KUALA LUMPUR, 25 Sep 2013 – Mampukah pesakit jantung dan mereka yang menderita sakit sendi akibat osteoarthritis disembuhkan tanpa memerlukan perubatan atau pembedahan?
Ketua Pusat Kejuruteraan Tisu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ruzymah Idrus yakin kemungkinan itu boleh menjadi kenyataan dengan adanya kejuruteraan tisu.
Prof Ruzymah, seorang doktor/ahli sains yang terkenal kerana berjaya menghasilkan kulit manusia untuk membantu mangsa kebakaran sembuh cepat sebagaimana juga kepada pesakit diabetes yang mengalami luka, berkata demikian di Syarahan Perdananya di sini hari ini.
Beliau dan pasukannya telah berjaya menghasilkan kulit manusia yang mampu diterima pesakit tanpa risiko penolakan tisu. Dengan usaha itu pesakit tidak lagi perlu melakukan prosedur pemindahan kulit yang rumit dan amat sakit.
Prof Ruzymah berkata kejuruteraan tisu boleh difahami dengan melihat cicak. Apabila ekornya terputus ekornya itu akan tumbuh semula tanpa memerlukan ubat atau pembedahan.
Kejuruteraan tisu, katanya, bolehlah dianggap sebagai penyelidikan untuk membolehkan manusia mempunyai kemampuan yang sama untuk menghasilkan organnya sendiri.
Beliau menceritakan suatu kes yang telah menakjubkan para saintis seluruh dunia. Ia berkaitan dengan peristiwa di mana seorang anak kecil berumur 4 tahun yang mengalami kebakaran teruk di seluruh badannya dan berada dalam keadaan yang kritikal. Rawatan yang biasa dilakukan untuk mangsa kebakaran adalah dengan menampalkan kulit sihat yang diambil dari beberapa bahagian badan pesakit untuk menutup bahagian yang melecur ia itu secara Split Skin Grafting (SSG).
Malangnya ini kaedah ini tidak dapat dilakukan ke atas kanak-kanak malang itu kerana hampir keseluruhan badanya telah melecur. Keadaannya sungguh mendesak kerana kulit yang sihat dengan saiz agak besar hanya tinggal di kepalanya sahaja. Ibu bapanya pasrah yang anak mereka akan meninggal dan tidak rela anak mereka meninggal tanpa kulit di kepada.
Bagaimana pun para doktor yang merawatnya masih belum bersedia untuk berputus asa. Mereka meminta bantuan Prof Ruzymah menolong menyelamatkan anak itu dengan menggunakan hasil penemuannya membina kulit manusia di makmal.
Atas desakan, beliau kemudiannya bersetuju melakukannya. Beliau telah mengambil sebahagian kecil kulit dari anak itu untuk membiakkan kulitnya dalam makmal kepada saiz dua kali ganda lebih besar.
Beliau kemudiannya memindahkan kulit itu ke bahagian yang melecur. Ini dilakukan berkali. Begitu pun Prof Ruzymah risau kerana beliau tidak pasti sama ada rawatan tersebut akan berkesan.
Bagaimana pun hasilnya, anak itu kini bukan sahaja telah pulih tetapi berjaya berjalan keluar dari hospital selesai rawatan itu. Parut yang dialaminya juga jauh lebih rendah dari parut yang dihasilkan dengan rawatan SSG. Anak itu kemudian beberapa bulan kemudiannya telah kembali ke Pusat Kejuruteraan Tisu untuk menyambut hari lahirnya yang kelima.
Hanya dengan menyuntikkan sel stem, suatu saluran darah baru akan dapat ditumbuhkan di jantung untuk memintas saluran yang tersumbat.
Seseorang yang menderita sakit sendi seperti lutut akibat osteoartritis juga tidak perlu lagi menghadapi sakit kerana dengan kejuruteraan tisu, sakit di sebabkan kehausan tulang dapat dihilangkan dengan menumbuhkan kembali legimen bagi tempurung lutut.
Rawatan demikian boleh menjadi kenyataan pada suatu hari nanti, kata Prof Ruzymah.
Naib Canselor Prof Tan Sri Datuk Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin, Para Dekan Fakulti, Ketua Jabatan, pakar perubatan dan pelajar telah hadir mendengar syarahan Prof Ruzymah.
Sumber : UKM News Portal