23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Thursday, March 12, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Tanya Saintis: Kenali Nadhirah Syafiqah Suhaimi, Penyelidik Malaysia yang Mengharumkan Nama Negara di Peringkat Antarabangsa dalam Bidang Parasitologi Hidupan Akuatik

Editor by Editor
26/02/2026
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa, Bicara Saintis
0 0
0

Suatu kejayaan yang membanggakan Malaysia apabila Saintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila namanya diabadikan pada spesies baharu parasit ikan yang ditemui penyelidik, sekali gus mengharumkan nama negara dalam bidang sains marin dan akuakultur. Penyelidik yang menjalankan kajian tersebut merupakan pelajar PhD, Nadhirah Syafiqah Suhaimi yang baru menamatkan pengajian di Hungary. Beliau juga merupakan alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Spesies parasit ikan itu dinamakan Thelohanellus Borkhanuddini sebagai penghormatan kepada Ketua Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Prof. Madya Dr. Hafiz Borkhanuddin yang juga bekas Ketua Program Biologi Marin UMT.

Penemuan itu diterbitkan jurnal antarabangsa Aquaculture Reports dan mendapat perhatian media sains antarabangsa, sekali gus meletakkan penyelidikan terbabit dalam radar komuniti saintifik global.

Selain itu, dalam pengajian beliau turut mengabadikan nama penyelidik UMT Profesor Emeritus Dr. Faizah Mohd Shahrom untuk kajian beliau spesis baharu parasit yang dinamakan sebagai Myxobolus faizahae n. sp. dan diterbitkan di dalam Nature Scientific Reports.

MajalahSains mengambil peluang untuk menemubual Nadhirah Syafiqah Suhaimi bagi mengetahui selok belok penyelidikan dan pengalaman beliau semasa menuntut di Hungarian University of Agriculture & Life Sciences, Hungary.

Bahagian 1: Permulaan Asal Minat & Pembentukan Identiti Saintis Penyelidik

 

Bagaimana minat Nadhirah dalam bidang biologi marin bermula? Adakah ia datang daripada pengalaman lapangan, pensyarah, atau bacaan tertentu?

Semenjak kecil saya sememangnya menyukai haiwan dan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor haiwan. Saya juga banyak dipengaruhi oleh rancangan seperti National Geographic dan Discovery Channel, yang sering memaparkan dokumentari tentang hidupan liar dan ekosistem marin. Walaupun saya tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan veterinar, saya memilih Biologi Marin di peringkat prasiswazah kerana ia masih membolehkan saya mendalami kajian tentang haiwan dan ekosistem akuatik, selaras dengan minat dan aspirasi saya sejak kecil.

Pada peringkat awal pengajian, adakah Nadhirah memang cenderung kepada kesihatan haiwan akuatik dan parasitologi, atau minat itu berkembang kemudian?

Ya, saya memang sudah cenderung kepada bidang kesihatan akuatik sejak peringkat Diploma Perikanan di UMT lagi. Subjek seperti Parasitologi, Bakteria dan Virus merupakan antara subjek kegemaran saya, dan saya juga berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek-subjek tersebut. Dari situ minat saya terhadap kesihatan haiwan akuatik dan parasitologi semakin berkembang.

Siapakah individu atau pengalaman yang paling membentuk cara Nadhirah melihat sains sebagai kerjaya dan sebagai panggilan hidup?

Saya tidak mempunyai individu atau idola tertentu yang membentuk cara saya melihat sains. Bagi saya, setiap penyelidik memberi inspirasi kerana masing-masing mempunyai kepakaran, pengalaman dan cara berfikir yang berbeza dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Melihat komitmen dan sumbangan mereka dalam bidang masing-masing membuatkan saya lebih menghargai sains sebagai satu kerjaya dan juga satu tanggungjawab. Oleh itu, saya memilih untuk menjadi seorang penyelidik supaya suatu hari nanti penyelidikan saya juga mungkin boleh menjadi rujukan dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Apakah cabaran paling besar ketika mula terlibat dalam penyelidikan? Dari segi teknikal, keyakinan diri, atau budaya makmal?

Antara cabaran paling besar ketika mula terlibat dalam penyelidikan ialah dari segi keyakinan diri dan kemahiran teknikal. Pada peringkat awal, saya masih menyesuaikan diri dengan prosedur makmal dan teknik-teknik baharu, jadi saya perlu belajar dengan cepat dan lebih teliti. Selain itu, saya juga perlu membina keyakinan untuk bertanya soalan, berbincang idea dan menerima teguran daripada penyelia. Namun, pengalaman tersebut banyak membantu saya menjadi lebih berdikari, yakin dan sistematik dalam menjalankan penyelidikan.

Saya sangat berterima kasih kepada pasukan saya di Hungary kerana saya dikelilingi oleh peneraju dan pakar dalam parasit Myxozoan. Walaupun penyeliaan diberikan secara minimal, mereka tetap mempercayai kebolehan saya, yang memberi motivasi dan keyakinan untuk berkembang sebagai penyelidik.

Bahagian 2: Pengalaman di Hungary – Penerokaan Penyelidikan Saintifik

 

Bagaimana peluang untuk menjalankan penyelidikan di Hungary itu muncul? Apa yang membuatkan Nadhirah berani melangkah ke luar negara?

Peluang untuk menjalankan penyelidikan di Hungary bermula apabila suami saya menerima biasiswa dan tempat pengajianPhD di sana. Pada awalnya, saya ke sana kerana tidak mahu berjauhan, dan saya membuat keputusan untuk menangguhkan pengajian PhD saya di UMS ketika itu. Namun, sepanjang berada di sana, saya telah diberi peluang oleh penyelia dan kumpulan penyelidikan yang sama untuk menyambung pengajian PhD. Saya kemudiannya memohon biasiswa Hungary dan Alhamdulillah, permohonan saya berjaya.

Keputusan untuk melangkah ke luar negara bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya melihatnya sebagai peluang untuk berkembang, mencabar diri dalam persekitaran baharu dan memperluaskan pengalaman penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Apakah perbezaan persekitaran, budaya penyelidikan antara Malaysia dan Hungary yang paling ketara bagi Nadhirah?

Perbezaan yang paling ketara bagi saya ialah dari segi penerimaan terhadap orang luar yang berlainan bangsa dan agama. Sepanjang saya berada di sana, saya tidak mengalami sebarang diskriminasi. Malah, mereka sangat terbuka dan profesional dalam persekitaran kerja. Selain itu, suasana penyelidikan di sana juga sangat sihat, dengan budaya kerja yang positif dan tiada persekitaran yang kurang menyenangkan yang boleh membantutkan semangat belajar. Ini banyak membantu saya untuk lebih fokus dan berkembang dalam penyelidikan.

Boleh ceritakan bagaimana proses sebenar mengenal pasti bahawa spesimen yang dikaji itu adalah spesies baharu? Di manakah Nadhirah mulai sedar bahawa ini bukan sekadar variasi biasa?

Untuk mengenal pasti sesuatu spesies baharu, beberapa analisis perlu dijalankan seperti morfologi, ukuran morfometrik, analisis molekular dan juga histologi. Dalam bidang taksonomi, ciri morfologi dan ukuran parasit sangat penting kerana ia menjadi rujukan utama untuk perbandingan dengan spesies yang telah direkodkan oleh penyelidik awal sebelum ini.

Analisis molekular pula digunakan untuk menyokong dapatan morfologi, kerana teknik ini sangat berkesan dalam menentukan sama ada sesuatu spesies itu benar-benar baharu atau sudah pernah dikenal pasti. Selain itu, analisis histologi penting dalam bidang kesihatan haiwan untuk mengenal pasti organ atau tisu ikan yang dijangkiti, memandangkan parasit Myxozoa adalah sangat spesifik kepada hos.

Saya mula menyedari bahawa spesimen tersebut bukan sekadar variasi biasa apabila kombinasi ciri morfologi, data molekular dan pola jangkitan pada tisu menunjukkan perbezaan yang konsisten dan tidak sepadan dengan mana-mana spesies yang telah dilaporkan sebelum ini. Gabungan ketiga-tiga analisis ini memberi keyakinan bahawa ia adalah spesies baharu.

Saat pertama kali keputusan analisis menunjukkan kemungkinan spesies baharu, apa perasaan Nadhirah?

Saat pertama kali keputusan analisis menunjukkan kemungkinan ia adalah spesies baharu, saya rasa sangat teruja dan tidak percaya pada awalnya. Pada masa yang sama, saya juga rasa bertanggungjawab dan perlu lebih berhati-hati, kerana dalam bidang taksonomi kita perlu benar-benar pasti sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Perasaan itu bercampur antara gembira, bangga dan juga berdebar, kerana bukan selalu kita diberi peluang untuk menyumbang penemuan baharu kepada dunia sains. Ia menjadi satu momen yang sangat bermakna dalam perjalanan penyelidikan saya.

Dalam dunia taksonomi yang sangat teliti, bagaimana proses pengesahan dibuat sebelum sesuatu spesies itu diiktiraf secara rasmi?

Dalam dunia taksonomi, pengesahan sesuatu spesies baharu dilakukan secara sangat teliti. Prosesnya biasanya melibatkan gabungan analisis morfologi, ukuran morfometrik, analisis molekular, dan kadang-kadang histologi untuk spesies parasit. Ciri-ciri morfologi dan ukuran digunakan sebagai rujukan asas, manakala analisis molekular menyokong sama ada spesies itu benar-benar baharu atau telah dikenalpasti sebelum ini. Semua dapatan ini kemudian dibandingkan dengan rekod spesies sedia ada.

Selepas analisis lengkap, penyelidik menulis manuskrip dengan deskripsi penuh spesies, termasuk gambar, ukuran, dan data molecular yang telah disimpan di NCBI (National Center for Biotechonology Information), sebelum dihantar ke jurnal saintifik. Spesies itu hanya diiktiraf secara rasmi apabila manuskrip diterima dan diterbitkan, mengikut piawaian taksonomi antarabangsa.


Bahagian 3: Penemuan Lebih dari Sekadar Nama

 

Pada pandangan Nadhirah, apakah kepentingan penemuan spesies baharu parasit ikan ini kepada bidang akuakultur dan keselamatan makanan?

Ya, penemuan spesies baharu parasit ikan amat penting bagi bidang akuakultur dan keselamatan makanan. Dengan mengenal pasti parasit baharu, pengusaha akuakultur dapat memahami risiko kesihatan ikan dengan lebih baik, merancang langkah pencegahan dan rawatan yang sesuai, serta memastikan kualiti dan keselamatan produk ikan yang dihasilkan. Selain itu, penemuan ini juga menyumbang kepada pemahaman saintifik yang lebih mendalam tentang ekosistem akuatik, interaksi parasit-hos, dan perkembangan strategi pengurusan penyakit dalam industri akuakultur.

Mengapa bidang kesihatan haiwan akuatik kurang diberi perhatian berbanding ekologi megafauna marin seperti penyu atau jerung?

Penyakit haiwan akuatik seperti ikan kurang mendapat perhatian berbanding ekologi penyu atau jerung kerana beberapa sebab utama. Pertama, megafauna marin lebih “charismatic” dan menarik minat awam, NGO, serta media melalui kempen pemuliharaan ikonik, contohnya perlindungan pantai bertelur. Kedua, dana penyelidikan di Malaysia lebih tertumpu kepada biodiversiti ekosistem besar, manakala kesihatan ikan terhad kepada sektor akuakultur komersial sahaja. Ketiga, impak penyakit ikan kurang “kelihatan” walaupun ia mengancam keselamatan makanan negara dan menyebabkan kerugian besar kepada penternak kecil, selain memerlukan kos makmal yang tinggi. Oleh itu, walaupun kesihatan haiwan akuatik lebih kritikal untuk ekonomi perikanan, ekologi megafauna sering mendahului dari segi perhatian dan pembiayaan.

Bagaimana penemuan ini membantu kita memahami hubungan antara biodiversiti mikro dan kestabilan sistem akuakultur?

Penemuan spesies baharu parasit ikan membantu memahami hubungan biodiversiti parasit dan kestabilan akuakultur melalui pemahaman dinamik penyakit dan pengurusan ekosistem. Dengan mengenal pasti parasit dan interaksi mereka dengan hos, kita dapat menilai risiko penyakit, merancang langkah pengurusan yang lebih efektif, dan menjaga keseimbangan ekosistem akuakultur. Ini juga memberi panduan untuk strategi pencegahan dan rawatan yang lebih tepat, seterusnya meningkatkan kesihatan ikan, produktiviti ternakan, dan keselamatan makanan.

Bahagian 4: Cabaran & Ketahanan

 

Sepanjang berada di luar negara, apakah cabaran paling sukar yang Nadhirah hadapi. Mungkin dalam aspek bahasa pertuturan, budaya, tekanan akademik, atau rasa rindu kampung halaman?

Sepanjang berada di luar negara, cabaran paling sukar bagi saya ialah bahasa dan budaya. Hanya sebahagian kecil rakyat Hungary boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, manakala akses kepada makanan halal dan tempat solat agak terhad. Saya juga sangat rindu keluarga saya dan makanan Malaysia, yang bahan-bahannya sangat terhad untuk dimasak di sana. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana HUN-REN Veterinary Medical Institute memahami keperluan agama saya dengan menyediakan ruang solat, dan banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Adakah pernah ada saat Nadhirah meragui diri sendiri dalam perjalanan ini? Bagaimana beliau bangkit semula?

Ya, ada saat saya merasa ragu pada diri sendiri, terutama ketika menghadapi cabaran teknikal di makmal seperti analisis molekular yang belum pernah saya pelajari sebelumnya. Pada masa itu, saya sering mengingatkan diri tentang minat mendalam terhadap penyelidikan dan tujuan asal saya dalam biologi marin dan parasitologi. Saya juga mendapat sokongan kuat daripada penyelia, rakan penyelidik, dan keluarga yang memotivasikan saya. Berkat sokongan mereka dan keyakinan diri, saya berjaya bangkit semula dan terus maju dalam penyelidikan saya.

Dalam penyelidikan sains, kegagalan eksperimen adalah perkara biasa. Boleh kongsikan satu pengalaman kegagalan yang akhirnya memberi pengajaran besar?

Salah satu pengalaman kegagalan eksperimen yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila sampel yang saya kumpul di Malaysia tidak dapat dianalisis di Hungary kerana kesilapan dalam proses pengawetan. Hampir semua sampel itu gagal digunakan untuk analisis molekular, yang sangat penting dalam taksonomi.

Dari kegagalan itu, saya belajar untuk lebih teliti dan melakukan penambahbaikan dalam proses pengumpulan dan pengawetan sampel. Saya kembali ke Malaysia untuk mengambil sampel semula, dan dengan pendekatan yang lebih berhati-hati, saya berjaya memperoleh lebih banyak parasit Myxozoan dan berjaya menemui lebih 30 spesies baharu di negara ini. Pengalaman ini mengajar saya bahawa kegagalan adalah peluang untuk belajar, memperbaiki teknik, dan meningkatkan kualiti penyelidikan.

Bahagian 5: Masa Depan Biologi Marin & Kesihatan Akuatik

 

Pada pandangan Nadhirah, mengapa bidang biologi marin khususnya kesihatan haiwan akuatik mempunyai masa depan yang cerah di Malaysia?

Bidang biologi marin, khususnya kesihatan haiwan akuatik, mempunyai masa depan yang cerah di Malaysia kerana negara kita kaya dengan sumber perikanan dan ekosistem akuatik yang pelbagai. Dengan peningkatan industri akuakultur dan keperluan keselamatan makanan, kajian tentang kesihatan ikan dan parasit menjadi sangat kritikal. Malah, banyak parasit ikan, contohnya parasit Myxozoan, masih kurang dikaji di Malaysia berbanding negara lain kerana kekurangan kepakaran dalam bidang ini. Dengan pembangunan kapasiti penyelidikan, penggunaan teknologi moden, dan kesedaran tentang pemuliharaan, bidang ini semakin relevan dan memberi peluang besar kepada penyelidik muda untuk menyumbang kepada ekonomi, keselamatan makanan, dan kelestarian ekosistem akuatik.

Apakah peluang kerjaya sebenar dalam bidang ini ?

Peluang kerjaya dalam bidang biologi marin, khususnya kesihatan haiwan akuatik, sangat pelbagai. Ia merangkumi penyelidikan akademik, industri akuakultur, biosekuriti, dan pembangunan dasar awam.

Jika diberi peluang membina satu ekosistem penyelidikan ideal di Malaysia, apakah yang perlu diperbaiki atau dipertingkatkan?

Jika diberi peluang membina satu ekosistem penyelidikan ideal di Malaysia, perkara paling penting yang perlu diperbaiki ialah pembiayaan penyelidikan. Dengan dana yang mencukupi, penyelidik dapat melaksanakan projek yang lebih kompleks dan berskala besar, membeli peralatan moden, melatih tenaga mahir, dan menyokong kajian jangka panjang. Pembiayaan yang kuat juga membolehkan pembangunan kapasiti kepakaran tempatan, meningkatkan kualiti penyelidikan, dan memastikan bidang seperti kesihatan haiwan akuatik dapat berkembang selaras dengan keperluan industri dan negara.


Bahagian 6: Nasihat Kepada Pelajar

 

Apakah nasihat paling penting Nadhirah kepada pelajar yang berminat dalam biologi marin tetapi masih ragu-ragu dengan masa depan bidang ini?

Nasihat saya kepada pelajar yang berminat dalam biologi marin tetapi masih ragu-ragu ialah “tidak kenal, maka tak cinta.” Luangkan masa untuk mengenali bidang ini, belajar tentang ekosistem, haiwan akuatik, dan peluang kerjayanya. Semakin kita memahami dan mendalami bidang ini, semakin kita menghargai kepentingannya dan yakin dengan masa depan kerjaya di dalamnya. Jangan takut untuk mencuba, kerana pengalaman awal akan membuka minat dan peluang yang mungkin tidak disangka.

Kemahiran apa yang pelajar perlu kuasai dari awal?

Pelajar yang berminat dalam biologi marin perlu menguasai pelbagai kemahiran dari awal, termasuk analisis data dan teknik makmal. Selain itu, kemampuan untuk bekerja secara berdikari sangat penting, jangan mengharapkan segalanya diberi (spoon feed). Dengan kombinasi kemahiran teknikal dan keupayaan berdikari, pelajar akan lebih bersedia menghadapi cabaran penyelidikan dan membina kerjaya yang berjaya dalam bidang ini.

Bagaimana pelajar boleh membina keberanian untuk keluar ke peringkat global seperti pengalaman di Hungary?

Pelajar jangan sesekali takut untuk keluar dari zon selesa. Peluang untuk menjalani pengalaman di luar negara adalah sangat berharga kerana mereka boleh belajar banyak perkara baru dan mengalami perbezaan dalam pendekatan penyelidikan. Di negara lain, persekitaran penyelidikan sering lebih maju dari segi teknik, teknologi, dan cara kerja. Dengan melihat bagaimana penyelidik di sana bekerja, pelajar boleh meningkatkan kemahiran, perspektif, dan keyakinan diri mereka untuk bersaing di peringkat global.

Jika Nadhirah boleh bercakap dengan diri beliau 10 tahun lalu, apakah pesanan yang akan diberikan?

Jika saya boleh bercakap dengan diri saya 10 tahun lalu, saya akan mengatakan untuk lebih yakin dengan diri sendiri dan jangan takut mencuba peluang baharu. Saya juga akan mengingatkan diri supaya berdikari dan terus belajar, kerana setiap cabaran dan kegagalan adalah pengalaman berharga yang membentuk penyelidik dan individu yang lebih matang. Jangan risau jika perjalanan tidak selalu lurus, yang penting adalah kekal fokus pada minat dan matlamat, serta menghargai setiap pembelajaran sepanjang perjalanan.

Secara ringkas, apa makna menjadi seorang saintis kepada Nadhirah?

Bagi saya, menjadi seorang saintis adalah peluang untuk menghasilkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan baharu yang memberi manfaat kepada orang ramai, meninggalkan legasi melalui penemuan baru dan pendidikan, dan menyumbang kepada kemajuan negara.

Apakah impian besar Nadhirah dalam bidang sains yang masih belum tercapai?

Impian besar saya dalam bidang sains adalah untuk menjadi peneraju dalam penyelidikan parasit Myxozoan di Asia, terutamanya di negara-negara seperti Thailand, Indonesia, Cambodia, Laos, Timor Leste, Singapura, Myanmar, dan Filipina. Saya berharap dapat membina kepakaran, jaringan penyelidikan, dan program kolaboratif di negara-negara ini untuk membantu memahami biodiversiti parasit ini serta menyokong kesihatan haiwan akuatik dan keselamatan makanan di rantau ini.

 

Gambar 1. Salah satu lokasi persampelan di Malaysia, iaitu Tasik Telabak, Terengganu.
Gambar 2. Mengumpul sampel sedimen di Lake Balaton, Hungary untuk mencari cacing sebagai sebahagian daripada kajian kitaran hidup parasit Myxozoan.
Gambar 3. Bersama pasukan penyelidikan, Team Fish Pathology & Parasitology di HUN-REN Veterinary Medical Research Institute, Budapest Hungary.
Gambar 4: Di makmal penyelidikan
Gambar 5: Saya dan suami bersama mentor dalam bidang parasit ikan, khususnya Myxozoan, Prof. Kálmán Molnár.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: biologi marinhidupan akuatikNadhirah Syafiqah SuhaimiparasitologiPhDUMTwawancara saintis
ShareTweetShare
Previous Post

Bolehkah Saraf Putus, disambung Semula? Ini Penjelasan Sains

Next Post

Inovasi TeachConnect: Memperkasa Pengurusan Bahan Kimia Pintar dan Lestari di Institusi Pendidikan

Editor

Editor

Related Posts

Senjata Tenaga Terarah (LASER): Satu Pengenalan
Berita & Peristiwa

Senjata Tenaga Terarah (LASER): Satu Pengenalan

1 day ago
Burung Pungguk Jelapang Membantu Mengawal Tikus Perosak
Alam Semulajadi

Burung Pungguk Jelapang Membantu Mengawal Tikus Perosak

1 day ago
Literasi Penjagaan sebagai Sains Kehidupan: Keperluan Baharu Masyarakat Malaysia
Berita & Peristiwa

Literasi Penjagaan sebagai Sains Kehidupan: Keperluan Baharu Masyarakat Malaysia

1 day ago
Penyakit Gusi dan Diabetes: Hubungan Tersembunyi Dua Hala
Berita & Peristiwa

Penyakit Gusi dan Diabetes: Hubungan Tersembunyi Dua Hala

3 days ago
Next Post
Inovasi TeachConnect: Memperkasa Pengurusan Bahan Kimia Pintar dan Lestari di Institusi Pendidikan

Inovasi TeachConnect: Memperkasa Pengurusan Bahan Kimia Pintar dan Lestari di Institusi Pendidikan

Kategori Produk

  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In