Oleh: Hafez Murtza
“SpaceX is like Special Forces, we do things that others think are impossible. We have goals that are absurdly ambitious, but we’re going to make them happen. We have the potential here at SpaceX to have an incredible effect on the future of humanity and life itself.” – Elon Musk
Pada tanggal 6 Februari yang lalu, di tapak pelancaran 39A Kennedy Space Centre, Florida Amerika, tercipta sejarah yang melonjakkan industri angkasa. Di tapak yang sama 48 tahun dulu, NASA menghantar manusia ke bulan dengan roket Saturn 5. Pada 6hb Februari 2018, tapak yang sama bergegar sekali lagi dengan ngauman dan asap roket. Roket setinggi bangunan 20 tingkat, diberi nama roket Falcon Heavy menjadi roket paling berkuasa di dunia, mengatasi rekod terdahulu yang dipegang oleh roket Saturn 5 yang menghantar manusia ke bulan milik NASA. Roket Falcon Heavy telah berjaya menjalani ujian terbang ke angkasa dan mendaratkan roket penggalak kembali (booster) ke bumi.
Falcon Heavy dibangunkan oleh SpaceX bertujuan untuk membawa muatan berat ke angkasa, termasuk penjelajahan manusia ke bulan dan Marikh. Ia terdiri daripada 3 roket Falcon 9 dengan 9 enjin Merlin pada setiap satu roket dengan jumlah 27 enjin kesemuanya. Kuasa tujah 3 roket digabungkan secara selari ini seperti kuasa 18 buah pesawat kapal terbang Boeing 747.
Binaan
Roket teras berada di tengah-tengah dengan muatan kereta Tesla Roadster merah milik Elon Musk di puncaknya. Manakala sisinya diapit oleh dua roket penggalak kiri dan kanan yang akan menambah kuasa tujahan untuk membawa muatan berat sesuai dengan namanya Falcon Heavy. Ia mampu membawa muatan sebanyak 68 metrik tan berat melebihi jumlah keseluruhan penumpang, bagasi dan petrol bagi pesawat kapal terbang Boeing 737 Jetliner, meninggalkan jauh roket pesaingnya Delta IV Heavy yang hanya mampu membawa 29 metrik tan
Pelancaran Falcon Heavy
Untuk ujian pelancaran ini, Falcon Heavy menggunakan 2 roket penggalak yang diguna semula daripada dua misi berlainan. Satunya telah melancarkan satelit Thaicom 8 pada Mei 2016 dan yang satu lagi adalah roket misi CRS-9 diterbangkan pada Julai 2016. Tepat jam 3:45 pm ET roket Falcon Heavy dilancarkan setelah ditangguh beberapa jam kerana faktor angin kuat. Dalam video anda boleh mendengar penonton bersorak tanpa henti sebaik sahaja roket menuju ke angkasa. Hasil ciptaan yang menakjubkan itu membelah langit dan pada minit ke 2:39 kedua-dua roket penggalak tersebut dipisahkan daripada roket teras, berpatah balik masuk semula ke atmosfera bumi dan mendarat serentak dengan selamatnya di kawasan pendaratan LZ1 dan LZ2 tidak jauh daripada tapak pelancaran tadi. Ia kelihatan sama seperti yang digambarkan dalam animasi. Manakala Roket teras sepatutnya mendarat di kapal drone “Of course I still Love You” yang ditempatkan di Lautan Atlantik. Namun nasibnya tidak lah baik kerana ia kekurangan bahan api untuk memperlahankan kelajuannya lalu menghentam kapal drone.
Pendaratan Falcon Heavy
Nak tahu betapa sukarnya mendaratkan roket tepat pada sasaran? Dapatkan penyapu atau tongkat panjang. Berdiri di kawasan lapang di mana anda tidak akan memukul apa-apa atau sesiapa. Sekarang cuba berjalan sambil menyeimbangkan penyapu dengan meletakkan hujung penyapu di tapak tangan anda. Apa terjadi jika anda berhenti berjalan? Anda mungkin berjaya menyelamatkan penyapu daripada terjatuh tapi anda masih kena berjalan.
Bagi kes roket penggalak atau Falcon 9 ini anda kena berhenti berjalan dan penyapu mesti tidak jatuh. Begitulah kecanggihan teknologi pendaratan roket kitar semula. Semestinya memerlukan koordinasi tepat. Ia melibatkan kefahaman tentang fizik, teknologi enjin roket, aerodinamik yang sesuai, kekuatan teknologi bahan, ribuan baris pengaturcaraan komputer dan kiraan matematik. Setiap unit harus selaras dan bertindak dengan pantas. Perkara ini dahulunya dianggap mustahil hinggalah Elon Musk dan SpaceX sendiri membuktikannya.
Itu baru cabaran mendaratkan roket Falcon 9 atau roket penggalak, bayangkan pula menerbangkan 3 set roket yang diiikat bersama. Kata Elon Musk pada pada persidangan NASA pada 2017,
”Beban berubah, aerodinamik benar-benar berubah, tiga kali ganda getaran dan akustik, jumlah beban yang diletakkan melalui teras roket itu adalah luar daripada pemikiran. Kami perlu mengubah reka bentuk teras keseluruhan roket, ia tidak seperti Falcon 9 kerana ia tidak dapat menampung banyak beban. Sistem pemisah roket penggalak terakhir sebenarnya lebih sukar daripada yang kita fikirkan. Kami agak naif tentang itu.”
Sekarang ini, kereta merah Tesla roadster milik Elon Musk bersama pemandunya yang diberi nama Starman sedang meluncur laju dan mengikut orbit eliptik sehinggalah mendekati orbit marikh dan kemungkinan melangkauinya. Lihatlah gambar dan video yang diambil. Maha suci tuhan yang menciptakan, terlihat indahnya lengkungan bumi satu-satunya tempat tinggal manusia yang berakal buat masa ini.
Pelancaran ini menjadi fenomena antarabangsa yang telah dinanti-nantikan sejak 2011 selepas pengumuman oleh Elon Musk. Falcon Heavy sepatutnya dilancarkan pada 2013 atau 2014, namun ditunda kerana faktor teknikal. Ramai yang datang ke Florida semata-mata mahu melihat sendiri sejarah dan merasai pengalaman getaran kuasa roket dan mendengar letusan 6 sonic boom (bunyi yang di hasilkan apabila objek merentasi ruang udara melebihi kelajuan bunyi). Malah tayangan langsung di youtube merupakan kedua teramai di dunia dengan jumlah 2.3 juta penonton serentak. Kita waktu itu mungkin sedang nyenyak tidur kerana waktu pelancaran pada 4:45 pagi waktu tempatan.
Kejayaan Elon Musk menerbangkan roket Falcon Heavy menjadi loncatan bagi industri teknologi angkasa. Proses mendemokrasikan ruang angkasa melangkah selangkah ke hadapan dengan kejayaan syarikat swasta mempelopori penjimatan kos ke angkasa. Tapi murahnya masih juta-juta ya. Satu hari nanti kita akan melihat manusia mendaratkan kaki semula di bulan dan membina penempatan baru di sempadan angkasa sana.
Jika ada semangat, ilmu dan kesungguhan kita pasti berjaya. Buat masa ini Elon Musk sedang bersungguh membangunkan roket BFR (Big Falcon Rocket) yang boleh memuatkan seratus lebih penumpang. Ini digambarkan sejurus sahaja selepas kejayaan pelancaran Falcon Heavy Elon Musk telah pun membayangkan pelancaran percubaan untuk BFR tahun hadapan. Maka dengan itu usaha penjajahan planet Marikh akan mula berlaku.
Rujukan :
1.www.SpaceX .com ; Falcon Heavy press kit
2.Wikipedia ; falcon Heavy
3.Wired.com : Why so difficult to land a rocket