Penulis: Oleh: Dr. Hanani Farhah Harun
Pensyarah Kanan,
Fakulti Sains Komputer & Matematik (FSKM)
Univeriti Malaysia Terengganu (UMT)
Cuba anda bayangkan dua situasi ini.
Situasi pertama: Seorang kenalan menawarkan untuk memberi anda RM 1,000 hari ini.
Situasi kedua: Kenalan yang sama menawarkan untuk memberi anda RM 1,000 tepat setahun dari sekarang.
Soalan mudah: Yang mana menjadi pilihan anda?
Hampir semua orang akan memilih situasi pertama, dan mereka betul. Bukan kerana mereka tamak atau tidak sabar. Sebaliknya, kerana secara naluri, manusia faham satu prinsip matematik yang sudah berusia berabad-abad lamanya: wang hari ini bernilai lebih daripada wang dengan jumlah yang sama pada masa hadapan. Dalam dunia kewangan, prinsip ini dikenali sebagai Nilai Masa Wang (Time Value of Money).
Prinsip ini kelihatan mudah, tetapi implikasinya menyentuh setiap sudut kehidupan kewangan kita, daripada simpanan di bank, pinjaman perumahan, pelan insurans, dana persaraan, sehinggalah kepada keputusan pelaburan bernilai berbilion ringgit di pasaran modal global.
Mengapa Wang Hari Ini Lebih Bernilai?
Terdapat tiga sebab utama mengapa wang hari ini mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding wang pada masa hadapan.
Pertama, potensi pelaburan. Wang yang ada di tangan hari ini boleh dilaburkan serta-merta untuk menjana pulangan. Jika anda menyimpan RM 1,000 dalam akaun simpanan dengan kadar faedah 3 peratus setahun, wang itu akan menjadi RM 1,030 setahun kemudian. Wang yang dijanjikan setahun lagi tidak mempunyai peluang itu.
Kedua, inflasi. Kuasa beli wang merosot dari masa ke semasa. RM100 pada tahun 2000 boleh membeli lebih banyak barang berbanding RM100 pada tahun 2025. Ini bermakna wang yang diterima pada masa hadapan secara automatik mempunyai kuasa beli yang lebih rendah berbanding nilai nominalnya hari ini.
Ketiga, risiko dan ketidaktentuan. Wang yang dijanjikan pada masa hadapan membawa risiko. Pihak yang berjanji mungkin tidak mampu menunaikannya. Keadaan ekonomi boleh berubah. Semakin jauh masa hadapan itu, semakin tinggi ketidaktentuannya.
Membina Formula Dari Logik Paling Asas
Katakan anda simpan RM1,000 dalam bank pada kadar faedah 10 peratus setahun. Selepas setahun, berapa duit anda?
Anda akan mendapat balik modal asal, ditambah faedah 10 peratus:
RM1,000 + (RM1,000 x 10 %) = RM1,000+Rm100 = RM1,100
Boleh ditulis lebih ringkas:
RM1,000 x (1+0.10) = RM1,100
Bahagian (1 + 0.10) itu bermaksud: “kembalikan semua wang saya dan tambah 10 peratus lagi.”
Pada tahun kedua, titik permulaan anda bukan lagi RM 1,000. Ia adalah RM 1,100 kerana faedah tahun pertama sudah sebati dengan modal. Jadi anda darab sekali lagi:
RM1,100 x (1+0.10) = RM1,210
Jika anda perasan coraknya? RM 1,100 itu sebenarnya adalah RM 1,000 × (1.10). Jadi:
RM1,000 x (1.10) x (1.10) = RM1,000 x (1.10)² = RM1,210
Setiap tahun, anda hanya darab dengan (1.10) sekali lagi. Selepas tiga tahun, anda darab tiga kali. Selepas n tahun, anda darab sebanyak n kali. Corak itu menghasilkan formula Nilai Masa Depan (Future Value, FV):
FV = PV × (1 + r)ⁿ
Dalam bahasa mudah dibaca: “Ambil wang anda hari ini, darab dengan kadar pertumbuhan, sebanyak bilangan tahun yang terlibat.”
Mesin Masa Kewangan
Sekarang balikkan logik tadi. Katakan seseorang berjanji akan memberi anda RM 1,331 tiga tahun dari sekarang. Berapakah nilai janji itu pada hari ini?
Kita tahu dari pengiraan tadi bahawa RM 1,000 hari ini akan menjadi RM 1,331 dalam tiga tahun pada kadar 10 peratus. Jadi nilai hari ini bagi janji itu adalah RM 1,000.
Untuk mendapatkan jawapan itu secara matematik, kita hanya terbalikkan formula FV. Kalau FV = PV × (1 + r)ⁿ, maka:
PV = FV ÷ (1 + r)ⁿ
Baca dalam bahasa biasa: “Ambil wang masa depan itu, bahagi dengan kadar pertumbuhan, sebanyak bilangan tahun yang terlibat, untuk tahu nilainya hari ini.”
Proses membahagi dengan (1 + r)ⁿ ini dipanggil pendiskaun (discounting), seolah-olah anda sedang “menarik balik” wang masa depan itu ke nilai sekarang. Itulah sebabnya kadar r dalam konteks ini sering disebut sebagai kadar diskaun.
Kedua-dua formula ini sebenarnya adalah formula yang sama, cuma arah perjalanannya berbeza. Formula FV menghantar wang anda ke hadapan dalam masa. Formula PV pula menarik wang masa depan balik ke hari ini.
Keajaiban Faedah Kompaun
Kembali kepada contoh tadi, ada sesuatu yang menarik berlaku pada tahun kedua. Faedah tahun pertama sebanyak RM 100 itu tidak hilang. Ia menjadi sebahagian daripada modal baharu, dan pada tahun kedua, faedah dikira semula atas jumlah RM 1,100 itu. Faedah menjana faedah. Inilah yang dipanggil faedah kompaun (compound interest).
Bandingkan kesannya berbanding faedah mudah (simple interest) yang hanya mengira pulangan atas modal asal sahaja, dengan modal RM 1,000 pada kadar 10 peratus setahun:

Dalam tempoh tiga tahun, perbezaannya kelihatan kecil. Tetapi dalam tempoh 30 tahun, modal yang sama menghasilkan RM 4,000 dengan faedah mudah berbanding RM 17,449 dengan faedah kompaun. Perbezaan lebih daripada empat kali ganda itu tidak lahir daripada wang tambahan atau pelaburan berisiko. Ia lahir semata-mata daripada cara faedah dikira, dan daripada kesabaran membiarkan masa melakukan kerjanya.
Inilah yang dimaksudkan apabila dikatakan faedah kompaun adalah kuasa paling senyap dalam matematik kewangan.
Matematik Yang Sudah Lama Kita Tahu
Petani yang lebih suka menjual hasil tuaian hari ini berbanding menunggu tiga bulan, ibu bapa yang mula menabung untuk pendidikan anak sejak bayi lagi, anak muda yang memilih untuk melabur dalam KWSP Akaun Fleksibel berbanding berbelanja untuk kepuasan segera; semua mereka sedang menggunakan prinsip yang sama tanpa perlu tahu namanya.
Matematik kewangan tidak mencipta idea baharu. Ia hanya memberikan bahasa yang tepat kepada sesuatu yang sudah lama manusia rasai secara naluri: masa ada nilainya, wang hari ini lebih berharga daripada wang esok, dan faedah yang dibiarkan berkembang akan menjadi sesuatu yang jauh lebih besar daripada yang kita jangkakan.
Memahami formula FV dan PV, serta logik di sebalik pengkompaunan, tidak memerlukan ijazah matematik. Ia hanya memerlukan kita untuk duduk sebentar dan mengikut corak yang memang sudah wujud dalam akal fikiran kita sejak awal lagi.
Nota Penulis: Artikel ini ditulis untuk bacaan umum dan bukan merupakan nasihat kewangan atau pelaburan. Pembaca dinasihatkan mendapatkan panduan daripada perancang kewangan berlesen untuk keputusan peribadi.
Rujukan
Brealey, R. A., Myers, S. C., & Allen, F. (2020). Principles of Corporate Finance (13th ed.). McGraw-Hill Education.
Ross, S. A., Westerfield, R. W., & Jordan, B. D. (2022). Fundamentals of Corporate Finance (13th ed.). McGraw-Hill Education.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). (2024). Panduan perancangan persaraan. https://www.kwsp.gov.my
Bank Negara Malaysia. (2024). Kadar dasar semalaman (OPR) dan kesannya kepada ekonomi. https://www.bnm.gov.my
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). (2024). Pinjaman pendidikan: Terma dan syarat. https://www.ptptn.gov.my




