Penulis: Dr. Norhaslina binti Mohd Rokemi
Pensyarah dan Pakar Pergigian Patologi Mulut & Perubatan Mulut
Unit Perubatan Mulut & Patologi Mulut,
Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
Pernahkah anda mengalami sakit pada bahagian rahang ketika mengunyah atau bercakap, sukar membuka mulut, atau terdengar bunyi “klik” setiap kali menggerakkan rahang? Jika ya, anda mungkin mengalami gangguan yang dikenali sebagai Temporomandibular Disorder (TMD). Keadaan ini melibatkan sendi temporomandibular (TMJ), iaitu sendi yang menghubungkan rahang bawah atau mandibula dengan tulang tengkorak (tulang temporal) (Rajah 1). Sendi TMJ merupakan salah satu sendi yang paling kompleks dalam tubuh manusia kerana ia bukan sahaja membolehkan pergerakan membuka dan menutup mulut, tetapi juga membolehkan rahang bergerak ke hadapan, ke belakang dan ke sisi. Selain itu, otot-otot mastikasi juga memainkan peranan penting dalam pergerakan rahang. Oleh itu, sebarang gangguan pada sendi TMJ atau otot-otot ini boleh menjejaskan fungsi penting seperti mengunyah dan bercakap serta menyebabkan kesakitan yang mengganggu aktiviti harian.

Etiologi atau punca TMD adalah multifaktorial dan melibatkan gabungan faktor biologi, persekitaran, sosial, emosi, dan kognitif. Kesemua faktor ini saling berinteraksi dalam satu model biopsikososial yang mempengaruhi persepsi kesakitan serta fungsi sendi rahang. Punca sebenar TMD masih belum diketahui sepenuhnya, namun penyelidikan menunjukkan bahawa ia berpunca daripada gabungan pelbagai faktor. Antara faktor yang sering dikaitkan termasuk tabiat bruksisme atau mengetap dan menggesel gigi, kecederaan pada rahang, ketidakseimbangan gigitan, serta penyakit sendi seperti osteoartritis dan rheumatoid arthritis. TMD juga boleh disebabkan oleh mikrotrauma seperti pembukaan mulut yang berlebihan ketika rawatan pergigian, semasa bius am, atau ketika bermain alat muzik tiupan. Faktor hormon dan genetik turut memainkan peranan, dan kajian menunjukkan bahawa keadaan ini lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita dewasa muda.
Komponen psikologi seperti tekanan, kebimbangan, dan kemurungan juga didapati mempunyai kaitan rapat dengan kemunculan serta keterukan gejala TMD. Tekanan emosi boleh menyebabkan peningkatan ketegangan otot mastikasi dan mencetuskan tabiat bruksisme, di samping meningkatkan kepekaan sistem saraf terhadap kesakitan. Ini akhirnya memburukkan lagi keadaan pesakit.
Gejala TMD berbeza antara individu. Pesakit lazimnya mengadu sakit pada sendi rahang, pipi atau kawasan telinga, disertai bunyi “klik” atau “pop” apabila membuka atau menutup mulut. Ada juga yang mengalami kesukaran atau keterbatasan membuka mulut, rasa tegang pada otot muka, dan sakit kepala yang menyerupai migrain. Sakit kepala ini sering berkait dengan struktur dalam kawasan temporomandibular dan cenderung berlaku seiring dengan permulaan TMD. Ia biasanya bertambah teruk apabila rahang digerakkan atau digunakan secara berlebihan, dan boleh dicetuskan apabila otot temporalis ditekan. Dalam kes tertentu, kesakitan boleh menjadi kronik dan menjejaskan kualiti hidup pesakit.
Diagnosis
Bagi mendapatkan diagnosis yang tepat, pemeriksaan klinikal menyeluruh amat penting. Doktor akan menilai pergerakan rahang, memeriksa tahap kesakitan pada sendi dan otot, serta menilai keadaan gigitan. Dalam sesetengah kes, pemeriksaan tambahan seperti radiograf dilakukan bagi menilai struktur dalaman sendi dengan lebih terperinci. Antara panduan diagnostik yang digunakan secara meluas di seluruh dunia ialah Diagnostic Criteria for Temporomandibular Disorders (DC/TMD) yang diperkenalkan oleh International Network for Orofacial Pain and Related Disorders (INfORM).
Rawatan bagi TMD kebanyakannya melibatkan pendekatan konservatif tanpa pembedahan. Pesakit digalakkan untuk merehatkan rahang, mengelakkan makanan keras, dan mengurangkan pembukaan mulut yang terlalu luas. Aplikasi haba atau sejuk boleh membantu melegakan otot, manakala senaman regangan lembut dapat membantu mengembalikan pergerakan rahang. Fisioterapi dan penggunaan alat pelindung gigi seperti splint atau night guard turut membantu mengurangkan tekanan pada sendi. Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) atau relaksan otot boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan dan ketegangan otot. Selain rawatan fizikal, pengurusan tekanan melalui kaunseling atau terapi relaksasi turut membantu, memandangkan tekanan emosi sering memperburuk gejala TMD.
Pencegahan
Langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan TMD daripada berlaku. Individu disarankan supaya tidak mengetap gigi, mengurangkan tekanan emosi melalui aktiviti santai, dan memastikan postur badan yang baik semasa bekerja atau menggunakan komputer. Pemeriksaan awal oleh doktor gigi atau pakar bedah mulut juga penting sekiranya seseorang mengalami sakit rahang yang berpanjangan atau bunyi luar biasa pada sendi.
Secara keseluruhannya, Temporomandibular Disorder bukanlah sekadar sakit rahang biasa. Ia boleh menjejaskan fungsi harian dan kesejahteraan psikologi pesakit sekiranya tidak dirawat dengan betul. Dengan peningkatan kesedaran awam dan kemajuan dalam penyelidikan orofasial, rawatan TMD kini lebih berkesan serta berasaskan bukti saintifik. Melalui diagnosis awal, rawatan konservatif, dan perubahan gaya hidup yang sesuai, kebanyakan pesakit dapat menikmati kehidupan tanpa gangguan kesakitan pada sendi rahang.
Kredit foto utama-dentistry.usc
Rujukan:
- Schiffman, E., Ohrbach, R., Truelove, E. et al. (2014). Diagnostic Criteria for Temporomandibular Disorders (DC/TMD) for Clinical and Research Applications: Recommendations of the International RDC/TMD Consortium Network and Orofacial Pain Special Interest Group. Journal of Oral & Facial Pain and Headache, 28(1), 6–27.
- Okeson, J. P. (2019). Management of Temporomandibular Disorders and Occlusion (8th ed.). Elsevier.
- Durham, J., Wassell, R., & Steele, J. G. (2015). Temporomandibular disorders: an update and management guide for primary care practitioners. British Journal of General Practice, 65(640), e438–e440.
- Slade, G. D., Ohrbach, R., Greenspan, J. D. et al. (2016). Painful temporomandibular disorder: Decade of discovery from OPPERA studies. Journal of Dental Research, 95(10), 1084–1092.



