Penulis: Dr. Nur Musfirah Mahmud¹, Dr. Ain Zubaidah Ayob² & Dr. Aslina Pahruddin Arrozi²
¹Pensyarah Kanan, Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya
²Pensyarah Kanan, Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya
Pengenalan
“Green Lab – tanam pokok dalam makmal?” Ramai mungkin menganggap konsep “Green Lab” hanyalah sekadar makmal yang mempunyai dekorasi tumbuhan atau melakukan penyelidikan melibatkan sebarang aktiviti kelestarian. Sebenarnya, pendekatan “Green Lab” mempunyai maksud jauh lebih mendalam.
“Green Lab” atau makmal mesra alam merujuk kepada amalan pengurusan makmal yang mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar tanpa menjejaskan kualiti penyelidikan. Ia merangkumi penggunaan tenaga dan air yang lebih cekap, pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab serta amalan kerja yang lebih lestari. Universiti di seluruh dunia kini giat melaksanakan inisiatif ini sebagai sebahagian daripada agenda kampus hijau. Persoalannya, sejauh mana usaha ini telah berkembang di Malaysia?
Realiti: Jejak Karbon Makmal Penyelidikan
Saintis menyumbang kepada pengetahuan dan inovasi dalam bidang perubatan serta sains hayat bagi menyokong usaha mencapai Sustainable Development Goals (SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Manusia). Namun ironinya, mereka juga bertanggungjawab terhadap pelepasan gas rumah hijau dan karbon dioksida (CO₂) yang tinggi, dan penghasilan sisa makmal berbahaya .

Bangunan makmal menggunakan purata tiga ke lima kali ganda lebih banyak tenaga dan air berbanding pejabat biasa. Peralatan seperti kebuk wasap (fume hood), peti sejuk beku −80°C, autoklaf, inkubator, oven pengering, water bath, blok pemanas, dan pam vakum menggunakan tenaga yang tinggi. Kebuk wasap menggunakan 3.5 kali lebih tenaga berbanding rumah biasa, manakala penggunaan tenaga peti sejuk beku ultra rendah (ULT) setara tenaga sebuah rumah. Beban plug menyumbang kira-kira 20% daripada penggunaan tenaga makmal, dan pengurangan 10% sahaja bersamaan dengan mengeluarkan kira-kira 650,000 kereta dari jalan raya (Sumber: My Green Lab). Ini menunjukkan bahawa pengurangan kecil dalam penggunaan tenaga makmal boleh memberi impak besar terhadap pelepasan karbon.

Plastik pakai buang masih menjadi isu besar, terutamanya dalam makmal mikrobiologi, biologi molekul, dan klinikal, dengan makmal sains hayat menghasilkan kira-kira 5.5 juta tan plastik setahun (1.8% daripada sisa plastik global). Aktiviti penyimpanan data dan simulasi, contohnya simulasi dinamik molekul virus mosaik tembakau selama 100 nanosaat, turut menyumbang jejak karbon antara 17.8 hingga 95 kg CO₂. Kesemua ini menunjukkan bahawa jejak karbon makmal adalah signifikan dan memerlukan tindakan mampan bagi mengurangkan impak alam sekitar.
Konsep Green Lab: Empat Tonggak Utama
Bagaimanakah konsep ini boleh diterjemahkan dalam operasi makmal seharian? Empat tonggak utama menjadi asas dalam pelaksanaanya:
- Kecekapan Tenaga: Penggunaan peralatan berkecekapan tinggi, lampu LED, dan penderia gerakan. Amalan mudah seperti menutup penutup kebuk wasap apabila tidak digunakan boleh menjimatkan tenaga secara signifikan.
- Pemuliharaan Air: Sistem kitaran tertutup dan autoklaf berkecekapan air membantu mengurangkan pembaziran.
- Pengurusan Sisa: Pengasingan sisa yang betul, program kitar semula, dokumentasi digital, dan amalan “1-tube philosophy” untuk meminimumkan penggunaan plastik.
- Perolehan Lestari: Pemilihan produk mesra alam dengan pembungkusan minimum. Di Malaysia, direktori MyHIJAU menyenaraikan produk hijau yang diperakui.
Di peringkat antarabangsa, sistem penilaian seperti My Green Lab Certification atau European‑based LEAF (Laboratory Efficiency Assessment Framework) digunakan untuk menetapkan standard kelestarian makmal. Inisiatif seperti perkongsian peralatan, program Freezer Challenge, penggunaan green chemistry principles, serta pembudayaan penjimatan melalui lab sustainability champions turut dipraktikan secara meluas.
Bagaimana Universiti atau Institusi Penyelidikan boleh Memimpin Perubahan?
Universiti memainkan peranan kritikal sebagai peneraju inovasi dan model kelestarian. Sebagai institusi yang melahirkan pemimpin masa depan, universiti bertanggungjawab mendidik pelajar tentang amalan lestari, bukan sahaja melalui kuliah, tetapi melalui pengalaman langsung di makmal.
Di Malaysia, kesedaran tentang konsep Green Lab masih di peringkat awal, namun beberapa inisiatif positif yang membentuk momentum ke arah kelestarian dalam sektor kesihatan semakin memberangsangkan. Pada Disember 2024, Universiti Malaya melancarkan GREEN@UMHealth, sebuah inisiatif yang khusus untuk memajukan kelestarian dalam penjagaan kesihatan. Diterajui oleh Profesor Dr. Shireen Anne Nah dari Fakulti Perubatan, inisiatif ini telah memulakan projek-projek praktikal seperti pengoptimuman penggunaan dulang pembedahan dan pengurangan pembungkusan plastik di farmasi pesakit dalam.
GREEN@UMHealth membuktikan bahawa kelestarian boleh dilaksanakan di peringkat klinikal. Persoalannya kini: bagaimana pula dengan makmal penyelidikan? Di sinilah konsep Green Lab menjadi relevan. Jika amalan lestari boleh diterapkan di bilik bedah dan farmasi hospital, sudah tentu makmal penyelidikan yang menggunakan lebih banyak tenaga dan bahan guna habis, turut perlu diubah. Sehubungan itu, GREEN@UMHealth sedang memperluas skop inisiatifnya daripada peringkat klinikal kepada makmal penyelidikan. Inisiatif ini berpotensi menjadi perintis kepada pelaksanaan Green Lab secara menyeluruh, bukan sahaja di Fakulti Perubatan, malah di seluruh Universiti Malaya, dan diharap dapat menjadi model inspirasi kepada universiti-universiti lain di Malaysia.
Namun wujud cabaran dalam melaksanakan inistiatif ini termasuk kos permulaan yang tinggi, kekangan bajet, serta kebiasaan dalam rutin kerja lama yang agak sukar diubah. Transformasi ke arah makmal hijau memerlukan komitmen semua pihak: pengurusan tertinggi universiti, pengurusan makmal, penyelidik, staf, serta para pelajar yang disertai latihan berterusan serta sikap tanggungjawab secara kolektif. Dengan sokongan dan kerjasama ini, makmal tempatan berpotensi mengadaptasi amalan lestari dari barat sambil disesuaikan dengan konteks Malaysia. Seterusnya membuktikan bahawa kelestarian bukan sekadar konsep, tetapi satu budaya kerja yang boleh diamalkan di semua makmal institusi penyelidikan dan universiti.
Manfaat Green Lab
Pelaksanaan konsep Green Lab memberi pelbagai manfaat yang merangkumi aspek ekonomi, sosial, dan alam sekitar.
- Penjimatan kos jangka panjang: Walaupun memerlukan pelaburan awal, pengurangan penggunaan tenaga dan bahan habis pakai akan mengurangkan kos operasi secara signifikan dalam jangka masa panjang.
- Keselamatan dan kesihatan: Pengurusan bahan kimia yang lebih baik dan pengurangan pendedahan kepada bahan berbahaya meningkatkan keselamatan warga makmal.
- Reputasi universiti: Komitmen terhadap kelestarian meningkatkan kedudukan universiti dalam penarafan kelestarian antarabangsa seperti UI GreenMetric World University Ranking, sekali gus meningkatkan daya tarikan kepada pelajar dan penyelidik dari dalam dan luar negara.
- Budaya penyelidikan bertanggungjawab: Saintis yang mengutamakan kelestarian bukan sahaja menjadi teladan, tetapi juga membuktikan bahawa kecemerlangan penyelidikan dan penjagaan alam sekitar boleh berjalan seiring, menjadikan makmal lebih hijau, selamat, dan beretika.
- Pengurangan kesan biodiversiti: Pengurusan sisa yang lebih baik membantu mengurangkan kesan karbon seterusnya meminimumkan risiko kepada ekosistem.
Perjalanan Seribu Batu, Bermula Dengan Satu Langkah Kecil
Inisiatif Green Lab bukan sekadar trend tetapi ia adalah tanggungjawab bersama. Setiap langkah kecil, daripada menutup kebuk wasap hingga mengurangkan penggunaan plastik, memberi impak sekiranya dilakukan secara kolektif. Kampus lestari bermula dengan anda. Marilah kita berusaha menjadikan Green Lab sebahagian daripada budaya kerja kerana sains seharusnya menyelamatkan dunia, bukan merosakkannya.
Rujukan
- Farley, M. (n.d.). Sustainable laboratory research: LEAF and green lab efforts. Green Lab Associates. Retrieved December 4, 2025, fromhttps://anneurai.net/wp-content/uploads/2021/04/2021_bna_farley.pdf
- Idris, F., & Samsudin, I. N. (2024). Green lab concept: towards sustainable healthcare practices in Malaysia. Malays J Med Health Sci, 20, 65-8.
- Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation. (n.d.). MyHIJAU Directory. Retrieved December 3, 2025, fromhttps://www.mgtc.gov.my/ms/what-we-do/my-hijau/myhijau-directory/
- My Green Lab. (n.d.). MGL Certification. Retrieved December 4, 2025, fromhttps://mygreenlab.org/programs/mgl-certification/
- Office of Energy & Sustainability. (n.d.). Lab energy consumption statistics. Weill Cornell Medicine. Retrieved December 4, 2025, fromhttps://sustainability.weill.cornell.edu/green-labs/lab-energy-consumption-statistics
- Pali-Schöll I, Hermuth-Kleinschmidt K, Dramburg S, Agache I, Mayerhofer H, Jensen-Jarolim E, Goshua A, Nadeau KC. An EAACI review: Go green in health care and research. Practical suggestions for sustainability in clinical practice, laboratories, and scientific meetings. Allergy. 2023 Oct;78(10):2606-2622. doi: 10.1111/all.15836. Epub 2023 Aug 16. PMID: 37584433; PMCID: PMC10543587.
Biodata Penulis
Dr. Nur Musfirah Mahmud adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Bidang kepakaran beliau adalah biologi sains penglihatan.
Dr. Ain Zubaidah Ayob adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Bidang kepakaran beliau adalah biologi kanser dan plastisiti sel kanser.
Dr. Aslina Pahrudin Arrozi adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Bidang kepakaran beliau adalah biokimia penyakit neuro dan kajian produk semula jadi.
Kesemua penulis juga merupakan ahli jawatankuasa Green Lab Task Force, Green@UMHealth, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.




