23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Monday, August 17, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Petai Belalang: Khazanah Biodiversiti sebagai Sumber Protein serta Makanan Berkhasiat Tinggi Masa Hadapan

Petai Belalang: Khazanah Biodiversiti sebagai Sumber Protein serta Makanan Berkhasiat Tinggi Masa Hadapan

Editor by Editor
16/08/2026
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa
0 0
0

Penulis: Profesor Madya Dr. Nur Huda Faujan¹, Profesor Madya Dr. Norlelawati Arifin¹, Dr. Maryam Mohamed Rehan¹, Dr. Nur Zazarina Ramly¹ &Profesor Madya Ts. Dr. Saiful Irwan Zubairi²

¹Pensyarah Kanan, Program Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia
²Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia

Petai belalang atau nama saintifiknya Leucaena leucocephala merupakan sejenis pokok kekacang yang banyak ditemui di kawasan tropika seperti Malaysia, Thailand, dan Indonesia. Namun, tumbuhan ini dipercayai berasal daripada Amerika Tropika. Petai belalang dikenali dengan pelbagai nama tempatan seperti petai jawa, petai cina dan petai tiga bulan. Secara umum, pokok ini mampu mencapai ketinggian sehingga 20 meter tetapi kebanyakan pokok yang ditemui secara semula jadi biasanya tumbuh sekitar 2 hingga 10 meter sahaja. Batangnya berwarna perang, keras dan liat, serta tidak banyak bercabang kecuali jika dicantas. Pokok ini menghasilkan buah berbentuk lenggai yang lurus dan pipih, hampir menyerupai buah petai biasa (Parkia speciosa), tetapi saiz bijinya lebih kecil. Walaupun mempunyai rupa yang hampir sama dengan petai, rasanya sedikit berbeza dan mempunyai ciri tersendiri.

Walaupun petai belalang sering dianggap sebagai tumbuhan liar atau sekadar makanan ternakan, hakikatnya tumbuhan ini mempunyai potensi besar sebagai sumber makanan berkhasiat tinggi dan bahan inovasi dalam industri makanan. Ini kerana bijinya terkenal sebagai sumber pemakanan yang baik, terutamanya dari segi kandungan protein tumbuhan yang tinggi serta mengandungi beberapa asid lemak penting yang bermanfaat kepada kesihatan tubuh manusia.

Dalam masyarakat tempatan, biji petai belalang digunakan sebagai bahan makanan tradisional. Biji mudanya boleh dimakan sebagai ulam atau dimasak seperti petai biasa. Selain itu, biji yang masih muda sering dijadikan sambal tumis atau digunakan sebagai penyedap rasa dalam pelbagai hidangan tradisional. Petai belalang juga dipercayai mempunyai pelbagai manfaat kesihatan kerana kandungan nutrien yang tinggi. Justeru, tumbuhan ini semakin mendapat perhatian penyelidik sebagai sumber makanan alternatif yang berpotensi untuk dimajukan dalam bidang pemakanan dan teknologi makanan.

Pembiakan dan Penanaman Petai Belalang

Petai belalang boleh dibiakkan dengan cara menanam biji benih atau keratan batang. Namun, pokok petai belalang sangat jarang ditanam untuk mendapatkan lenggai atau biji mudanya untuk dijadikan ulam. Biasanya di kawasan pedalaman atau perkampungan kecil, pokok petai belalang ditanam bertujuan untuk mengawal hakisan dan makanan ternakan. Namun, pokok petai belalang sering didapati tumbuh liar di kawasan yang terbiar.

Kandungan Nutrisi Petai Belalang

Petai belalang terkenal sebagai sumber nutrisi yang baik, khususnya daripada segi protein tumbuhan. Kajian saintifik menunjukkan bahawa biji petai belalang mengandungi kandungan protein kasar yang agak tinggi, iaitu sekitar 31% daripada komposisi berat keringnya dengan pecahan protein utamanya terdiri daripada globulin (~ 43.5%), diikuti oleh albumin (~ 28.4%), dan glutelin (~ 25%). Dari segi kandungan asid amino, petai belalang kaya dengan isoleusina (~8%) dan mempunyai kandungan lisina (~10.8%), leusina (~15.3%), prolina (~9.1%), dan serina (~11.9%) yang lebih tinggi daripada protein kacang soya. Kesemua asid amino ini sangat penting untuk pembinaan otot, pemulihan tisu, dan fungsi metabolik tubuh manusia.

Selain itu, biji petai belalang mengandungi sekitar 5.5 ke 7.2% lemak berbanding daunnya yang mengandungi hanya sekitar 4.1 ke 6.6% daripada komposisi berat keringnya. Komposisi minyak pada biji petai belalang merangkumi sekitar 41.4% asid lemak tepu dan 49.9% asid lemak tak tepu dengan komponen utama asid linoleik (~51.9%), asid oleik (~19.0%), dan palmitik (15.4%). Justeru, profil minyak biji petai belalang ini merupakan sumber lemak yang berkhasiat yang boleh membantu mengekalkan tahap kolesterol darah yang sihat, menyokong kesihatan jantung, dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Dari segi karbohidrat, biji petai belalang mengandungi antara 35% sehingga 60% karbohidrat daripada berat keringnya. Secara khusus, kandungan gam polisakarida galaktomanan adalah tinggi iaitu antara 20% dan 25% dan juga gam arabika. Manakala dari segi komposisi oligosakarida, biji petai belalang mengandungi paling banyak stakiosa, rafinosa, serta galaktopinitol yang unik. Secara umumnya, biji petai belalang mengandungi kanji yang sangat rendah (hampir tiada sehingga ~1.3%), namun mengandungi serat kasar yang tinggi (15.3 ke 61.31%). Kandungan serat yang tinggi dalam petai belalang boleh membantu melancarkan pencernaan, mencegah sembelit, serta berpotensi mengawal paras gula dalam darah.

Kandungan mineral biji petai belalang bergantung pada mineral dan sumber tanah yang tersedia untuk sistem akar. Biji petai belalang boleh menjadi sumber kalsium, dan fosforus yang sangat baik tetapi bukan kandungan natrium. Pengambilan kalium dan fosforus dalam pemakanan adalah penting dalam menjaga kesehatan tulang, sendi, fungsi tubuh, serta menurunkan tekanan darah. Kandungan mineral biji petai belalang adalah sekitar 4 hingga 5%.

Akhir sekali, biji petai belalang kaya dengan komponen fenolik seperti apigenin, asid kafeik, kaempferol, luteolin, and kuersetin yang berperanan sebagai antioksidan yang boleh mengawal radikal bebas dalam tubuh. Biji petai belalang juga mengandungi tanin seperti komponen seperti asid benzoik, mirisetin, dan asid rosmarinik. Walaubagaimanapun, biji petai belalang mengandungi sebatian antinutrien mimosina (2 ke 10%) yang perlu diberi perhatian semasa pengambilan biji petai belalang.

Kegunaan dan Khasiat Petai Belalang

Petai belalang semakin mendapat perhatian dalam industri makanan kerana kandungan proteinnya yang tinggi. Dahulu, petai belalang terutamanya daunnya banyak diberikan makan kepada haiwan ruminan seperti lembu, kambing, dan kerbau untuk meningkatkan berat badan serta membantu meningkat penghasilan susu haiwan. Kini, kajian serta penggunaannya telah diperluaskan untuk menghasilkan produk makanan yang inovatif dan berkhasiat.

Sayuran Ulam Tradisional

Biji petai belalang boleh dimakan dalam bentuk yang diproses dan tidak diproses. Di Malaysia, biji petai belalang muda biasanya dimakan sebagai ulam atau dibuat masak lemak dicampur dengan udang kerana rasanya yang seakan-akan rasa petai namun kurang pahit. Namun, di Indonesia, biji petai belalang ditapai menjadi tempe atau dimakan sebagai tauge atau kek kacang. Biji petai belalang yang ditapai dan dijadikan seperti tempe mengandungi kurang antinutrien mimosina, mungkin disebabkan oleh langkah mencuci, merendam, merebus, mengering, dan menapai biji petai belalang semasa pemprosesan.

Bertih Biji Petai Belalang

Biji petai belalang boleh juga direbus dan dibuat sup. Ada  juga yang mencelurkan bijinya dahulu sebelum makan dan dibuat seperti salad. Di Indonesia, Thailand, dan Amerika Tengah, mereka juga memecahkan biji muda kering petai belalang dan menjadikan seperti bertih jagung.

Tepung Alternatif yang Berprotein Tinggi

Kandungan protein yang tinggi iaitu sekitar 31% boleh dianggap sebagai sumber protein alternatif. Kandungan protein biji petai belalang adalah lebih tinggi berbanding kacang lentil (31.12%), diikuti oleh kacang kuda (22.83%), kacang buncis (22.61%), dan kacang merah. Oleh itu, biji petai belalang yang matang boleh dikisar dan diproses menjadi tepung. Dalam bidang teknologi makanan, serbuk atau tepung daripada biji petai belalang boleh digunakan sebagai bahan tambahan bagi meningkatkan nilai nutrisi dalam produk makanan seperti roti, biskut,  atau produk berasaskan bijirin. Kajian terkini juga menunjukkan tepung biji petai belalang mengandungi komponen seakan-akan MSG iaitu inosin monofosfat yang tinggi yang memberikan rasa umami.

Kopi Petai Belalang

Biji petai belalang yang matang juga boleh dipanggang, dikisar, dan digunakan untuk menyediakan minuman seperti kopi. Kopi petai belalang merupakan alternatif kopi yang inovatif, lestari, dan bebas kafein. Kopi ini popular di Indonesia, Thailand, dan Filipina serta menyediakan minuman tinggi protein, kaya dengan antioksidan, dan tidak toksik.

Bahan Tambah Makanan Alternatif Halal

Biji petai belalang diketahui mengandungi gam galaktomanan dan gam arabika yang mempunyai kegunaan yang besar dalam industri makanan. Gam ini memiliki mutu yang setanding dengan gam tumbuhan lain yang berfungsi sebagai agen pengental, agen pengemulsi, agen pemekat, dan agen pembentuk gel. Justeru, ekstrak gam daripada biji petai belalang boleh menjadi sumber alternatif bahan tambah makanan halal menggantikan gelatin daripada haiwan.

Elemen Environmental, Social dan Governance (ESG)

Dari segi elemen alam sekitar, sosial, dan tadbir urus, petai belalang boleh dikaitkan dengan potensi pemanfaatan menyeluruh tumbuhan petai belalang, sehingga sisa kulit lenggainya. Daripada sudut alam sekitar, penggunaan keseluruhan bahagian tumbuhan seperti biji, daun, dan kulit lenggai dapat mengurangkan pembaziran sumber biologi serta menyokong konsep ekonomi kitaran. Sisa kulit lenggai petai belalang yang biasanya dibuang berpotensi untuk diproses menjadi bahan kompos, makanan ternakan, atau sumber bioaktif tertentu, sekali gus mengurangkan sisa pertanian dan impak terhadap alam sekitar. Tambahan pula, pokok petai belalang merupakan tumbuhan kekacang yang mampu memperbaiki kesuburan tanah melalui proses pengikatan nitrogen, seterusnya membantu meningkatkan kesuburan tanah, dan menyokong amalan pertanian lestari.

Dari perspektif sosial dan tadbir urus, manfaat petai belalang sebagai sumber makanan berkhasiat boleh menyumbang kepada keselamatan makanan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sumber protein berasaskan tumbuhan tempatan. Kandungan nutrisi yang tinggi seperti protein, serat, mineral, serta komponen antioksidan menjadikan petai belalang berpotensi sebagai makanan alternatif yang menyokong gaya hidup sihat. Pembangunan produk makanan berasaskan petai belalang seperti tepung berprotein tinggi, minuman alternatif kopi tanpa kafein, serta bahan tambah makanan halal juga membuka peluang ekonomi kepada komuniti tempatan dan industri makanan. Dalam konteks tadbir urus yang baik, penyelidikan saintifik, kawalan keselamatan makanan, serta pemprosesan yang sistematik bagi mengurangkan kandungan antinutrien seperti mimosina adalah penting bagi memastikan produk yang dihasilkan selamat, berkualiti dan mematuhi piawaian industri makanan.

Walaupun petai belalang sering dianggap sebagai tumbuhan liar yang kurang diberi perhatian, hakikatnya bijinya mengandungi pelbagai nutrien penting yang menjadikannya berpotensi sebagai sumber makanan alternatif. Kandungan protein yang tinggi serta komposisi nutrien yang seimbang menjadikan biji petai belalang sesuai dimanfaatkan dalam pemakanan manusia. Selain mempunyai rasa yang menyerupai petai, dan boleh dimakan sebagai ulam atau dimasak dalam pelbagai hidangan tradisional, biji petai belalang juga berpotensi dijadikan pilihan makanan berprotein tinggi. Justeru, biji petai belalang wajar diterokai dengan lebih mendalam oleh penyelidik dan industri makanan bagi meningkatkan nilai tambahnya. Melalui inovasi pemprosesan dan pembangunan produk makanan, biji petai belalang berpotensi dikembangkan dalam produk makanan dan minuman, khususnya dalam penghasilan produk yang menekankan aspek kesihatan, sumber protein berasaskan tumbuhan, serta kelestarian sumber makanan tempatan. Tumbuhan yang selama ini dipandang enteng berupaya menjadi salah satu khazanah biodiversiti yang bernilai tinggi kepada masyarakat.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: kajian petai belalangkhasiat petai belalangnutirisi petai belalangPetai Belalangsumber makananUSIM
ShareTweetShare
Previous Post

Rosel (Hibiscus sabdariffa L.): Si Merah Menawan dengan Potensi Luar Biasa

Next Post

Mosquitofish (Gambusia affinis): Wira Kawalan Nyamuk atau Ancaman kepada Biodiversiti?

Editor

Editor

Related Posts

Kesejahteraan Kesihatan Melalui Amalan Ergonomik
Berita & Peristiwa

Kesejahteraan Kesihatan Melalui Amalan Ergonomik

1 day ago
Mosquitofish (Gambusia affinis): Wira Kawalan Nyamuk atau Ancaman kepada Biodiversiti?
Alam Semulajadi

Mosquitofish (Gambusia affinis): Wira Kawalan Nyamuk atau Ancaman kepada Biodiversiti?

1 day ago
Rosel (Hibiscus sabdariffa L.): Si Merah Menawan dengan Potensi Luar Biasa
Alam Semulajadi

Rosel (Hibiscus sabdariffa L.): Si Merah Menawan dengan Potensi Luar Biasa

1 day ago
Kenapa Haiwan Jalanan Layak Mendapat Kehidupan Yang Lebih Baik?
Alam Semulajadi

Kenapa Haiwan Jalanan Layak Mendapat Kehidupan Yang Lebih Baik?

1 day ago
Next Post
Mosquitofish (Gambusia affinis): Wira Kawalan Nyamuk atau Ancaman kepada Biodiversiti?

Mosquitofish (Gambusia affinis): Wira Kawalan Nyamuk atau Ancaman kepada Biodiversiti?

Kategori Produk

  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In