Mohd Luqman Hakim Bin Rosli
Saya mengikuti dua kursus ini semasa tahun ketiga pengajian peringkat ijazah di UPM, saya tidak mendaftar kursus ini kerana tidak ditawarkan dalam modul pengajian jurusan saya, mujur pensyarah yang mengajar kursus-kursus ini membenarkan saya mengikuti kelasnya. Prof Madya Dr Mat Rofa seorang guru yang amat saya hormati dan kasihi. Beliau amat mengalukan pelajar-pelajar mengikuti kuliah ini secara terbuka.
Kursus Sejarah Matematik dan Falsafah Sains adalah dua kursus yang mengubah paradigma saya berkenaan ilmu sains dan matematik. Dua kursus ini seperti sebuah cermin mata yang mempunyai kuasa yang tepat bagi membolehkan setiap pelajarnya melihat sesuatu fenomena sains dan matematik dengan satu paradigma yang dibawa oleh pensyarahnya. Kami dididik untuk mencintai ilmu dan mendalami ilmu yang dipelajari, bukan sekadar mengetahui bahan yang dipelajari. Sesungguhnya perasaan ingin tahu lebih lanjut mengenai kursus ini masih berkobar-kobar walaupun telah meninggalkan alam universiti.
Sebelum memasuki kelas ini, saya beranggapan kursus ini membosankan kerana mungkin hanya menerangkan teori-teori abstrak seperti kelas-kelas yang lain, namun persepsi saya berubah apabila menghadirkan diri buat kali pertama dalam kuliah, nyata perasaan bosan dan mengantuk tidak langsung wujud semasa kuliah berjalan. Malah kelas ini juga menyedarkan saya sains itu terletak dibawah falsafah dan falsafah itu merangkumi aspek metafizik, epistemologi dan penaakualan mantik. Sebelum ini saya tidak pernah menghubungkan ilmu sains matematik dengan ketuhanan kerana sebelum ini saya tidak pernah diberitahu dan memikirkan pekara seperti ini. Saya diajar asal-usul keberangkalian, kosmologi, evolusi dan sebagainya dalam kursus ini sehingga saya dapat merasakan bahawa Allah begitu dekat dengan ilmu yang kita pelajari, hanya memandang ke langit pada waktu malam kita akan nampak bulan dan bintang kerana semuanya itu adalah ciptaan Allah.
[BACA] Temuramah bersama Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail
Secara ikhlasnya, saya ingin nyatakan semasa mengikuti kursus ini pensyarah telah berjaya membawa diri dan pemikiran saya menjiwai kursus tersebut. Sebelum itu, penglibatan saya dalam ilmu hanya kerana patuh pada kehendak sekolah dan universiti dengan adanya ujian dan peperiksaan, tetapi dua kursus tersebut menjadikan saya menyelami sesuatu ilmu itu adalah atas dasar rasa kecintaan saya terhadap ilmu. Saya sering berkongsi pengetahuan dengan rakan yang tidak mengikuti kursus ini. Tidak keterlaluan saya katakan inilah peluang yang hebat dapat saya kecapi semasa menuntut ilmu di universiti kerana berpeluang mempelajari dua kursus ini dan belajar secara langsung dengan orang yang ahli dalam bidangnya iaitu Prof Madya Dr. Mat Rofa.
Dalam kursus ini juga telah menyedarkan saya akan matlamat mempelajari ilmu Sains Tabii. Apa yang dahulunya tertanam dalam minda ialah Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi adalah bidang yang berasingan, sesungguhnya ilmu tidak terhad pada satu bidang sahaja malah gabungan semua ilmu ini akan membantu kita mengenal Allah. Lihatlah tujuan asas ilmuwan dahulu mengkaji bidang sains tabii adalah bagi mencari kebenaran alam semesta seterusnya mendekatkan lagi diri dengan sang pencipta.
Secara umumnya, kebanyakkan kursus yang ditawarkan di Fakulti Sains UPM telah gagal menerapkan konsep kesepaduan rohani, iman dan intelek dalam kurikulum pembelajaran mereka. Keadaan ini amat ketara dalam bidang matematik dimana pelajar matematik yang mengikuti lebih 20 kursus matematik, didapati tidak ada satu pun kursus tersebut yang menekankan konsep kesepaduan rohani, iman dan intelek. Kesannya dapat dilihat pada pelajar, keruntuhan etika dan sistem nilai dalam kalangan pelajar semakin ramai. Selain itu, dalam aspek pendidikan negara telah gagal melaksanakan dan memenuhi apa yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara di mana penerapan konsep kesepaduan rohani, emosi, intelek dan jasmani dalam kurikulum pendidikan berdasarkan prinsip kepercayaan pada Tuhan menjadi sebab utama kemerosotan etika pelajar dan masyarakat.
Akhir kata, empat tahun pengajian saya di Kampus Hijau ini dan melalui siri pembelajaran sepertimana yang diatur oleh universiti, inilah dua kursus yang istimewa kerana mampu membuka pemikiran saya ke dunia luar serta membuka mata saya akan kebenaran hakiki, meskipun kebenaran itu pahit. Secara jujurnya saya akui sebelum ini, saya belajar hanyalah untuk menjawab peperiksaan semata-mata, bukannya untuk menimba ilmu dalam ertikata yang sebenar, namun kelas inilah yang telah mengubah persepsi saya kerana keikhlasan pensyarahnya dalam mencurahkan ilmu telah meresap ke dalam hati. Saya memohon kepada Allah agar apa yang disampaikan akan terus segar dalam diri saya dan mengubah jalan hidup saya yang lebih mencabar di alam kerjaya.
Catatan: Penulis merupakan bekas pelajar Ijazah Sarjana Muda Jurusan Statistik dari Universiti Putra Malaysia, sekarang berkhidmat sebagai guru. Tujuan penulisannya ini untuk mengangkat semula kepentingan subjek sejarah matematik dan Falsafah Sains yang diajar di UPM serta sebagai satu tulisan dedikasi buat Dr. Mat Rofa bekas pensyarah kedua-dua subjek tersebut. Penulis juga pernah mengikuti kedua-dua kelas tersebut.
Berikan Komen Anda Di Sini