23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Sunday, August 16, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Kesejahteraan Kesihatan Melalui Amalan Ergonomik

Kesejahteraan Kesihatan Melalui Amalan Ergonomik

Editor by Editor
16/08/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Dr. Nurul Ainun binti Hamzah1 & Dr. Mohd Firdaus bin Yhaya2

1 Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan,
Kampus Kesihatan USM
2 Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Pergigian,
Kampus Kesihatan USM

Dalam era digital masa kini, kemajuan teknologi telah mengubah cara manusia bekerja, belajar dan berkomunikasi. Walaupun perkembangan ini telah meningkatkan produktiviti dan memudahkan urusan harian, ia juga telah menyumbang kepada gaya hidup yang semakin tidak aktif (sedentari). Ramai individu menghabiskan masa yang panjang duduk di hadapan komputer, menggunakan telefon pintar, memandu atau melakukan kerja secara berulang tanpa menyedari kesan jangka panjang terhadap kesihatan fizikal mereka. Tabiat ini boleh menyebabkan gangguan otot rangka (Musculoskeletal Disorders, MSDs), seperti sakit belakang, ketegangan leher, sakit bahu dan keletihan otot. Ergonomik menawarkan penyelesaian yang praktikal kepada cabaran ini dengan memastikan persekitaran kerja, peralatan dan aktiviti harian direka bentuk agar sesuai dengan keupayaan serta keterbatasan manusia. Egonomik menekankan penyesuaian persekitaran kepada manusia daripada memaksa individu menyesuaikan diri dengan tempat kerja yang tidak sesuai. Oleh itu, amalan ergonomik bukan sahaja dapat mencegah kecederaan, malah membantu mewujudkan gaya hidup yang lebih sihat, selamat dan produktif (Rajah 1).

Rajah 1. Amalan ergonomik yang betul dapat mengurangkan risiko gangguan muskuloskeletal akibat penggunaan komputer dan peranti digital secara berpanjangan (1)

Memahami Konsep Ergonomik

Ergonomik ialah bidang sains yang mengkaji interaksi antara manusia dengan persekitaran tempat mereka bekerja dalam menjalani kehidupan harian. Matlamat utama ergonomik adalah untuk mengoptimumkan kesejahteraan manusia serta meningkatkan prestasi sistem melalui pengurangan tekanan fizikal, pencegahan kecederaan pekerjaan, dan peningkatan kecekapan kerja. Prinsip asas ergonomik boleh dirumuskan dengan ungkapan mudah iaitu “sesuaikan kerja dengan manusia, bukan manusia menyesuaikan diri dengan kerja.” Prinsip ini bukan sahaja terpakai di tempat kerja, malah turut relevan di sekolah, rumah dan hampir semua aktiviti harian. Contohnya, penggunaan kerusi yang menyokong bahagian lumbar, kedudukan monitor pada paras mata, susunan papan kekunci dan tetikus yang mudah dicapai, teknik mengangkat barang yang betul serta amalan berehat dan melakukan regangan secara berkala merupakan antara aplikasi ergonomik yang boleh diamalkan oleh semua orang.

Mengapa Ergonomik Penting untuk Kesihatan?

Kepentingan ergonomik tidak melangkaui aspek keselesaan semata-mata. Salah satu manfaat utamanya ialah mengurangkan risiko gangguan otot rangka (MSDs), iaitu masalah yang melibatkan otot, tendon, ligamen, sendi dan saraf (Rajah 2). Individu yang tidak mengamalkan ergonomik sering mengalami sakit leher, ketegangan bahu, sakit belakang, kebas tangan dan keletihan otot akibat postur yang tidak betul, pergerakan berulang atau tempoh duduk yang terlalu lama (Rajah 3). Selain itu, ergonomik turut meningkatkan produktiviti di tempat kerja. Individu yang bekerja dalam keadaan selesa biasanya lebih fokus, kurang melakukan kesilapan dan mampu mengekalkan prestasi kerja yang lebih baik sepanjang hari. Ergonomik juga memberi kesan positif terhadap kesejahteraan mental. Beban kerja yang tinggi, persekitaran kerja yang tidak selesa serta tempoh duduk yang berpanjangan boleh meningkatkan tekanan dan keletihan mental. Sebaliknya, persekitaran kerja yang direka secara ergonomik mampu mengurangkan stres, meningkatkan motivasi dan memberi kepuasan bekerja. Secara keseluruhannya, amalan ergonomik membolehkan seseorang menjalani kehidupan yang lebih aktif, sihat dan produktif, di samping mengurangkan kos rawatan akibat kecederaan yang boleh dicegah.

Rajah 2: Bahagian-bahagian badan yang sering mengalami gangguan otot rangka (2)
Rajah 3: Stesen kerja yang tidak ergonomik (3)

Mengaplikasikan Ergonomik dalam Kehidupan Harian

Ergonomik tidak seharusnya diamalkan di tempat kerja sahaja, tetapi ia perlu menjadi sebahagian daripada rutin harian setiap individu (Rajah 4). Bagi pekerja yang melakukan pengendalian manual, penggunaan teknik mengangkat barang yang betul, mengelakkan pergerakan membongkok atau memusing badan secara berlebihan serta menggunakan alat bantuan apabila diperlukan dapat mengurangkan risiko kecederaan pekerjaan. Untuk pemanduan kenderaan, khasnya jarak jauh, tempat duduk hendaklah dilaraskan berdasarkan ketinggian, keselesaan, dan sudut pandang pemandu. Jarak dari pemandu ke stereng kereta hendaklah tidak terlaku dekat atau tidak terlalu jauh. Kaki hendaklah tidak tergantung dan sokongan bawah paha (thigh support) hendaklah mencukupi. Sekiranya tiada, thigh support extension ini boleh dibeli di pasaran maya. Pemanduan berterusan hanya terhad kepada 1 jam 30 minit atau 2 jam serta bergantung kepada kesesuaian. Selepas tempoh tersebut, eloklah berhenti rehat di tempat yang sesuai. Penggunaan telefon pintar secara berlebihan turut menimbulkan satu masalah ergonomik yang dikenali sebagai “text neck“, iaitu keadaan di mana leher mengalami tekanan akibat terlalu lama menunduk melihat skrin telefon. Risiko ini boleh dikurangkan dengan memegang telefon pada paras mata, mengehadkan tempoh penggunaan secara berterusan dan melakukan regangan pada leher serta bahu. Golongan pelajar juga tidak terkecuali daripada risiko ergonomik. Selain itu, ramai pelajar belajar dalam keadaan postur yang kurang sesuai atau menggunakan perabot yang tidak ergonomik. Penggunaan meja dan kerusi yang sesuai, pencahayaan yang mencukupi serta postur duduk yang betul dapat meningkatkan keselesaan dan membantu proses pembelajaran menjadi lebih berkesan.

Rajah 4: Amalan ergonomik semasa di kilang, memandu, dan ketika menggunakan telefon pintar (4)

Tanggungjawab Bersama dalam Membudayakan Ergonomik

Mewujudkan kesejahteraan melalui ergonomik memerlukan kerjasama antara organisasi dan individu. Majikan bertanggungjawab menyediakan stesen kerja yang ergonomik, menjalankan penilaian risiko ergonomik (Rajah 5), menyediakan peralatan yang sesuai serta memberi latihan kepada pekerja tentang amalan kerja yang selamat. Pada masa yang sama, setiap individu perlu memainkan peranan dengan mengamalkan postur badan yang betul, peka terhadap tanda-tanda awal ketidakselesaan, mengamalkan gaya hidup aktif serta mengambil rehat secukupnya ketika bekerja. Walaupun persekitaran kerja direka dengan baik, kecederaan masih boleh berlaku sekiranya pekerja mengabaikan amalan kerja yang selamat. Oleh itu, budaya ergonomik hanya dapat dibentuk melalui kesedaran, pendidikan dan komitmen berterusan daripada semua pihak.

Rajah 5: Pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) menjalankan penilaian ergonomik di tempat kerja sambil memberi penerangan kepada pekerja. Aspek yang dinilai adalah (1) paras monitor, (2) postur duduk, (3) kedudukan tangan, (4) ketinggian kerusi, dan (5) ruang kerja.

Ergonomik dan Pembangunan Mampan

Kepentingan ergonomik juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan serta SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi     (Rajah 6). Pekerja yang sihat dan selamat mengalami kadar kecederaan yang lebih rendah, kurang ketidakhadiran bekerja dan mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti organisasi. Seiring dengan perubahan dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi oleh pendigitalan dan automasi, penerapan prinsip ergonomik akan terus menjadi elemen penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, inklusif dan mampan.

Rajah 6: Perkaitan ergonomik dengan SDG 3 dan SDG 8 (5).

Ergonomik bukan sekadar memiliki kerusi pejabat yang selesa atau meletakkan monitor komputer pada kedudukan yang betul. Sebaliknya, ia merupakan satu pendekatan menyeluruh dalam mereka bentuk tugasan, persekitaran kerja dan aktiviti harian agar selaras dengan keupayaan manusia. Perubahan kecil seperti membetulkan postur duduk, menyusun semula stesen kerja serta mengambil rehat secara berkala mampu mengurangkan risiko gangguan otot rangka, di samping meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup. Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, kesedaran terhadap kepentingan ergonomik perlu dipupuk dalam kalangan majikan, pendidik, profesional kesihatan dan masyarakat umum. Dengan mengintegrasikan prinsip ergonomik dalam kehidupan seharian, kita bukan sahaja dapat mencegah kecederaan dan penyakit, malah dapat membina masyarakat yang lebih sihat, produktif dan sejahtera untuk generasi akan datang.

Rujukan

  1. Department of Occupational Safety and Health Malaysia. (2024). Guidelines on occupational safety and health for seating at work 2024. Ministry of Human Resources Malaysia.
  2. World Health Organization. (2022). Musculoskeletal health. WHO Musculoskeletal Health.
  3. Department of Occupational Safety and Health Malaysia. (2024). Guidelines on occupational safety and health for working with display screen equipment 2024. Ministry of Human Resources Malaysia.
  4. National Institute for Occupational Safety and Health. (2024). About ergonomics and work-related musculoskeletal disorders. Centers for Disease Control and Prevention. NIOSH Ergonomics and Work-Related Musculoskeletal Disorders.
  5. https://worldtop20.org/global-movement/ (Dicapai pada 4 Ogos 2026). 

Biodata Penulis

Dr. Nurul Ainun binti Hamzah merupakan Pensyarah Kanan dalam bidang Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (KPP) di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kelantan. Beliau memperoleh Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2003, Ijazah Sarjana dalam Safety Science daripada University of New South Wales (UNSW), Australia pada tahun 2009, dan Ijazah Doktor Falsafah Kesihatan Masyarakat pengkhususan Kesihatan Pekerjaan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2015. Kerjaya beliau bermula sebagai Pembantu Penyelidik dan Penolong Pegawai Penyelidik di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM sebelum dilantik sebagai Felo Akademik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dari 2007-2015. Beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di PPSK USM sejak tahun 2015. Beliau aktif dalam pengajaran, penyeliaan dan penyelidikan berkaitan kesihatan pekerjaan, kesihatan persekitaran, toksikologi persekitaran dan pekerjaan, ergonomik, kesihatan respiratori, kualiti udara dalaman, pendedahan haba dan keselamatan pekerjaan. Beliau juga aktif dalam badan profesional, antaranya Malaysian Industrial Hygiene Association (MIHA), Malaysian Association of Environmental Health (MAEH) dan Human Factors and Ergonomics Society of Malaysia (HFEM).

Dr. Mohd Firdaus bin Yhaya merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kelantan. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang sintesis polimer dan bahan pergigian, dengan penyelidikan yang merangkumi biomaterial, kimia polimer, teknologi salutan termaju, nanokomposit, click chemistry, pempolimeran radikal terkawal serta teknologi pengawetan sinaran. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Teknologi dalam Teknologi Polimer daripada USM (2003), diikuti Ijazah Sarjana Kejuruteraan dalam bidang Polimer daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (2007). Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang Polimer daripada University of New South Wales (UNSW), Australia (2012). Kerjaya akademik beliau di USM bermula di Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) sebelum menyertai PPSG pada tahun 2018. Dalam bidang pengajaran, beliau terlibat dalam kursus Bahan Pergigian bagi pelajar prasiswazah pergigian dan Kimia Bahan untuk pelajar Sains Forensik. Beliau juga aktif menjalankan penyelidikan, penyeliaan pascasiswazah dan penerbitan ilmiah, khususnya berkaitan pembangunan biomaterial serta bahan berasaskan polimer untuk aplikasi pergigian.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: budaya ergonomikergonomikKampus Kesihatan USMkeselamatan dan kesihatan tempat kerjakonsep ergonomikMohd Firdaus bin YhayaNurul Ainun binti Hamzahpostur badanProgram Kesihatan Persekitaran dan PekerjaanPusat Pengajian Sains Kesihatanrisiko postur badanstesen kerja ergonomik
ShareTweetShare
Previous Post

Mosquitofish (Gambusia affinis): Wira Kawalan Nyamuk atau Ancaman kepada Biodiversiti?

Editor

Editor

Related Posts

Mosquitofish (Gambusia affinis): Wira Kawalan Nyamuk atau Ancaman kepada Biodiversiti?
Alam Semulajadi

Mosquitofish (Gambusia affinis): Wira Kawalan Nyamuk atau Ancaman kepada Biodiversiti?

3 hours ago
Petai Belalang: Khazanah Biodiversiti sebagai Sumber Protein serta Makanan Berkhasiat Tinggi Masa Hadapan
Alam Semulajadi

Petai Belalang: Khazanah Biodiversiti sebagai Sumber Protein serta Makanan Berkhasiat Tinggi Masa Hadapan

3 hours ago
Rosel (Hibiscus sabdariffa L.): Si Merah Menawan dengan Potensi Luar Biasa
Alam Semulajadi

Rosel (Hibiscus sabdariffa L.): Si Merah Menawan dengan Potensi Luar Biasa

3 hours ago
Kenapa Haiwan Jalanan Layak Mendapat Kehidupan Yang Lebih Baik?
Alam Semulajadi

Kenapa Haiwan Jalanan Layak Mendapat Kehidupan Yang Lebih Baik?

3 hours ago

Kategori Produk

  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In