. Populasi yang berkembang dengan lebih pesat juga cenderung menunjukkan penurunan saiz yang lebih besar.
Beberapa kajian lain turut menunjukkan pola yang hampir sama. Di Boa Vista, Cabo Verde, peningkatan besar aktiviti persarangan penyu tempayan selepas perlindungan jangka panjang berlaku bersama penurunan purata saiz induk dan bilangan telur. Penyelidik mengaitkannya antara lain dengan perubahan struktur populasi apabila lebih banyak induk muda memasuki populasi pembiak.
Di Yakushima, Jepun, penyu tempayan yang direkodkan antara 1999 hingga 2005 juga didapati lebih kecil berbanding pada penghujung 1980-an dan awal 1990-an. Di Northwest Florida pula, penyelidik menemui sebahagian penyu tempayan membiak pada saiz yang kecil, sementara induk yang lebih besar cenderung menghasilkan lebih banyak telur.
Namun, fenomena ini tidak berlaku dengan cara yang sama di semua tempat. Data penyu Kemp’s ridley di Rancho Nuevo, Mexico, misalnya menunjukkan turun naik saiz antara tahun tetapi tidak menunjukkan penurunan linear yang jelas.
Ini menunjukkan bahawa bilangan sarang sahaja tidak menceritakan keseluruhan keadaan sesuatu populasi. Saiz induk, kemasukan pembiak baharu, saiz ketika mula membiak dan bilangan telur juga penting untuk memahami bagaimana populasi sedang berubah.
Namun terdapat sekurang-kurangnya dua lagi hipotesis yang wajar diterokai.
Pertama ialah kesan kepadatan populasi. Apabila konservasi berjaya dan semakin banyak penyu hidup hingga dewasa, lebih banyak individu mungkin berkongsi kawasan pemakanan yang sama. Jika sumber makanan tidak bertambah pada kadar yang sama, persaingan boleh meningkat dan mempengaruhi pertumbuhan.
Kedua ialah perubahan pada habitat makanan itu sendiri. Penyu agar banyak bergantung kepada sumber seperti rumput laut, sedangkan produktiviti habitat ini dipengaruhi oleh suhu, cahaya, nutrien, kualiti air dan perubahan persekitaran yang lain. Jika produktiviti makanan menurun atau pemulihannya selepas diragut menjadi lebih perlahan, pertumbuhan penyu juga mungkin terjejas.
Jadi, sekurang-kurangnya terdapat tiga hipotesis yang perlu diteliti: (i) perubahan struktur populasi apabila lebih banyak pembiak baharu masuk, (ii) peningkatan persaingan apabila populasi semakin besar, dan (iii) perubahan produktiviti habitat pemakanan. Ketiga-tiganya juga mungkin berlaku secara serentak.
Persoalan ini membawa penyelidikan kepada konsep yang lebih luas, iaitu carrying capacity atau daya tampung habitat. Selama ini kita banyak bertanya sama ada populasi penyu sedang meningkat atau menurun. Selepas beberapa dekad konservasi yang berjaya, mungkin kita juga perlu bertanya: berapa banyak penyu sebenarnya mampu ditampung oleh sesuatu habitat pemakanan?
Untuk menjawabnya, pemantauan di pantai perlu dihubungkan dengan penyelidikan di laut seperti kawasan pemakanan yang digunakan, kepadatan penyu, keadaan dan produktiviti rumput laut serta perubahan keadaan badan dan pertumbuhan penyu.
Di sinilah nilai data jangka panjang menjadi sangat penting. Ukuran karapas, nombor tag, jumlah telur dan rekod persarangan mungkin kelihatan seperti data biasa apabila dicatat setiap malam. Tetapi apabila dilakukan secara konsisten selama 10, 20 atau 30 tahun, data tersebut membolehkan kita melihat perubahan yang tidak mungkin dikesan melalui kajian jangka pendek.
Teknologi seperti satelit, dron, sensor dan kecerdasan buatan kini memberikan peluang baharu untuk memahami perubahan tersebut. Namun asasnya masih sama: alam perlu diperhatikan secara konsisten dan cukup lama untuk membolehkan pola muncul.
Kemunculan semula penyu belimbing mengingatkan kita bahawa status sesuatu spesies boleh berubah dengan besar dalam tempoh beberapa dekad. Penurunan saiz penyu pula menunjukkan bahawa perubahan populasi tidak semestinya hanya dapat dilihat melalui bilangan haiwan atau jumlah sarang.
Kita mungkin gembira apabila jumlah sarang meningkat, dan memang wajar kita meraikannya. Tetapi apabila sesuatu populasi mula pulih, soalan sains juga perlu berkembang. Bukan lagi sekadar berapa banyak penyu yang kembali, tetapi juga siapa yang kembali, bagaimana keadaan mereka, dan adakah habitat di laut itu masih mampu menyokong populasi yang semakin bertambah?
Itulah sebabnya pemantauan jangka panjang penting. Ia bukan sekadar merekod apa yang ada hari ini, tetapi membolehkan kita memahami bagaimana sesuatu populasi berubah dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Rujukan:
- Hays, G. C., Rusli, M. U., Booth, D., & Laloë, J.-O. (2025). Global decline in the size of sea turtles. Global Change Biology, 31(5), e70225.
- Roch, C., Angulo-Preckler, C., Rodrigues, K. L., Mann, H., Barrios-Garrido, H., Wildermann, N., López-Jurado, L. F., Liria-Loza, A., Medina-Suarez, M., & Duarte, C. M. (2026). Decades of conservation and monitoring reveal population recovery in a globally important loggerhead rookery. Biological Conservation, 317, 111782.
- Ware, M., Oliveira de Mello Vieira, L., Fuentes-Tejada, L., Silver-Gorges, I., & Fuentes, M. M. P. B. (2026). Smaller size of nesting loggerhead sea turtles in northwest Florida. Animals, 16(1), 71.
- Zavala-Félix, K. A., Camacho-Sánchez, F. Y., Leal-Sepúlveda, V., Acosta-Sánchez, H. H., Aguirre, A. A., Zavala-Norzagaray, A. A., Hart, C. E., Ley-Quiñónez, C. P., & Reyes-López, M. A. (2026). Interannual fluctuations in mean straight carapace length (SCL) of nesting Kemp’s ridley sea turtles signal demographic shifts at Rancho Nuevo Sanctuary, Tamaulipas, Mexico. Life, 16(4), 631.
- Yagi, Y., Omuta, K., Omuta, N., & Kamezaki, N. (2026). Decrease in body size of loggerhead turtles, Caretta caretta, nesting at Yakushima Island, Japan. Current Herpetology, 45(2).
#LiterasiLautanUntukSemua
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan tahap literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan 25 Tahun UMT: Menerajui Agenda Ekonomi Biru Negara. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.





