Penulis: Dr. Rozlin Abdul Rahman
International Islamic University Malaysia (IIUM)
Encik Ahmad (bukan nama sebenar), merupakan seorang lelaki berusia 70 tahun, menjalani kehidupan harian sebagai seorang pesara kerajaan tanpa masalah kesihatan. Ketika beliau menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan, keputusan ujian darah menunjukkan beliau mengalami kekurangan sel darah merah (anemia). Encik Ahmad tidak pernah mengalami sebarang gejala seperti keletihan melampau, sakit perut atau perubahan tabiat membuang air besar. Namun, doktor menyarankan beliau menjalani ujian lanjut, termasuk kolonoskopi, yang membawa kepada penemuan yang amat mengejutkan, Encik Ahmad didapati mengidap kanser kolon tahap empat. Sesungguhnya amat sukar untuk Encik Ahmad dan keluarganya menerima berita tersebut kerana sebelum ini beliau adalah seorang yang sihat dan tidak pernah mengalami sebarang tanda awal.
Kisah ini adalah satu realiti yang sering berlaku, di mana kanser kolon kerap dikesan pada peringkat akhir kerana ia terjadi secara senyap tanpa gejala awal yang jelas.
Pengenalan
Kanser kolorektal merupakan istilah umum yang meliputi dua lokasi kanser di Kawasan usus iaitu di kolon dan rektum. Rektum adalah bahagian terakhir usus besar yang bersambung ke dubur. Kanser kolon pula merujuk secara spesifik kanser yang terjadi di usus besar. Kedua-dua jenis kanser ini mempunyai faktor risiko, gejala awal serta kaedah diagnosis yang hampir sama. Penulisan seterusnya akan lebih tertumpu kepada kanser kolon.
Kanser kolon berlaku apabila sel-sel abnormal membiak secara tidak terkawal di mana-mana bahagian usus besar. Sering bermula daripada ketumbuhan kecil atau “polyp” yang tidak berbahaya (benign) yang kemudiannya berisiko berubah menjadi malignan. Jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera, kanser ini mampu merebak ke bahagian lain tubuh badan, seperti di hati dan paru-paru.
Statistik Kanser Kolon di Malaysia
Menurut World Health Organisation (WHO), kanser kolon merupakan kanser ketiga tertinggi dilaporkan di kalangan lelaki dan kanser kedua tertinggi di kalangan wanita selepas kanser payudara [1]. Di kalangan rakyat Malaysia, kanser kolon adalah kanser kedua paling kerap ditemui. Berdasarkan Malaysia National Cancer Registry Report (MNCRR) 2012-2016, kanser kolon menyumbang kepada kira-kira 13.5% daripada semua kes kanser. Sama seperti kanser paru-paru, kaum lelaki lebih berisiko dengan insiden 16.9 per 100,000 populasi, berbanding wanita (12.1 per 100,000 populasi), manakala kaum Cina dilaporkan mencatat insiden kolon kanser tertinggi berbanding kaum Melayu dan India [1] [2].
Laporan MNCRR menunjukkan peningkatan jumlah kes kanser kolon setiap tahun. Walaupun kanser ini lebih kerap terjadi pada individu berusia 50 tahun ke atas, terdapat peningkatan membimbangkan di kalangan pesakit muda. Perubahan demografik ini kemungkinan besar akibat gaya hidup moden masa kini seperti pengambilan makanan segera, diet tinggi lemak, kurang serat, dan obesiti. Secara tidak langsung, situasi peningkatan ini boleh membebankan lagi sistem kesihatan negara.
Kanser kolon merupakan salah satu kanser yang boleh dicegah dan dirawat sepenuhnya jika dikesan di peringkat awal. Walau bagaimana pun, kajian dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat perkaitan di antara kurangnya pemeriksaan awal dengan peningkatan kadar diagnosis lewat di Malaysia. Lebih 70% kes kanser kolon dikesan pada tahap 3 atau 4, yang secara ketara mengurangkan kadar kelangsungan dan kualiti hidup pesakit [3]. Hanya 15–20% pesakit yang dikesan pada peringkat awal menerima peluang rawatan yang lebih baik [4].
Berdasarkan laporan MNCRR juga, kira-kira 4000 kes baharu kanser kolon didaftarkan setiap tahun [2]. Antara faktor risiko utama untuk kanser kolon termasuklah:
- Sejarah keluarga yang pernah mengalami kanser kolon atau “polyp” di usus.
- Faktor genetik seperti Familial Adenomatous Polyposis (FAP) yang menyebabkan seseorang individu mempunyai ratusan atau ribuan “polyp” pada dinding usus.
- Keradangan usus (Inflammatory Bowel Disease) yang menyebabkan sakit atau bengkak di kawasan usus seperti Crohn’s disease atau Ulcerative Colitis.
- Faktor risiko lain termasuklah mengidap kencing manis, obes serta amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam dan mengambil alkohol secara berlebihan.
Tanda dan Gejala Kanser Kolon
Gejala awal kanser kolon mungkin sangat minima atau tidak ada langsung, seperti yang dialami oleh Encik Ahmad. Namun demikian, di antara tanda-tanda yang boleh terjadi ialah:
- Najis berdarah sama ada darah merah terang atau berwarna hitam.
- Perubahan tabiat membuang air besar: seperti sembelit atau cirit-birit yang berpanjangan.
- Berasa tidak puas selepas membuang air besar
- Perubahan dalam konsistensi najis
- Perut kembung atau sakit
- Penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas.
- Keletihan melampau akibat anemia atau kekurangan zat besi
- Ketulan atau benjolan yang dapat dirasai di kawasan abdomen
Individu yang mengalami mana-mana gejala ini, terutamanya jika berusia lebih 50 tahun atau mempunyai sejarah keluarga kanser kolon, amatlah digalakkan untuk melakukan pemeriksaan dengan segera.
Diagnosis dan Rawatan
Secara amnya. kanser kolon memerlukan beberapa ujian diagnostik untuk mengesahkan kehadiran tumor dan menentukan tahapnya:
- Ujian Darah Tersembunyi dalam Najis (FIT/FOBT) untuk mengesan darah yang tersembunyi dalam najis.
- Kolonoskopi iaitu pemeriksaan visual melalui dubur menggunakan kamera kecil yang membolehkan doktor memeriksa keseluruhan kolon dan mengambil sampel biopsi.
- Biopsi di mana pengambilan sampel tisu dari usus besar yang dilakukan semasa kolonoskopi dan seterusnya dihantar ke makmal patologi untuk mengenalpasti jenis sel kanser.
- Ujian Pengimejan (Imbasan tomografi berkomputer-CT Scan, Imbasan pengimejan resonans magnetik-MRI, Imbasan tomografi pelepasan positron-PET scan) untuk menilai tahap penyebaran sel kanser ke organ-organ lain di dalam badan.
Kaedah Rawatan
Rawatan kanser kolon bergantung kepada jenis, saiz dan tahap kanser tersebut:
- Pembedahan: Ini adalah rawatan utama untuk membuang tumor dan bahagian kolon yang terjejas.
- Kemoterapi: Digunakan untuk mengecilkan tumor sebelum pembedahan atau membunuh sel kanser selepas pembedahan.
- Radioterapi: Bagi kes-kes tertentu, biasanya untuk kanser rektum.
- Terapi Sasaran/Imunoterapi: Rawatan berpandukan ciri genetik tumor untuk sel kanser yang sudah merebak (metastatic).
- Penjagaan paliatif: Merupakan penjagaan khas daripada doktor dan jururawat terlatih yang bertujuan untuk mengurangkan gejala penyakit, meningkatkan kualiti hidup pesakit yang mengidap kanser tahap akhir serta memberi sokongan kepada ahli keluarga atau penjaga.
Menurut laporan KKM, pesakit yang didiagnos pada peringkat awal mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun melebihi 90%, berbanding 11% untuk pesakit yang didiagnos pada peringkat akhir [3] [4].
Pencegahan
Langkah pencegahan memainkan peranan yang sangat besar dalam mengurangkan risiko kanser kolon:
- Pemakanan sihat: Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan serta bijirin yang mengandungi serat yang tinggi, kurangkan daging merah dan makanan diproses.
- Aktiviti fizikal: Lakukan senaman berkala untuk mengekalkan berat badan ideal, sekurang-kurangnya 20-30 minit sehari.
- Pemeriksaan saringan awal: Mulakan pemeriksaan rutin termasuklah ujian FIT/FOBT setiap tahun dan kolonoskopi setiap 10 tahun bagi individu yang berusia 45 tahun ke atas, atau lebih awal jika terdapat faktor risiko genetik atau sejarah keluarga. Perkhidmatan saringan kanser kolorektal menggunakan FOBT telah disediakan di klinik-klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak tahun 2014. Walau bagaimanapun, kadar liputan saringan di bawah KKM masih sangat rendah iaitu kurang dari 1% dari jumlah penduduk yang Malaysia yang layak disaring.
- Berhenti merokok dan hadkan pengambilan alkohol: Kedua-duanya telah dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser.
Kisah Encik Ahmad mengajar kita tentang pentingnya pemeriksaan kesihatan rutin secara berkala dan kesedaran tentang kanser kolon. Dengan langkah pencegahan dan saringan berkala, kanser kolon boleh dikesan pada peringkat awal, seterusnya memberikan peluang rawatan yang lebih baik dan mampu menyelamatkan nyawa individu.
Kredit foto-chiracglobal
Rujukan:
- GLOBOCAN 2020. Colorectal Cancer Statistics. International Agency for Research on Cancer.
- National Cancer Institute Malaysia. Malaysia National Cancer Registry Report (MNCRR) 2012–2016. Kementerian Kesihatan Malaysia, 2019.
- Clinical Practice Guidelines: Management of Colorectal Cancer (Second Edition). Kementerian Kesihatan Malaysia, 2020.
- World Health Organization. Colorectal Cancer Fact Sheet.




