Penulis: En. Syazuan Abd. Latip¹ dan En. Khairul Imran Sainan²
¹Pensyarah Kanan
Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil,
Universiti Teknologi MARA
²Pensyarah Kanan
Pengajian Kejuruteraan Mekanikal,
Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA
‘Badan cergas, minda cerdas’ adalah merupakan ungkapan yang sangat sinonim dengan kepentingan penjagaan kesihatan fizikal bagi menjamin kesihatan mental kekal berada pada tahap yang optimum dalam menyempurnakan segala tugasan seharian kita. Secara asasnya, kesihatan fizikal dan fungsi tubuh badan manusia memerlukan pergerakan yang menyeluruh bagi memastikan tahap kesihatan dapat dikekalkan pada tahap yang terbaik dan ideal. Lazimnya, aktiviti rekreasi adalah merupakan wadah yang efektif bagi mencapai tujuan seperti yang dinyatakan tersebut. Dari segi definisi, riadah dan rekreasi secara ringkasnya merupakan aktiviti yang dilakukan oleh individu atau secara berkumpulan bagi tujuan mendapatkan ketenangan minda dan menyihatkan tubuh badan. Melihat dari perspektif riadah dan rekreasi sebagai sebuah amalan gaya hidup pilihan yang perlu diterapkan dan dibudayakan di kalangan masyarakat kini, penggunaan alat dan aplikasi teknologi timing gate merupakan salah satu pendekatan yang relevan, bermanfaat dan mudah dipraktikkan sewaktu melaksanakan aktiviti riadah dan rekreasi baik di kalangan masyarakat awam mahupun atlet profesional.
Pemilihan ‘Timing Gate’
Secara umumnya, setiap timing gate memiliki kelebihan dan ketepatan yang berbeza-beza. Di peringkat pasaran global, terdapat 7 jenama yang berlainan bagi timing gate ini dan setiap satunya mempunyai ciri-ciri dan keunikan yang tersendiri. Jenama seperti Brower Timing, Cronox, Lisport, SmarTracks, Swift Performance, VALD Smartspeed, dan Zybek Sports adalah merupakan antara pilihan yang digemari dan sering digunakan oleh individu yang menjalani gaya hidup aktif. Di antara aspek penting yang dipertimbangkan bagi pemilihan timing gate adalah berdasarkan kepada ketepatan analisa, harga, saiz (berat), tahap ketinggian yang boleh dilaras berdasarkan kepada kesesuaian penggunaan dan ketahanan bateri yang digunakan. Sebagai contoh, Lisport mempunyai berat terendah dengan berat hanya sekitar 200 gram. Selain itu, kebanyakan jenama seperti yang telah disenaraikan ini menggunakan bateri sel kering sebagai punca kuasanya yang memiliki ketahanan hayat bateri maksimum melebihi 10 jam jumlah penggunaan bagi tujuan operasi penuh. Di negara barat seperti Amerika Syarikat, penggunaan alat dan aplikasi teknologi timing gate ini telah dipraktikkan dan digunakan secara meluas oleh persatuan sukan seperti National Football League (NFL) bagi tujuan menganalisa pelbagai aspek kritikal melibatkan penilaian tahap kecergasan setiap atlet profesional dan keunggulan kualiti pasukan untuk kekal berada pada tahap yang terbaik dan kompetitif.
Mengambil contoh sukan bola sepak pula sebagai salah satu aktiviti riadah dan rekreasi yang popular di kalangan kaum Adam secara majoritinya di negara ini, pada kebiasaannya ia adalah merupakan permainan sukan secara berkumpulan yang melibatkan banyak pergerakan dan susun atur strategi serta perancangan teknikal serta taktikal oleh kedua-dua pasukan terlibat. Melalui penggunaan timing gate, mutu dan kualiti analisa permainan bagi sesebuah pasukan dapat dinilai dengan terperinci melalui penilaian suapan data yang dipaparkan secara langsung dan lantaran itu, susun atur strategi dan corak taktikal permainan dapat dipertingkat sekaligus memberikan kelebihan untuk mengatasi pasukan lawan. Meskipun permainan yang dijalankan sekadar bersifat perlawanan persahabatan ataupun secara santai, namun pendekatan teknologi yang diadaptasi ini dapat memberikan makumat yang sangat bermanfaat dan penting dari pelbagai aspek.
Sebagai contoh, tahap kecergasan seseorang pemain yang melibatkan fungsi kardiovaskular dapat dipastikan untuk berada di tahap yang terbaik bagi memastikan individu tersebut sesuai untuk menjalankan aktiviti rekreasi dan riadah tersebut. Perkara seperti ini tidak boleh diambil mudah dan dipandang enteng terutamanya kepada golongan kaum lelaki kerana kes serangan jantung dan kegagalan fungsi kardiovaskular secara mengejut seringkali terjadi sewaktu menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi terutamanya di peringkat umur 40-an ke atas. Hal ini turut ditegaskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melalui petikan beliau dari sumber BH online bertarikh 29 September 2021 yang telah menyatakan bahawa penyakit jantung adalah merupakan penyebab utama kematian di negara ini dengan menyumbang sebanyak 15 peratus daripada 109,164 kematian yang disahkan secara perubatan pada tahun 2019 yang lalu. Beliau turut menambah, selain dari mengekalkan gaya hidup sihat dan aktif serta mengurangkan tekanan, penggunaan aplikasi teknologi kesihatan akan turut menyumbang ke arah membantu memotivasi diri kita supaya memastikan kesihatan diri berada pada tahap optimum dan sekaligus memacu kehidupan dengan lebih baik dan sempurna.
Bersesuaian dengan hal itu, faedah dan manfaat dari penggunaan aplikasi teknologi timing gate terhadap kaum lelaki mahupun wanita yang mementingkan amalan budaya hidup sihat melalui aktiviti rekreasi ataupun penglibatan dalam bidang riadah tertentu antara lainnya adalah memperoleh pengukuran prestasi yang tepat dari aspek daya pecutan individu sebagai contoh sama ada untuk tujuan rujukan peribadi ataupun analisa berkumpulan supaya dapat melakukan penambahbaikan terhadap tahap prestasi semasa yang dinilai.
Pilihan atlet profesional
Bagi penggunaan atlet profesional, timing gate merupakan alat asas yang digunakan tidak terhad kepada sukan individu seperti berlari, berbasikal dan badminton malahan melibatkan sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki dan bola keranjang bagi tujuan mendapatkan hasil analisa yang konsisten dan bersistematik. Khususnya, timing gate seringkali digunakan untuk membandingkan tahap kelajuan larian para atlet melibatkan pelbagai jarak larian iaitu 100 m, 200 m, 400 m dan lain-lain. Untuk sukan secara berpasukan pula, rujukan data seperti ini amat bermakna dan penting sebagai salah satu panduan untuk menentukan posisi pemain secara tepat dan efektif. Misalnya, jurulatih sebuah kumpulan sukan hoki dapat menilai kemampuan para pemainnya bukan sahaja pada laluan atau pergerakan secara lurus, malahan menilai tahap kemampuan pemain untuk melakukan pertukaran arah dengan pantas. Hal ini bertujuan untuk menguji ketangkasan pergerakan pemain seperti apa yang berlaku semasa permainan sebenar.
Dari aspek kesihatan kendiri, timing gate turut digunakan untuk menilai tahap kecergasan seseorang individu selepas pulih dari kecederaan atau penyakit agar dapat membantu menentukan waktu yang sesuai dan selamat untuk individu tersebut kembali aktif menjalankan sesuatu aktiviti sukan dan rekreasi. Selain itu, timing gate juga kerap digunakan untuk memantau kesan senaman terhadap prestasi fizikal seseorang individu melalui keberkesanan kaedah latihan yang berbeza-beza untuk membantu individu tersebut menyesuaikan program latihan fizikal dengan tahap kecergasan diri.
Jelaslah bahawa terdapat banyak kelebihan yang dapat dimanfaatkan melalui penggunaan teknologi timing gate dalam menjalankan apa jua aktiviti riadah dan rekreasi sama ada dari aspek penilaian kesihatan kendiri umumnya dan juga mempertingkat tahap kualiti permainan bagi golongan atlet profesional, khususnya. Tidak terhad kepada perkara seperti yang telah dinyatakan, aplikasi teknologi timing gate secara tidak langsung sesuai digunakan untuk untuk tujuan penyelidikan bukan sahaja dari segi dapatan akademik tetapi amatlah penting kepada saintis sukan bagi tujuan pemahaman dan pembangunan prestasi sukan, aspek penyelidikan bio-mekanik serta bidang teknologi berkaitan yang lain. Adalah diharapkan agar penggunaan alat dan aplikasi teknologi timing gate ini akan dapat dibudayakan secara positif bagi tujuan melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi malahan turut memiliki tubuh badan yang cergas dan minda yang cerdas melalui penglibatan dalam aktiviti riadah dan rekreasi terutamanya bagi golongan kaum Adam sebagai seorang khalifah yang bersifat kamil di muka bumi ini.