Penulis: Dr. Imran Ariff Bin Ismail¹ & Dr. Muhammad Rasydan Hadi Bin Roslan¹
¹Pensyarah Kanan (Perubatan Avian), Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan
¹Pensyarah Kanan (Kebajikan Haiwan), Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan
Judul awal dalam artikel ini yang penulis fikirkan ialah “Kenapa Saya Benci Kucing & Anjing Jalanan?” untuk perhatian pembaca. Namun, istilah ‘benci’ itu kedengaran kasar. Sebetulnya, kita benci melihat sesuatu perkara kerana sayang sesuatu perkara tersebut. Bagi penulis dan mungkin kebanyakan orang lain juga berfikiran bahawa, haiwan-haiwan jalanan tidak layak untuk hidup di jalanan kerana ia memberikan banyak ancaman kepada keselamatan dan kesihatan mereka termasuk ancaman kepada manusia seperti penyebaran penyakit zoonotik dan serangan terus secara fizikal. Walau bagaimanapun, mereka layak dibelai dan diberikan kasih sayang termasuk lima prinsip kebebasan haiwan iaitu (1) bebas daripada kelaparan dan kehausan, (2) bebas daripada ketidakselesaan, (3) bebas daripada kesakitan, kecederaan atau penyakit, (4) bebas untuk mempamerkan kelakuan semula jadi, dan (5) bebas daripada ketakutan dan penderitaan. Untuk memahami dengan lebih jelas, marilah kita telusuri kisah hidup sebagai haiwan jalanan seperti di bawah.
Dari Seekor Menjadi Ribuan
Penting untuk pembaca tahu bahawa haiwan-haiwan ini tidak dilahirkan terus untuk hidup di jalanan. Kebanyakannya adalah haiwan peliharaan yang dibuang oleh tuan mereka, atau haiwan yang hilang atau tidak jumpa jalan pulang. Contohnya di China, jumlahnya melebihi 50 juta haiwan jalanan manakala di Thailand pula adalah sekitar 10 juta ekor. Di Bali, Indonesia sahaja jumlah anjing liar dilaporkan melebihi 500,000 ekor! Namun masih tiada statistik yang dilaporkan bagi haiwan jalanan di Malaysia. Daripada jumlah ini, setiap hari ada sahaja haiwan yang mati akibat dilanggar kenderaan atau menghidap penyakit berjangkit yang teruk dan tidak dirawat. Bagi mengatasi masalah ini, pelbagai usaha untuk menangkap, memandul dan memberi rumah kedua kepada haiwan-haiwan jalanan ini adalah merupakan satu langkah yang sangat baik untuk mengawal populasi secara terus di samping memberikan kebahagian kepada manusia sebagai peneman hidup seharian. Sesetengah klinik haiwan persendirian juga banyak mengadakan promosi termasuk potongan harga bagi prosedur pemandulan haiwan jalanan.
Usaha ini mungkin dilihat satu usaha yang kecil bagi sesetengah orang, namun dapat membantu mengurangkan jumlah haiwan jalanan dalam jangka masa yang panjang. Menurut Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (Society for the Prevention of Cruelty to Animals, SPCA), seekor kucing betina yang tidak dimandulkan lebih-lebih lagi yang sedang mempunyai anak kucing boleh menghasilkan lebih daripada 2 juta ekor kucing dalam tempoh hanya 8 tahun. Jika diambil secara harfiah, jumlah tersebut lebih ramai daripada jumlah penduduk negeri Kelantan pada 2025 iaitu hanya sekitar 1.9 juta orang sahaja. Bayangkan sebuah negeri yang hanya didiami oleh kucing sebanyak 2 juta ekor! Anda akan melihat kucing-kucing tersebut menguasai jalan raya serta sebahagian besar komuniti yang ada. Oleh itu, jika kita hanya mampu memandulkan seekor kucing sahaja, kita sebenarnya sedang mengelakkan kelahiran berjuta-juta ekor pada masa hadapan yang mungkin menerima nasib yang berbeza jika kesemua mereka hidup di jalanan.

Seekor Sakit, Semua Terkesan
Salah satu perkara yang sering diperkatakan melibatkan haiwan jalanan adalah soal penyakit berjangkit. Tidak dinafikan bahawa haiwan jalanan menjadi pembawa kepada banyak penyakit yang berbahaya kepada haiwan lain. Antaranya adalah infeksi virus Parvo yang menyerang populasi kucing dan anjing dengan menjadikan sistem imun mereka lemah dan boleh menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan yang pantas. Virus ini mempunyai tropisme atau satu kecenderungan untuk menyerang bahagian vilus usus haiwan dan menjejaskan proses penyerapan nutrien, seterusnya menyebabkan malnutrisi serius jika berpanjangan. Hal ini menjadikan haiwan yang dijangkiti berada dalam keadaan imunosupresi atau sistem imun yang lemah dan boleh membuka ruang kepada pelbagai lagi penyakit lain untuk turut menyerang. Kebanyakan infeksi virus dapat merebak dengan sangat cepat lebih-lebih lagi jika populasi haiwan tersebut tertumpu di satu kawasan sahaja dan tidak mengira usia. Pemantauan haiwan yang dijangkiti secara berterusan juga adalah penting bagi mengurangkan risiko kematian.
Dalam konteks kesihatan manusia pula, haiwan jalanan dibimbangi menyebarkan penyakit berjangkit kepada manusia atau dikenali juga sebagai penyakit zoonotik. Kadangkala, haiwan yang tampak sihat tidak semestinya tidak mempunyai penyakit zoonotik. Antara penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti manusia adalah toksoplasmosis (penyakit bawaan parasit), sporotrikosis oleh kulat Sporothrix dan yang paling ditakuti adalah penyakit rabies. Sedikit fakta ringkas mengenai penyakit rabies adalah walaupun namanya turut dikenali sebagai penyakit anjing gila, namun penyakit rabies juga turut dilaporkan dalam populasi kucing. Penyakit yang menyerang sistem saraf ini boleh tersebar melalui gigitan dan cakaran haiwan serta sentuhan terus dengan air liur atau mana-mana cecair badan haiwan yang mengandungi virus rabies. Di negara kita sendiri iaitu di Sarawak, dilaporkan kes kematian yang disebabkan oleh jangkitan rabies kepada manusia telah mencecah 91 kes setakat bulan Mac 2026. Manusia yang dijangkiti rabies perlu mendapat rawatan pantas dan ianya boleh dicegah melalui vaksinasi profilaksis menggunakan vaksin profilaksis pra-pendedahan (PrEP) dan profilaksis pasca-pendedahan (PEP).

Mereka Juga Mahu Hidup
Tidak tamat dengan kisah haiwan jalanan yang mati disebabkan oleh penyakit berbahaya, ada juga di antara haiwan-haiwan tersebut yang menjadi mangsa kepada kekejaman yang berpunca daripada kerakusan manusia. Kisah-kisah kekejaman terhadap haiwan kebelakangan ini sangat meruntun jiwa, tidak kira di luar negara mahupun di sekitar kita. Kes kekejaman haiwan di Malaysia semakin meningkat dan kerap dikongsi oleh netizen melalui laman-laman sosial seperti Facebook, Thread dan Instagram. Terbaru, seekor anjing jalanan yang sedang tidur lena di kawasan sunyi telah dilenyek oleh sebuah kereta pacuan empat roda sebanyak dua kali dan telah dirakam oleh kamera litar tertutup sebuah rumah kedai di Negeri Sembilan. Kes ini telah mendapat perhatian para netizen dan mengecam sekeras-kerasnya perlakuan tidak berperikemanusiaan ini. Apakah salah haiwan tersebut sehingga diperlakukan sedemikian rupa? Di negara Tembok Besar, seekor ibu anjing jalanan bernama Wang Wang dan tiga anaknya telah menjadi mangsa kerakusan manusia dalam keadaan yang cukup menyayat hati apabila dipukul dan dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan kanak-kanak yang baru berumur 14 tahun. Lagi menyedihkan apabila kekejaman tersebut telah dirakam oleh salah seorang daripada mereka untuk dipertontonkan. Mereka bukan sekadar haiwan jalanan, mereka adalah ibu yang cuba melindungi anak-anaknya. Mereka juga mahu hidup.
Di Malaysia, kes-kes seperti ini boleh dibicarakan menurut Akta Kebajikan Haiwan 2015. Pesalah yang disabitkan oleh mana-mana kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan hukuman penjara 3 tahun atau hukuman denda antara RM20,000 sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali. Walau bagaimanapun, statistik dari tahun 2021 sehingga 2025, kes berkaitan pengabaian kebajikan haiwan ini dilaporkan terus meningkat sehingga melebihi 12 ribu kes seluruh Malaysia dan merangkumi pelbagai spesies haiwan lebih-lebih lagi haiwan jalanan. Mengapakah kes kekejaman ini masih wujud malah meningkat ke tahap yang membimbangkan? Adakah masih ada lagi kes kekejaman yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa? Kejadian ini patut menyedarkan kita bahawa masih banyak lagi kes kekejaman terhadap haiwan di sekeliling kita yang tidak dilaporkan. Kesedaran tentang hak haiwan dan undang-undang di Malaysia masih perlu dipertingkatkan demi membela nasib haiwan jalanan yang tidak mampu bersuara.
Masih ada Sinar
Berbalik kepada penceritaan penulis pada awal tadi, perasaan benci terhadap haiwan jalanan tidak patut diambil secara literal, tetapi haruslah berdasarkan pemahaman konteks ini secara menyeluruh. Pada dasarnya, penulis mempunyai rasa kasih dan simpati yang mendalam terhadap haiwan jalanan yang sering dijadikan alasan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melampiaskan nafsu amarah dan kejam mereka sehingga mengorbankan haiwan yang tidak berdosa. Kita sebagai manusia haruslah mempunyai sikap empati dan menyayangi akan setiap perkara bagi mengekalkan ekosistem hidup yang harmoni dan saling bertoleransi. Melalui usaha menangkap, memandul dan memberi rumah kedua untuk haiwan jalanan, ianya dilihat sebagai satu langkah yang cukup murni dan tidak mustahil untuk dilakukan. Kita tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan kitaran penderitaan terhadap haiwan jalanan ini berterusan. Mereka juga merupakan makhluk bernyawa yang mempunyai deria kesakitan dan kasih sayang. Mereka berhak untuk hidup selamat, bebas daripada ancaman kekejaman, dan mendapat perlindungan yang sewajarnya daripada kita. Sebagai renungan, kekejaman terhadap haiwan bukan hanya menjejaskan kesejahteraan haiwan jalanan, malah turut mencerminkan sejauh mana nilai kemanusiaan kita. Haiwan mungkin tidak mampu bersuara, tetapi kita mampu menjadi suara bagi mereka.
Rujukan:
Asian Canine Protection Alliance. (2020). Stray dog population dynamics and management in Southeast Asia. ACPA Regional Report.
Decaro, N., & Buonavoglia, C. (2012). Canine parvovirus—A review of epidemiological and clinical aspects. Veterinary Microbiology, 155(1), 1–12. https://doi.org/10.1016/j.vetmic.2011.09.007
Department of Statistics Malaysia. (2025). Anggaran penduduk semasa mengikut negeri dan daerah, Malaysia, 2025. Jabatan Perangkaan Malaysia.
Farm Animal Welfare Committee. (2009). Five freedoms. UK Government, Department for Environment, Food & Rural Affairs.
Greene, C. E. (Ed.). (2012). Infectious diseases of the dog and cat (4th ed.). Elsevier Saunders.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. (2026). Laporan kumulatif kes dan kematian rabies manusia di Sarawak sehingga Mac 2026. Kementerian Kesihatan Malaysia.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia. (2023). Manual kawalan dan pencegahan penyakit Rabies di Malaysia. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia. (2025). Laporan penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015: Statistik kes kekejaman dan pengabaian haiwan (2021–2025). Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Levy, J. K., & Crawford, P. C. (2004). Humane strategies for controlling feral cat populations. Journal of the American Veterinary Medical Association, 225(9), 1354–1360. https://doi.org/10.2460/javma.2004.225.1354
Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang Malaysia. (2015). Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772). Percetakan Nasional Malaysia Berhad.
Society for the Prevention of Cruelty to Animals. (2022). Understanding pet overpopulation: The importance of spaying and neutering. SPCA International Publications.
World Health Organization. (2014). Guidelines for dog population management. World Health Organization & World Society for the Protection of Animals.
World Health Organization. (2018). Rabies vaccines: WHO position paper – April 2018. Weekly Epidemiological Record, 93(16), 201–220.
World Organisation for Animal Health. (2018). Introduction to the recommendations for animal welfare (Terrestrial Animal Health Code, Chapter 7.1). World Organisation for Animal Health.




