Penulis: Dr. Halimaton Saadiah Othman
Pensyarah Kanan,
Jabatan Sains Tumbuhan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, minuman rosel mungkin sudah tidak asing lagi. Ada yang menikmatinya dalam bentuk kordial, teh herba, jem atau halwa. Namun, di sebalik minuman berwarna merah asli yang memikat itu, rosel mempunyai cerita yang lebih luas daripada sekadar bahan minuman.
Rosel, atau nama saintifiknya Hibiscus sabdariffa L., ialah tumbuhan tropika daripada famili Malvaceae, keluarga yang sama dengan bunga raya, bendi dan kapas. Tanaman ini mendapat perhatian bukan sahaja kerana rupanya yang menarik, tetapi juga disebabkan kandungan pigmen semula jadi dan pelbagai sebatian bioaktif yang terdapat pada bahagian kaliksnya. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, rosel semakin banyak dikaji dalam bidang sains makanan, pemakanan, pertanian, bioteknologi dan pembangunan produk. Warnanya berpotensi digunakan sebagai pewarna makanan semula jadi, manakala ekstraknya diterokai dalam penghasilan makanan fungsian, minuman, nutraseutikal dan produk penjagaan diri.
Persoalannya, apakah sebenarnya yang menjadikan rosel begitu istimewa? Benarkah tumbuhan ini mempunyai “khasiat luar biasa”, atau adakah ia sekadar satu lagi bahan yang diberikan imej kesihatan melalui pemasaran? Jawapannya terletak pada kaedah kita memahami rosel secara seimbang: bukan sebagai ubat ajaib, tetapi sebagai sumber makanan berasaskan tumbuhan yang kaya dengan komponen bernilai dan mempunyai potensi agroindustri yang besar.
Bukan Bunga Merah yang Kita Makan
Apabila melihat rosel, ramai menyangka bahagian merah yang digunakan untuk membuat minuman ialah kelopak bunganya. Hakikatnya, tanggapan itu kurang tepat dari sudut botani. Bunga rosel lazimnya berwarna kuning pucat atau krim, dengan bahagian tengah yang lebih gelap. Bunganya berbentuk seperti corong, menyerupai bunga raya, dan hanya berkembang untuk tempoh yang singkat. Selepas bunga layu dan gugur, bahagian yang mengelilingi buah akan membesar, menebal dan menjadi sedikit tebal. Bahagian merah tersebut dikenali sebagai kaliks. Di tengah-tengah kaliks terdapat buah berbentuk kapsul yang mengandungi biji (Gambar 1). Ketika penuaian, kapsul biji biasanya dikeluarkan, manakala kaliks segar diproses atau dikeringkan. Kaliks inilah yang memberikan identiti utama kepada rosel. Warnanya boleh berbeza daripada merah cerah kepada merah tua, bergantung pada varieti, peringkat kematangan dan keadaan penanaman. Terdapat juga jenis rosel yang mempunyai kaliks berwarna hijau atau lebih pucat, walaupun rosel merah lebih dikenali dalam industri makanan.

Pokok rosel ialah tumbuhan herba semusim yang boleh mencapai ketinggian antara satu hingga lebih dua meter (Gambar 2). Batangnya berwarna hijau atau kemerahan, manakala daunnya sering mempunyai tiga hingga lima bilah cuping. Bentuk daun mungkin berubah mengikut peringkat pertumbuhan. Rosel tumbuh dengan baik dalam persekitaran panas dengan cahaya matahari mencukupi dan tanah yang mempunyai saliran yang baik. Sesetengah varieti sensitif terhadap waktu siang yang panjang. Oleh sebab itu, masa penanaman boleh mempengaruhi pembungaan, tempoh pertumbuhan dan jumlah hasil.

Tumbuhan asal Afrika tersebar ke Pelosok Dunia
Rosel umumnya berasal dari kawasan tropika Afrika. Tanaman ini dipercayai tersebar ke Asia, Timur Tengah, Caribbean dan benua Amerika melalui perdagangan, migrasi manusia serta pertukaran bahan tanaman. Perjalanannya merentasi pelbagai benua menjadikan rosel sebahagian daripada budaya makanan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Di Afrika Barat, minuman rosel dikenali dengan beberapa nama tempatan dan sering dihidangkan pada majlis sosial serta perayaan. Di Mesir dan beberapa negara Timur Tengah, teh rosel dikenali sebagai karkade dan dihidangkan sebagai teh panas ataupun sejuk. Di kepulauan Caribbean, minuman rosel sering dikaitkan dengan musim perayaan. Di beberapa negara Asia pula, daun mudanya dimakan sebagai sayuran, manakala kaliksnya digunakan untuk menghasilkan minuman, jem, jeli dan makanan jeruk.
Selain dijamu sebagai bahan makanan, sesetengah jenis rosel turut ditanam bagi menghasilkan serat. Batangnya mengandungi serat yang boleh digunakan untuk membuat tali, guni atau bahan tekstil kasar. Hal ini menunjukkan bahawa rosel bukan sekadar boleh dimanfaatkan sebagai tanaman makanan, tetapi turut dimanfaatkan sebagai tanaman serbaguna yang boleh digunakan keseluruhannya. Di Malaysia, rosel telah diperkenalkan sebagai salah satu tanaman yang berpotensi untuk pengeluaran komersial dan pemprosesan makanan. Jabatan Pertanian Malaysia turut menyediakan Pakej Teknologi Rosel yang merangkumi keperluan penanaman, pengurusan tanaman, kawalan perosak, penuaian dan pengendalian hasil. Kini, produk berasaskan rosel boleh ditemui dalam bentuk minuman botol, teh kering, kordial, jem, halwa, serbuk dan pelbagai produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana.
Rahsia di Sebalik Warna Merah
Warna merah rosel bukan sekadar daya tarikan visual. Warna tersebut terhasil terutamanya daripada kumpulan pigmen tumbuhan yang dikenali sebagai antosianin. Antosianin ialah pigmen larut air yang turut memberikan warna merah, ungu atau biru kepada buah dan sayur seperti anggur, beri, ceri, kubis ungu serta ubi keledek ungu. Antosianin yang terdapat di dalam rosel adalah delphinidin-3-sambubioside dan cyanidin-3-sambubioside (Jadual 1). Pigmen ini mempunyai keupayaan untuk bertindak sebagai antioksidan. Antioksidan membantu meneutralkan molekul reaktif yang dikenali sebagai radikal bebas. Jika penghasilan radikal bebas melebihi keupayaan sistem pertahanan tubuh, tekanan oksidatif boleh berlaku. Tekanan oksidatif sering dikaitkan dengan kerosakan lipid, protein dan komponen sel.

Rosel turut mengandungi polifenol dan flavonoid. Sebatian ini berfungsi dalam tumbuhan sebagai perlindungan terhadap tekanan persekitaran, sinaran dan serangan mikroorganisma. Dari aspek pemakanan, polifenol dikaji kerana potensinya terhadap tekanan oksidatif, keradangan dan metabolisma. Terdapat juga beberapa asid organik dalam rosel, termasuk asid sitrik, malik dan asid hibiskus. Sebatian inilah yang memberikan rasa masam semulajadi kepada minuman rosel. Kaliks rosel dilaporkan kaya dengan antosianin, asid fenolik, flavonoid dan asid organik, walaupun kandungannya berubah mengikut jenis varieti dan cara pemprosesan.
Rosel juga turut mengandungi serat, vitamin dan mineral. Namun, kandungan nutrisi sebenar bergantung pada bahagian tumbuhan, keadaan penanaman, tahap kematangan, kaedah analisis dan cara produk disediakan. Sebagai contoh, vitamin C akan berkurangan apabila terdedah kepada haba, udara dan tempoh penyimpanan yang panjang. Minuman rosel yang direbus terlalu lama mungkin tidak dapat mengekalkan kandungan vitamin dan pigmen sebanyak produk yang diproses dengan suhu lebih terkawal.
Dari Dapur ke Industri Makanan
Rosel sangat fleksibel untuk digunakan dalam makanan dan minuman. Antara produk berasaskan rosel adalah ialah jus, teh, kordial, jem, jeli, halwa, sirap dan sos. Kaliks kering boleh direndam atau direbus untuk menghasilkan teh herba. Kaliks segar pula boleh dikisar dan dimasak bersama gula untuk menghasilkan jem. Rasa masamnya membolehkan rosel digunakan sebagai bahan dalam sos atau campuran minuman bersama halia, serai, lemon, madu dan buah-buahan tropika.Dalam industri makanan moden, rosel boleh digunakan dalam yogurt, aiskrim, sorbet, produk bakeri, gula-gula, coklat dan minuman fermentasi. Ia juga mempunyai potensi sebagai pewarna makanan semula jadi.
Permintaan terhadap pewarna semula jadi semakin berkembang seiring kecenderungan pengguna memilih produk dengan senarai ramuan yang lebih selamat Antosianin rosel boleh memberikan warna merah atau merah jambu yang menarik, khususnya dalam produk yang berasid. Walau bagaimanapun, pigmen warna ini mudah berubah apabila terdedah kepada suhu tinggi, cahaya, oksigen dan perubahan pH. Dalam keadaan berasid, warna antosianin lazimnya lebih merah dan stabil. Apabila pH meningkat, warnanya boleh berubah kepada ungu, kebiruan atau berubah menjadi pudar. Oleh itu, penghasilan pewarna rosel pada skala industri memerlukan kawalan pemprosesan yang rapi. Teknik mikroenkapsulasi, pengeringan semburan, pengeringan beku dan pembungkusan kedap cahaya boleh membantu melindungi pigmen daripada kerosakan. Penggunaan teknologi tersebut boleh meningkatkan kos, tetapi menghasilkan bahan pewarna dan serbuk yang lebih stabil serta mudah digunakan dalam formulasi makanan.

Rosel dalam Kosmetik
Warna dan kandungan polifenol rosel turut menarik perhatian industri kosmetik. Ekstraknya berpotensi dimasukkan ke dalam krim, serum, pelembab, sabun, topeng muka dan produk penjagaan bibir. Antioksidan daripada tumbuhan sering digunakan dalam formulasi kosmetik untuk membantu melindungi bahan produk dan kulit daripada proses pengoksidaan. Asid organik rosel pula berpotensi memberikan kesan pengelupasan ringan apabila digunakan pada kepekatan dan pH yang sesuai. Oleh itu, formulasi kosmetik rosel perlu menjalani ujian kestabilan, keselamatan, keserasian kulit dan pencemaran mikrobiologi.
Pigmen antosianin juga boleh digunakan dalam produk kosmetik berwarna. Cabarannya tetap sama seperti dalam makanan, iaitu kestabilan warna. Suhu, cahaya dan pH formulasi boleh menyebabkan perubahan tona. Teknologi mikroenkapsulasi dapat membantu melindungi pigmen dan melepaskan bahan aktif secara lebih terkawal. Dengan penghasilan bahan mentah yang seragam, rosel berpotensi menyokong pembangunan kosmetik berasaskan tumbuhan, kosmetik halal dan produk penjagaan diri tempatan.
Pembiakbakaan untuk Rosel yang Lebih Baik
Tidak semua pokok rosel mempunyai ciri yang sama. Sesetengahnya menghasilkan kaliks besar tetapi warnanya lebih pucat (Gambar 4). Ada yang mempunyai warna merah pekat tetapi hasilnya rendah. Sesetengah genotip pula lebih cepat berbunga atau lebih tahan terhadap keadaan persekitaran tertentu. Kepelbagaian tersebut amat penting dalam pembiakbakaan tanaman. Penyelidik boleh memilih bahan genetik yang mempunyai ciri sasaran seperti hasil tinggi, kaliks tebal, warna pekat, kandungan antosianin tinggi, kematangan seragam atau ketahanan terhadap penyakit. Pada peringkat asas, aksesi rosel dinilai berdasarkan ciri morfologi seperti ketinggian pokok, bilangan cabang, bilangan buah, saiz kaliks, berat hasil dan tempoh berbunga. Namun, rupa luaran boleh dipengaruhi oleh persekitaran. Pokok daripada genotip yang sama mungkin tumbuh secara berbeza apabila ditanam di lokasi atau musim berlainan.
Masa depan Rosel
Rosel mungkin kelihatan seperti tanaman yang sederhana. Pokoknya tidak sebesar tanaman buah-buahan, bunganya hanya berkembang seketika dan kaliksnya perlu dituai satu demi satu. Namun, di sebalik kesederhanaan tersebut terdapat gabungan yang jarang ditemui: warna semula jadi yang menarik, rasa unik, sebatian bioaktif, kepelbagaian penggunaan dan kesesuaian untuk pemprosesan. Rosel tidak perlu dipromosikan sebagai ubat ajaib untuk membuktikan nilainya. Sebagai minuman tanpa gula, ia boleh menjadi pilihan yang menyegarkan. Sebagai pigmen, ia boleh menyokong peralihan kepada pewarna semula jadi. Sebagai tanaman, ia boleh membuka peluang kepada petani, koperasi dan usahawan. Sebagai bahan penyelidikan, ia menghubungkan botani, genetik, sains makanan, kesihatan dan bioteknologi.
Masa depan rosel bergantung pada usaha membangunkan varieti berkualiti, amalan pengeluaran yang seragam, pemprosesan yang menjaga kestabilan pigmen, produk rendah gula dan pemasaran yang bertanggungjawab. Apabila pertanian digabungkan dengan sains dan kreativiti, si merah menawan ini berpotensi berkembang daripada minuman tradisional kepada ramuan penting dalam industri makanan fungsian dan ekonomi bio masa hadapan.
Rujukan
Department of Agriculture Malaysia. (2022). Pakej teknologi rosel tahun 2022. Jabatan Pertanian Malaysia.
Izquierdo-Vega, J. A., Arteaga-Badillo, D. A., Sánchez-Gutiérrez, M., Morales-González, J. A., Vargas-Mendoza, N., Gómez-Aldapa, C. A., Castro-Rosas, J., Delgado-Olivares, L., Madrigal-Bujaidar, E., & Madrigal-Santillán, E. (2020). Organic acids from rosel (Hibiscus sabdariffa L.): A brief review of its pharmacological effects. Biomedicines, 8(5), 100. https://doi.org/10.3390/biomedicines8050100
Jamrozik, D., Borymska, W., & Kaczmarczyk-Żebrowska, I. (el2022). Hibiscus sabdariffa L.—A source of nutrients, bioactive compounds and colouring agents. Foods, 11(14), 2134. https://doi.org/10.3390/foods11142134
Montalvo-González, E., Villagrán, Z., González-Torres, S., Iñiguez-Muñoz, L. E., Isiordia-Espinoza, M. A., Ruvalcaba-Gómez, J. M., Arteaga-Garibay, R. I., & Acosta, J. L. (2022). Physiological effects and human health benefits of Hibiscus sabdariffa: A review of clinical trials. Pharmaceuticals, 15(4), 464. https://doi.org/10.3390/ph15040464
Villalobos-Vega, M. J., Rosales-Chan, G., Pérez-Ramírez, I. F., & Reynoso-Camacho, R. (2023). Optimization of the extraction of antioxidant compounds from rosel calyx using response surface methodology. Molecules, 28(6), 2628. https://doi.org/10.3390/molecules28062628




