Penulis: Dr. Umi Mardhiyyah Mat Ali
Pensyarah Pergigian dan Pakar Ortodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian,
Universiti Sains Malaysia
“Kenapa gigi anak saya renggang dan jarang ya, doktor?” tanya seorang ibu yang risau tentang keadaan gigi anaknya yang jarang di depan semasa membuat pemeriksaan di klinik gigi. “Tak pernah cabut dan rosak, tapi gigi renggang di depan,” sambungnya lagi. Perkara seperti ini sering menjadi tanda tanya dan kerisauan dalam kalangan ibu bapa yang melihat gigi renggang ini sebagai sesuatu yang tidak cantik, terutama bagi anak yang meningkat remaja.
Tahukah anda, keadaan ini mungkin disebabkan oleh hipodontia? Hipodontia ialah istilah pergigian bagi keadaan kekurangan bilangan gigi yang berlaku secara semula jadi sejak lahir. Dalam erti kata lain, gigi tersebut tidak pernah terbentuk di dalam rahang, bukan kerana ia telah tercabut atau rosak. Bilangan gigi yang normal bagi manusia ialah 20 batang gigi susu dan 32 batang gigi kekal (termasuk gigi geraham bongsu), dan apabila satu atau lebih gigi gagal terbentuk, maka ia dikenali sebagai hipodontia.
Dalam kebanyakan kes, individu tidak menyedari kehilangan ini sehinggalah mereka membuat pemeriksaan gigi atau apabila menyedari gigi kekal tidak tumbuh pada waktunya. Gigi yang paling kerap terlibat ialah gigi kacip sisi atas (upper lateral incisors) dan gigi geraham kecil kedua (second premolars).
Hipodontia boleh berlaku pada gigi susu ataupun gigi kekal, tetapi lebih kerap berlaku pada gigi kekal. Dalam kes ringan, hanya satu atau dua gigi yang hilang. Namun, ada juga kes di mana lebih banyak gigi yang tidak wujud, istilah seperti oligodontia jika enam atau lebih gigi tiada, dan anodontia jika semua gigi tiada.
Hipodontia bukanlah sesuatu yang jarang berlaku. Kajian menunjukkan bahawa lebih kurang 6% populasi di Asia mengalami masalah ini. Kebanyakan kes hipodontia berlaku kerana faktor keturunan. Jika ibu atau bapa tidak mempunyai gigi tertentu sejak lahir, ada kemungkinan anak mereka juga akan mengalami perkara yang sama. Namun begitu, hipodontia sebenarnya boleh berlaku kerana pelbagai sebab. Ia bukan sahaja disebabkan oleh genetik, tetapi juga boleh dipengaruhi oleh faktor lain seperti masalah semasa bayi masih dalam kandungan — contohnya jika ibu jatuh sakit, kekurangan zat makanan, terdedah kepada ubat tertentu atau mengalami jangkitan. Hipodontia juga boleh berlaku sebagai sebahagian daripada kecacatan sejak lahir, contohnya pada individu yang mempunyai sumbing bibir dan lelangit. Gabungan faktor-faktor seperti ini boleh menjejaskan perkembangan gigi dan menyebabkan gigi tidak terbentuk seperti biasa.
Impak Terhadap Kehidupan
Kehilangan gigi bukan sekadar isu kecantikan atau penampilan. Ia sebenarnya boleh memberi kesan besar terhadap Kesihatan emosi dan kualiti hidup individu, lebih-lebih lagi apabila melibatkan gigi hadapan.
- Penampilan dan Keyakinan Diri
Anak-anak yang sedang membesar sangat peka terhadap penampilan mereka. Gigi yang jarang atau tidak lengkap boleh menyebabkan mereka malu untuk senyum, kurang bercakap, dan mengasingkan diri daripada rakan-rakan. Lama-kelamaan, ini boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan sosial mereka.
- Fungsi Gigi
Gigi memainkan peranan penting dalam menggigit dan mengunyah makanan. Kehilangan gigi, terutama gigi geraham kecil, akan menjejaskan kecekapan proses mengunyah, menyebabkan seseorang mungkin mengelak makanan tertentu yang memerlukan kunyahan lebih kuat. Akibatnya, pengambilan nutrisi mungkin terganggu.
- Kesan Pada Rahang dan Pertumbuhan Gigi Lain
Apabila satu gigi tiada, gigi bersebelahan mungkin bergerak ke arah ruang kosong tersebut, menyebabkan susunan gigi menjadi tidak teratur. Ini boleh menyebabkan masalah gigitan yang memerlukan rawatan pendakap gigi. Dalam jangka panjang, ini juga boleh mempengaruhi pertumbuhan rahang dan struktur wajah.
Oleh kerana hipodontia merupakan masalah genetik atau kongenital, ia tidak boleh dicegah. Namun, pengesanan awal amat penting agar rawatan dapat dirancang sejak usia muda. Pemeriksaan gigi secara berkala oleh doktor gigi membolehkan doktor mengesan jika gigi kekal tidak tumbuh pada masa sepatutnya. X-ray pergigian biasanya dilakukan untuk mengesahkan sama ada gigi tersebut benar-benar tiada atau hanya lambat tumbuh.
Apakah Rawatan untuk Hipodontia?
Rawatan bagi hipodontia bergantung kepada jumlah gigi yang hilang, lokasi gigi tersebut, umur pesakit, dan juga keperluan estetik dan fungsi.
Antara pilihan rawatan termasuk:
- Rawatan Ortodontik (Pendakap gigi)
Digunakan untuk menutup ruang gigi yang hilang dengan menggerakkan gigi bersebelahan, atau untuk menyediakan ruang bagi penggantian gigi plasu di kemudian hari. Ini penting untuk memastikan gigi kekal tersusun rapi dan fungsi gigitan tidak terganggu.
- Penggantian Gigi Hilang
Setelah perkembangan rahang stabil, gigi yang hilang boleh diganti dengan gigi palsu boleh tanggal, jambatan gigi atau implan gigi.
- Kombinasi Rawatan
Dalam banyak kes, rawatan melibatkan gabungan ortodontik dan prostetik, yang memerlukan kerjasama antara pakar ortodontik, pakar prostodontik, dan pakar bedah mulut.
Hipodontia mungkin tidak begitu dikenali dalam kalangan masyarakat umum, namun ia merupakan masalah pergigian yang agak lazim dan boleh memberi kesan besar terhadap kesejahteraan individu. Pengesanan awal melalui pemeriksaan gigi berkala sangat penting agar rawatan dapat dirancang dan dijalankan dengan lebih berkesan.
Jika anda mendapati gigi anak anda jarang atau tidak tumbuh seperti biasa, berjumpalah dengan doktor gigi untuk penilaian menyeluruh. Walaupun hipodontia tidak dapat dicegah, namun rawatan yang sesuai boleh membantu memastikan anak anda kekal sihat, selesa, dan yakin dengan senyumannya.


Rujukan:
1) Gill DS, Barker CS. The multidisciplinary management of hypodontia: a team approach. Br Dent J. 2015 Feb 16;218(3):143-9. doi: 10.1038/sj.bdj.2015.52.
2) Cobourne MT. Familial human hypodontia–is it all in the genes? Br Dent J. 2007 Aug 25;203(4):203-8. doi: 10.1038/bdj.2007.732.
3) Nohl F, Cole B, Hobson R, Jepson N, Meechan J, Wright M. The management of hypodontia: present and future. Dent Update. 2008 Mar;35(2):79-80, 82-4, 86-8 passim. doi: 10.12968/denu.2008.35.2.79.
4) Khalaf K, Miskelly J, Voge E, Macfarlane TV. Prevalence of hypodontia and associated factors: a systematic review and meta-analysis. J Orthod. 2014 Dec;41(4):299-316. doi: 10.1179/1465313314Y.0000000116.




