Penulis: Dr. Izyan Hazwani Hashim
Pensyarah Kanan, Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Johor Bahru, 19 Julai 2025 – Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi tuan rumah kepada “Knowledge Transfer Workshop 2.0: Introduction to Particle Physics & COMET Experiment,” satu bengkel komprehensif yang bertujuan untuk menyebarkan pengetahuan dan merangsang minat dalam bidang ini.
Dianjurkan bersama oleh Pusat Kebangsaan untuk Fizik Zarah (NCPP), Universiti Malaya (UM) dan Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bengkel sehari ini menawarkan sesi mendalam dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari di UTM Helix C17, Jabatan Fizik, UTM. Seramai 45 orang peserta telah hadir secara fizikal dan dalam talian. Hadirin bukan sahaja mendapat pemahaman asas mengenai fizik zarah, tetapi juga diperkenalkan kepada salah satu eksperimen paling menarik dalam fizik moden: Eksperimen ‘Coherent Muon to Electron Transition (COMET)‘.
Fizik zarah adalah cabang fizik yang mengkaji komponen asas jirim dan sinaran, serta interaksi antara mereka. Ia berusaha untuk memahami blok binaan paling asas alam semesta dan daya yang mengawal mereka. Eksperimen COMET, pula, adalah satu eksperimen penting yang sedang dijalankan untuk mencari bukti penukaran muon kepada elektron tanpa pengeluaran neutrino – satu proses yang sangat jarang berlaku dan tidak dijangka oleh Model Piawai Zarah. Penemuan fenomena ini boleh membuka jalan kepada fizik baharu di luar Model Piawai, sekali gus mengubah pemahaman kita tentang alam semesta.
Bengkel ini dirancang untuk menjadi interaktif dan mendidik, dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk kuliah interaktif berkaitan pengenalan kepada Fizik Zarah: Sesi ini membongkar konsep-konsep asas fizik zarah dalam cara yang mudah difahami oleh Prof. Dr. Zamri Zainal Abidin, Pengarah NCPP, UM. Selain itu, peserta juga di ajar meneroka Eksperimen COMET: Transisi Muon Jarang Berlaku Diterangkan. Para peserta dibawa menyelami dunia Eksperimen COMET, memahami tujuan, kaedah, dan potensi implikasinya. Dr. Izyan Hazwani Hashim, Ketua Pasukan Malaysia untuk Eksperimen COMET, berkongsi pandangan berharga mengenai peranan Malaysia dalam usaha global ini.
Pameran Demonstrasi menampilkan pameran interaktif seperti “GM Tube” dan “Cosmic Pi & Trigger Logic Demo,” membolehkan peserta melihat secara langsung bagaimana pengesan zarah berfungsi dan bagaimana data dikumpulkan. Peserta juga diberi pendedahan berkaitan Peluang Penyelidikan & Kerjaya dengan NCPP. Ini adalah peluang keemasan bagi pelajar dan penyelidik muda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peluang penyelidikan dan kerjaya yang ditawarkan oleh Pusat Kebangsaan untuk Fizik Zarah (NCPP).
Bengkel ini menyediakan platform unik bagi pelajar, penyelidik, dan sesiapa sahaja yang mempunyai minat mendalam dalam sains untuk berinteraksi dengan pakar-pakar terkemuka dalam bidang ini. Ia bukan sahaja akan meningkatkan pemahaman tentang fizik zarah, tetapi juga berpotensi untuk menyemarakkan minat dalam penyelidikan saintifik dan menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan dalam bidang berteknologi tinggi. “Knowledge Transfer Workshop 2.0” adalah satu langkah ke hadapan dalam mempromosikan sains dan inovasi di Malaysia, sekali gus melahirkan generasi saintis dan penyelidik yang akan meneroka misteri alam semesta untuk manfaat bersama.
Gambar-gambar sepanjang program berlansung





