Oleh : Mohd Faudzi Bin Umar
Bahagian 2
Bidang penyelidikan di Malaysia juga dipengaruhi oleh iklim politik negara. Ia bergantung kepada hasrat kerajaan dalam menentukan halatuju negara, sudah tentulah hasrat para Menteri dan jemaah kabinet. Jika sebelum ini hasrat kerajaan adalah untuk memenuhi permintaan makanan penduduk Malaysia yang terpaksa diimpot makanan daripada luar negara dengan jumlah yang mencecah billion ringgit, maka dasar kerajaan telah memperuntukan dana-dana untuk penyelidikan mengenai agrikultur dan bioteknologi bagi mengurangkan jumlah kewangan impot makanan tersebut Dengan itu bagi penyelidik yang menyediakan proposal atau kertas cadangan untuk memperuntukkan jumlah dana penyelidikan dalam bidang tersebut, akan segera dan mudah untuk mendapat kelulusan. Hal ini juga berlaku pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir, yang mana kerajaan mensasarkan industri perkilangan sebagai sektor utama kepada pertumbuhan dana ekonomi negara, maka nanoteknologi yang menjadi subjek utama dalam penyelidikan, oleh itu banyak dana Penyelidikan Mengikut Keutamaan (Intensification of Research in Priority Areas, IRPA ) diluluskan atas nama penyelidikan nanoteknologi dengan jumlah dana yang sangat banyak. Hampir semua penyelidikan di universiti-universiti di Malaysia akan menumpukan kepada subjek nanoteknologi dalam kajian mereka.
Logo Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Jika dilihat kepada aspek dana penyelidikan di universiti, ia mensasarkan setiap penyelidikan harus menghasilkan produk akhiran kajian. Lebih baik produk tersebut adalah produk yang boleh dipegang dan boleh digunapakai, kerana universiti akan mendapat nama dan terkenal jika produk tersebut memenangi pingat-pingat di pameran inovasi tempatan dan luar negara. Pada pandangan penulis tidak mengapalah, sekurang-kurangnya berlaku jugalah proses-proses penyelidikan di universiti.
Realiti tempat kerja di IPTA juga menjadi salah satu dilema kepada penyelidik atau pensyarah yang memerlukan masa terluang untuk berfikir dan menyemak makalah-makalah fizik, itu telah pun dicuri oleh rutin-rutin yang tiada nilai-nilai akademik, antaranya ialah menghadiri mesyuarat fakulti, melakukan urusan-urusan pentadbiran dan membuat fail meja atau fail pengajaran dan pembelajaran kualiti ISO. Kerja-kerja tersebutlah yang menodai kemahiran berfikir penyelidik dan juga masa terluang mereka. Kajian fizik teori adalah salah satu kajian sepanjang masa tidak terhad kepada masa atau ruang, kerana proses berfikirnya adalah berterusan, iaitu masa untuk mengenalpasti masalah yang difikirkan dan cuba untuk menyelesaikannya. Kekadang penyelesaian masalahnya tidak berlaku ketika masa pejabat atau masa bekerja formal, tetapi ia juga sering berlaku pada masa tidak formal seperti ketika mengayuh basikal untuk bersiar-siar, ketika mengenakan tali leher di baju atau ketika sebelum masuk tidur dan keadaan ini juga terjadi kepada tokoh-tokoh fizik teori terkenal dunia seperti Einstein, Bohr, Dirac dan lain-lain. Berbeza dengan fizik ujikaji, mereka memiliki sedikit idea dan menggajikan pembantu penyelidiknya untuk menjalankan ujikajinya sama ada menyediakan sampelnya atau mengukur sifat fizik sampel tersebut, maka tak hairanlah mereka mempunyai banyak masa untuk menghadiri mesyuarat eksekutif dan kebanyakan daripada mereka mendominasi jawatan profesor dan jawatan tertinggi universiti.
Sebelum ini, penulis pernah menghadiri satu lawatan rasmi ke sebuah universiti, penulis bertemu dengan seorang profesor. Beliau bertanyakan mengenai sama ada universiti penulis mempunyai peralatan ketuhar suhu tinggi atau tidak, kerana beliau memaklumkan bahawa fizik eksperimen boleh dianalogikan seperti “Chef” memasak. Chef akan memasukkan perencah dan ramuan dan kemudian akan merasai makanan tersebut. Seterusnya resepi kemudian diubahsuai dan proses yang sama berulang-ulang dengan menukar parameternya. Begitulah analogi yang diberikan. Ahli fizik eksperimen sekadar mengubah parameter atau mengubah peratusan kandungan dalam sampel tersebut dan kemudiannya sampel itu kita cerap atau ukur sifat fiziknya, makalah dapatlah satu makalah akademik.
Sebagai contoh, kita menyediakan sampel semikonduktor aloi InGaAs (indium-galium-arsenida) melalui Metalorganic vapour phase epitaxy (MOVPE) dengan nisbah seperti berikut In0.25Ga0.75As, kemudian kita cerap sifat elektroniknya dengan X-ray photoelectric spectroscopy (XPS), maka daripada prosedur itu dapatlah ditulis satu makalah untuk nilai nisbah atom-atom tersebut. Setelah selesai itu, kita tukarkan pula nisbah atom tersebut kepada In0.75Ga0.25As dan kita lakukan rutin yang sama dan urusan tersebut dijalankan oleh GRA (graduted research assistant) atau RA (research assistant) ketua penyelidikan atau pemilik geran penyelidikan tersebut.
Jika dibandingkan dengan kajian fizik teori, ianya sebaliknya, yang mana ia lebih memberikan penekanan kepada konsep asas fizik tersebut dan selidiki melalui pengiraan bermatematik dengan pemahaman konsep yang mendalam, malahan menilai konsep asas fizik tersebut (aras tertinggi taksonomi bloom, iaitu “Penilaian”). Model demi model matematik diperketengahkan untuk menyelesaikan masalah fizik yang difikirkan tanpa menafikan konsep fizik lain yang diterima (kekadang konsep fizik tersebut boleh juga ditambahbaik atau diperbaiki). Lembaran demi lembaran kertas dicontengnya, papan putih dilakari dengan symbol-simbol Yunani yang tidak difahami. Jika dilihat secara amnya, penyelidikannya adalah sangat sukar, tak hairanlah jika dihimbau sejarah peribadi ahli fizik teori, mereka memiliki perwatakan yang agak unik. Tetapi yang perlu dikagumi pada mereka adalah usaha yang bersungguh-sungguh dan ikhlas pada ilmu dan kebenaran. Kedudukan, pangkat, jawatan dan harta tidaklah menjadi sandaran bagi mereka untuk terus menyelidik rahsia alam.
Catatan : // Penulis merupakan pensyarah di Jabatan Fizik , Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Penyelidikan Sultan Idris, (UPSI)
Berikan Komen Anda Di Sini